Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew baru-baru ini yang memohon agar rakyat Islam di Singapura melonggarkan pegangan keagamaan mereka. Ia jelas menyinggung sensitiviti umat Islam, bukan sahaja di Singapura tetapi juga di seluruh rantau ini secara keseluruhannya dan di Malaysia khususnya.
ABIM menilai kenyataan ini dibuat dari perspektif yang cetek serta tidak didasari dengan kefahaman yang menyeluruh mengenai konsep asas dalam ajaran Islam. Sejarah kedatangan dan penyebaran Islam di rantau ini telah membuktikan bahawa Islam agama yang berasimilasi dengan sosio-budaya masyarakatnya dan disebarkan dengan aman dan saksama.
Kenyataan beliau dilihat bermotifkan politik dan didasari oleh sifat Islamophobia, yang mengaitkan Islam sebagai agama yang tertutup serta tidak progresif. Dalam konteks inilah, perspektif mengenai Islam perlu diluaskan dengan merujuk fenomena positif yang dijelmakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Muslim di negara barat misalnya bukan sahaja hidup harmoni dalam suasana masyarakat majmuk di sana bahkan menyumbang secara produktif sebagai warganegara yang taat.
Justeru, ABIM menggesa satu permohonan maaf terbuka serta penjelasan dibuat oleh Lee Kuan Yew kepada umat Islam di Singapura khususnya dan di seluruh dunia umumnya. Kami juga menggesa agar Singapura bersifat lebih terbuka dan demokratik dengan membuka ruang-ruang dialog antara agama dan kebudayaan yang lebih luas melibatkan hak-hak umat Islam dalam mengamalkan agama mereka di negara tersebut.
Mohamad Raimi Ab.Rahim
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan