Isnin, Februari 03, 2014

Nilaian cikgu

Pada kebiasaannya, apa yang diajar di sekolah adalah berbeza dengan apa yang dipraktikkan di luar. Itu, semua orang sudah maklum. Teori adalah amat berbeza dengan praktikal. Asasnya, teori tidak mempertimbangkan pemboleh-ubah yang lain.

Ini termasuk juga dalam bidang pendidikan dan keguruan sendiri. Contohnya, di kelas, guru mengajar anak murid untuk berkata benar, berlaku adil, mengutamakan kebajikan,  bersungguh-sungguh, berkerja dalam kumpulan, melakukan kerja rumah, membuat persediaan awal dan sebagainya. Ini semua merupakan nilai luhur yang diangkat dan dididik kepada anak-anak murid.

Apabila dalam praktikal; lain pula kisahnya. Guru memilih-milih pula mengamalkan nilai-nilai yang digariskan seperti contoh di atas, mengikut mood, arahan pihak atasan dan keperluan semasa; termasuk juga dalam urusan rasmi. Misalnya, dalam penulisan sijil; biasa dilihat- apa yang baik dan elok, ditulis ‘sangat baik’, apa yang teruk, ditulis  ‘baik’; Kata cikgu, komen dan ulasan harus dilihat positif, walau hakikatnya, sangat teruk! Kata cikgu lagi, nanti mudah untuk mereka bawa ke peringkat lain.

Dalam mengasihani pelajar yang begini, secara langsung, cikgu telah menganianya dan berlaku tidak adil kepada pelajar yang sememangnya baik, dan cemerlang di sekolah. Di mana keutamaan dalam memberi penilaian kepada pelajar? Berlaku adil? Atau kasihan? Sebenarnya agak janggal melihat sijil berhenti pelajar yang dibuang sekolah; pada ulasannya, sikap ditulis ‘baik’. Tanya kepada mana-mana orang pun, yang benar tetap benar; yang salah tetap salah.

Kata cikgu, memberi mata kepada sikap, harus terbuka. Tidak kira bagaimana sikapnya, yang penting, tidak akan memudaratkan murid tersebut pada masa depan. Kata cikgu lagi, manusia berubah. Mana tahu, pada masa depan, sikap mereka akan menjadi lebih baik dari hari ini. Mungkin sijil tersebut sahajalah yang akan membantu mereka pada masa depan.

Kalau begitu perkiraannya, bagaimana agaknya, penilaian murid dalam pentaksiran berasaskan sekolah (PBS)? Bolehkah cikgu bersikap adil? Atau sikap ‘kasihani’ atau ‘belas ehsan’ akan menjadi kayu ukur yang utama? Kenapa pelajar yang bagus, begitu berkira dengan markah yang diberikan? Bukankah nilai dan kesedaran adalah untuk pelajar sendiri memilihnya? Guru hanya bertindak sebagai pendidik, bukan pembodek. Memang benar manusia boleh berubah. Lantas, carilah lagi sijil lain yang menunjukkan perubahan baik itu. InsyaAllah, Tuhan tidak akan menzalimi hambaNya yang tulus mencari nur hidayahNya.

Katanya, arahan kementerian yang meletakkan walau pelajar seteruk mana sekalipun, pada bahagian ulasan, letakkan ‘baik’. Sekurang-kurangnya lulus. Ironinya, tidak ada pula arahan untuk memberikan ‘sangat baik’ atau ‘cemerlang’ untuk yang lainnya? Betul ke?

Mudahkan sahaja semudah-mudahnya. A- untuk yang aktif, B- untuk yang sederhana, dan C- untuk yang teruk. Tidak perlu juga ulasan ‘baik’, atau ‘sangat baik’, atau ‘memuaskan’. Ia hanya menunjukkan cikgu bersikap zalim (lawan kepada adil) kepada yang benar-benar berkomitmen. Apa nilaian cikgu?