Rabu, Oktober 29, 2008

Masih belajar

Beberapa hari ini, saya fokus untuk mendalami dunia blogging dengan belajar tentang menguruskan domain, dan hosting. Agak susah tanpa ilmu asas... dan tanpa tangible guru. Belajar semata-mata menggunakan online resources. Hasilnya, saya ada mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli domain fikrahimayu.com; tapi, sampai sekarang, masih gagal untuk transfer ke domain tersebut. Saya menggunakan cynetstudio.com sebagai pembekal domain. Masalah lagi....

Kemudian,saya meneruskan pelayaran ke alam cyber ini dengan me'upload'kan seberapa banyak gambar dari komputer di rumah Cheras. BAnyak juga gambar-gambar kenangan lama semasa di Maktab dulu, masih ada dan menarik untuk di postingkan nanti. Kalau malas nak tulis cerita, tampal jer gambarnya... lagi senang...

Jadi, untuk posting terbaru, dalam bulan / minggu ini, saya akan banyak berikan komen dan pandangan tentang segala berita dan artikel yang dibaca yang dijumpai dalam internet. Maafkan saya di atas pengkaedahan dan pendekatan ini... Anggap sahaja ini sebagai suatu percubaan saya untuk menarik ANDA membaca apa yang saya fikirkan; fikrah saya..

Artikel sendiri... hmmm... dari masa ke masa....
Apa yang penting, teruskan blogging...

Jumpa lagi

Sabtu, Oktober 25, 2008

Tun Mahathir buka pekong

POLITIK WANG DALAM UMNO

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at October 24, 2008 5:54 PM | Permalink | Comments (207) | TrackBacks (0) | Previous Blog
1. Saya mendapat banyak laporan berkenaan dengan politik wang dalam UMNO. Demikianlah keadaan sehingga Dato Seri Dr Rais Yatim mencadang secara sinis supaya jawatan-jawatan Majlis Tertinggi ditender. Dato Seri Shahidan Kassim amat marah dan akan tender sebanyak RM1 untuk Rais. Bila makan cili rasa pedas.

2. Saya diberi tahu wang banyak digunakan. Dahulu cuma ketua pemuda bahagian sahaja dapat. Ini menyebabkan pemegang jawatan lain dalam pergerakan enggan bekerjasama. Sekarang semua mendapat sogokan dan hasilnya amat memuaskan bagi penyogok.

3. Ketua-ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa juga dijemput ke Kuala Lumpur untuk berjumpa orang tertentu. Mereka di arah supaya mencalonkan orang-orang tertentu untuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Juga pencalonan Ketua Pemuda. Berkesan atau tidak akan kita lihat daripada pencalonan yang dibuat.

4. Tetapi cawangan dan ahli biasa pun sudah pandai. Mereka menawarkan sokongan mereka jika sekian-sekian banyak dihulur.

5. Mereka yang menang boleh jadi Yang Berhormat, ahli Exco, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, pengerusi syarikat-syarikat Kerajaan dan juga dapat kontrak berjuta Ringgit.

6. Ahli biasa yang memberi sokongan dengan undi mereka dapat apa? Dengan kesedaran akan soal ini maka penyokong dan pengundi pula berpendapat mereka juga harus dapat nikmat daripada pemberian undi mereka. Maka mereka akan menunggu sogokan sebelum memberi undi mereka.

7. Amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai. Mereka jelek dan muak dengan UMNO, orang UMNO dan pemimpin UMNO. Perasaan benci kepada UMNO sebagai parti yang tidak bermoral merebak ke merata-rata tempat.

8. Orang ramai melihat UMNO sebagai parti pimpinan orang-orang yang berkepentingan diri semata-mata. Dari cawangan sehinggalah kepada pucuk pimpinan yang diutamakan ialah jawatan dan peluang memain kuasa dan buat duit apabila memegang jawatan.

9. Dalam pilihanraya umum 2004, rakyat memberi sokongan padu kepada BN. Ini adalah kerana rakyat percaya benar yang kepimpinan baru UMNO dan Barisan Nasional akan menjadi lebih baik daripada yang terdahulu.

10. Antara 2004 dengan 2008 mereka dapat lihat pemerintahan Abdullah dengan rasuah yang berleluasa dan keruntuhan ekonomi. Mereka juga lihat peranan yang dimainkan oleh keluarganya dan kroni mereka dan juga sikap ahli-ahli kabinet. Apa yang mereka lihat meyakinkan mereka bahawa pemerintahan ini tidak baik. Hasilnya ialah keputusan pilihanraya ke-12.

11. Mereka kecewa bahawa Abdullah bukan sahaja tidak membetulkan keadaan tetapi sebaliknya menafikan kekalahan dan penolakan oleh pengundi, termasuk yang terdiri daripada ahli-ahli dan penyokong UMNO dan lain-lain parti komponen.

12. Saya percaya orang ramai amat kecewa melihat mainan wang dalam UMNO sekarang. Wang akan mengalir dengan banyak dan laju semasa dan selepas pencalonan. Rumah terbuka oleh kementerian sedang diadakan dengan menggunakan duit Kementerian. Semasa rumah terbuka kempen untuk pencalonan diadakan.

13. Menjelang pemilihan bulan Mac 2009 lebih banyak lagi acara dan sogokan boleh diadakan. Kemuncak akan tiba apabila wakil ke Mesyuarat Agong tiba di Kuala Lumpur untuk bersidang.

14. Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000.

15. Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok. Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa.

16. Terimalah. Pedulikan jika semua orang tahu. Apa salahnya. Dosa, dosalah. Tetapi seperti disebut di atas apabila pengundi pilihanraya umum sudah benci dan bosan dengan UMNO mereka akan undi parti lawan untuk kalahkan UMNO. Selepas kalah tidak ada lagi jawatan Perdana Menteri, Menteri dan lain-lain. Tidak akan ada lagi kontrak, AP dan lesen.Tidak akan ada lagi nikmat! Semua pihak akan merana, akan dihina oleh orang. Dan UMNO akan habis riwayatnya. Mereka yang betul-betul sayang kepada UMNO akan kutuk pemimpin dan ahli UMNO.

17. Inilah akhirnya musibah yang akan diterima kerana tamak, kerana rasuah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.

(sumber : chedet.com aka blog Tun Dr. Maahthir)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>.

Apa sudah jadi dengan negaraku, Malaysia? Ini parti pemerintah negara. Ini parti telah memerintah selama 51 tahun. Hari ini, saya begitu beremosi... Sedih rasanya... Percaya atau tidak, ini kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Presiden Parti selama 22 tahun... aka Perdana Menteri Malaysia... TAkkan ia baru berlaku di zaman Pak Lah? Saya percaya, ini suatu budaya yang diperturunkan. Cuma, baru dinampakkan.

Pentingnya menyatakan kebenaran walaupun kedengaran pahit; Walaupun, akhirnya ludah jatuh ke muka sendiri. Yang penting, buka mata, buka minda, berdiri di atas jalan yang benar.

Ya Allah, selamatkan Malaysia...
Amiiinnn...

Jumaat, Oktober 24, 2008

Kenapa nak marah-marah?

tengah marah? Kenapa nak marah-marah? Sebelum nak marah, perhatikan dulu beberapa perkara...

1) Adakah kita marah pada orang yang betul?

2) Adakah kita marah di tempat yang betul?

3) Adakah kita marah menggunakan perkataan yang betul?

4) Adakah kita marah pada waktu yang betul?

5) Adakah kita marah untuk sebab-munasabah yang betul?

6) Adakah kita marah pada darjah kemarahan (emosi dan sentimen) yang betul?

7) Adakah perlu kita marah?


InsyaAllah, jika kita perhatikan dan perhalusi betul-betul, kita akan banyakkan SABAR, dan tahan dari marah. Sememangnya perjuangan itu adalah sangat sukar.

Selasa, Oktober 21, 2008

Membela kebenaran adalah tanggungjawab perjuangan

Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasulNya. Tidak kerana dia mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.

Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru, insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya, ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata kata Rasulullah s.a.w:

“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk dirinya atau puaknya, maka dengan lantangnya dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada dirinya dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya, atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.

Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara yang seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran itu dilacurkan untuk mendapatkan habuan atau keuntungan. Saya sendiri bertemu dengan ramai orang yang mempunyai kepentingan perniagaan yang meminta saya menggunakan nama dan pengaruh saya dalam bidang agama bagi melariskan bisnes mereka. Kata mereka ramai ustaz lain yang buat dan mereka mendapat faedah kewangan yang banyak.

Saya jawab kepada mereka, saya memang tidak berharta tetapi saya belum bersedia untung melelong agama. Nas-nas Allah dan rasulNya tidak patut diputarkan hanya untuk bergelar ‘hartawan’ di dunia yang sementara. Keadaan yang seperti ini juga menjadikan ramai mereka yang ikhlas menggeruni ‘politik kepartian’. Walaupun politik itu sebahagian daripada ajaran Islam, namun ‘politik kepartian’ mempunyai keadaan yang sangat berbeza.

Penilaian kepada kebenaran dan fakta dalam dunia politik kepartian banyak terikat kepada kehendak parti. Maka ramai di kalangan mereka yang bertukar-tukar cakap dan prinsipnya. Kesemuanya akan dijawab; “ini keputusan parti”.

Ertinya, menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasulNya, bukanlah kerja yang mudah. Allah menguji insan untuk insan membukti keikhlasan dirinya dalam membela ajaran tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya.

Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia yang fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang yang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran.

Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semesti setiap pejuang itu berpeluang untuk menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga demikian. Betapa ramai para pembela dan pejuang kebenaran yang disiksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.

Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi, namun masanya tidak ketahui. Para sahabah yang gugur syahid dengan penuh trajis di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak yang menyiksa mereka.

Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Nabi s.a.w pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum mata sempat melihat pejuangan kebenaran menjatuhkan pejuangan kebatilan. Namun para pejuang yang ikhlas itu redha kerana mereka tahu itulah harga kebenaran.

Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa yang biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.

Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata, bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi pejuangan yang tulus itu adalah keredhaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111).

Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebenan tersebut dengan penuh jujur. Ia adalah amanah. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak.


sambungan yang seterusnya, boleh klik terus kepada blog Dr Asri Zainal Abidin
http://drmaza.com/home/?p=464

(sumber: Dr Asri Zainal Abidin)

Isnin, Oktober 20, 2008

Bertanya pada Ibu, bagaimanakah lelaki sejati

Aku bertanya pada Ibuku, bagaimanakah lelaki sejati itu ? Ibuku
menjawab,

"Nak... Laki-laki Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar, tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya...

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang, tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran...

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya, tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa...

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati ditempat bekerja, tetapi bagaimana dia dihormati didalam rumah...

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan...

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang, tetapi dari hati yang ada dibalik itu...

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja, tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya...

Laki-laki sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan, tetapi dari tabahnya dia menghadapi lika-liku kehidupan...

Laki-laki Sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci, tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca"

KEmudian, aku merenung seketika apakah aku ini laki-laki sejati?

Lemahnya wanita; kuatnya lelaki...

Ujar lelaki, wanita itu lemah
Ujar wanita, mereka adalah lembut
Antara lemah Dan lembut…..besar perbezaannya
Namun Ada yang tidak rela mengakuinya

Telah ditakdirkan …kerana lembut wanita
Tidak gemar perbalahan...
Kecuali jika terpaksa
Lalu wanita pun diam

Diam seolah-olah menerima...
Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan
Dalam diam ,wanita terus terusan bekerja
Di pejabat sebagai kerani…di rumah sebagai suri
Dari sebelum tercalit garis putih di Subuh hari
Hingga jarum jam tegak bertindih jari

Lelaki yang mengaku kuat.
Celik mata sarapan sudah terhidang
Apabila pulang dari pejabat…di kerusi malas longlai terlentang
Isteri dikatakan lemah…bergelut di dapur memasak
Suami yang mengaku gagah…bersantai di hadapan TV tidak bergerak
Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
Menyapu sampah,mengemas rumah yang berselerak
Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak
Berehat,menonton TV sambil tergelak

Dalam diam wanita dianggap lemah…terus berlumba dengan masa
Memandikan anak, melipat pakaian Dan membasuh baju
Kakitangan semua digerakkan dengan laju
Menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu
Sebelum solat Magrib untuk sujud… Menyembah yang Satu
Makanan dihidang selepas solat

Selesai kerja rumah,anak-anak diajar mengaji
Sedang suami tersadar semula seperti tadi
Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji
Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan

Lelaki terpelajar celik hati...
Ingin menghapuskan diskriminasi
Lantang membela nasib wanita….
Memberi kesedaran supaya segera bangkit
Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adat tradisi

Hukum agama telah terpapar
Tugas suami mengemas rumah,menjaga anak
Membasuh pakaian,menyediakan makanan
Jika suami tidak terdaya melakukannya
Seorang pembantu wajar disediakan

Lelaki yang hanyut dalam keasyikan
Tidak mampu menerima perubahan
Rela bertahan bagaimana jua
Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati

Dalam diam
Wanita yang sering dianggap lemah
Meneruskan hidup dalam segala kekuatan

`KeKaYaaN YaNg PaLiNg KaYa iaLaH AKAL,
KeMiSkiNaN YaNg PaLiNg BeSaR iaLaH JAHIL,
KeBuRuKaN YaNg PaLiNg HoDoH iaLaH SESAT'

Tak perlu mencari teman secantik BALQIS,
Jika diri tak seindah SULAIMAN,
Mengapa mengharap teman setampan YUSUF,
Jika kasih tak setulus ZULAIKHA,
Tak perlu diri menjadi seteguh IBRAHIM,
Jika tak sekuat SARAH,
Mengapa didamba teman hidup seistimewa KHADIJAH,
Jika diri tak sesempurna RASULULLAH S.A.W,

Tak guna Ada MATA kalau tak dapat MELIHAT,
Tak guna Ada HATI kalau tak tau MENILAI...

Jumaat, Oktober 17, 2008

Kukuhkan ukhuwah; teruskan tarbiyah

Apakah kaedah untuk mengukuhkan lagi tali ukhuwah / silaturrahim sesama kita? Kunci ukhuwah atau kata lainnya adalah perpaduan, bukanlah suatu perkara yang datang dengan sekelip mata. Ia memerlukan suatu pentarbiyahan atau latihan yang berterusan untuk mencapainya. Malah, negara Malaysia sendiri masih mengalami masalah ini walaupun telah merdeka dari penjajah Inggeris lebih 50 tahun. Perbezaannya, ia ditenggelam-timbulkan oleh media dan ahli politik yang suka mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain.

Kalau tidak ada masalah, mana mungkin ada hero atau penyelamat yang merungkaikan masalah tersebut. Inilah asas kepada politik;Ahli politik seharusnya membawa kepada keadaan yang lebih baik. Bagi media pula, the worst story is the best story. Barulah akhbar akan terjual. Barulah stesyen televisyen akan mendapat banyak penajaan. Yang berhati mulia, akan mengambil peluang (take opportunity) untuk menabur bakti dan jasa. Yang berhati busuk, akan mengambil kesempatan (take advantage) di air yang keruh.

Di kesempitan ini, ramai pula yang akan terkeliru siapa kawan, siapa lawan. Cakap siapa yang boleh dipercayai? Konflik peradaban ketatacaraan dalam kehidupan (life ethics) akan tercabar dengan masing-masing akan menonjolkan diri, kumpulan atau fahaman mereka adalah benar dan yang selainnya adalah salah. Warna kehidupan sudah tinggal dua. Kalau tidak hitam, maka ia adalah putih. Kalau tidak melibatkan diri kita, tidak mengapa. Kalau tidak mahu melibatkan diri dan memikirkan tentang Malaysia, lebih baik tinggal dan jadi warga negara lain, atau pun jadilah warga planet yang lain! Memelihara negara (daulah) adalah tuntutan agama, malah mana-mana negara di atas muka bumi ini juga mahukan rakyat yang bersama-sama membina tamadun negaranya.

Pejuang (Mujahid) sebenar tidak dipengaruhi oleh kata-kata orang ramai; Sesungguhnya, kita semakin alpa dan tertipu dengan konsep demokrasi. Yang ramai, tidak semestinya benar, dan begitulah sebaliknya. Tetapkan pendirian berasaskan kepada akal, dan bukan kepada emosi dan sentimen; melainkan pendirian kita dilapik dengan perasaan takut, bimbang, dan punya kepentingan tertentu yang harus dipertahankan. Akhirnya, itulah yang akan menterjemahkan sikap kita atau topeng kita yang sebenar

Maka, ia perlukan sikap mengambil peduli (concern) dengan segala yang berlaku di sekeliling kita. Bukan bermakna harus menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang berbeza pendapat dan pendirian, apa lagi menjadi ahli dan terlibat secara terbuka; cukuplah sekadar mengikuti dengan kekuatan dan keupayaan peribadi. Apa yang paling penting, menyusuri permasalahan ini dengan akal dan ilmu pengetahuan yang adil secara serwajagat dengan dipandu oleh wahyu Illahi dan sunnah nabi.

Soalan bagaimana hendak mengukuhkan ikatan ukhuwah, maka jawapannya- ikhlaskan jiwa; buang segala kebimbangan dan ketakutan; peduli dengan masyarakat sekeliling; terjemahkan ilmu tentang keadilan, kebajikan dan kemuliaan dalam tindakan dengan insan di sekeliling kita.

Kukuhkan ukhuwah, teruskan tarbiyah.
Selamat datang ke alam pejuang agama, dan negara.

Khamis, Oktober 16, 2008

mari blogging

Hari ini, tingkatan 5 dicutikan. Secara teknikalnya, guru-guru yang mengajarnya juga tidak ada kelas PnP. JAdi, guru-guru mengmabil peluang ini untuk belajar cara untuk berblogging, iaitu satu medium baru dalam perkongsian maklumat dan pengalaman. Kaedah kursus secara perkongsian juga dilaksanakan untuk ini; yang mana sesiapa saja akan mengajar sesiapa saja yang mahu belajar. Ini suatu pendekatan yang realistik dan sangat berintegriti.

Maknanya, siapa yang mahu, dia yang dapat. Yang tidak mahu, tiada paksaan. Masing-masing sedar akan tanggungjawab masing-masing, dan melakukan apa yang dirasakan betul dan bertanggungjawab; berasaskan pertimbangan masing-masing. So, 'no hard feeling'. Bagaimanapun, sebagai suatu program berstruktur, terdapat juga nama-nama yang dilantik sebagai 'J.U' untuk program ini.

Perkongsian pengalaman dan ilmu bukanlah suatu yang rumit. Yang penting, mahu bertanya; sedia untuk belajar dan bersedia melakukan tugasan yang diberikan; sebagai 'homework'- untuk memastikan ilmu yang disampaikan digunakan. (knowledge delivery system)

Sudah tentu perlukan contoh dan lain-lain rujukan bagi mendapat hasil yang baik. Yang menariknya dalam dunia blog di Malaysia dan di dunia barangkali, tajuk-tajuk blog yang mendapat tempat (hit) dalam pelayar internet adalah blog yang berkaitan :-

1) politik kepartian dan pandangan / analisis politik pelbagai
2) hiburan dan artis serta gosip
3) berita-berita tempatan dan dunia semasa
4) maklumat mengenai pengetahuan tertentu seperti teknologi, agama, dsb nya.

Nak belajar mengenai blog, kena terima bahawa blog adalah medium perkongsian; dan bila berbicara mengenai perkongsian, kena terima apa yang orang lain mahu kongsikan; barulah apa yang kita kongsikan dalam blog kita akan diterima. Tidak perlu segan, atau takut atau mengecam mana-mana blog. Bukan siapa yang menulis menjadi ukuran; tetapi apa yang ditulis. Ini prinsip asas dalam menerima maklumat dan berkongsi maklumat.

Harus jelas bahawa di dunia ini, ada pelbagai kerenah manusia. Mungkin ada yang 'sekepala', dan banyak yang tidak. Menerima pandangan orang tidak bererti bersetuju, dan begitu juga sebaliknya. Pengalaman orang lain mungkin dan selalunya berbeza dengan pengalaman kita. Dan secara tradisionalnya, semakin tua usia kita, pengalaman kita akan bertambah; (semakin tua, semakin banyak pengalaman). Tetapi, ingat, pengalaman bukan berasaskan usia. Pengalaman adalah berasaskan betapa banyak kita berjumpa manusia dan punya maklumat tertentu. Maklumat adalah ilmu. Nah, dalam dunia blog, anda akan punya jutaan maklumat=jutaan pengalaman orang lain. Secara automatisnya, ini adalah dunia yang mematangkan hidup kita, jika kita gunakan ilmu dan pengalaman tersebut dengan baik. Ini premis yang harus dipegang dalam dunia ini.

selamat berblogging cikgu-cikgu; semoga kita akan mempunyai 'Weltanschauung' aka world view (pandangan hidup) yang lebih baik mengenai kehidupan ini.

Rabu, Oktober 15, 2008

Politik baru YB J ; suatu sastera melayu (UTUSAN MALAYSIA)

Adakah Utusan Malaysia mengisyaratkan supaya ahli politik Cina yang kasar memperjuangkan kepentingan bangsanya dibunuh atau adakah akhbar itu mengingatkan bahawa ahli politik Cina mungkin terbunuh kalau degil sangat dengan pendirian mereka?

Dalam entah apa-apa yang bertajuk "Politik baru YB J", (klik pada tajuk) akhbar itu menutup pengkisahannya seperti berikut:

Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.

YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.

Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.

Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.

Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.

Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.

Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.

Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.

Saya orang Melayu dan saya bangga serta bersyukur dengan taqdir dan ketetapan Allah s.w.t. yang dikasihi yang menetapkan saya sebagai Melayu. Saya tidak akan memperlecehkan ketetapan Allah yang menjadikan saya Melayu dengan menghina bangsa saya sendiri.

Sebagai Melayu, saya sedih dengan fiksyen dalam Utusan itu yang menggambarkan orang Melayu sebagai kaum terdesak dalam mempertahankan hak mereka. Utusan menggambarkan seolah-olah orang Melayu bangsat hujah, buta perut tak dak akal untuk berhujah mempertahankan hak mereka sehingga menutup cerita rekaannya dengan pembunuhan yang kononnya dilakukan oleh watak yang sebangsa dengan YB J.

Adakah Utusan menggambarkan Melayu sebagai bangsa terdesak yang mengimpikan tindakan yang barbaric untuk menyelesaikan masalah mereka? Kalau kebangsatan akal seperti itu yang menunjangi cerita rekaan yang samdol dan hamlau itu, kalau benar demikian; kurang ajar bukanlah perkataan yang memadai terhadap tindakan Utusan yang menghina otak Melayu itu!


(sumber:http://penarikbeca.blogspot.com/)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah Imayu - Dalam berita tv3 malam tadi pun, ada keluar jugak isu ini... Dalam parlimen, YB Lim Kit Siang telah mengutarakan kepada sidang dewan, tentang novel ini dengan menyatakan bahawa ia mengatakan tentang YB Seputeh;
Kinabatangan (Bung Mukhtar) tanya balik; "Macam mana YB tau ni, ditujukan kepada Seputeh (YB Teresa Kok)? Mungkin kepada mana-mana YB atau hanya sekadar fiksyen?"
Kemudian, mereka berbalas hujah... dan itu sahaja yang TV3 tunjuk... tapi, akhirnya, ditonjolkan YB Lim Kit Siang ni macam membawa perkara mengarut dan fiksyen ke parlimen.

Pada pendapat saya, ini adalah suatu artikel / cerpen provokasi yang serius kepada rakyat negara ini,lebih-lebih lagi disiarkan dalam akhbar yang majoriti orang melayu baca ,iaitu Utusan Malaysia. Nampak sangat seolah-olah orang melayu sengaja mencari gaduh; walhal ia tidak perlukan provokasi seperti itu.

Novel ini 'kelihatan' benar - kerana jalan ceritanya 'kelihatan' seakan selari dengan berita yang ditonjolkan dalam akhbar tersebut sebelum itu. Wal hal, berita yang dimuatkan dalam akhbar itu pun, sering kali bercanggah dengan sumber-sumber berita dari media yang lain.

Benarlah kata orang - mata pena itu lebih tajam dari mata pedang.