Isnin, Jun 21, 2010

Guru tiada masa untuk keluarga

GOLONGAN guru ibarat dian yang membakar diri. Tanpa guru sudah pasti surat atau e-mel ini pun tidak dapat ditulis oleh saya. Ada pandangan sinis mengatakan guru sudah ada cuti sekolah yang panjang sebagaimana murid mereka setiap tahun sedangkan guru perlu bertugas sepanjang tahun bagi meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa menurut arahan pengetua atau guru besar.

Peranan guru bukan setakat memikirkan masalah murid yang puluhan orang di sekolah, malah ada yang termimpi-mimpi akan prestasi keputusan peperiksaan utama yang bakal keluar kelak. 

Jika prestasi merudum, alamat kelas tambahan akan bertambah-tambah dan masa guru terutama guru wanita dengan anak-anak dan suami akan semakin berkurang pada tahun depan. Pengetua juga perlu memikirkan bagaimana mahu meningkatkan prestasi pelajar pada waktu belajar dari jam 7.40 pagi hingga 2 petang.

Pada ketika penjawat awam lain sedang kelam-kabut menuju ke tempat mesin perakam waktu, guru-guru kita sudah sampai ke sekolah seawal jam 7 pagi lagi. Jika lewat, alamat sesi pembelajaran turut bermula lewat. Apabila setiap Sabtu pun perlu bekerja, apa pula nasib anak-anak dan suami atau isteri yang tidak sempat bersama untuk menghabiskan masa senggang.

Perlu diingat, guru juga seorang ibu dan bapa, juga anak kepada ibu bapanya yang sudah tentu mempunyai tanggungjawab moral dan agama untuk dipenuhi. Namun, jika masa mereka habis di sekolah kelak akan jadi seperti pepatah, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.’

Maka perlu ada ruang untuk semua guru mendapat cuti setiap Sabtu dua kali sebulan dan setiap pengetua perlu memperkasakan pengajaran di waktu pejabat supaya kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum tidak selalu diadakan setiap Sabtu. 


Sewajarnya gelaran sekolah berprestasi tinggi (SBT) tidak menjadi faktor pendesak kepada pengetua dan guru besar untuk memperhebatkan usaha mencapai tahap itu. Ini akan menjadikan guru subjek teras untuk peperiksaan akan lebih tertekan untuk memperbanyakkan kelas dan latih tubi yang akhirnya menjadikan mereka sibuk 24 jam membuat kertas soalan dan modul lebih mesra pelajar. Jika sekolah mencapai tahap terbaik, apa faedahnya kepada guru yang hilang banyak masa dengan keluarga mereka.

Guru juga adalah manusia yang mempunyai had kesihatan tertentu. Jika keringat mereka diperah, takut mereka hilang minat untuk mengajar akibat keletihan fizikal dan minda. Kita sedia maklum ada sekolah aliran lain menetapkan masa bekerja guru mereka dari jam 7 pagi hingga 4 petang. 



Jika Sabtu pun mereka terpaksa bekerja, bayangkan bila mereka dapat mendidik anak sendiri dengan lebih berkesan. Takut nanti kera di hutan kenyang disusukan, anak di rumah merintih merayu untuk mendapatkan perhatian.

Justeru, masanya sudah tiba untuk kita lebih empati dengan masalah guru yang bekerja demi kecemerlangan anak-anak murid mereka. Cabaran SBT perlu disahut oleh pengetua dan guru besar dengan lebih rasional. Memang wujud sekolah yang lemah dalam pencapaian, maka perlu sekolah itu dibantu secara menyeluruh oleh setiap Jabatan Pelajaran daerah dan jangan membiarkan rencana setiap pengetua dan guru besar memberi kesan domino negatif kepada guru-guru yang mempunyai keterbatasan minda dan fizikal.

Cuti memang penting sebagai masa guru melapangkan dada dan fikiran daripada memikirkan masalah di sekolah.

Inilah masa ibu bapa mengambil alih sekejap tugas seorang guru dengan mengajar anak-anak mana yang perlu. Jangan jadikan guru sebagai pengajar sepenuh masa hingga masa rehat mereka turut menjadi mangsa kita.
ABDUL RAZAK IDRIS
Banting





(Sumber :http://www.hmetro.com.my/)


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah:
1) Sepanjang masa ibubapa mengharapkan anak-anak mereka dididik oleh guru, sama ada di sekolah, atau di pusat-pusat tusyen. Harapan secara tidak langsung dan tersembunyi adalah untuk anak-anak ada perkara yang positif dilakukan; apabila musim cuti sekolah, yang mana ibu bapa bekerja di luar rumah. Ada juga yang membawa anak-anak ke pejabat apabila musim cuti sekolah.


2) Yang anehnya, ada semacam satu bentuk tugasan atau tanggung jawab sepenuh masa sudah jadi separuh masa (part-time). Kerja sepenuh masa, tapi, ibu bapa separuh masa. (full time workers but part time parents); terutama apabila anak-anak lebih masa bersama kawan-kawan mereka, guru-guru dan pembantu rumah daripada bersama ibu bapa mereka. Ironinya, kerja yang dikejar itu bertujuan untuk kesenangan supaya menjadi ibu-bapa sepenuh masa kelak. 


3) Yang tiada dalam perencanaan, pada waktu kesenangan seperti bakal menjelma, ibu-bapa juga sudah tiada lagi dalam hati mereka. Inilah bebanan dan hasil daripada permasalahan institusi rumah tangga pada hari ini. Akhirnya, berlakulah kerosakan yang dahsyat dalam komuniti dan keseluruhan masyarakat.


4) Guru-guru juga sedar akan hal ini. Waktu mereka untuk bersama keluarga dan sekaligus mendidik umat, seharusnya diberikan ruang dan sokongan yang lebih, bukan semata-mata atas kejayaan anak-anak masing, malah lebih kepada penghargaan dan kualiti yang terbaik dari guru kepada murid semasa proses P&P dalam waktu persekolahan. Bebanan yang tidak perlu disamping sasaran yang tidak munasabah dengan segala macam istilah yang janggal, sememangnya menyusahkan dan tidak menyumbang kepada kualiti insaniah hakiki. Mungkin ia menyumbang kepada orientasi peperiksaan yang gemilang, dengan IQ atau pencapaian akademik yang hebat, namun hakikatnya, murid, atau anak-anak ini kosong jiwanya serta tiada matlamat ukhrawi yang akan membawa mereka menjadi insan kamil yang sebenar.


5) Al-hasil wal-asal, segala kelemahan, kecacatan, dan kebobrokan sosial akan dipalit semula kepada guru-guru yang berhempas pulas bersama dengan murid. Sudahlah kebersamaan dengan keluarga masing-masing semakin berkurang, ditempelak pula dengan sedemikian rupa, akhirnya kerjaya Keguruan akan dilihat semakin lekeh dan tidak dipandang sebagai cita-cita mulia lagi. Maka, akan menanglah agenda Yahudi untuk menjauhkan umat ini dengan ilmu dan kecintaan kepada ilmu. Yang jauh, semakin jauh.... 

Tiada ulasan: