Selasa, Disember 28, 2010

PEERS - pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial



KPM telah melaksanakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) sejak 1989 di sekolah menengah dan sejak 1994 di sekolah rendah, khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan secara merentas kurikulum mata pelajaran lain seperti bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Istilah “Pendidikan Seks” tidak digunakan sama sekali dalam konteks pendidikan di Malaysia kerana ia memberi konotasi yang negatif dalam kalangan masyarakat kita. Istilah “Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial” digunakan susulan daripada kelulusan Kabinet pada 20 Disember 2006 untuk menggantikan nama “Pendidikan Kesihatan Keluarga” (1989 – 2002) dan “Pendidikan Seksualiti” (2003 – 2005) yang digunakan sebelum ini.

Kurikulum Pendidikan Kesihatan terdiri daripada elemen PEERS (75%), pemakanan (15%) dan pertolongan cemas (10%). Kandungan PEERS dalam Pendidikan Kesihatan digubal berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran. Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko.
PEERS merangkumi :

· Kesihatan diri dan reproduktif
- aspek perkembangan dan perubahan fizikal, fisiologikal serta psikologikal semasa akil baligh, dan penjagaan kesihatan reproduktif.

· Penyalahgunaan bahan
- kesan buruk pengambilan bahan berbahaya iaitu rokok, dadah, inhalan dan alkohol, serta kemahiran berkata TIDAK.

· Kemahiran pengurusan mental dan emosi
- kemahiran pengurusan konflik dan stres dalam diri, keluarga, rakan sebaya dan masyarakat.

· Kekeluargaan
- kepentingan institusi perkahwinan, kekeluargaan, peranan dan tanggungjawab ahli dalam keluarga.

· Perhubungan
- kepentingan etiket perhubungan dan kemahiran interpersonal yang positif dalam persaudaraan serta persahabatan.

· Pencegahan penyakit
- pengetahuan dan kemahiran mengurus kesihatan daripada penyakit berjangkit, tidak berjangkit, genetik, keturunan dan mental.

· Keselamatan
- langkah-langkah keselamatan diri di rumah, sekolah, taman permainan dan tempat awam, serta akta perlindungan bagi kanak-kanak, gadis dan wanita, termasuk kemahiran keselamatan diri iaitu mengelak diri daripada ancaman orang yang tidak dikenali dan orang yang perlu dihubungi jika berlaku gangguan, ancaman serta kecemasan.

PEERS memberi kesedaran dan membantu murid membentuk pandangan yang positif tentang kesihatan reproduktif dan sosial, menyediakan maklumat yang perlu diketahui supaya mereka mengambil berat tentang kesihatan seksual, dan membantu mereka memperoleh kemahiran membuat keputusan yang bertanggungjawab pada masa kini serta masa depan.

Peka kepada keperluan terhadap PEERS yang dilaksanakan melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan, maka kurikulum Pendidikan Kesihatan sentiasa disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Bermula tahun 2011, Pendidikan Kesihatan akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran dan tidak bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain. Sebelum ini Pendidikan Kesihatan digabung dengan Pendidikan Jasmani dan diajar sebagai mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK). Pendidikan Kesihatan diberi peruntukan satu waktu (30 minit) setiap minggu bermula dengan Tahun 1 pada tahun 2011.

PEERS adalah satu proses sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan dan membentuk sikap, nilai serta kepercayaan terhadap identiti, perhubungan dan keintiman sesama insan. PEERS mencakupi pengetahuan dari aspek biologikal, sosiobudaya, psikologikal dan kerohanian ke arah amalan tingkah laku yang sihat dalam kehidupan dan tidak hanya berfokus kepada isu seksual. Contohnya, skop PEERS dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan pada Tahap Satu sekolah rendah merangkumi topik perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata TIDAK kepada sentuhan tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.

Adalah menjadi hasrat KPM untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan seterusnya merealisasikan kejayaan PEERS. Kejayaan ini memerlukan penggemblengan usaha dan kerjasama berterusan daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dalam mendidik anak dengan maklumat dan pengetahuan PEERS yang sempurna. Justeru, KPM ingin menjelaskan bahawa dalam konteks pendidikan di Malaysia, kita menggunakan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang mana singkatannya ialah PEERS. PEERS dilaksanakan secara komprehensif dan kohesif dari sekolah rendah hingga sekolah menengah untuk meningkatkan kesedaran dan membantu murid memperoleh kemahiran membuat keputusan yang bijak serta bertanggungjawab pada masa kini dan masa depan.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Tiada ulasan: