Jumaat, April 12, 2013

Umat Islam Perlu Tolak Amalan Politik Lucah, Fitnah, Ganas Dan Rasuah!

Umat Islam Perlu Tolak Amalan Politik Lucah, Fitnah, Ganas Dan Rasuah!

Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) bakal menyaksikan persaingan sengit di kalangan parti-parti politik utama di negara ini. Keadaan in berlaku berasaskan kepada tanggapan bahawa pilihanraya ini bakal mencatatkan hitam putih ataupun jatuh bangun negara pada masa akan datang. Signifikasi sedemikian telah mengundang minat dan perhatian yang meluas dari pelbagai lapangan serta golongan masyarakat.

Justeru,kami secara serius menanggapi PRU 13 ini tidak sahaja dianggap semata-mata sebagai pertembungan untuk mengundang populariti dan kejayaan Siyasiy. Sebaliknya pilihanraya ini memberi makna sangat mendalam ke arah membentuk budaya politik serta sosio budaya rakyat di negara ini.

Kami menegaskan perlunya kita bersama: parti politik, pemimpin masyarakat, ‘alim ulama’, intelektual, pengamal media dan rakyat seluruhnya, berusaha mendaulatkan demokrasi yang bersih dan beretika. Dari itu, kami selaku wakil Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama di negara ini ingin mengetengahkan empat saranan utama untuk umat Islam sempena PRU 13 ini:

MENOLAK BUDAYA POLITIK FITNAH

Dalam era di mana “Politic With Brain” mula menjadi sebutan dan dambaan ramai, kami ingin menggesa agar umat Islam di negara ini menolak sama sekali amalan politik fitnah. Gesaan ini bersandarkan pada ayat ke-58 Surah Al-Ahzab yang berbunyi:

"Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata."

Kami ingin melahirkan keprihatinan kami terhadap berleluasanya budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini. Walaupun ia membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat. Umat Islam perlu mengetengahkan pendirian ini agar hak mereka selaku rakyat tidak dikesampingkan dengan pembodohan berupa fitnah yang tidak mempunyai apa-apa signifikasi terhadap kehidupan mereka, sebaliknya membawa kerosakan kepada masyarakat.

MENOLAK AMALAN POLITIK LUCAH

Kami menggesa umat Islam untuk menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mendulang populariti siyasiy dalam jangka pendek. Kami memandang berat amalan mencipta video, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina (ke atas seseorang) sewenang-wenangnya di khalayak ramai. Kami mengajak umat Islam untuk merenung pengajaran yang dikemukakan menerusi rangkaian ayat-ayat Al-Qur’an seperti:

Orang-orang yang membuat pertuduhan palsu terhadap wanita mu’minah , Muhsanah yang alpa mereka dilaknat di dunia dan di akhirat . Untuk mereka disediakan azab yang sangat besar.
(An- Nur: 23)

dan

Orang-orang yang menyakiti mu’min lelaki dan mu’minah wanita mengenai perkara-perkara yang mereka tidak melakukannya maka mereka telah melakukan pembohongan dan dosa yang jelas nyata
(Surah Al Ahzab : 58)

Sesungguhnya fitnah zina adalah perbuatan yang sangat keji di sisi syariat Islam. Para pelaku serta pendukung amalan politik lucah ini akan mengundang laknat berpanjangan selaku golongan Fasiq yang ditolak kesaksian mereka selama-lamanya. Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media.

Adalah amat mendukacitakan dalam esak tangis kita meratapi keruntuhan moral di kalangan anak muda Islam (terutama sekali amalan zina yang berleluasa), amalan tersebut dijadikan sebagai modal rujukan untuk mencapai sesuatu perkara atau maksud!

MENOLAK AMALAN POLITIK SAMSENG

Kami menyeru umat Islam untuk menyatakan penentangan mereka secara jelas terhadap amalan politik ganas yang sering mewarnai politik negara semenjak kebelakangan ini. Pilihanraya seharusnya diraikan sebagai hari kebesaran rakyat. Seharusnya rakyat dibiarkan untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk diri mereka tanpa sebarang ancaman fizikal dan mental.

Demokrasi membolehkan persaingan dan perbezaan politik dilangsungkan secara aman. Amalan politik ganas merupakan bentuk kezaliman dan penindasan yang perlu ditolak samasekali berasaskan kepada firman Allah s.w.t menerusi Surah Al-Maidah ayat ke-8:

Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

MENOLAK AMALAN RASUAH DAN PERAS UGUT

Kami menyeru umat Islam untuk menolak serta menafikan sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas mereka. Sesungguhnya amalan itu bertentangan sekali dengan fitrah illahi yang telah menetapkan kebebasan mutlak manusia ke atas segala apa yang dikurniakan menerusi firman-Nya berbunyi:

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Al-Isra: 70)

Amalan rasuah serta peras ugut yang diterjemahkan menerusi pendekatan stick & carrot adalah amalan politik tidak berperikemanusiaan. Allah s.w.t telah mengurniakan ruang sebebas-bebasnya terhadap segala ciptaan-Nya di dunia ini. Manusia hanyalah pemegang amanah serta tidak menzalimi serta menafikan hak yang lain untuk menikmatinya.

Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa. Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka.

Adalah menjadi harapan agar umat Islam dapat menyuarakan dengan tegas dan jelas akan pendirian ini. Sesungguhnya terbentuknya "baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” bergantung kepada persekitaran serta masyarakat sesebuah negara.

Justeru kami menganjurkan agar umat Islam di seluruh negara sempena dengan PRU 13 ini untuk sama-sama menunaikan solat hajat secara individu serta berjamaah khususnya di sepertiga malam. Partisipasi pada penggerak masjid serta surau amat dihargai untuk mempermudahkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan tersebut.

Kurnia rahmat serta keberkatan Illahi dalam amalan berpolitik hanya akan terjelma sekiraya umat Islam menolak sebarang amalan politik yang melangkaui batas yang dilandaskan syariah. Semoga PRU 13 ini akan menjelmakan amalan politik murni yang tiada celanya terhadap pemikiran serta sosio budaya umat Islam serta rakyat di negara ini.

http://www.ustream.tv/recorded/31327137