Jumaat, Ogos 31, 2012

Fitrah & Huriyyah (Kebebasan) Asas Kebangkitan Umat

Fitrah & Huriyyah (Kebebasan) Asas Kebangkitan Umat
Oleh: Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Aidilfitri secara harfiahnya boleh difahami sebagai hari meraikan fitrah. Fitrah yang dimaksudkan ialah fitrah keinsanan yang sudah disucikan daripada pencemaran selepas tewasnya hawa nafsu selama sebulan akibat daripada kekangan kelaparan. Hawa nafsu yang keterlaluan perlu ditewaskan jika kita inginkan pengembalian potensi kemanusiaan dalam diri kita.

Fitrah adalah satu perkataan yang mempunyai kaitan dengan perubahan. Malik Ben Nabi dalam mengemukakan teori ketamadunannya, menggelarkan kelompok yang berupaya menggerakkan sebuah kebangkitan semula sejarah sesuatu bangsa dengan gelaran Rajul al-Fitrah. Rajul al-Fitrah dicirikan dengan daya ubah yang tinggi selain semangat berdikari yang kental.

Generasi ini tidak mudah berpuas hati dengan keadaan dimiliki hari ini. Mereka sentiasa berusaha memperbaiki diri, baik dari sudut ilmu dan kemahiran. Mereka lebih bersikap reseptif dalam mempelajari sesuatu, mahupun menerima idea perubahan.

Generasi ini juga amat dekat dengan persekitaran. Menggunakan segala manfaat yang boleh diambil daripada persekitarannya dan mampu menggunakan kreativiti bagi menghasil produk baru.


Generasi Rajul al-Hadarah

Lawan kepada generasi ini digelar oleh Malik Ben Nabi sebagai Rajul al-Hadarah. Generasi ini adalah generasi yang selesa dan senang dengan kenikmatan hidup hari ini. 

Generasi ini dicirikan dengan kemalasan untuk berusaha dalam memperbaiki diri. Malah untuk keselamatan dirinya pun diletakkan kepada pihak berkuasa atau pun pihak lain yang dirasakan patut bertanggungjawab.

Generasi ini tidak mahu bersusah payah mempelajari ilmu dan kemahiran baru dan menolak segala bentuk idea baru yang dirasakan boleh menggugat keselesaan kehidupan seharian mereka.

Golongan inilah yang akhirnya akan menjerumuskan sesebuah tamadun ke dalam fasa kemerosotan yang dicirikan dengan kematian idea. 

Generasi ini juga mempunyai sifat materialistik yang keterlaluan terhasil akibat kegagalan memahami situasi atau keadaan yang melampaui batasan fizikal.

Inilah maksud yang lebih mendalam apabila dilihat dalam konteks ketamadunan manusia daripada kalimah fitrah itu sendiri. Fitrah mestilah berupaya menghasilkan perubahan diri ke arah kebaikan; Mampu melahirkan manusia tulus mengakui kelemahan dirinya dan terlindung daripada pencemaran keangkuhan. 

Fitrah juga mestilah mampu menyucikan segala bentuk kemalasan dan mampu menghijrahkan diri ke martabat lebih tinggi lagi.

Gandingan fitrah dan huriyyah

Apabila gandingan perayaan antara fitrah dan huriyyah (kemerdekaan), ia menjadi lebih besar maknanya. Ia sepatutnya menjadi suatu perayaan yang mengangkat karamah insaniah (kemuliaan insan) ke tahap sepatutnya.

Manusia yang kembali kepada fitrahnya adalah manusia yang berjaya memerdekakan dirinya daripada sebarang kekangan yang boleh merendahkan martabat keinsanannya. Justeru, hari kemerdekaan yang bakal menjelma ini wajar kita jadikan satu hari untuk melakukan muhasabah. Merenung masa depan sebuah negara dan tamadun.

Jika kita ingin menjadi generasi pencetus kebangkitan sebuah tamadun, kita perlu menghilangkan rasa selesa dengan keadaan hari ini dan bangun bergerak ke arah lebih baik. Generasi muda mesti keluar daripada zon selesa dan mula mengubah diri dengan potensi fitrah yang terbina sepanjang Ramadan lalu.

Peringatan kepada kita

Jangan kita alpa dan lalai kerana masa tidak pernah menunggu kita. Rasa selesa dengan keadaan hari ini secara keterlaluan akan membuatkan kita lambat untuk berubah. Guna suasana selesa ini untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik. Bukankah semangat Ramadan menuntut kita agar terus menambah dan memperbanyakkan amalan apabila menuju ke penghujungnya?

Jangan kita leka dengan kemerdekaan negara yang kita peroleh hari ini. Kita hanya merdeka dari segi pemerintahan dan pentadbiran tetapi kita masih terjajah dari sudut ekonomi apabila kita hanya sebagai penumpang bukan pemain global dari sudut ekonomi dunia. K

Kita juga masih perlu membina pelbagai kemahiran dan kepakaran jika kita benar-benar ingin bebas dari sebarang penguasaan asing.

Begitu juga dengan penjajahan pemikiran yang secara keseluruhannya menguasai dunia Islam hari ini. Inilah perjuangan kemerdekaan generasi muda hari ini. 

Lengkapkan diri kita dengan ciri Rajul al-Fitrah jika kita benar-benar cintakan sebuah kemerdekaan.

Tiada ulasan: