Selasa, Januari 31, 2012

Hayati Keunggulan Konsep Wassatiyyah

Kesederhanaan atau wasatiyyah adalah identiti agama Islam. Islam mengajar penganutnya agar mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan tanpa sebarang tokok tambah yang menyusahkan. Dalam Islam sesuatu yang menyusahkan bukanlah sesuatu yang terbaik. Maka sebab itulah kita dianjurkan untuk segera berbuka puasa dan melewatkan pula sahurnya. Begitu juga dalam ibadah yang lain. Ini dapat kita perhatikan apabila teguran yang Nabi Muhammad s.a.w berikan kepada sekumpulan sahabat yang mahu mengekang nafsu dari berkahwin, tidak mahu berbuka apabila berpuasa dan mengharamkan diri dari memakan daging yang halal.

Baginda mengingatkan, kepada mereka, sedangkan Baginda sendiri seorang Nabi, Baginda berkahwin, berbuka apabila berpuasa dan memakan daging yang dihalalkan. Lantas Baginda memberikan penegasan bahawa sesiapa yang tidak menyukai sunnah Baginda dia bukanlah terdiri dari umat Nabi Muhammad. Wasatiyyah dalam Islam bukan terhenti sekadar pada ibadah semata-mata, tetapi juga dari sudut pemikiran, akidah dan akhlak. Kesederhanaan menjadikan Islam itu indah dan mampu menarik manusia untuk mendekatinya. Menakrifkan kesederhanaan atau wasatiyyah bukanlah mudah. Ini diakui sendiri oleh Ibnu Maskaweh yang menyatakan: “Sesungguhnya sukar menentukan pertengahan itu dan berpegang kepadanya setelah ,menetapkannya”

Wasatiyyah juga bukanlah bererti menghindari segala bentuk tindakan yang agresif. Baik bersifat persendirian mahupun berkumpulan. Peperangan bagi menuntut hak dan mengembalikan kebenaran ditempatnya adalah satu tindakan yang masih lagi dalam ruang lingkup wasatiyyah. Golongan yang tertindas apabila bangkit menentang kezaliman tidaklah dianggap sebagai golongan pelampau dalam Islam.

Menentang segala ketidakadilan dan penindasan adalah suatu tugas yang wajib dilaksanakan oleh setiap kaum muslimin. Malah membebaskan puak yang tertindas dan dizalimi amat dituntut oleh Islam. Wasatiyyah juga bukan bermaksud menerima kedua-dua pandangan yang berada pada dua hujung yang saling bertentangan. Menerima segala-galanya demi menjaga hati dan menjauhi kemarahan mana-mana pihak. 

Mencampur adukkan kebenaran dan kebatilan bukanlah ciri wasatiyyah Islam yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam perlu memelihara prinsip dengan tegas dan jangan sesekali membenarkan prinsip ajaran Islam diperkotak- katikkan dengan mudah. Inilah yang sering disalah tafsir oleh masyarakat Barat. Mereka mahukan konsep wasatiyyah selari dengan pandangan hidup yang moderat.

Mereka melabelkan sesiapa sahaja yang berpegang teguh dengan ajaran agama sebagai fundamentalis yang ekstrem. Pada mereka muslim yang moderat adalah muslim yang mengamalkan agama Islam seperti kacamata mereka terhadap agama Kristian. Kristian hanya pada nama, bukan amalan dan kepercayaan. Mereka dengan bangga menyatakan I’m a Christian, but I’m not going to the church every Sunday. Pada mereka cukuplah sekadar ada agama tapi untuk mengamalkannya jauh sekali.

Mereka dengan segera dan rakus melabelkan pejuang jihad sebagai ekstremis. Walau apa pun alasannya, jihad adalah satu keganasan. Mereka dengan penuh rasa benci menyatakan bahawa Islam adalah agama peperangan. Kalimah jihad mesti dihapuskan dari kamus ajaran Islam. Bagi mereka moderat adalah kelompok yang berfikiran terbuka dan menerima apa saja dari siapa sahaja tanpa kayu ukur kebenaran. 

Kebenaran bagi mereka bersifat relatif bukan sesuatu yang muktamad. Kebenaran diukur menerusi citarasa dan sokongan majoriti. Pada mereka pula segala pandangan yang bersumberkan kitab suci agama yang mengenepikan pilihan atau kecenderungan manusia adalah tidak moderat dan tertutup. Justeru apabila kita berbicara mengenai wasatiyyah ia adalah satu konsep yang jauh dengan terjemahan moderat dalam masyarakat barat.

Kita mesti berpegang dengan keutuhan konsep wasatiyyah yang dianjurkan oleh Islam. Konsep wasatiyyah adalah konsep yang murni bagi memelihara karamah insaniyah yang tinggi. Bagi memastikan konsep wasatiyyah ini dapat dipelihara dan diamalkan oleh masyarakat, maka satu agenda diperlukan bagi menghapuskan sebarang bentuk belenggu yang bercirikan pembodohan dan pembebalan. Ini kerana sifat bodoh dan bebal akan menjerumuskan kita ke lembah ketaksuban dan kehancuran. Ia mengingkari konsep wasatiyyah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Amidi Abd Manan
(Sumber: http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/342-pertahankan-keunggulan-konsep-wassatiyyah.html)

Tiada ulasan: