Selasa, September 27, 2011

Polemik Hudud: Ramai Generasi Muda Islam Positif


POLEMIK HUDUD: RAMAI GENERASI MUDA POSITIF



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius polemik perundangan Hudud yang berlaku pada ketika ini. Menilai respon-respon yang dikemukakan oleh pelbagai pihak semenjak kebelakangan ini, ABIM menggesa perundangan hudud tidak dijadikan sebagai polemik  oleh mana-mana parti serta pihak yang mendulang populariti politik semata-mata. Jika keadaan ini berterusan, ABIM khuatir akan tercetus persepsi negatif terhadap keluhuran dan integriti masa depan perundangan jenayah Islam di negara ini. ABIM berpandangan bahawa usaha ke arah undang-undang hudud boleh dan harus dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat  dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada. Persoalannya ialah bila ia akan mula dilakukan secara sistematik dan serius?

Justeru, alasan dan persepsi yang mengatakan perundangan Hudud tidak sesuai diamalkan tidak seharusnya diketengahkan secara semberono tanpa mengambil realiti dan arus perubahan yang berlaku di kalangan umat Islam. Banyak kajian ahli akademik dan perundangan yang telah menggariskan mekanisme ke arah pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam termasuklah pendidikan dan perundangan dan bagaimana sistem  sedia ada boleh dimanfaatkan serta diperkasakan ke arah pelaksanaannya.

Dalam konteks ini, ABIM ingin merujuk kepada hasil kajian (turut disertakan sekali) bertajuk Values Dreams Ideals Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia (terbitan 2011) yang dilakukan Merdeka Centre, Goethe  Institute dan Yayasan Fredrich Naumann baru-baru ini. Dalam temuramah yang dijalankan ke atas 1060 orang responden belia Islam, kajian itu mendapati majoriti  belia Islam mahukan perundangan jenayah Islam diamalkan secara meluas di negara ini termasuklah pelaksanaan hukuman sebat untuk kesalahan minum arak (92.4%), hukuman mati untuk kesalahan membunuh atau Qisas (92.5%) dan 71.5% bersetuju untuk hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

Walaupun tidak konklusif tetapi kajian ini memberi indikasi jelas bahawa generasi muda dan belia Islam di negara ini mempunyai persepsi yang positif terhadap pelaksanaan perundangan jenayah Islam. ABIM yakin melalui pelaksanaan program pendidikan dan penerangan yang lebih sistematik serta road map yang jelas ke arah pelaksanaan hukum hudud, masyarakat akan lebih jelas dan tentang hakikat sebenar pelaksanaan hukuman hudud yang menekankan keadilan dan menolak syubhah atau keraguan.
Pengalaman telah membuktikan bahawa sistem Islam seperti sistem perbankan dan muamalat Islam yang suatu ketika dulu dilihat dengan kacamata negatif telahpun berjaya menawarkan alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan konvensional di Malaysia. Perkara yang sama juga dilihat tidak mustahil, bahkan harus dilihat dalam aspek positif apabila merujuk kepada konteks pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam. Justeru ABIM berpandangan adalah tidak wajar jika ahli politik Islam  bersikap apologetik terhadap sebarang kritikan serta penentangan yang diketengahkan oleh pihak-pihak tertentu baik bukan Islam mahupun di kalangan umat Islam sendiri.

Dalam erti kata lain, perlaksanaan perundangan Islam pada ketika ini serta masa depan tidak hanya bergantung kepada kehendak politik (political will)  para pemimpin politik semata-mata. Sebaliknya, kehendak umat Islam perlulah dihormati serta diterjemahkan menerusi mekanisme politik yang ditetapkan. Merujuk kepada konteks perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan, kebebasan seharusnya diberikan kepada kerajaan serta rakyat negeri terbabit untuk melaksanakan tatacara perundangan yang ingin diamalkan menerusi lunas-lunas demokrasi seperti pungutan pendapat serta referendum.

Ini merupakan praktis dan amalan normal dalam masyarakat yang matang demokrasinya. Jika itu kehendak rakyat, tuntutan perundangan jenayah Islam dilaksanakan di negara ini harus dihormati. Walaupun begitu, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa khuatir dan takut kerana undang-undang ini hanya membabitkan mereka ya ng beragama Islam sahaja.  Di samping itu, perundangan Islam juga menjamin serta memelihara hak serta kebebasan orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya hidup masing-masing.

Dalam hal ini, ABIM semenjak penubuhannya pada 1971 telah menyatakan komitmen serta sokongannya terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Justeru sudah tiba masanya ia dijunjung serta diletakkan di tempat yang sewajarnya bersesuaian dengan status Islam sebagai agama Persekutuan.



MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)




(Sumber :
http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/250-polemik-hudud-generasi-muda-positif-terhadap-perlaksanaannya.html )

Sabtu, September 17, 2011

PPSMI: Jangan Cuba Cetus Polemik Baru


PPSMI: JANGAN CUBA CETUS POLEMIK BARU

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada desakan PAGE dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM)  agar mempertimbangkan semula perlaksanaan dasar PPSMI secara pilihan di sekolah-sekolah meskipun telah dimansuhkan sejak akhir 2009 yang lalu.  Gesaan PAGE dan JMM agar diberikan "autonomi" kepada sekolah untuk memilih PPSMI adalah berdasarkan kajian mereka yang mendakwa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Walaupun menghargai keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh PAGE dan JMM dalam usaha mereka mengendalikan kajian tersebut, akan tetapi ABIM mendapati terdapat keraguan pada cara perlaksanaan dan hasil dapatan kajian tersebut yang boleh dipertikaikan kesahan dan kebolehpercayaannya.

Dalam hal ini, ABIM menyambut baik ketegasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Fuad Zakarshi yang menolak kajian yang dikemukakan oleh JMM atas faktor yang sama.  Selain itu, hujah PAGE untuk menyokong cadangan mereka pada kali ini adalah ulangan kepada hujah-hujah mereka sebelum ini yang telah dibahaskan dalam siri persidangan meja bulat yang lalu dan dimuktamadkan oleh Timbalan Perdana Menteri dengan pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 25 November 2009. 

Perkara seperti kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris, kecemerlangan subjek Sains dan Matematik, diskriminasi kepada golongan yang “beribundakan” Bahasa Inggeris dan ketidakkesanan kepada Perkara 152, Akta Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara telah dibidas dalam buku “Mengapa Kami Bantah” serta diambil pertimbangan sewajarnya dalam mempersiapkan dasar MBMMBI.     

Dalam perkembangan yang berkaitan, ABIM berpandangan bahawa cadangan pemberian kuasa "autonomi" memilih dasar kepada sekolah adalah kecelaruan terbesar dalam sistem pendidikan negara. Tidak ada autonomi bagi perkara dasar melainkan hanya dalam soal pentadbiran dan pengurusan sekolah seperti yang diamalkan di Sekolah Kluster.

Komuniti sekolah hanya sebagai pelaksana dan bersama memberi sumbang saran  dalam penggubalan sesuatau dasar tetapi tidak untuk memilihnya bagi kecenderungan tertentu. Hal ini mencabar kredibiliti Kerajaan khususnya Menteri Pelajaran dalam menentukan masa depan negara kerana ia tercorak dari dasar yang diperkenalkannya.   

Di samping itu, cadangan PAGE dan JMM tersebut akan menimbulkan konflik dan ketegangan sosial serta kesenjangan di kalangan rakyat apabila dua arus perdana ini bertembung dalam masyarakat. Ini akan menggagalkan usaha penyatupaduan rakyat seperti mana yang terkandung dalam matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Cadangan tersebut juga dilihat tidak munasabah kerana akan menimbulkan kesulitan di peringkat perlaksanaan, penilaian dan pemantauannya. Ia akan menimbulkan masalah dalam proses latihan dan penempatan guru, penyediaan bahan mengajar, penerbitan dan pengagihan buku teks, penggubalan dan pencetakan kertas soalan, dan yang lebih utama penilaian berpusat bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan awam.

Oleh itu, ABIM menyeru agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran tegas menolak kajian dan cadangan yang dikemukakan oleh PAGE dan JMM berdasarkan hujah yang dikemukakan.

ABIM juga berharap agar Kerajaan memberikan fokus kepada perlaksanaan dasar MBMMBI seperti mana yang telah diputuskan sebelum ini. ABIM percaya polemik ini tidak akan timbul sekiranya proses penggubalan dan perlaksanaan sesuatu dasar baru menuruti semua peringkat tapisan yang telah ditetapkan oleh pihak KPM tanpa sebarang kompromi.



Abu Qassim Nor Azmi

Ketua Biro Penerangan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Jumaat, September 16, 2011

wakaf Prof Khalijah untuk Kompleks ABIM Selangor


Tanda simbolik Waqaf prof. Khalijah
Bergambar kenangan bersama (wakil Kuala Langat yang hadir adalah YDP abim kuala langat (Radin), Abg Jak dan Kak Nisa)
Jambangan bunga untuk Prof. Khalijah <diterima oleh wakilnya, iaitu anak bongsunya, Saudara Aizad>
Penyerahan cenderamata tanda penghargaan
Prof Madya Dr. Shaharudin sedang memberikan ucapan
Antara yang hadir bersama
Haji Razif sedang memberikan penerangan mengenai perkembangan pembinaan sambil diperhatikan Abang Jak (Hj Salehuddin), AJK Dana.
Sedang asyik mendengar penjelasan dari ahli jawatankuasa kompleks yang hadir
Wakil keluarga Prof Khalijah bersama Kak Dib
Tanah wakaf cadangan pembinaan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor sebesar 5 ekar (Jalan Batu 8, Sijangjang)



16 September 2011, Sijangkang, Kuala Langat - Jam 9.00 pagi, jawatankuasa kerja ABIM Selangor bersama jawatankuasa pembangunan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor yang diketuai oleh Ustaz Zawawi selaku Timbalan Pengerusi jawatankuasa pembangunan kompleks telah berkumpul di tapak kompleks bersama menanti kehadiran wakil keluarga Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk majlis penyerahan waqaf Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk pembinaan satu komponen kompleks iaitu Rumah Kebajikan Dan Perlindungan Wanita Darul Wardah.

Beliau diwakili oleh anak bongsunya, Saudara Aizad menerima sedikit penerangan ringkas yang disampaikan oleh Haji Razif selaku jawatankuasa teknikal dan Us Zawawi sendiri. Kehadiran wakil Prof. Khalijah dalam jam 9.30 pagi diiringi oleh Profesor Madya Dr. Shaharuddin dan isteri. Ketibaan mereka disambut oleh Ustaz Hasri Harun selaku TYDP ABIM Selangor serta mewakili ABIM Pusat selaku Exco Tarbiyah.

Majlis penerangan dijalankan secara kecil-kecilan dan diikuti dengan beberapa ucapan dan bacaan doa. Majlis diteruskan dengan penyerahan cenderamata tanda penghargaan kepada Prof. Khalijah serta jambangan bunga tanda hadiah dan kasih sayang daripada penghuni Darul Wardah.

Majlis diakhiri dengan penanaman tunas buah kelapa sebagai simbolik penyerahan waqaf Prof Khalijah yang dilakukan sendiri oleh anak bongsu beliau. Kami di ABIM Selangor berasa amat terharu dengan majlis ini dan mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memberikan yang terbaik buat Prof Khalijah sekeluarga.

Majlis ini juga memberikan suntikan semangat untuk jawatankuasa pembangunan kompleks dan ABIM Selangor sendiri untuk terus gigih berusaha mengetuai usaha untuk membangunkan kompleks ini serta menjadi contoh di dalam mendepani isu-isu kebajikan, pendidikan serta sosial masyarakat hari ini. Semoga Majlis ini diberkati.

Isnin, September 12, 2011

Idealisme, aktivisme dan intelektualisme gerakan mahasiswa

Idealisme, aktivisme, dan intelektualisme gerakan mahasiswa
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin




Dalam kesibukan memenuhi undangan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai bersempena bulan Syawal dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, golongan pelajar merupakan golongan yang sibuk dalam menghadapi persediaan sama ada persiapan menduduki peperiksaan UPSR bagi pelajar sekolah rendah dan peperiksaan percubaan SPM bagi pelajar sekolah menengah. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ingin mengucapkan selamat maju jaya dan semoga berjaya kepada adik-adik yang sedang berjuang menghadapi musim peperiksaan ini.

Tidak dilupakan juga kepada golongan pelajar yang akan bergelar sebagai mahasiswa yang sedang mengikuti minggu orientasi atau minggu taaruf di universiti masing-masing. Ahlan wassahlan wa marhaban bikum dan selamat datang diucapkan kepada semua pelajar baru yang berdaftar pada kemasukan kali ini. PKPIM amat mengalu-alukan kedatangan para pelajar sebagai keluarga baru IPT. Tahniah kerana kalian sedang dalam proses melangkah ke arah fasa baru kehidupan yang akan mencorakkan hala tuju masa depan anda kelak. Sesungguhnya, kesyukuran kepada Ilahi perlu diperbanyakkan memandangkan anda merupakan insan yang terpilih berdasarkan kepada kejayaan menempatkan diri di menara gading.

Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun ini sebanyak 41,267 kekosongan yang boleh disii oleh calon yang memohon di seluruh Negara berbanding sebanyak 64,703 calon yang memohon tempat untuk mengikuti Program Ijazah Pertama bagi sesi akademik 2011/2012 di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada kali ini. Namun demikian, amanah ilmu yang bakal dipikul oleh mahasiswa perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Amanah ini tertakluk kepada mahasiswa baru mahupun mahasiswa lama yang baru menghabiskan percutian panjang akibat perubahan waktu sesi pembelajaran IPT pada tahun ini. Justeru, persediaan dan pembentukan ‘mind setting’ perlu digerakkan seoptimum mungkin memandangkan suasana pembelajaran di universiti sangat berbeza dengan keadaan sebelum ini di bangku sekolah.

Mahasiswa perlu cemerlang dalam pelbagai aspek terutamanya di dalam bidang akademik dan sahsiah. Mahasiswa perlu berdikari dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam menempuh proses pembelajaran di menara gading. Pergantungan mutlak mahasiswa kepada nota dan suapan maklumat para pensyarah semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan cemerlang akademik mahasiswa. Justeru, perlunya ada perubahan pendekatan dalam tindak tanduk mahasiswa supaya tidak hanya berjumpa pensyarah untuk menghantar kerja dan tugasan malahan mengambil peluang berjumpa pensyarah untuk bertukar-tukar pandangan dalam membincangkan beberapa isu yang melibatkan soal dasar dan polisi atau melibatkan isu-isu semasa dalam dan luar negara.

Selain itu, bahan bacaan mahasiswa perlu menjangkaui ruang lingkup bidang yang dipelajari dan tidak hanya terikat kepada nota-nota kuliah tetapi mahasiswa perlu didedahkan dengan bahan bacaan yang bertemakan falsafah, pemikiran dan karya-karya utama dunia tokoh-tokoh terkenal dunia. Dalam mendepani realiti semasa yang semakin ruwet dan mencabar memerlukan persediaan dan ketahanan yang ampuh dalam kalangan mahasiswa memandangkan terdapat banyak cabaran dan permasalahan semasa yang menyelubungi dunia hari ini. Sebagai contoh, pertembungan aliran pemikiran, krisis identiti, kecelaruan budaya, dan budaya hedonisme yang membarah merupakan cabaran semasa yang perlu ditangani secara hikmah oleh mahasiswa.

Justeru, mahasiswa perlu untuk menyiapkan diri dengan mengadunkan elemen idealisme, aktivisme, dan Intelektualisme dalam diri masing-masing. Elemen-elemen ini harus diadun secara seimbang, komprehensif dan bersepadu dalam mendidik dan membangunkan generasi mahasiswa yang diharapkan mampu mewarnai corak kepimpinan negara akan datang.

 Idealisme (Ketinggian Pemikiran) merujuk kepada pegangan atau prinsip fundamental yang dihayati lagi diamali. Ia berasaskan kepada dua perkara pokok iaitu Al-Amru bil Makruf atau kecintaan terhadap prinsip kebenaran, keadilan dan keharmonian dan yang kedua ialah Wan Nahyu ‘anil Mungkar atau kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kekacauan.

Aktivisme (kesungguhan usaha) pula merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan suatu proses yang harus berlandaskan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak negatif yang lebih memudaratkan. Melalui aktivisme inilah, akan lahirnya mahasiswa yang berintikan semangat pengorbanan dan perjuangan serta mempunyai nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi. Melalui Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaaan) 2008, kerajaan telah membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti persatuan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dalam elemen Intelektualisme (Keluasan Ilmu), ianya tidak hanya merujuk mahupun tergantung kepada kehebatan mahasiswa dalam memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan atau mempunyai angka yang tinggi di dalam sistem CGPA. Elemen intelektualisme ini bukan juga terbangun di atas kecenderungan mahasiswa untuk menjadi ulat buku dengan mengasingkan diri daripada cuba memahami dan menelaah apa yang berlaku di sekelilingnya. Tetapi intelektualisme adalah satu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktivitri yang mampu merangsang pemikiran kreatif dan kritis sehingga berupaya mencetuskan idea-idea baru sekaligus menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan yang praktis.

Akhirnya, sekiranya kesemua elemen idealisme, aktivisme, dan intelektualisme ini dibudayakan di peringkat mahasiswa, PKPIM yakin dan percaya bahawa masalah pengganguran dan ketidakboleh pasaran graduan tidak akan berlaku. Ini kerana, elemen yang dibudayakan ini turut mencakupi latihan kepimpinan, soft-skills dan ilmu-ilmu tambahan yang diperolehi di luar bilik kuliah. Mengambil kata-kata hikmah Almarhum Bapak Nasir mantan Perana Menteri Indonesia, beliau ada menyebutkan bahawa: “Tiada percetakan dalam kepimpinan. (lantaran) pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”


Penulis adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/press-unedited/5344-idealisme-aktivisme-dan-intelektualisme-gerakan-mahasiswa)

Khamis, September 08, 2011

Kembara Remaja Nafas Baru 1.0





Surat Kebenaran Ibu Bapa Penjaga KRNB 1.0 Lampiran a Surat Kebenaran Ibu Bapa KRNB 1.0 Borang Pendaftran KRNB 1.0