Mencari-cari nilai dalam pendidikan seharusnya tidak begitu sukar; malah seharusnya mudah, jelas dan terang lagi bersuluh. Pendidikan, dengan erti kata suatu perbuatan mendidik, sering juga disinonimkan dengan kata seperti pelajaran, latihan, tarbiyah, (walaupun ada bezanya) dan lain-lain istilah yang suci, bersih, dan secara jelas menggambarkan nilai yang tinggi arasnya meliputi seluruh kehidupan manusia.Namun, tidak semudah yang disangka. Rupa-rupanya, seperti kata pepatah
moden, sesuatu yang kelihatan sangat hampir, belum pasti dapat disentuh
sekiranya ia adalah suatu imej janaan cahaya projektor.
Begitulah perasaan apabila hendak menulis tentang pendidikan persekolahan di negara bertuah ini. Tiada kata lain yang lebih tepat dan terhampir dengannya, melainkan peperiksaan. Tanyakan secara rawak, apabila dicari penghasilan seorang guru yang baik, hebat dan cemerlang, hasil tersebut pasti menjurus kepada murid mencapai pencapaian yang baik dalam peperiksaan awam, baik UPSR, PMR, SPM mahupun STPM. Penghasilan karya yang dimaksudkan di sini termasuklah bahan dokumen Pembelajaran dan Pengajaran dalam bentuk hard-copy mahupun soft-sopy seperti laman blog, dan yang sepertinya. Boleh rujuk kepada mana-mana laman blog guru-guru di Malaysia, lihat juga pengiktirafan kepada laman yang memenangi pertandingan yang seumpamanya, termasuk seperti pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Teknologi Maklumat, UPSI. Ya, Universiti Pendidikan Sultan Idris!
Premisnya adalah 'pendidikan', bukanlah 'peperiksaan'. Maknanya, seorang pendidik perlu memberi fokus pengalaman guru-murid dengan alam pendidikan, yang mana peperiksaan hanyalah sebahagian elemen dalam pendidikan. Masalah dunia pendidikan kita adalah apabila terlalu fokus kepada 'sebahagian' itu sahaja. Dalam suatu sistem pendidikan, kebiasaannya dijelmakan dalam suatu aturan kurikulum, dan secara umum, suatu kurikulum memerlukan pengamalnya memahami dan menjawab empat elemen:
Pertama, perlu mengenal pasti tujuan suatu pembelajaran,
Kedua, perlu mengenal pasti kandungan yang dapat mencapai tujuan pembelajaran.
Ketiga, perlu mengenal pasti pengalaman pembelajaran melalui pengajaran yang sesuai bagi memastikan keberkesanan penyampaian kandungan untuk mencapai tujuan pembelajaran,
keempat, perlu mengenal pasti kaedah pentaksiran bagi memberi tafsiran bahawa kandungan telah dikuasai murid bagi mencapai tujuan pembelajaran.
Peperiksaan adalah termasuk dalam elemen yang keempat. Dalam pentaksiran, ada yang dipanggil pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran sumatif adalah pentaksiran dihujung suatu pembelajaran, manakala, pentaksiran formatif adalah pentaksiran semasa proses pembelajaran berlaku. Justeru, peperiksaan umum termasuk dalam pentaksiran sumatif. Itupun perlu dipersoalkan, adakah peperiksaan umum itu menepati elemen keempat dalam kurikulum, iaitu 'Adakah peperiksaan umum dapat memberi tafsiran bahawa kandungan telah dikuasai murid bagi mencapai tujuan pembelajaran?'
Dalam peperiksaan kita, walaupun Lembaga Peperiksaan telah membuat deklarasi bahawa peperiksaan kita adalah dalam nisbah 5:3:2 iaitu nisbah aras senang : sederhana : susah, ia masih tidak memberi petunjuk bahawa soalan yang bersifat menguji pemikiran aras tinggi diserap dalam penyoalan. Kenyataan bahawa 'peperiksaan bukan untuk menyusahkan dan menggagalkan murid' dapat difahami, namun peperiksaan perlu menepati tujuan ia dilaksanakan.
Dengan kata lain, bukan salah sepenuhnya untuk menyediakan murid kepada peperiksaan, tetapi perlu jelas bahawa peperiksaan tidak boleh dijadikan satu-satunya petunjuk bahawa pembelajaran telah dicapai, apa lagi dalam pendidikan kita, tujuan pembelajaran diukir secara jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni secara jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dari satu perspektif, peperiksaan boleh menjadi petunjuk bahawa tujuan pembelajaran telah dicapai asalkan peperiksaan itu sendiri menepati fungsi elemen di atas!
Nilaikan sendiri, sekiranya pendidik kita dinilai dengan kemahiran satu elemen sahaja, iaitu elemen peperiksaan sebagai elemen terpenting menjadikan seorang pendidik cemerlang dan terbilang, maka fungsi pendidik dalam menguasai elemen kandungan boleh diambil alih oleh 'Internet' melalui Encik Google, Encik Youtube, dan lain-lain, serta fungsi pendidik dalam menguasai elemen pembelajaran dan pengajaran boleh dimansuhkan atau diserahkan sahaja kepada sesiapa yang berminat tanpa latihan keguruan antara 1-5 tahun. Malah, fungsi sekolah juga dipersoalkan sebagai medan percambahan kemenjadian insan! Benarlah kata, 'Lebih baik tidak ke sekolah'.
Fikrah Imayu
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.
Walau bagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.
Keterangan/Hujah:
- Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.
- Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.
- Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
- Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.
Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran Semata-Mata
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 Sep 2000 telah membincangkan Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran Semata-Mata. Muzakarah telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada/duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan.
(Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/)
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah:-
1) Setiap kali ada sesuatu isu yang tidak pasti fiqh pengamalannya, kembali dan rujuk kepada Pakarnya. Dalam konteks Malaysia, terdapat badan rasmi yang mengeluarkan fatwa dan hukum tertentu dalam perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama melalui muzakarah yang bukan kepalang antara mufti-mufti setiap negeri. Hak negeri dan hak persekutuan harus difahami dengan jelas supaya diri sendiri tidak terikut-ikut dengan rentak media yang fokusnya adalah kepada populariti. Hidup dalam ber'hukum' tidak harus bersifat ikut-ikutan dan berteras kepada populariti. Yang Hak, tetap Hak. Yang batil, tetap batil.
2) Orang kebanyakkan pula (seperti kita) harus juga membudayakan sikap yang berteraskan Ilmu pengetahuan dengan membanyakkan membaca. Selain itu, kita digalakkan untuk mengkaji dan menyatakan kebenaran walaupun berada di pihak yang minoriti. Ini bermakna, kita harus bersedia menghadapi ancaman, pulauan, kata keji nista di belakang, dan segala macam cubaan untuk menidakkan kebenaran. Namun, percaya dan yakin pada janji Tuhan. Jika kita menolong agama Tuhan, Tuhan akan pasti menolong kita; dan Tuhan tidak pernah memungkiri janjiNya.