Selasa, Jun 15, 2010

hadiah 50 sen untuk guru

“Tak payahlah bagi hadiah untuk cikgu kali ini.” Kata ayah apabila saya memberitahunya bahawa kawan2 semua sudah ada hadiah untuk diberikan kepada cikgu kami pada hari terakhir sekolah. Ayah terus melukis tanpa memandang muka saya. Saya tidak menjawab. Saya faham, ayah tidak ada duit pada waktu itu.
Saya  memandang duit 50 sen dalam genggaman. Itulah saja yang ada dalam simpan saya. Apalah yang boleh dibeli dengan duit sebanyak itu. Rasa sedih, malu, rendah diri, semua menyelubungi perasaan. Kalaulah saya kaya, saya akan belikan hadiah besar untuk cikgu. Tinggal 3 hari lagi jamuan perpisahan. Semua rakan2 dalamkelas sibuk bercerita tentang hadiah untuk cikgu. Ada yang  membeli sendiri, ada yang berkongsi.
Semasa berjalan pulang dari sekolah dengan 2 orang  rakan sekelas, tiba2 kedua2 rakan itu masuk ke sebuah kedai di Pasar Minggu Kg. Baru. Saya menunggu saja di luar. Mereka membelek2 kerongsang dalam kedai itu.  Mereka berbisik2 berdua. Tiba2 salah seorang berkata, “Neli, awak nak kongsi beli hadiah, tak, utk cikgu?”
“Nak juga, tapi duit kita cuma ada 50sen.” Jawab saya dengan lurus.
“Harga kerongsang ni 12 ringgit. Kita orang tak cukup duit. Kalau awak bagi duit 50 sen tu nanti kita tulislah nama awak juga pada hadiah tu.” Katanya2 membuat saya gembira.
Saya menyeluk kocek baju sekolah dan memberikan duit 50 sen kepada kawan itu.
Saya pulang ke rumah dengan rasa lega. Besok saya bukanlah satunya2 anak murid yang tidak memberi hadiah kepada cikgu kelas. Biarlah cikgu tahu saya juga sayang dan menghargai jasanya. Hari itu semasa kawan2 rancak  bercerita tentang hadiah untuk cikgu, saya pun tidak rasa terasing lagi kerana sudah sama dengan mereka…..”Kita pun dah ada hadiah untuk cikgu. ”
Masa untuk murid2 menyampaikan hadiah masing2 sudah tiba. Cikgu menerima hadiah dari murid2 sambil membacakan nama pemberinya. Apabila menerima hadiah kerongsang, cikgu hanya menyebut nama 2 orang rakan saya. Kedua2 rakan itu menoleh kepada saya dan salah seorang berkata, “Awak cuma bagi 50sen, kami bagi 6 ringgit. Tak acilah nak tulis nama awak sama.”
Sedih bukan kepalang. Benarlah seperti yang saya jangkakan,  hari itu memang benar sayalah satunya2 anak murid yang tidak memberi hadiah kepada cikgu. Duit 50 sen yang berikan untuk membeli hadiah cikgu rupanya tidak ada harga. Saya hanya menundukkan muka kerana malu dan sedih.
Semasa menghulur tangan untuk salam perpisahan dengan cikgu, airmata saya berlinang tetapi masih mampu berkata,
“Maafkan saya cikgu. Saya tak beri apa2 pada cikgu. Saya janji akan belajar bersungguh sampai berjaya masuk universiti.” Cikgu cuma senyum.
Rupanya itu memang benar2 salam terakhir kami dan saya tidak pernah bertemu dengannya lagi. Cikgu tidak pernah tahu duit 50 sen untuk membeli kerongsang itu. Cikgu pun mungkin tidak pernah tahu apa yang saya capai selepas itu. Semuanya hasil rentetan pengalaman hidup sebagai pelajar miskin.  Biarlah ia menjadi kenangan dan pengajaran yang bermakna.
Apabila saya menjadi guru, saya berpesan kepada anak2 murid, “Jangan beli apa2 untuk cikgu. Cukuplah hadiahkan cikgu dengan doa dan usaha gigih kalian. Usaha gigih untuk cikgu, kejayaan untuk  kalian, puji-pujian untuk ibubapa. ”
Tetapi mereka masih memberi juga sehinggalah sekarang. Sudah berkotak2 hadiah kenangan2 dari murid2 yang tidak ada tempat sempurna untuk diletakkan.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Cikgu doakan anak-anak didik cikgu semua berada dalam keadaan terbaik dan sentiasa berusaha untuk menjadi hamba Allah dan Khalifah terbaik di atas muka bumi ini.
2) Perubahan ke arah kebaikan; niatkan setiap amalan ibadah perubahan baik itu untuk disedekahkan kepada guru kita, sebagai bekalan mereka di akhirat sana... 
3) 3 perkara yang akan dibawa sehingga ke alam kubur, iaitu doa anak soleh kepada kedua ibu bapanya, sedekah jariah, amalan ibadah yang bermakna dalam hidup. 

Tiada ulasan: