1) Sudah lama tidak menulis. Kesibukan yang sungguh tidak membina kekuatan dalaman termasuklah mengikuti tarbiyah usrah sangat menekan jiwa. Terasa ada kekurangan yang entah dari mana. Mungkin perasaan sahaja; mungkin juga suatu kebenaran halus akan terasa kekosongan jiwa. Amanah dalam tanggung jawab sering kali mampu dipersoalkan. Apakah harus melepaskan amanah untuk bebas daripada tanggungjawab? Bolehkah amanah dilepaskan? Bukankah di saat ‘kelemasan’ dan ‘kelesuan’, adalah tempat untuk menguji tarbiyyah jiwa? Kesan tarbiyyah akan ditaksir sejauh mana standard jiwa ini sekarang?
2) Masa kualiti untuk menulis juga semakin terhad apabila disibukkan oleh urusan harian yang sifatnya tugas hakiki mata pencarian. Kelihatannya, nilai tugas hakiki ini mungkin sedikit tinggi berbanding tugas hakiki mata jiwa rohani? Teringat kata-kata ‘orang tua-orang tua’, “kalau tugas dakwah dijadikan part-time job, maka hasilnya juga adalah part-time.” Dengan kata lain, tugas hakiki setiap insan sepatutnya adalah full-time basis, dengan tanggung jawab insan sebagai khalifah untuk menguruskan dunia, serta tanggung jawab insan sebagai hamba Allah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan Islam perlu diselarikan tanpa meninggalkan sebahagian yang lain. Ya, ini memang tugas hakiki yang bukan sedikit kesukarannya. Maka, untuk kali ini, setiap peluang untuk menulis akan dinukilkan suatu yang berkualiti.
3) Mengurus jiwa sendiri dan jiwa orang sekeliling adalah suatu yang sangat sukar. Pengalaman akan memberikan kelebihan. Pengalaman di sini bermaksud usia dan kematangan. Apa yang lebih penting adalah sejauh mana kita menyerahkan diri kepada Yang Maha Esa setelah kita melakukan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh Dengan kata lain, faktor Iman dan Ehsan sebagai asalan dalam menguruskan jiwa. Dalam matematik, Asalan adalah titik (0,0) dalam sistem koordinat Cartes. Asalan sangat penting sebagai titik rujukan untuk menentukan suatu kedudukan dengan tepat! Bagitu juga jiwa dan rohani kita akan dapat ditentukan kedudukannya apabila kita merujuk kepada asalannya, iaitu Iman dan Ehsan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan