1 JUN 2011 : Dekad rerfomasi menampilkan ramai wira; selain protagonisnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak kurang penting peranannya lebih sedekad yang lalu adalah Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Presiden PAS.
Pada 2 September 1998, negara terkejut dan keliru. Menyusuri tahun-tahun 1990-an dengan igauan memalukan seperti seorang menteri besar membawa wang tunai sebegitu banyak ke Australia, seorang menteri dituduh mencabul perempuan di bawah umur, dan tentunya pemecatan, pembataian, pemenjaraan tanpa bicara, penghadapan ke mahkamah dan pemenjaraan Anwar.
Dalam keadaan negara terkejut dan keliru melihat seorang bakal perdana menteri dihina sebegitu rupa oleh pucuk pimpinan negara, ramai yang bersimpati dengan Anwar termasuk Fadzil yang terkenal dengan geralan Ustaz Fadzil.
Fadzil dan Anwar mempunyai tali persahabatan panjang sejak hari-hari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekitar tahun 1970-an sehingga nama anak perempuan sulung Anwar, iaitu Nurul Izzah, diberikan oleh pemimpin PAS itu.
Namun hubungan sedemikian tidak dikongsi oleh banyak pihak dalam PAS. Mereka masih tidak puas hati dengan penglibatan Anwar dalam UMNO sejak awal 1980-an. Mereka melihat tidak ada keperluan untuk tampil mempertahankan Anwar.
Tidak dapat dinafikan, selama tempoh 16 tahun Anwar berada dalam kerajaan Barisan Nasional, beliau menjadi musuh politik PAS. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamadmengambil Anwar pada 1982 sebagai jawapan beliau ke atas agenda kebangkitan Islam yang dibawa oleh PAS.
Pada hari sejarah hitam Anwar dipecat dari semua jawatan dalam kerajaan atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa, liwat dan kaki perempuan, Fadzil menjadi satu-satunya pemimpin PAS yang berani mengambil tindakan yang betul.
Beliau menziarahi Anwar, pada masa itu masih di kediaman rasmi kerajaan, untuk memberi sokongan moral. Fadzil tidak memaklumkan rakan-rakan PAS mengenai pertemuannya itu. Beliau menutup telefon bimbitnya dan tiada siapa yang boleh menjejakinya pada malam itu. Para pemimpin PAS hanya mengetahui perkara itu menerusi akhbar keesokan harinya. Beberapa hari selepas itu, menurut Subky Latif dalam catatannya, semasa mesyuarat jawatankuasa pusat parti, Fadzil disoal “seolah-olah berdepan dengan tribunal.”
Fadzil mengambil risiko politik dan peribadi yang besar dengan membawa dirinya dan PAS untuk bersama dengan Anwar. Malah, ia tidak terhenti di situ sahaja. Fadzil bertindak menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) – badan yang menjadi jambatan di antara parti-parti politik dan NGO; dan satu daripada dua perintis kepada Barisan Alternatifbersama Gagasan Demokrasi Rakyat – tanpa kelulusan jawatankuasa pusat PAS.
Kedua-dua gagasan itu ditubuhkan pada 27 September 1998, seminggu selepas Anwar ditahan. Walau pun Anwar adalah simbol reformasi, Fadzil adalah tokoh yang melaksanakan idealisme reformasi itu dengan menyediakan pentas untuk rakyat menyuarakan sokongan.
Kesannya, walau pun dibantah oleh sebahagian besar pemimpin PAS, mereka gagal menyekat kesan pengaruh Anwar terhadap parti itu. Usaha Fadzil ternyata melangkaui fahaman dan pendirian kebanyakan pemimpin PAS ketika itu. Tindakan berani Fadzil ternyata berjaya dan berbaloi.
Rakyat khususnya orang Melayu marah dengan tindakan zalim Mahathir terhadap Anwar. Ada yang keluar UMNO untuk mencari platform politik baru. Anak-anak muda Melayu yang belum pernah berparti pula turut melihat PAS sebagai alternatif.
PAS menggandakan keahliannya pada akhir 1998. Antara tahun kelahirannya pada 1951 hingga akhir 1980-an, PAS yang mempunyai 300,000 ahli, telah meningkat kepada 450,000 pada Oktober 1998. Pada 1999, PAS mempunyai 1 juta keahlian.
Lidah rasmi parti, Harakah, meningkatkan edaran daripada zaman pra-reformasi sebanyak 72,000 naskhah sewaktu pilihan raya kecil Arau pada Julai 1998 kepada 380,000 naskhah pada tahun 1999, menyumbang pendapatan besar kepada tabung parti.
Perubahan-perubahan ini akhirnya menyumbang kepada prestasi luar jangkaan parti pada pilihan raya umum 1999. PAS menawan 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi negeri.
Fadzil mungkin bukan pemidato yang paling karismatik dalam ceramah-ceramahnya. Namun beliau adalah seorang tokoh strategi di samping pengasas pakatan yang memainkan peranan besar dalam penubuhan Barisan Alternatif.
Selepas pilihan raya 1999, Fadzil mengingatkan PAS bahawa keputusan teruja itu bukan bukti sokongan positif terhadap pendirian PAS tetapi lebih kepada undi negatif kepada UMNO.
Ketika itu juga bangkit persoalan Negara Islam. Walau pun atas nama yang sama, soal prinsip dan ciri-cirinya berbeza di antara Fadzil yang lebih bersikap inklusif dan beberapa pemimpin lain dalam parti yang lebih tertutup dalam kefahaman mereka terhadap tafsiran Negara Islam.
Malangnya, sebelum sempat isu Negara Islam diselesaikan dengan baik, Fadzil telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. beliau meninggal dunia pada usia 65 tahun pada Jun 2002.
Mungkin apa yang akan berlaku jika hayatnya masih ada, isu rumit itu akan dapat dihuraikan dengan cara yang lebih teratur dan diterima ramai atas kepakaran strategi dan kesabaran Fadzil. Ia mungkin lebih telus dan kurang mengelirukan.
PAS tidak mendapat sambutan sehebat 1999 apabila bertanding dalam PRU 2004. Ia hilang banyak kerusi termasuk Terengganu yang dirampas semula oleh BN. Kerusi Parlimen PAS pada masa itu tinggal 7 manakala DUN 36.
Perginya Fadzil merupakan satu kehilangan besar dalam politik negara. Di mana masyarakat masih diikat dengan politik kaum dan agama – walau pun sudah ada tanda-tanda kematangan demokrasi di kalangan rakyat masa kini – Fadzil telah sedikit-sebanyak mendahului zamannya.
Sumber:
Artikel ini ditulis oleh Liew Chin Tong yang merupakan Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, disiarkan di laman web Roketkini.com
----------------------------------------:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::------------------------------------------
Fikrah:
1) Pembacaan autobiografi seperti ini terutama tokoh-tokoh sebegini sangat sukar didapati secara terbuka dalam dunia melayu Malaysia. Pelik dan ironi apabila berlaku dalam dunia negara Islam(yang telah diwartakan sebagai negara Islam semenjak zaman Tun Mahathir lagi)!
2) Allahyarham Ustaz Fadzil adalah sahabat seusrah ABIM bersama dengan Alfadhil Prof Dr. Razali Nawawi, DS Anwar Ibrahim, dan lain-lain sahabat generasi pertama ABIM pada awal penubuhannya, iaitu pada tahun 1970-an. Maka, adalah suatu yang sangat mengharukan apabila melihat persahabatan dan ukhuwah yang terbina sejak zaman muda masing-masing menjadikan diri dan personaliti masing-masing semasa dewasa sangat berfikrah walau berbeza pendekatan dan persada.