Khamis, Disember 15, 2005

Tanggungjawab amanah


Dalam hidup, kita sebenarnya tertakluk dan terikat dengan tanggungjawab. Malah, semenjak dalam rahim ibu lagi, kita telah berjanji untuk memikul satu tanggungjawab, iaitu untuk menjadi Muslim, mengEsakan Allah taala, dan mengaku Muhammad sebagai rasul Allah. Barangkali, ramai juga yang sudah terlupa. Sekarang, bila usia sudah meningkat dewasa, kehidupan dunia sudah banyak menjadikan kita semakin jauh dan lupa kepada tanggungjawab yang telah lama kita janjikan dulu.

Sedihnya bila memikirkan bila usia semakin meningkat, semakin hampir dengan kematian... Amalan kebaikan pula merangkak-rangkak berbanding dengan amalan kejahatan yang berlari ke hadapan. Takut memikirkan siapa yang menang dan akan sampai dahulu ke destinasi. Ganjaran bila menang, akan mendapat manifestasi yang ekstrim. Ironinya, bukan kepada pemenang, tetapi kepada diri pengamal.

Tanggungjawab kepada diri sendiri, kepada ibu-bapa, kepada keluarga, kepada kerjaya, kepada masyarakat, kepada bangsa, kepada negara dan kepada agama. Rasanya, kalau setiap itu dipecahkan lagi dan diperhalusi, tak terkira tanggungjawab yang masih belum selesai. Lebih teruk, tak terfikir pun lagi. Bukankah hidup ini sementara? Sementara maknanya sekejap. Jadi, begitu banyak perkara hendak dilakukan dalam masa yang sekejap. ‘so much things to do in so short time’. Nah, berkhayal lah sekarang... kalau yakin ada masa...

Orang kata, tanggungjawab sama ertinya dengan amanah. Mungkin ada kebenarannya sekirannya kita melihat dari aspek nilai murni. Contohnya, sekiranya kita berkerja di sekolah sebagai cikgu, tanggungjawab kita adalah sebagai pendidik untuk mendidik anak bangsa seadilnya. Maka, tanggungjawab itu adalah amanah. Walaubagaimanapun, sekiranya seorang perompak mendapat arahan bosnya untuk merompak bank dengan jayanya, maka sudah menjadi tanggungjawab untuk mengikut perintah bos untuk menjadi berjaya. Dalam hal ini, perompak mempunyai tanggungjawab tetapi itu bukannya amanah! Amanah adalah murni dan mempunyai nilai yang sangat tinggi. ‘It is a virtue’.

Kesimpulannya, soal amanah adalah soal kemurnian. Nilai murni yang tinggi akan menentukan tanggungjawab itu amanah. Maka, dalam hidup ini, penuhilah masa dengan memenuhi tanggungjawab amanah!


(ditulis pada 20/11/2005)