Selasa, Mei 29, 2012

Orang Muda, Perubahan dan Jihad

Menjadi orang yang biasa tetapi kotak fikir diri sentiasa berfikir secara luar biasa. Natijah kepada tindakan adalah juga luar biasa. Bukan bermakna lebih baik, bukan juga bermakna tidak baik; bukan itu soalnya. Yang pelik dan jelik, bukan bermakna salah. Yang pelik barangkali membawa obor kebenaran yang tidak pernah diungkaikan sebelum ini. Bukankah nabi SAW adalah pelik dengan membawa ajaran untuk mentauhidkan Allah. Sedangkan sebelum itu, bertuhan banyak dengan mentaati dan menyembah nenek moyang adalah tradisi yang patut dan sepatutnya diikuti tanpa banyak soal. Adalah lebih pelik dengan membawa fenomena masyarakat membaca sedangkan dalam waktu itu terbatas dengan masyarakat oral semata-mata. Itulah kisah pelik dalam masyarakat.Yang utama dan penting, carilah kebenaran waima pelik sekalipun di mata manusia.

Orang muda perlu menjadi kelompok umat perobah umat. Kelompok yang berfikir di luar minda kebiasaan dengan tekad mencari dan menegakkan kebenaran dan keadilan sosial. Fikir secara besar. Fikirkan dan capai keadilan sosial agar terbina suasana yang mampu membantu diri menjadi lebih baik dan akhirnya menjuarai kebenaran dan keadilan individu. Dengan kata lain, hak individu atau istilah yang popular, hak asasi individu hanya akan dapat diperjuangkan setelah keadilan umat dapat dilunaskan. Menjadi orang berbeza bukan kerana ingin berbeza. Tapi, biasanya, yang benar itu tidak popular. Yang popular itu biasanya tidak benar. Yang majoriti itu biasanya ada yang tidak kena. Biasanya begitu. Bukan pastinya begitu, cuma biasanya saja. Pendek kata, jangan mudah gembira apabila berada dalam kelompok ramai. Tidak pula bermakna minoriti itu benar. Ramai atau sedikit sebenar-benarnya tidak memberikan apa-apa makna dalam soal mencari kebenaran dan keadilan.

Sejarah manusia tertulis bahawa dunia berubah atas tangan kelompok muda. Baik dari awal mula Adam sehinggalah dunia melihat kebangkitan rakyat Arab yang barat memanggil sebagai Arab Spring, satu konotasi yang menunjukkan lonjakan maksimum apabila ditekan-tekan sebegitu rupa. Begitu juga dengan sejumlah sejarah tamadun besar dunia yang lain. Orang muda adalah kunci kepada perubahan umat. Dengan kata lain, orang muda perlu bawa agenda perubahan. Orang muda harus dan perlu sinonim dengan perubahan; Tradisi orang muda adalah berubah! Bukan sekali-kali mengekalkan tradisi orang yang pernah muda dahulu pada tika mereka sudah tua. Justeru, suatu tamadun perlu bimbang sekiranya orang muda mereka tidak mahu berubah dan peduli dengan umat mereka. Apa lagi apabila membawa budaya suka-suka atau hedonisme yang mana juga adalah budaya lama masyarakat jahiliah yang rosak dan merosakkan umat.





Justeru, perubahan apa yang membawa kepada kemajuan yang mana menjurus kepada kebenaran dan keadilan? Sudah tentu jawapannya ada di dalam Al-Quran. Memahami bahawa perkara pertama yang diwahyukan kepada Nabi SAW adalah berkenaan dengan membaca. 'Bacalah dengan nama Tuhanmu.." dan seterusnya sehinggalah 'yang mengajar dengan pena'. Perhatikan dengan teliti; tema yang dibawa adalah membaca. Perhatikan isu umat pada tika itu; jelas adalah isu kemunduran, perpecahan, dan tiada ilmu baru dicipta dengan mengekalkan amalan nenek moyang mereka. Umat pada waktu itu adalah umat lisan. Umat yang menghafal dan berpuisi apa yang mereka dengarkan, dan diperturunkan kepada generasi selepas itu dan begitulah seterusnya.

Sehinggalah nabi SAW membawa desakan untuk membaca. Baca apa kalau tiada apa yang hendak dibaca. Maka, seterusnya didesak juga dengan menghasilkan ilmu dan mengajar ilmu dengan bahan bacaan yang ditulis; analoginya adalah dengan menggunakan pena. Suatu alatan yang sangat penting bagi merekod dan menterjemah sebarang maklumat yang berlaku dalam minda, melalui proses berfikir. Melalui panca indera, ditambah dengan panduan syariat serta contoh ar rasul, maka, akan terhasillah dan terciptalah makna yang meresapi ruh manusia atau apa yang dipanggil ilmu. Apa sahaja isu yang timbul dalam masalah umat, jawapannya ada dalam Al-Quran. Quran bukan sekadar di baca dan dialunkan dibibir, malah untuk difikirkan sedalam-dalamnya dalam konteks tertentu dalam isu umat. Konklusinya, perubahan kepada kebenaran dan keadilan adalah perubahan yang berlandaskan kepada pemikiran dan seterusnya diterjemahkan kepada tindakan. Tindakan yang berpaksi kepada kebenaran dan keadilan sudah pasti membutuhkan pertolongan Illahi; Itulah manifestasi jihad. 


Tiada ulasan: