Rabu, November 30, 2011

Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekali lagi mengulangi bantahannya terhadap penggubalan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 di parlimen semalam. ABIM menilai penggubalan undang-undang ini seakan tidak menghiraukan sensitiviti serta pandangan yang diketengahkan oleh pelbagai pihak  berhubung implikasi negatif yang bakal dicorakkan menerusi kelulusan undang-undang ini.
Dalam hal ini, ABIM amat menyesali  sikap tertutup kerajaan yang enggan membicarakan penggubalan rang undang-undang ini secara terbuka dan meluas sambil membabitkan konsultasi awam dan suara masyarakat sivil di negara ini.
ABIM memandang keengganan tersebut bertentangan samasekali dengan komitmen keterbukaan yang menjadi intipati agenda perubahan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan  di bawah kepimpinan Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Razak.

ABIM menanggapi pendekatan tersebut tidak lain dan tidak bukan, seakan menzahirkan wujudnya agenda “pembebalan”  ke atas masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi, dengan menutup serta menafikan sama sekali  ruang ekspresi bersuara  di kalangan rakyat.  Adalah amat menyedihkan kerana ia hanya akan menghalang kepada perkembangan wacana demokrasi dan kenegaraan yang sihat serta progresif di negara ini.

Demokrasi merupakan intipati penting kepada perkembangan sesebuah negara maju. Lunas-lunas demokrasi meraikan sebarang perbezaan pendapat dengan menjamin kebebasan bersuara di peringkat akar rumput. Demokrasi juga merupakan wahana penting yang merapatkan jurang di antara rakyat dan pemerintah  menerusi komunikasi dua hala rakyat-pemerintah dan rakyat-pemerintah.

Kelulusan rang undang-undang perhimpunan aman 2011 sekaligus menafikan fungsi serta potensi demokrasi itu sendiri sebagai agen perkembangan ekonomi dan politik di negara ini. Adalah amat malang amalan demokrasi dinafikan di atas nama prerogatif menjaga ketenteraman awam, walhal ia (demokrasi) merupakan wahana paling berpengaruh dalam menjamin keamanan serta kestabilan politik di sesebuah negara!

Menilai implikasi-implikasi tersebut, ABIM ingin mengulangi gesaan agar rang undang-undang ini ditarik balik. ABIM juga menggesa pihak kerajaan agar bersikap terbuka terhadap sebarang teguran serta mengadakan konsultasi awam sebelum menggubal sebarang undang-undang di masa akan datang!

AMIDI ABD MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan: