Maka, kita jangan hairan kalau hari ini
kawan yang selalu bersama dengan kita akan bertukar menjadi lawan.
Demikian juga bukan perkara ajaib jika lawan yang kita tentang
habis-habisan akan segala perkara yang berkaitan dengan dirinya akan
menjadi kawan sejati dalam perjuangan. Yang sama atau berbeza itulah
dinamakan sebagai prinsip pegangan.
Lumrah inilah yang akan kita saksikan di
mana-mana pentas sejarah kemanusiaan. Berbeza itu fitrah. Sepakat juga
fitrah. Jika fitrah yang satu ini kita hendak nafikan, bagaimana manusia
ingin meninggikan tamadun dan tahap pemikirannya?.
Perhatikanlah, hak berfikir itu
tertakluk kepada setiap insan. Juga hak memutuskan sesuatu terletak
kepada hasil fikirannya. Malah, tindakannya pula bergantung kepada apa
yang telah diputuskannya. Bayangkan, jika berfikir, memutuskan dan
bertindak itu dikawal oleh sistem yang wujud di luar lingkungan dirinya,
apa faedahnya kurniaan ‘aql oleh Tuhan kepada manusia?
Satu campur satu bersamaan dengan dua. Ini adalah cara berfikir yang biasa.
Tetapi, enam tolak empat juga bersamaan
dengan dua. Boleh jadi dua ditambah kosong juga menghasilkan jawapan
yang sama. Ini adalah cara berfikir di luar kerangka pemikiran biasa.
Hasilnya sama tetapi yang membezakannya ialah proses dalam menghasilkan
jawapan.
‘Proses’ itu yang seringkali ditempuh
secara sambil lewa. Proses itu juga kadangkala dipandang rendah oleh
segelintir mereka yang berfikirnya hanya lurus bendul sahaja.
Walhal, ‘proses’ itulah yang mematangkan
diri dan menjadikan kita mampu untuk berdikari. Proses itu jugalah yang
menjadikan kita hormat kepada prinsip, pendirian dan pandangan orang
lain. Hormat kita kepada orang lain, mengundang pula hormat orang lain
kepada diri kita.
Demikian juga kita ingin bahagia dalam
hidup. Bahagia itu letaknya di jiwa. Apa guna harta berkoyan-koyan jika
tidur pun sudah tidak nyenyak?. Justeru, jiwa yang bahagia itu prosesnya
pada merdeka dalam berfikir, membuat keputusan dan bertindak.
Sekalipun mempunyai ijazah yang
professional, tetapi jiwa bahagianya ditemui ketika mengajarkan
anak-anak kecil, tidak salah jika diteruskan langkahnya. Kerana jiwanya
bahagia apabila dapat menyumbang dalam usaha memanusiakan manusia.
Oleh yang demikian, jiwa yang bahagia
dalam kerjanya, hasilnya langsung memuaskan dan sudah pasti bukan
sekadar biasa-biasa. Kerana pada kerjanya yang membuahkan bahagia itu,
dilimpahkan usaha yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi
supaya tidak mengundang sinis mereka yang lurus-lurus itu.
Lalu, jangan pernah kita meremehkan
pendirian-pendirian orang. Tentu sekali kita boleh berbeza. Berbeza yang
seharusnya diertikan dengan maksud yang betul. Dalam kerangka pemikiran
yang tidak menafikan lunas-lunas agama dan prinsip ‘ilmu. Maka, yang
tidak harus itu ialah memaksakan orang lain agar sependapat dengannya.
Itu namanya menghina kemuliaan ‘aql kurniaan Ilahi. Juga dianggap
memandang hina kepada prinsip karamah insaniyyah.
Penting sekali untuk kita ingat,
bersederhanalah dalam sebarang perbezaan. Tolaklah kesalahan dengan baik
dan sampaikanlah kebaikan dengan hikmah. Hal ini kerana kebenaran itu
tidak selamanya akan berada di samping kita. Tidak salah untuk kita
mengaku kalah tetapi harga diri tetap tinggi. Boleh jadi musuh kita pun
terkadang ada juga benarnya. Mungkia kita tidak sedar, kita sebenarnya
saling melengkapkan. Maka, hendaklah kita membuat pilihan yang terbaik
dalam meneguhkan pendirian. Firman Allah ‘azzawajalla dalam surah Az-Zumar ayat 17 dan 18 yang bermaksud:
17. Dan orang-orang yang menjauhi
thaghut (yaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka
berita gembira, sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-
hamba-Ku 18. Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling
baik di antaranya. Mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah
petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal (ulul-albab).
MUHAMMAD UKASYAH AZHARI
Penolong Setiausaha 2
Penolong Setiausaha 2
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia