Memaparkan catatan dengan label perjuangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perjuangan. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 31, 2012

Fitrah & Huriyyah (Kebebasan) Asas Kebangkitan Umat

Fitrah & Huriyyah (Kebebasan) Asas Kebangkitan Umat
Oleh: Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Aidilfitri secara harfiahnya boleh difahami sebagai hari meraikan fitrah. Fitrah yang dimaksudkan ialah fitrah keinsanan yang sudah disucikan daripada pencemaran selepas tewasnya hawa nafsu selama sebulan akibat daripada kekangan kelaparan. Hawa nafsu yang keterlaluan perlu ditewaskan jika kita inginkan pengembalian potensi kemanusiaan dalam diri kita.

Fitrah adalah satu perkataan yang mempunyai kaitan dengan perubahan. Malik Ben Nabi dalam mengemukakan teori ketamadunannya, menggelarkan kelompok yang berupaya menggerakkan sebuah kebangkitan semula sejarah sesuatu bangsa dengan gelaran Rajul al-Fitrah. Rajul al-Fitrah dicirikan dengan daya ubah yang tinggi selain semangat berdikari yang kental.

Generasi ini tidak mudah berpuas hati dengan keadaan dimiliki hari ini. Mereka sentiasa berusaha memperbaiki diri, baik dari sudut ilmu dan kemahiran. Mereka lebih bersikap reseptif dalam mempelajari sesuatu, mahupun menerima idea perubahan.

Generasi ini juga amat dekat dengan persekitaran. Menggunakan segala manfaat yang boleh diambil daripada persekitarannya dan mampu menggunakan kreativiti bagi menghasil produk baru.


Generasi Rajul al-Hadarah

Lawan kepada generasi ini digelar oleh Malik Ben Nabi sebagai Rajul al-Hadarah. Generasi ini adalah generasi yang selesa dan senang dengan kenikmatan hidup hari ini. 

Generasi ini dicirikan dengan kemalasan untuk berusaha dalam memperbaiki diri. Malah untuk keselamatan dirinya pun diletakkan kepada pihak berkuasa atau pun pihak lain yang dirasakan patut bertanggungjawab.

Generasi ini tidak mahu bersusah payah mempelajari ilmu dan kemahiran baru dan menolak segala bentuk idea baru yang dirasakan boleh menggugat keselesaan kehidupan seharian mereka.

Golongan inilah yang akhirnya akan menjerumuskan sesebuah tamadun ke dalam fasa kemerosotan yang dicirikan dengan kematian idea. 

Generasi ini juga mempunyai sifat materialistik yang keterlaluan terhasil akibat kegagalan memahami situasi atau keadaan yang melampaui batasan fizikal.

Inilah maksud yang lebih mendalam apabila dilihat dalam konteks ketamadunan manusia daripada kalimah fitrah itu sendiri. Fitrah mestilah berupaya menghasilkan perubahan diri ke arah kebaikan; Mampu melahirkan manusia tulus mengakui kelemahan dirinya dan terlindung daripada pencemaran keangkuhan. 

Fitrah juga mestilah mampu menyucikan segala bentuk kemalasan dan mampu menghijrahkan diri ke martabat lebih tinggi lagi.

Gandingan fitrah dan huriyyah

Apabila gandingan perayaan antara fitrah dan huriyyah (kemerdekaan), ia menjadi lebih besar maknanya. Ia sepatutnya menjadi suatu perayaan yang mengangkat karamah insaniah (kemuliaan insan) ke tahap sepatutnya.

Manusia yang kembali kepada fitrahnya adalah manusia yang berjaya memerdekakan dirinya daripada sebarang kekangan yang boleh merendahkan martabat keinsanannya. Justeru, hari kemerdekaan yang bakal menjelma ini wajar kita jadikan satu hari untuk melakukan muhasabah. Merenung masa depan sebuah negara dan tamadun.

Jika kita ingin menjadi generasi pencetus kebangkitan sebuah tamadun, kita perlu menghilangkan rasa selesa dengan keadaan hari ini dan bangun bergerak ke arah lebih baik. Generasi muda mesti keluar daripada zon selesa dan mula mengubah diri dengan potensi fitrah yang terbina sepanjang Ramadan lalu.

Peringatan kepada kita

Jangan kita alpa dan lalai kerana masa tidak pernah menunggu kita. Rasa selesa dengan keadaan hari ini secara keterlaluan akan membuatkan kita lambat untuk berubah. Guna suasana selesa ini untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik. Bukankah semangat Ramadan menuntut kita agar terus menambah dan memperbanyakkan amalan apabila menuju ke penghujungnya?

Jangan kita leka dengan kemerdekaan negara yang kita peroleh hari ini. Kita hanya merdeka dari segi pemerintahan dan pentadbiran tetapi kita masih terjajah dari sudut ekonomi apabila kita hanya sebagai penumpang bukan pemain global dari sudut ekonomi dunia. K

Kita juga masih perlu membina pelbagai kemahiran dan kepakaran jika kita benar-benar ingin bebas dari sebarang penguasaan asing.

Begitu juga dengan penjajahan pemikiran yang secara keseluruhannya menguasai dunia Islam hari ini. Inilah perjuangan kemerdekaan generasi muda hari ini. 

Lengkapkan diri kita dengan ciri Rajul al-Fitrah jika kita benar-benar cintakan sebuah kemerdekaan.

Ahad, Ogos 26, 2012

MEMAKNAI KEMERDEKAAN: MENGANGKAT KARAMAH INSANIYYAH, MEMBERDAYA UMMAH

MEMAKNAI KEMERDEKAAN: MENGANGKAT KARAMAH INSANIYYAH, MEMBERDAYA UMMAH
oleh: Fadhlina Siddiq

Bertahun-tahun saya mengikuti amanat kemerdekaan dan tema kemerdekaan yang berselang seli. Bertahun-tahun juga saya dungu mengikut laungan merdeka tanpa menyedari apa yg dimerdekakan? Seiring dengan kedewasaan saya, makin kuat persoalan di benak,apa merdeka ini hanya ada tema dan perbarisan?

Mengisi kemerdekaan bukan dengan tema, logo dan perarakan. Islam telah lama memerdekakan ummatnya dengan kalimah tauhid. Tidak sedikit sejarah perjuangan Musa AS yang berdakwah untuk mengeluarkan kaumnya dari jiwa hamba setelah ditindas oleh Firaun berdekad lamanya.Bilal Bin Rabah menjadi manusia terhormat dan mencapai tahap kemuliaan insan dengan syahadah. UmarAl Khattab dan Saidina Hamzah RA mengetuai demonstrasi pertama dalam Islam ketika meingiklankan pengislaman mereka. Luar biasa kalimah tawhid ini dengan makna memerdekaan manusia dari sifat kehambaan manusia kepada manusia reformis yang melalui proses transformasi aqidah sehingga punya keberanian untuk hidup dengan lebih bermaruah dan keyakinan sebagai manusia yang dijanjikan segala karamah insaniyyah.

Bicara kemerdekaan tidak tertumpu kepada laungannya tetapi pengisian maknanya yang membawa mesej liberatif-emansipasif~tahriry dan tanwiriy. Tahriry yang membawa maksud pembebasan dan tanwiriy yang hadir dengan semangat pencerahan. Aspirasi pembebasan dan pencerahan ini sangat terkait rapat dengan proses pendidikan dan hanya akan terlaksana di kala ummat benar-benar memiliki citra tentang harga diri, maruah dan kehormatan. Maka sekali lagi yang memaknai karamah insaniyyah itu apabila citra maqasid syariyyahnya ditunjangi dengan penuh adab dan hormat.

Ada rasa cemas yang menikam di balik kibaran Jalur Gemilang andai ummat yang kita lahirkan pasca kemerdekaan hanya bermentaliti Labu dan Labi. Hidup dalam ketakutan kerana ugutan dan hukuman. Mereka hanya berani menentang Haji Bakhil yang zalim di dalam mimpi! Dikerjakannya Haji Bakhil cukup-cukup di dalam mimpi! Setakat itu sahajalah keberanian yang ada kepada mereka, sekadar mampu bermimpi.Amat malang sekali andai kita terus membiarkan manusia yang sisinya terpancar sebaik-baik kejadian Tuhan terus dihina dan diperkuli ibarat nasib sepatu yang malang, “dari atas diinjak kaki, dari bawah ditusuk duri, sudah usang dibuang orang”.

Mengapa saya begitu kritikal dengan pengisian kemerdekaan? Kerana saya belum benar-benar memaknai kemerdekaannya. Saya mahu ia diisi dengan objektif yang jelas bukan dengan pesta iklan serta lagu patriotik dan konsert para artis. Atau diulang tayang filem Bukit Kepong, Leftenan Adnan dan Hati Malaya sebagai hidangan kemerdekaan. Pendita Zaaba pernah dengan kritis merumuskan kemelut ummat Melayu dengan perkataan “miskin”. Kemiskinan yang bukan sedikit tetapi kemiskinan yang mencakupi kemiskinan moral, ilmu, material, intelektual dan spiritual. Menurut Zaaba, kemelut ini hanya akan reda dengan reformasi pendidikan, pemurnian dan penyegaran agama serta pembinaan budaya dan watak bangsa yang sihat. Inilah jiwa merdeka yang dimaknai dalam sentuhan keramat Dr Burhanuddin Al Helmi lewat seruannya,” Di atas runtuhan Kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka”

Mutakhir ini, kisah korupsi, kezaliman, pembunuhan, pemerkosaan, pencabulan hak dan penindasan kian menjadi-jadi. Indeks jenayah dan gejala sosial tidak pernah gagal mendatangkan rasa tidak tenteram dan kebimbangan hilang nyawa. Paling kurang kita hanya mampu bersimpati, paling tidak kita berdoa mengikut tahap iman masing-masing, paling kerdil pun kita hanya mengikuti bicaranya di layar kaca atau media cetak. Nah,selepas kita jelas dengan pengisian kemerdekaan, maka kemuncaknya adalah pemberdayaan! Institusi-institsi rakyat mesti dipulangkan pemilikannya kepada rakyat. Rakyat hampir tidak punya apa-apa di saat haknya boleh diambil, dikurangi, dihapus dan dicabul sesuka hati.

Melahirkan masyarakat madani adalah sebahagian pakej pemberdayaan selain pendidikan demokrasi dan pelestarian ekonomi yang adil bagi menghapuskan kesenjangan ekonomi rakyat. Rakyat mesti didik dengan kesedaran hak agar suara rakyat disampaikan dengan lebih efektif dan diambil perhatian.Penting untuk mendidik rakyat agar mengurangkan kebergantungan kepada pimpinan mereka kerana sikap terlalu bergantung adalah penyakit orang lemah dan kerdil. Jauh sekali dari citra jiwa merdeka!

Sejarah kemerdekaan akan terus diulang cetak sehingga adakalanya ia hanya terfokus kepada Tunku Abdul Rahman dan laungannya. Sedang wira kemerdekaan itu bukan hanya Tunku seorang, moga-moga dengan pengisian kemerdekaan yang lebih bertanggungjawab akan mendamaikan seluruh wira bangsa yang sedang dalam peristirehatan mereka apabila pengorbanan dan perjuangan mereka telah menghasilkan ummat yang benar-benar merdeka. Selamat menyambut kemerdekaan dengan citra jiwa merdeka, moga-moga kita akan memaknai kemerdekaan kali ini dengan komitmen untuk mengangkat karamah insaniyyah, memberdaya ummah!



BICARA MERDEKA SEORANG GURU TUA

Lima dasawarsa yang lalu
Aku, anak desa yang dungu serba tak tahu
Hanya ikut-ikutan melulu
Memekik “Merdeka!Hidup Tunku!” bertalu-talu.

Hingga tiba ketika aku berani bertanya
Ruh dan makna sepatah kata,
Meminta bukti nyata sebuah cerita
“Merdeka”

Kutadah segala madah
Kuperah khazanah hikmah
Kutemukan daulat karamah insaniyyah
Mulia perkasa dengan al-izzah

Merdeka siapa Cuma mengenyah penjajah
Merdekaku meraih izzah
Deklarasi syahadah la ilaha illa Llah
Menyanggah berhala seribu wajah
Mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah
Kubongkar pendaman fakta
Kubuka kitab pusaka
Terserlah deretan nama
Wira Merdeka bukan Tunku sahaja
Ramai yang mendahuluinya

Mendadak aku bertanya
Sejarah bikinan siapa?
Merdekakah kita
Julingkah mata sarjana
Apabila tidak bersuara
Tentang pahlawan tak dikenang
Wira tak didendang

Lima dasawarsa lamanya
Banyak kata belum terkota
Banyak lagi rupa tak seindah berita

Bagi generasi yang semakin tak mengerti
Kata merdeka bak mantra yang hilang sakti
Dan mereka semakin tak peduli.

Jiwa merdeka sirna ditelan pesta
Matilah rasa hilanglah peka
Betapapun gegak gempitanya
Pekikan Merdeka!Merdeka!Merdeka!
Tetapi semerta terbelalak mata
Bila setan korupsi menggoda,
Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit Ka?

Gejala pesona yang kian menggila
Menginjak taqwa menganjak jiwa
Merdeka dengan Ketuhanan Yang Maha esa
Menjadi hamba kewangan yang maha berkuasa
Pada hari merdeka yang ceria
Kusimpan tangis di balik tawa
Kupendam cemas di tengah pesta
Akan terjualkah merdeka kita?

Isnin, Ogos 13, 2012

Khutbah Sempena Kebangkitan Rakyat Syria

KHUTBAH SEMPENA KEBANGKITAN RAKYAT SYRIA
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan dari Rasulullah SAW. Ada sebahagian dari umat ku mereka tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu masuk Damsyik dan di pintu Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. Pengkhianatan dan pembelotan sesiapa yang membelot tidak akan memudaratkan mereka sedikit jua. Mereka akan tetap menang, istiqamah, sehingga tibanya saat kiamat. – at-Tabarani.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Hadis ini menggambarkan tentang hubungkait di antara jihad di Damsyik dan Baitul Maqdis. Syeikh Raed Solah, pemimpin gerakan Islam Palestin 1948 apabila ditanya di dalam muktamar Bantuan untuk Syria anjuran Rabitah Ulama al-Ittihad al-Alami lil-Ulama al-Muslimin (Persatuan Ulama Muslimin sedunia) dan Rabithah Ulama Suria, apakah kaitan di antara Baitul Maqdis dan Syria, beliau jawab rengkas ‘Hari ini Damsyik, esok Baitul Maqdis’.

Siapakah Syeikh Raed Solah? Beliau adalah pemimpin umat Islam yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan Masjid al-Aqsa dan Kota lama (Madinatul Kadima) di Baitul Maqdis dari pencerobohan dan ancaman Zionis Israel. Beliaulah orang yang membongkar aktiviti penggalian terowong di dasar Masjid al-aqsa dan figure yang paling dikehendaki oleh Israel kerana menggagalkan perancangan jahat mereka untuk mengambil alih masjid al-Aqsa yang ditawan sejak 47 tahun yang lalu iaitu pada bulan Jun 1967. Beliau yang berada di tengah-tengah medan jihad yang utama iaitu menjaga Masjid ketiga paling tinggi darjatnya di dalam Islam dari pencerobohan Israel, berada di dalam muktamar yang membincangkan tentang perjuangan yang sedang berlangsung di bumi Syria. Ini menunjukkan bahawa beliau meletakkan kepentingan yang sangat besar terhadap apa yang berlaku di Syria, meskipun beliau diamanahkan untuk menjaga sisi yang paling penting dalam jihad mempertahan dan membebaskan Masjid al-Aqsa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Hari ini umat islam berhadapan dengan satu persoalan lagi tentang pergolakan di timur tengah. Pembunuhan yang berlaku ke atas rakyat Syria kini mengundang pelbagai reaksi umat Islam. Apa sebenarnya yang berlaku di Syria sehingga pandangan umat islam tak dapat disatukan. Ada yang melihat ini sebagai isu dalaman Syria dan Negara lain termasuk Negara umat Islam tidak perlu campurtangan. Biarlah pihak keselamatan Syria dan Kerajaannya menangani isu yang berlaku. Ada yang menganggap pergolakan ini dicetus oleh tangan-tangan kuasa barat bahkan Israel dan umat Islam jangan terpancing dengan agenda barat yang mahu melihat tumbangnya Regim Basyar Assad. Syria dikatakan satu-satunya Negara Arab yang menjadi ancaman kepada Israel dan dengan itu barat berusaha untuk menggantikan kerajaan Basyar Assad dengan kerajaan  tajaan barat yang tidak akan menjadi ancaman kepada Israel. Agenda ini penting terutama apabila sekutu Israel yang bolih diharapkan selama ini iaitu Regim Husni Mubarak di Mesir telah ditumbangkan. Keadaan ini menjadi semakin genting apabila calun dari gerakan Ikhwanul Muslimin iaitu Dr Muhammad Mursi dipilih sebagai Presiden Mesir baru-baru ini. Benarkah pandangan ini?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Pertimbangkan perkembangan ini. Bilangan rakyat Syria yang terbunuh kini sudah mencecah 17,000. Pembunuhan ini turut melibatkan kanak-kanak kecil bahkan bayi sekalipun. Maklumat yang diperolehi menunjukkan di antara 50 sehingga 100 orang terbunuh setiap hari. Pembunuhan ini pula berlaku dengan cara-cara yang sangat kejam dan melibatkan penggunaan senjata berat termasuklah dengan menggunakan kereta kebal, pengeboman dengan jet pejuang dan tembakan roket. Kanak-kanak dibunuh dengan cara disembelih hidup-hidup, dipukul dan dikeluarkan isi otaknya. Rakyat tidak mungkin melakukan kekejaman ini. Sekiranya mereka hendak menumbangkan kerajaan Basyar Assad kenapa mereka mesti pembunuh kanak-kanak dengan cara yang sadis dan penuh kebinatangan. Sekiranya kebangkitan rakyat Syria didalangi oleh kuasa-kuasa barat dan Israel, kenapa tentera kerajaan tidak melindungi rakyat Syria dari serangan ganas ini. Dan satu persoalan yang wajar difikirkan oleh semua, rakyat yang tidak berdosa menjadi sasaran senjata berat seperti kereta kebal dan jet pejuang. Bukankah ini bukti jelas bahawa tentera Basyar Assad digunakan untuk membunuh rakyatnya sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.,
Pada tahun 1982, satu tragedy pembunuhan yang lebih dahsyat telah berlaku berbanding sekarang. Dalam tempoh satu bulan iaitu pada bulan Februari 1982, regim Hafez Assad, bapa kepada Basyar Assad telah membunuh 45,000 rakyatnya di Hamma. Tragedi ini tidak diketahui kerana ketiadaan teknologi maklumat untuk menembusi kawalan berita yang begitu ketat di Syria pada zaman itu. Hari ini maklumat tidak dapat dibendung lagi sehingga Thaurah atau kebangkitan rakyat merebak dari Tunisia sehingga Syria melalui Media Sosial dan internet.

Sebenarnya rakyat Syria sudah terlalu lama hidup di bawah kezaliman yang mencengkam sejak tahun 1970’an lagi. Kezaliman yang menekan rakyat Syria sama seperti kezaliman yang berlaku di Tunisia di bawah pemerintahan diktatar Habib Bourguiba dan pengganti nya Zainal Abidin Ben Ali sejak tahun 1960’an, begitu juga Libya yang diperentah secara kuku besi oleh Muammar Ghadaffi sejak tahun 1961, dan Mesir yang hidup di bawah kezalimn King Farouk, Gamal Abdul Nasser dan Hosni Mubarak yang membunuh dan memenjarakan ulama dan pendukong dakwah terutama ikhwan al muslimin sejak tahun 1940’an lagi. Namun apa yang berlaku di Syria adalah jauh lebih kejam dan zalim lagi. Ini adalah kerana Regim Basyar Assad dikuasai oleh golongan Nusayriah – satu cabang melampau aliran Syiah. Agama Nusayriah adalah disebarkan 200 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW. Mereka sebagaimana golongan Syiah telah mensucikan Ali bahkan dengan menggabungkan dengan ajaran Kristian dan Majusi.

Oleh kerana itu kebencian mereka kepada umat Islam Sunni yang merupakan majority rakyat Syria iaitu 78% memuncak apabila rakyat bangkit menentang kezaliman Basyar Assad. Kekufuran mereka amat jelas apabila tentera Assad memaksa rakyat Syria untuk mengucapkan kalimah kufur dengan syahadah ‘As-syahadu alla ila ha illa Basyar’ (Nauzubillah). Kerana itu kita lihat kebencian ini diluahkan dalam bentuk pembunuhan ke atas kanak-kanak tanpa sebarang belas kasihan. Bahkan mereka menembak menara-menara masjid sama sebagaimana yang dilakukan oleh Israel di Gaza, memperolok-olokkan solat umat Islam, membakar al-Quran bahkan mencemarkan masjid.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
 Rasulullah saw. bersabda : “ Pusat kepimpinan kaum Muslimin pada hari peperangan yg paling besar adalah di sebuah negeri yg bernama Ghuthah, yg mana di negeri itu terdapat sebuah kota yg bernama Damsyik (Damaskus), ia merupakan tempat tinggal yg terbaik bagi kaum Muslimin pada waktu itu”. (Hadis riwayat Iman Ahmad, Abu Daud disahkan oleh Al-Abani dlm soheh Al-Jami’)

Meskipun hadis ini tidak semestinya merujuk kepada apa yang berlaku di Syria pada hari ini, namun ia memberikan dorongan yang cukup kuat bagi rakyat Syria untuk berjihad. Mereka melihat apa yang berlaku saat ini adalah pertentangan di antara al-Haq dan bathil. Ini jugalah yang mendorong Syeikh Raed Solah untuk mengaitkan Damsyik dan Baitul maqdis di dalam jihad untuk membebaskan baitul maqdis dan bumi Palestin.

Kezaliman melampau yang digunakan oleh Ragim Basyar Assad mendorong rakyat Syria untuk kembali kepada Allah dan Rasulnya. Begitu banyak pengalaman yang dikongsikan di medan bagaimana rakyat Syria mula kembali kepada Islam yang sebenar dan berlindung dengan kekuasaan Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa. Sehingga ada seorang pemuda yang sepanjang hayatnya tidak pernah solat apabila dipaksa untuk sujud kepada potret Basyar Assad beliau mengatakan ‘Sepanjang usiaku aku tidak pernah sujud kepada Allah, bagaimana mungkin aku akan sujud kepada seorang manusia.?” Dan ada seorang kanak-kanak yang kehilangan ke dua tangannya dan buta sebelah matanya berkata dengan penuh yakin ‘Aku bersyukur kepada Allah kerana aku mempunyai sebelah mata lagi untuk melihat kejatuhan Basyar Assad”. Dan syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi mengatakan beliau akan turun ke Damsyik dan akan bersolat Jumaat dan berkhutbah di sana apabila rakyat Syria Berjaya di dalam perjuangan mereka yang beliau anggap suatu yang pasti akan berlaku insyaAllah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Beberapa fatwa telah disepakati oleh 400 delegasi ulama sedunia yang berkumpul di Istanbul pada 1 – 3 Julai 2012 yang lepas. Mereka secara rengkasnya memutuskan:
1)  Wajib bagi umat Islam untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syria kerana perjuangan mereka adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat. Dan ini menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu dan menyatakan sokongan kepada umat Islam yang dizalimi.

2)  Wajib ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan regim Basyar yang zalim.

3)   Merupakan kewajipan untuk menyokong golongan yang memperjuangkan kebenaran. Maka, tidak ketinggalan kepada para alim ulama' dan juga pemikir Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan mereka terhadap kebangkitan rakyat Syria. Dan haram bagi mereka diam membisu melihat kezaliman demi kezaliman berlaku di Syria

4) Haram bagi umat Islam menyatakan sokongan dan dokongan kepada regim Basyar mahupun sekutunya dari sudut ketenteraan, harta benda, sokongan politik dan sebagainya.
      قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ {26}

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ali Imran: 26.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


(Sumber: http://lambaian-islah.blogspot.com/2012/07/cdgn-teks-khutbah-sempena-kebangkitan.html)

Khamis, Julai 26, 2012

What money can buy

What money can buy:

A bed but not sleep
Books but not brains
Foods but not appetite
Finery but not beauty
A house but not a home
Medicine but not health
A house but not a home
Medicine but not health
Luxuries but not culture
Amusements but not happiness
Religion but not salvation
 physical but not soul

Money can buy almost anything, but not everything!

Rabu, Julai 25, 2012

Program Wakaf Al Quran dan Daie


Bagi menyahut video save Maryam, saya mengajak sahabat dan seluruh kenalan saya untuk sama-sama menyumbang bersama kami, melalui abim. Mohon sampaikan kepada mana-mana hartawan dan dermawan yang mahu bersama-sama. Ini sumbangan kecil saya untuk umat. Saya doakan sahabat sekelian Kemudahan untuk menyumbang sama.

Selasa, Julai 24, 2012

Save Maryam




Approximately 2 million people in Indonesia leave Islam for Christianity every year.

Why is this the case? Why are people not satisfied with Islam? Why are they willing to abandon Allah?

Join us in our mission to save a generation of Indonesians and help us bring Islam back into their lives. Spread the word. Save Maryam.

Website: http://savemaryam.com
Donate: http://savemaryam.com/donate.php
Like us: http://facebook.com/whoismaryam
Follow us: http://twitter.com/savemaryam

Ahad, Julai 22, 2012

PrinsiP kejuruteraan insan


Kejuruteraan Insan adalah suatu pengoperasian yang bersistematik dalam membina dan mengkoordinasi suatu pembangunan insani, dan seterusnya akan melahirkan suatu generasi yang terarah dan tersusun dalam suatu sistem sosial yang kompleks dan pelbagai. Dengan erti kata lain, Kejuruteraan Insan adalah proses membina manusia menjadi Khalifah yang berfungsi.

Berikut adalah prinsip-prinsip dalam merangka produk Kejuruteraan Insan.
Program membina manusia menjadi khalifah yang berfungsi perlu mencapai objektif berikut:
  1. Membina generasi bertamadun dan berukun
  2. Melahirkan masyarakat Rabbani dan Madani, iaitu masyarakat yang hidup dalam amal Islami dan relevan setiap zaman.
  3. Menjana potensi dalam kepelbagaian kecerdasan.
  4. Mengawal selia sistem dan operasi pengurusan insan secara bersistematik dan terancang.
  5. Menggarap sumber keinsanan bagi menerap semangat kesukarelaan dalam melakukan amalan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  6. Mencetus dan meraikan budaya penambah-baikan dalam membina dan meneguhkan prinsip-prinsip kesejagatan ummat.
  7. Meraikan keunikan dalam kesamaan serta keindahan dalam kepelbagaian; berpaksikan dan berpandukan Akidah Tauhidiq.
  8. Menerapkan amal jama'iy, dalam setiap perlakuan dengan mengiktiraf kepimpinan dalam kepersatuanan.
  9. Memandang dan meletakkan visi masa depan dengan positif dan optimis, serta penuh beriltizam dengan meletakkan cabaran dan halangan adalah ujian dari Tuhan.


Prinsip yang ditulis di atas juga boleh dijadikan sebagai standard atau kayu-ukur atau benchmarking apabila mengkritik program motivasi yang dianjurkan oleh   kita atau mana-mana pihak.

Sekurang-kurangnya, kaedah ini yang saya gunakan untuk merangka modul dan program yang saya anjurkan!


Isnin, Julai 09, 2012

Perihal Masa Depan Pendidikan Negara : Konteks Keguruan


Malaysia perlu menaik taraf kependidikan di malaysia dengan mengiktiraf dan menghargai modal insan yang berpengetahuan sedia ada untuk menjadi pendidik di sekolah-sekolah kebangsaan setanding dengan negara-negara maju. Negara-negara maju terutama yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia seperti Finland, Singapura, atau Taiwan, telah meletakkan syarat asas untuk menjadi guru dengan mempunyai kelayakkan sekurang-kurangnya ijazah sarjana. Malahan, bagi mereka yang mempunyai ijazah doktor falsafah, diletakkan untuk mendidik kanak-kanak di peringkat pra-sekolah. Malah, kerjaya keguruan menjadi idaman dan cita-cita utama anak-anak kecil di sana.
Dalam SBPA dan kini SSM Yang Ditambah Baik, skim yang ditawarkan dalam perkhidmatan awam dalam sektor pendidikan, bermula dari lepasan PMR, sehingga ijazah pertama sahaja. Ini bermakna, sekiranya seorang guru di sekolah mempunyai ijazah yang melebihi ijazah pertama, gred gaji yang diterima adalah sama, tidak mendapat apa-apa kenaikan tangga gaji atau apa-apa kelebihan dari aspek senioriti atau kekananan. Ini sangat ironik kerana dalam sektor pendidikanlah sewajibnya meletakkan standard yang tinggi untuk pendidik dan pada masa yang sama menyediakan dan mengiktiraf peluang kenaikan pangkat berasaskan kesarjanaan yang sudah pastinya berlandaskan faktor keilmuan. Adalah lebih wajar untuk mempertimbangkan skim yang bermula daripada lepasan STPM / Diploma sehinggalah kepada Ijazah doktor falsafah. Lantaran itu, apalah kiranya cadangan untuk diberikan insentif kenaikan tangga gaji tertentu, 4 hingga 8 tahun untuk pemegang ijazah sarjana atau permulaan DG48, dan kenaikan 8 hingga 12 tahun untuk pemegang ijazah doktor falsafah atau permulaan DG52. Alternatif lain mungkin ada laluan kerjaya lain yang boleh difikirkan. 
Di negara maju, kesarjanaan yang tertinggi seorang guru akan ditempatkan untuk mendidik murid pra-sekolah dengan alasan untuk memberikan asas (foundation) yang kukuh sebelum memasuki pendidikan perdana. Pengistilahan ‘perdana’ di sini dinisbahkan kepada peringkat ‘sekolah rendah kebangsaaan’ bagi penggunaan biasa di Malaysia. Istilah ini menjadi satu lagi ironi dalam pendidikan kebangsaan. Bagaimana ‘primary school’ apabila diterjemahkan menjadi ‘sekolah rendah’? Daripada aspek falsafahnya, bukankah terdapat perbezaan bumi-dan-langit antara nilai ‘perdana’ dan ‘rendah’?

Artikel ditulis untuk dihantar kepada myedureview.com
Dihantar pada 10:13 pagi, 9 Julai 2012

Selasa, Mei 29, 2012

Orang Muda, Perubahan dan Jihad

Menjadi orang yang biasa tetapi kotak fikir diri sentiasa berfikir secara luar biasa. Natijah kepada tindakan adalah juga luar biasa. Bukan bermakna lebih baik, bukan juga bermakna tidak baik; bukan itu soalnya. Yang pelik dan jelik, bukan bermakna salah. Yang pelik barangkali membawa obor kebenaran yang tidak pernah diungkaikan sebelum ini. Bukankah nabi SAW adalah pelik dengan membawa ajaran untuk mentauhidkan Allah. Sedangkan sebelum itu, bertuhan banyak dengan mentaati dan menyembah nenek moyang adalah tradisi yang patut dan sepatutnya diikuti tanpa banyak soal. Adalah lebih pelik dengan membawa fenomena masyarakat membaca sedangkan dalam waktu itu terbatas dengan masyarakat oral semata-mata. Itulah kisah pelik dalam masyarakat.Yang utama dan penting, carilah kebenaran waima pelik sekalipun di mata manusia.

Orang muda perlu menjadi kelompok umat perobah umat. Kelompok yang berfikir di luar minda kebiasaan dengan tekad mencari dan menegakkan kebenaran dan keadilan sosial. Fikir secara besar. Fikirkan dan capai keadilan sosial agar terbina suasana yang mampu membantu diri menjadi lebih baik dan akhirnya menjuarai kebenaran dan keadilan individu. Dengan kata lain, hak individu atau istilah yang popular, hak asasi individu hanya akan dapat diperjuangkan setelah keadilan umat dapat dilunaskan. Menjadi orang berbeza bukan kerana ingin berbeza. Tapi, biasanya, yang benar itu tidak popular. Yang popular itu biasanya tidak benar. Yang majoriti itu biasanya ada yang tidak kena. Biasanya begitu. Bukan pastinya begitu, cuma biasanya saja. Pendek kata, jangan mudah gembira apabila berada dalam kelompok ramai. Tidak pula bermakna minoriti itu benar. Ramai atau sedikit sebenar-benarnya tidak memberikan apa-apa makna dalam soal mencari kebenaran dan keadilan.

Sejarah manusia tertulis bahawa dunia berubah atas tangan kelompok muda. Baik dari awal mula Adam sehinggalah dunia melihat kebangkitan rakyat Arab yang barat memanggil sebagai Arab Spring, satu konotasi yang menunjukkan lonjakan maksimum apabila ditekan-tekan sebegitu rupa. Begitu juga dengan sejumlah sejarah tamadun besar dunia yang lain. Orang muda adalah kunci kepada perubahan umat. Dengan kata lain, orang muda perlu bawa agenda perubahan. Orang muda harus dan perlu sinonim dengan perubahan; Tradisi orang muda adalah berubah! Bukan sekali-kali mengekalkan tradisi orang yang pernah muda dahulu pada tika mereka sudah tua. Justeru, suatu tamadun perlu bimbang sekiranya orang muda mereka tidak mahu berubah dan peduli dengan umat mereka. Apa lagi apabila membawa budaya suka-suka atau hedonisme yang mana juga adalah budaya lama masyarakat jahiliah yang rosak dan merosakkan umat.





Justeru, perubahan apa yang membawa kepada kemajuan yang mana menjurus kepada kebenaran dan keadilan? Sudah tentu jawapannya ada di dalam Al-Quran. Memahami bahawa perkara pertama yang diwahyukan kepada Nabi SAW adalah berkenaan dengan membaca. 'Bacalah dengan nama Tuhanmu.." dan seterusnya sehinggalah 'yang mengajar dengan pena'. Perhatikan dengan teliti; tema yang dibawa adalah membaca. Perhatikan isu umat pada tika itu; jelas adalah isu kemunduran, perpecahan, dan tiada ilmu baru dicipta dengan mengekalkan amalan nenek moyang mereka. Umat pada waktu itu adalah umat lisan. Umat yang menghafal dan berpuisi apa yang mereka dengarkan, dan diperturunkan kepada generasi selepas itu dan begitulah seterusnya.

Sehinggalah nabi SAW membawa desakan untuk membaca. Baca apa kalau tiada apa yang hendak dibaca. Maka, seterusnya didesak juga dengan menghasilkan ilmu dan mengajar ilmu dengan bahan bacaan yang ditulis; analoginya adalah dengan menggunakan pena. Suatu alatan yang sangat penting bagi merekod dan menterjemah sebarang maklumat yang berlaku dalam minda, melalui proses berfikir. Melalui panca indera, ditambah dengan panduan syariat serta contoh ar rasul, maka, akan terhasillah dan terciptalah makna yang meresapi ruh manusia atau apa yang dipanggil ilmu. Apa sahaja isu yang timbul dalam masalah umat, jawapannya ada dalam Al-Quran. Quran bukan sekadar di baca dan dialunkan dibibir, malah untuk difikirkan sedalam-dalamnya dalam konteks tertentu dalam isu umat. Konklusinya, perubahan kepada kebenaran dan keadilan adalah perubahan yang berlandaskan kepada pemikiran dan seterusnya diterjemahkan kepada tindakan. Tindakan yang berpaksi kepada kebenaran dan keadilan sudah pasti membutuhkan pertolongan Illahi; Itulah manifestasi jihad. 


Jumaat, Mei 18, 2012

Kita orang baik

kalau kita ada: 


pengetahun
pelajaran
pembelajaran
ilmu

dan kita:

benamkan fakta ini
sorokkan fakta ini
pesongkan fakta ini

kerana kita:

mendapat untung
menjadi kaya raya
menjadi ternama


berkereta besar
berumah besar
berbini besar

maka: 


disinilah punca kesakitan yang maha sangat
disinilah bermulanya permasalahan
inilah yang sedang dihadapi oleh manusia melayu

yang berilmu
yang berkuasa
yang bijak
terus menipu orang melayu


jika ini berterusan:

maka akan sampai satu ketika
maka akan sampai satu masa
dimana semuanya telah terlambat
dimana semuanya telah terlewat

kerana terlalu ramai:
 

orang yang baik baik
orang yang warak warak
orang yang berilmu


senyap tidak bersuara
maka masyarakat kita dipenuhi oleh orang orang jahat!







(Adaptasi dari Hishamuddin Rais@tukartiub.blogspot.com)

Sabtu, Mei 12, 2012

Makna Jati diri

Seperti yang dipos pada 7/5/2009
(http://imayu05.blogspot.com/2009/05/makna-jati-diri.html)

Bersempena dengan kekeliruan umat tentang himpunan umat dalam BERSIH 3.0.
Khusus untuk anak muda yang takut untuk berubah dan menjadi agen perobah! 



1) Jati diri; Insan yang punya jati diri, dapat mempertahankan prinsip yang dipercayainya, walaupun keadaan sekeliling, tidak seperti yang disangkainya, dan tidak sealiran dengan apa yang dipercayai itu. Prinsip yang dipegang itu pula, tidak semestinya benar, dan tidak pula semestinya salah. Prinsip bergantung dan diasaskan pada suatu idealisme yang dipelihara atas pengetahuan atau ilmu, dan membawa nilai yang tinggi, melebihi perkara lain.

2) Dalam masyarakat, nilai idealisme, biasanya tidak dapat dibawa dan dipraktikal sepenuhnya; Amat berbeza keadaannya dunia sebenar ini, dengan idealisme yang didokong dan ditulis dalam buku atau falsafah kemanusiaan yang sememangnya ideal. Bukankah ideal itu, suatu kesempurnaan; atau setidak-tidaknya, hampir kepada kesempurnaan? Dengan kata lain, masyarakat tidak berada dalam keadaan yang betul dan sangat jauh dari kesempurnaan! Maka, apakah kita tidak boleh berpegang dan bertindak pada prinsip tertentu yang membawa idealisme dalam masyarakat?

3) Masyarakat yang punya idealisme tinggi, adalah masyarakat yang bertamadun (Madani); masyarakat yang rakyatnya, punya prinsip dan asas dalam melakukan segala tindakan; punya kerukunan dan sistem yang difahami; dan bukan yang mengikut dan bertindak secara membuta-tuli, dan mengikut perasaan emosi; atau lebih teruk, mengikut trend dan kebudayaan (kebiasaan) semasa. Masyarakat sebegini, ibarat masyarakat lalang; mudah sahaja ditiup ke sana dan ke mari mengikut arah kuatnya angin bertiup.

4) Generasi berilmu dan bertamadun, seharusnya membawa gelombang perubahan dan aura idealisme kepada mana-mana masyarakat. Kehadirannya, membawa suatu prinsip kebenaran dan berasaskan kepada budaya yang positif, dan bersifat membina tamadun dan akal. Masyarakat yang tidak punya budaya berprinsip ini, akan memandang serong, dan benih prejudis, skeptikal, dan rasa tidak senang biasanya, akan menyerap dan seterusnya akan datang bersama-sama secara seiring. Gelombang dan aura mana yang lebih kuat, sudah tentu akan menguasai dan membawa suatu budaya baru, atau meninggalkan kesan lama yang baru dalam masyarakat tersebut.

5) Hakikatnya, manusia tidak suka diubah, dan enggan berubah. Mengekalkan 'status quo' adalah penyakit yang tidak bisa dibiarkan dalam masyarakat, walaupun, masyarakat tersebut dalam keadaan yang berbudaya positif sekalipun. Ini kerana, masyarakat perlukan pelajaran dan ingatan setiap masa. Dan yang lebih penting, zaman dan masa akan membawa generasi baru datang dan generasi lama akan pergi. Struktur masyarakat perlu berubah. Turun dan naik; suka dan duka; berjaya dan gagal; semua proses ini perlu dirasai secara praktikal; bukan sekadar idealisme sahaja. Dengan kata lain, harga harus dibayar. Risiko perlu diambil!

6) Lantas, bekalan yang wajib ada dalam setiap insan adalah ILMU, dan IMAN. Ilmu untuk mengisi akal, dan iman untuk mengisi jiwa. Akal dan jiwa berada di dalam jasad setiap manusia. Prinsip dan idealisme ini pula harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Tindakan pula akan menghasilkan pengalaman. Pentafsiran setiap pengalaman pula akan menghasilkan kematangan. Lihatlah, hadirnya seorang yang berprinsip tidak akan sama dengan hadirnya 1000 orang yang tiada prinsip.

7) Orang yang tidak ada prinsip; suasana akan mencorakkan mereka. Manakala, orang yang punya prinsip dan jati diri; mereka akan mencorakkan suasana. Lantas, suatu yang sangat Aneh bila ada keadaan orang yang berprinsip juga terikut dengan suasana sekitar, walau diri mereka punya ilmu, iman, dan pengalaman serta kematangan. Pernah terlihat suasana begini? Tinjau dan fikir; Rupa-rupanya, tidak ramai yang sanggup mengambil risiko dan membayar harga suatu perubahan yang belum tentu semakin baik!

8) Mandat dan kepercayaan harus diberikan; Semua orang maklum, generasi muda adalah generasi pemimpin masa depan. Didiklah generasi ini untuk punya prinsip yang baik dan segar; berikan bimbingan, dorongan, kebebasan berfikir secara lateral dan kreatif, kongsikan pengalaman sebagai asas dalam membina kematangan mereka. Bina jati diri mereka; Bantu mereka untuk mereka bina tamadun mereka mengikut acuan Kebenaran.

9) Semai dan berikan mereka baja yang baik; benih untuk menjadi pohon meranti yang kukuh, besar, tinggi dan rimbun; merimbuni pelbagai makhluk dan pohonan kecil yang lain dibawahnya. Malah, lalang-lalang juga akan turut menumpang nikmat rimbunannya, walau usianya hanya seratus hari. Usia Meranti ribuan tahun; tamadun yang dibina mampu merimbuni generasi demi generasi; Hanya angin ribut yang maha kuat, dengan izin Allah, ia akan tumbang juga. Tumbangnya akan ditangisi oleh sekelian makhluk di rimba. Gugurnya pohon- yang tingginya menggapai awan, rimbunnya meredup bumi, dan akarnya memasak di pusat bumi. Itulah makna jati diri sebenarnya.

Jumaat, Mei 04, 2012

Apa agenda sebenar BERSIH 3.0?

Apa Agenda Sebenar BERSIH 3.0?

Masihkah kita ingat akan tragedi Misi Kemanusiaan Mavi Marmara yang mengocak sensitiviti umat Islam sedunia? Saya berpandangan di kalangan kita pun sedia maklum bahawa misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin di bawah payung “Mavi Marmara” turut dipimpin oleh tokoh Mairead Maguire yang merupakan pemenang Anugerah Nobel 1976. Jika kita imbau latar belakang beliau, beliau merupakan tokoh katholik Kristian yang aktif sebagai sukarelawan Legion of Mary yang mengetengahkan agenda Kristian ke seluruh dunia.

Dalam masa yang sama juga, beliau juga merupakan co-founder kepada Committee on the Administration of Justice yang ditubuhkan pada tahun 1981 yang secara teang-terang membawa perjuangan hak asasi manusia secara mutlak sepertimana yang terkandung dalam Universal Declaration of Human Rights (UDHR) (termasuk LGBT).  Berdasarkan kepada fakta di atas, adakah wajar untuk kita mendakwa bahawa perjuangan “Mavi Marmara” itu adalah agenda Kristianisasi dan LGBT hanya disebabkan penglibatan seorang tokoh yang bernama Mairead Maguire.  Sekiranya latar belakang beliau menjadi ukuran besar sehingga boleh mencemarkan agenda “Mavi Marmara”, mengapakah pihak kerajaan Turki termasuk Humanitarian Relief Foundation (IHH) tidak menyekat beliau dari terlibat langsung dalam misi kemanusiaan ini?

Susulan dari tiga siri demonstrasi menuntut Pilihanraya yang bersih dan adil yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya yang bersih dan adil (BERSIH), saya amat terkilan dengan kewujudan dakwaan dangkal pihak yang tidak bertanggungjawab yang menanggapi sokongan NGO-NGO Islam terhadap BERSIH sama seperti menyokong agenda songsang Lesbian, Gay, Bisexual, and Transgender (LGBT) dan murtad.


Kenyataan jahat ini seakan-akan menggambarkan kegagalan pihak mereka untuk berfikir secara rasional, serta kedangkalan dalam membezakan kepentingan menuntut pengendalian tatacara pilihanraya yang telus serta tidak diragui integritinya dengan sokongan ke atas agenda-agenda yang dikaitkan dengan Dato’ Ambiga Srevanisan seperti LGBT dan Murtad.

Berdasarkan rekod perjuangan membawa agenda Islamisasi umat, saya berkeyakinan besar bahawa NGO Islam yang menyokong BERSIH seperti ABIM dan IKRAM sama sekali tidak bertoleransi terhadap sebarang usaha untuk mengarus perdanakan budaya songsang LGBT dalam kehidupan rakyat Malaysia.  Sebaliknya, usaha ini telah dibantah keras oleh NGO Islam. Sebagai contoh menerusi permuafakatan NGO Islam atau Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), ABIM turut terlibat dalam membuat laporan polis pada November 2011 di Balai Polis Pantai Bharu yang mengecam penganjuran Festival Seksualiti Merdeka 2011 yang dilihat cuba untuk membawa budaya songsang seperti LGBT secara terang-terangan. ABIM juga sepanjang zaman tetap konsisten dengan perjuangan menentang secara keras segala usaha untuk mencemarkan pegangan akidah umat Islam tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik mana-mana pihak.


Tindakan menyamakan sokongan terhadap isu pokok iaitu menuntut Pilihanraya yang bersih dengan sokongan terhadap agenda Kristianisasi yang hanya bersandarkan kepada latar belakang individu yang bernama Dato Ambiga yang secara kebetulan dikatakan mirip dengan LGBT dan pemurtadan adalah sesuatu yang di luar logik fikiran. Cuba bayangkan sekiranya perjuangan BERSIH ini dipimpin oleh  tokoh Ulama terkemuka dalam negara, adakah kelompok bukan Islam yang menyokong isu pokok yang dibawa BERSIH ini boleh dikatakan telah memeluk agama Islam atau menjadi kuda tunggangan kepada agenda Islamisasi?


Dalam pada itu, saya tertarik untuk berkongsi pendirian yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung Komenwel Kamalesh Sharma dalam satu laporan pada Julai 2011 ketika lawatannya ke Australia yang dengan keras menentang diskriminasi yang dilakukan terhadap kumpulan gay atau lesbian. Beliau selanjutnya menyebut “vilification and targeting on grounds of sexual orientation are at odds with the values of the Commonwealth”.


Sebagai salah sebuah negara Komenwel, adakah wajar kita menyamakan tindakan pemimpin negara yang secara konsisten mempertahankan keanggotaan Malaysia dalam Komenwel sebagai kelompok yang memperjuangkan LGBT hanya beralaskan kepada kenyataan yang dikeluarkan Kamalesh Sharma?


ANALOGI


Mungkin untuk lebih mudah difahami, saya ingin kemukakan kepada pembaca satu analogi paling mudah. Cuba bayangkan satu senario kita berada dalam sebuah pasaraya. Sewaktu kita berbaris untuk membuat bayaran, tiba-tiba timbul kekecohan bahawa berlaku penipuan yang dilakukan di pihak pasaraya iaitu harga barang yang didaftarkan di mesin “cashier” tidak sama dengan harga barang yang ditandakan pada tag harga.

Secara kebetulan kekecohan tersebut telah ditimbulkan oleh seorang tokoh Kristian yang terkenal dengan perjuangan Kristianisasi disebabkan beliau satu-satunya pihak yang dapat mengesan penipuan tersebut dan mempunyai akses maklumat yang lengkap berbanding pembeli lain kerana kepakaran yang dimiliki. Maka, tokoh tersebut mendesak pihak atasan dan pengurusan pasaraya tersebut untuk membuat siasatan dan meminta satu penjelasan yang jelas diberikan.


Insiden tersebut telah menyebabkan pembeli terbahagi kepada tiga kelompok.


Kelompok pertama adalah mereka yang tidak mahu penipuan dan penganiyaan dilakukan oleh pihak pengurusan pasaraya terhadap mereka. Maka kelompok ini tanpa memikirkan latar belakang tokoh Kristian tersebut telah turut bersama membuat aduan dan menuntut penjelasan yang jelas dari pihak atasan dan pengurusan pasaraya. Kelompok ini turut mengambil pertimbangan waras dan berfikiran jauh sekiranya tindakan tidak diambil kemungkinan besar saudara-mara, atau rakan-rakan mereka juga akan menjadi mangsa penipuan di suatu masa nanti.


Kelompok yang kedua pula ialah kelompok yang meninggalkan barang yang ingin dibeli dan kemudian beredar dari pasar raya tanpa membuat apa-apa. Ini adalah kelompok yang pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab dengan membiarkan penipuan tersebut berlaku. Kelompok ini juga tidak berfikir panjang bahawa kemungkinan penipuan sebegini juga akan berlaku ke atas kaum kerabat serta teman-teman mereka yang akan membeli belah di pasaraya tersebut.


Kelompok ketiga adalah kelompok yang tidak memberi sebarang inisiatif untuk selesaikan masalah yang timbul dengan menuntut kebenaran dan keadilan, sebaliknya mengecam kelompok pertama kerana bersekongkol dengan tokoh Kristian tersebut yang mendesak penipuan itu disiasat dan dihentikan atas sebab secara kebetulan latar belakang tokoh Kristian tersebut. Kelompok ini juga telah menasihati pembeli lain bahawa aduan dan gesaan yang dilakukan tidak perlu sebaliknya menyarankan kepada pembeli untuk menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pihak atasan dan pengurusan pasaraya. Kelompok ini juga menyatakan bahawa “yang penting kita sebagai pembeli perlu menunaikan kewajipan dengan membuat bayaran sekiranya mahu memiliki barang yang dibeli tanpa perlu menyiasat sebarang keraguan, penyelewengan dan penipuan yang berlaku”.


Berdasarkan pertimbangan akal yang waras dan rasional, serta fitrah manusiawi yang sentiasa mencintai kebenaran dan menyayangi keadilan, kelompok manakah yang akan dipilih oleh kita ketika mana kita berada dalam situasi di atas?

Sudah tentu kita tidak akan memilih untuk berada dalam kelompok yang ketiga melainkan disebabkan tiga faktor utama. Faktor pertama adalah disebabkan kedangkalan serta kebodohan mereka sendiri  khususnya dalam membuat keputusan. Kedua adalah faktor hutang iaitu kemungkinan mereka telah berhutang sama ada budi atau wang ringgit (termasuk rasuah) dengan pihak atasan pasar raya yang menyebabkan mereka terpaksa mempertahankan tindakan penyelewengan pihak atasan pasaraya tersebut sebagai balasan kepada hutang (rasuah) yang dibeikan. Faktor ketiga adalah kerana faktor kroni iaitu kemungkinan pasaraya tersebut dimiliki oleh anak-beranak, atau saudara mara mereka. Selain dari ketiga-tiga faktor ini seseorang insan tidak akan dengan dayus menggadai kehendak fitrah manusiawi yang dianugerahkan Allah kepada dirinya iaitu sentiasa mendambakan kebaikan, kejujuran, dan ketelusan dengan menjadi kelompok yang ketiga.


Islam termasuk bidang ketatanegaraan dan tatakelolaan yang baik.

Dalam konteks gerakan Islam yang menjunjung tinggi kesyumulan ajaran itu dalam setiap aspek kehidupan termasuk ketatanegaraan dan tatakelolaan yang baik (Good Governance), kita harus menilai tuntutan-tuntutan yang dikemukakan BERSIH itu sebagai suatu yang perlu dipandang berat oleh umat Islam selaku teras politik di negara ini seperti kewujudan nama pengundi yang meragukan (pengundi hantu), integriti saluran undi POS, akses saksama kepada media untuk semua parti politik, dan integriti serta kedudukan institusi-institusi awam selaku badan yang bebas dari pengaruh partisan mana-mana kelompok politik di samping amalan politik kotor dan rasuah yang sering diperkatakan oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Ini memandangkan pengendalian pilihanraya yang telus serta tidak diragui integriti tatacara penganjurannya merupakan esensi penting untuk mendapatkan permuafakatan aspirasi rakyat serta pra-syarat kearah menjadi sebuah Negara yang baik atau “baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur” bagi mencapai barakah dan keredhaan Allah. Bahkan umat Islam sendiri dituntut sentiasa jujur serta amanah dalam setiap apa yang dikerjakan.

Dalam perkembangan berkaitan, saya turut merasakan bahawa umat Islam perlu menganjak paradigma politik kontemporari mereka serta mengelakkan diri dari terkongkong dalam persepsi politik dangkal yang digerakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya akan merugikan kedudukan Islam itu sendiri di negara ini.

Bahkan saya khuatir, sekiranya situasi ini berterusan (mengaitkan sokongan BERSIH dengan agenda LGBT & Murtad), ia akan mengembangkan persepsi negatif terhadap umat serta gerakan Islam yang dianggap lesu dalam perjuangan demokrasi kerana gagal menilai secara objektif isu pokok yang dikemukakan.  Ini secara tidak langsung akan membuka ruang untuk pendokong LGBT dan gerakan pemurtadan mendampingi kelompok besar rakyat yang mahukan agenda  kebenaran dan keadilan ditegakkan di negara ini.



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ


(Sumber: http://www.abim.org.my/component/content/article/11-beritautama/650-apa-agenda-sebenar-bersih-30.html)

Selasa, Mac 06, 2012

BINGKISAN MENJELANG 40 TAHUN ABIM SELANGOR: DULU DAN KINI (siri 2)


BINGKISAN MENJELANG 40 TAHUN ABIM SELANGOR: 
DULU DAN KINI  (Siri 2)
Oleh Ustaz Hasri bin Harun

Usaha dakwah masyarakat
Dalam kehebatan ABIM Selangor meneruskan usaha dakwah dalam masyarakat, setelah beberapa dekad dalam masyarakat, satu usaha yang wajar dibangkit dan dimuhasabah terutama dalam mengemudi usaha mendidik umat melalui pendidikan awal anak-anak. Sesungguhnya ABIM terkenal di dalam mengenengahkan idea pendidikan serta melaksana usaha pendidikan formal pra persekolahan yang berjenama TASKI. Walaupun cabaran mengurus institusi pendidikan ini tidak mudah namun ABIM masih menerima sokongan daripada masyarakat dalam soal pendidikan. Kini pendidikan kita telah semakin meluas. Institusi pendidikan ABIM di Selangor sahaja telah melahirkan ribuan anak-anak pra sekolah dan kini telah pun berada di dalam masyarakat sebagai penggerak dakwah. Institusi pendidikan ABIM dalam konteks pra sekolah sememangnya menjadi kekuatan ABIM untuk terus maju dekad mendatang. Walau dihimpit dengan isu kewangan namun sekolah ABIM masih terus bertahan dengan sokongan umat. Usaha dan kegigihan semua pihak di daerah dan warga ABIM keseluruhannya maka 2012 kita menanam hasrat untuk menubuhkan Sekolah Tahfiz Sains ABIM Selangor yang bertempat di Sijangkang, Selangor, di atas tanah seluas 5 ekar hasil sokongan masyarakat. Usaha memartabatkan pendidikan ini tidak pernah luntur dalam sanubari warga ABIM dimana pendidikan menjadi teras kekuatan Islam.

Perubahan zaman

Era 2000 menggamit dengan begitu besar sekali. Kepimpinan ABIM disemua peringkat harus berubah selari dengan perkembangan dakwah dan perubahan zaman yang menuntut kepada perubahan gerak kerja dan kepimpinan. Perubahan zaman yang menuntut kepada era global menuntut gerak kerja dakwah dilaksana dengan pantas dan cepat, menuntut ABIM juga sedikit pertimbangan bahawa dakwah era global ini memerlukan misi dan visi yang amat strategi. Di peringkat dalaman, ABIM menyedari bahawa keperluan menganjak minda bawa perubahan generasi awal iaitu generasi pengasas telah menuntut kita membuat perubahan dengan memfokuskan kepada kepimpinan baru selaras dengan perkembagan dasar-dasar belia Negara. ABIM juga terkesan dengan senario ini, maka pada tahun 2004, ABIM mengambil langkah berani menampilkan pimpinan muda bawah 40 tahun memimpin gerakan ini. Walaupun berhadapan dengan pelbagai komen dan kritikan namun ABIM tetap meneruskan usaha dengan dibantu oleh para senior yang berpengalaman. Selaras dengan dasar kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, kepimpinan belia dalam negara mestilah berumur dibawah 40 tahun. ABIM adalah satu-satunya NGO yang lebih awal bergerak ke arah itu sebelum dasar tersebut di mulakan.




bersambung...

Ahad, Mac 04, 2012

Taare Zameen Par (2007)



A great teacher see things in different way;

Just to Help and develop a child to be one success Insan!

Rabu, Februari 22, 2012

Bingkisan Menjelang 40 tahun ABIM Selangor (siri 1)

Oleh : Ustaz Hasri bin Harun

Penggerak Awal 
ABIM Negeri Selangor yang dahulunya dibarisi oleh beberapa pimpinan muda mempunyai tekad meneruskan usaha dakwah dikalangan masyarakat. Ini termasuklah nama-nama seperti Mohd Mokhtar Shafie, Arshad Taib, Mokhtar Ramli, Mohd Kassim, Ghazali Basri, dan beberapa orang lagi yang tidak mampu disebut kesemuanya, kebanyakan dikalangan pendidik dan pensyarah universiti meneruskan legasi pendakwah melalui program-program usrah dan tamrin al-kader keseluruh pelusuk negeri. 

Kegiatan dakwah berjalan dengan baik ditengah-tengah masyarakat pada ketika itu. Antara sekretariat awal ABIM Selangor adalah di Jalan Genting Klang, Setapak Kuala Lumpur. Jihad dan dakwah mereka yang berjuang di dalam perjuangan wadah ABIM ini terus tidak dipedulikan apakah wujud halangan yang bakal di terima di masa hadapan namun mereka terus dengan semangat maka tertubuhnya ABIM diperingkat daerah-daerah yang bermula di Shah Alam, Tanjong Karang dan Sabak Bernam dan beberapa daerah lagi. 

Tamrin Al-Kader, jenama latihan yang menjadi satu program penting menjadi sumber membina kekuatan dikalangan ahli terus ditunggu-tunggu bagi menyemat semangat perjuangan mereka dengan lebih baik lagi. Kini para penggiat dakwah yang bersama dalam program-program ABIM telah berada dimerata-rata tempat sama ada dalam sektor kerajaan dan swasta dan ada sebahagiannya telah pun menjadi tokoh-tokoh terkenal peringkat negeri mahupun nasional. Yang menariknya ABIM Selangor di awal pergerakkannya cukup sinonim dengan aktiviti usrah di pejabat dan di kilang-kilang sehinggakan pernah tertubuh kumpulan usrah dikalangan pekerja kilang. Barangkali media dakwah yang sudah meluas seperti hari ini tidak wujud pada tempoh lalu memungkinkan masyarakat mencari sumber maklumat Islam yang jarang sekali dapat melalui media perdana seperti hari ini seperti rancangan kuliah di tv al-hijrah, tv 9 dan rancangan agama di ASTRO yang semakin meluas. Justeru tidak hairan usrah dikhabarkan dilakukan di kantin, di pejabat, di bawah pokok dan sebagainya. Disinilah menunjukkan masyarakat kehausan ilmu dan hikmah Islam yang dianuti dan ini menjadi tarikan usaha dakwah ABIM mendapat tempat dihati masyarakat.

Tahun 80 an telah bermula era negara kempen penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran negara. Kepimpinan negara mula menyedari bahawa betapa pentingnya usaha-usaha yang dilaungkan ini menjadi kenyataan. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam telah mula menjadi topik perbincangan yang akhirnya menjadi satu dasar dan resolusi penting sejarah negara, dimana tertubuhnya Bank Islam, Universiti Islam yang merupakan manifestasi kehendak dari hati nurani umat yang diperjuangkan sejak awal tahun 70 an.

Gerakan ABIM di awal tahun tersebut semakin meluas yang mana para penggerak ABIM telah berada di dalam dan di luar pentadbiran kerajaan. Walaupun sedikit terjejas imej ABIM sebagai NGO Islam bila mana pemimpin utama iaitu Anwar Ibrahim terjun dalam politik bersama UMNO namun ABIM masih terus bergerak sebagai sebuah NGO Islam yang bermatlamat menggerakkan dakwah dalam umat.

Senario perkembangan ABIM peringkat negeri khususnya di Selangor menerima sedikit sebanyak pasang surut dalam perjuangannya, impak daripada senario politik tanahair terutama diperingkat negeri. Satu ketika ABIM begitu dominan dalam usaha-usaha belia bila mana usaha dan gerakan kita mendepani gagasan negeri. Namun kita tidak pernah gentar dalam menghadapi cabaran ini walau ditempuh badai dan duri dalam perjuangan.

ABIM akui melalui pendirian dan semangat atas prinsip non partisan kita, tidak mudah digugat oleh sesiapa walaupun terpaksa menyatakan kebenaran bukan berpaksi kepada pemerintah. Bagi ABIM yang penting kebenaran harus ditegak bukan siapa yang harus dimenangkan. Sebab itu perjuangan ABIM kadangkala dipandang serong oleh sebilangan masyarakat yang berkepentingan dalam menilai pendirian kita yang sedikit tidak memihak atas kepentingan masing-masing berbanding kepentingan umat keseluruhan dan memartabatkan matlamat dakwatul Islam. Dalam pelbagai pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak, ABIM Selangor biasa dijemput bersama dalam mesyuarat-mesyuarat dakwah yang diterajui oleh Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan jawatankuasa yang berbentuk Dakwah di negeri ini. Pandangan ABIM Selangor sentiasa ditunggu dan diterima dalam erti kata menyeimbangkan pandangan yang umum dalam masyarakat. Bagi ABIM, yang penting suara ABIM sentiasa dinanti walau kadangkala dicemburui dan diragui.

Bersambung...

Selasa, Januari 31, 2012

Hayati Keunggulan Konsep Wassatiyyah

Kesederhanaan atau wasatiyyah adalah identiti agama Islam. Islam mengajar penganutnya agar mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan tanpa sebarang tokok tambah yang menyusahkan. Dalam Islam sesuatu yang menyusahkan bukanlah sesuatu yang terbaik. Maka sebab itulah kita dianjurkan untuk segera berbuka puasa dan melewatkan pula sahurnya. Begitu juga dalam ibadah yang lain. Ini dapat kita perhatikan apabila teguran yang Nabi Muhammad s.a.w berikan kepada sekumpulan sahabat yang mahu mengekang nafsu dari berkahwin, tidak mahu berbuka apabila berpuasa dan mengharamkan diri dari memakan daging yang halal.

Baginda mengingatkan, kepada mereka, sedangkan Baginda sendiri seorang Nabi, Baginda berkahwin, berbuka apabila berpuasa dan memakan daging yang dihalalkan. Lantas Baginda memberikan penegasan bahawa sesiapa yang tidak menyukai sunnah Baginda dia bukanlah terdiri dari umat Nabi Muhammad. Wasatiyyah dalam Islam bukan terhenti sekadar pada ibadah semata-mata, tetapi juga dari sudut pemikiran, akidah dan akhlak. Kesederhanaan menjadikan Islam itu indah dan mampu menarik manusia untuk mendekatinya. Menakrifkan kesederhanaan atau wasatiyyah bukanlah mudah. Ini diakui sendiri oleh Ibnu Maskaweh yang menyatakan: “Sesungguhnya sukar menentukan pertengahan itu dan berpegang kepadanya setelah ,menetapkannya”

Wasatiyyah juga bukanlah bererti menghindari segala bentuk tindakan yang agresif. Baik bersifat persendirian mahupun berkumpulan. Peperangan bagi menuntut hak dan mengembalikan kebenaran ditempatnya adalah satu tindakan yang masih lagi dalam ruang lingkup wasatiyyah. Golongan yang tertindas apabila bangkit menentang kezaliman tidaklah dianggap sebagai golongan pelampau dalam Islam.

Menentang segala ketidakadilan dan penindasan adalah suatu tugas yang wajib dilaksanakan oleh setiap kaum muslimin. Malah membebaskan puak yang tertindas dan dizalimi amat dituntut oleh Islam. Wasatiyyah juga bukan bermaksud menerima kedua-dua pandangan yang berada pada dua hujung yang saling bertentangan. Menerima segala-galanya demi menjaga hati dan menjauhi kemarahan mana-mana pihak. 

Mencampur adukkan kebenaran dan kebatilan bukanlah ciri wasatiyyah Islam yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam perlu memelihara prinsip dengan tegas dan jangan sesekali membenarkan prinsip ajaran Islam diperkotak- katikkan dengan mudah. Inilah yang sering disalah tafsir oleh masyarakat Barat. Mereka mahukan konsep wasatiyyah selari dengan pandangan hidup yang moderat.

Mereka melabelkan sesiapa sahaja yang berpegang teguh dengan ajaran agama sebagai fundamentalis yang ekstrem. Pada mereka muslim yang moderat adalah muslim yang mengamalkan agama Islam seperti kacamata mereka terhadap agama Kristian. Kristian hanya pada nama, bukan amalan dan kepercayaan. Mereka dengan bangga menyatakan I’m a Christian, but I’m not going to the church every Sunday. Pada mereka cukuplah sekadar ada agama tapi untuk mengamalkannya jauh sekali.

Mereka dengan segera dan rakus melabelkan pejuang jihad sebagai ekstremis. Walau apa pun alasannya, jihad adalah satu keganasan. Mereka dengan penuh rasa benci menyatakan bahawa Islam adalah agama peperangan. Kalimah jihad mesti dihapuskan dari kamus ajaran Islam. Bagi mereka moderat adalah kelompok yang berfikiran terbuka dan menerima apa saja dari siapa sahaja tanpa kayu ukur kebenaran. 

Kebenaran bagi mereka bersifat relatif bukan sesuatu yang muktamad. Kebenaran diukur menerusi citarasa dan sokongan majoriti. Pada mereka pula segala pandangan yang bersumberkan kitab suci agama yang mengenepikan pilihan atau kecenderungan manusia adalah tidak moderat dan tertutup. Justeru apabila kita berbicara mengenai wasatiyyah ia adalah satu konsep yang jauh dengan terjemahan moderat dalam masyarakat barat.

Kita mesti berpegang dengan keutuhan konsep wasatiyyah yang dianjurkan oleh Islam. Konsep wasatiyyah adalah konsep yang murni bagi memelihara karamah insaniyah yang tinggi. Bagi memastikan konsep wasatiyyah ini dapat dipelihara dan diamalkan oleh masyarakat, maka satu agenda diperlukan bagi menghapuskan sebarang bentuk belenggu yang bercirikan pembodohan dan pembebalan. Ini kerana sifat bodoh dan bebal akan menjerumuskan kita ke lembah ketaksuban dan kehancuran. Ia mengingkari konsep wasatiyyah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Amidi Abd Manan
(Sumber: http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/342-pertahankan-keunggulan-konsep-wassatiyyah.html)