Memaparkan catatan dengan label tarbiyah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tarbiyah. Papar semua catatan

Isnin, Mei 13, 2013

Kisah Pejuang: Ibarat bulan dan matahari

Oleh: Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man


Seorang pejuang bernama Nasrudin Abduh yang terkenal dengan kejujuran dan amanahnya telah berjumpa dengan Tok Gurunya Ustaz Nik Ibrahim.

“Mengapa ana masih berasa tidak tenteram dan memandang rendah pada diri sendiri? Ana dah berjaya mengharungi pelbagai kegagalan, dan melakukan kebajikan dan menyelamatkan mereka yang lemah dan tertindas. Tapi apabila melihat Tok Guru, ana rasa masih tidak setanding Tok Guru,” kata Nasrudin.

“Tunggu sekejap. Lepas ana jumpa semua yang datang melawat hari ini, ana bagikan jawapan,” jawab Ustaz Nik Ibrahim.

Nasrudin melihat bagaimana Tok Guru menyambut semua yang melawatnya dengan senyuman dan penuh kesabaran sehinggalah matahari terbenam.

Selepas semua pelawat dah tiada, Nasrudin cepat-cepat bertanya, “Apa jawapannya Tok Guru?”

Tok Guru memimpin tangannya ke padang. Mereka berdua duduk melihat bulan yang penuh memancar dalam ketenangan.

“Nampak tak bulan itu? Cantik tak? Ia akan menjaga sepanjang malam sehinggalah subuh menjelma, di mana matahari pula akan bersinar,” kata Ustaz Nik Ibrahim.

“Tapi cahaya matahari lebih cerah, dan boleh menunjukkan segalanya dengan terang untuk ditatapi mata kita – pokok, gunung mahupun awan. Ana pun dah berfikir lama: Mengapa tidak pernah kedengaran bulan berkata: Mengapa saya tidak boleh seterang matahari?” tambah Ustaz Nik Ibrahim lagi.

“Sudah tentu tidak,” jawab Nasrudin. “Matahari dan bulan adalah dua benda berbeza – kedua-duanya mempunyai kecantikan sendiri. Tak boleh banding antara dua.”

“Anta sudah jumpa jawapannya. Ana dan anta adalah dua orang berlainan, kita sama-sama membantu orang ramai dalam cara yang kita tahu supaya dunia ini menjadi tempat lain lebih baik dan Islam didaulatkan. Yang lain adalah sampingan sahaja termasuklah jawatan,” jawab Ustaz Nik Ibrahim.

“Putus asa adalah kegagalan sebenar. Ingat itu,” tambah Ustaz Nik Ibrahim.

Nasrudin tersenyum. Mulai hari itu, beliau tidak lagi cuba membandingkan dirinya dengan Tok Guru – sebaliknya membuat segala perkara dan melawan segala kemungkaran dengan caranya tersendiri.


Fikrah:
1. Walaupun tanpa jawatan, kerja-kerja kebajikan dan lawan kemungkaran harus diteruskan. Jangan putus asa. Kerana itu titik noktah suatu perjuangan.
2. Setiap kita punya cara kita atas kapasiti kita sebagai individu yang penuh kepelbagaian antara kita dan orang lain. Justeru, penuhi hikmah kepelbagaian sesama kita untuk melengkapi ruang yang diberi oleh Allah taala untuk terus berbakti dan mengabdi cara kita untukNya.

Apa yang penting, adalah terus berbakti dan berbudi!

Rabu, Mei 08, 2013

Tazkirah: Model Politik Yusuf as

1. Yusuf as telah melalui kesusahan smjk berumur 12thn. Dikhianati oleh saudara kandungnya.. Justeru, apa sangat kalau dibandingkan dgn pengkhianatan sahabat...

2. Yusuf as lebih rela berada di penjara bagi mengelak fitnah imran aziz, dan memohon namanya dibersihkan.. Bukan sekadar jasadnya dibebaskan. Justeru, kebebasan sebenar adalah apabila maruah karamah insaniah terpelihara.

3. Penjara boleh ditransformasikan menjadi school of Yusuf, usaha dakwah walau di mana. Sehingga dirinya menjadi naqib dan kaunselor, disayangi oleh seluruh penduduk penjara, dan diluar penjara.

4. Yusuf as mempamerkan dan mempromosikan kekuatan dirinya sebagai hafizun alim.. Bagi meyakinkan pemerintah agar memilihnya sebagai perdana menteri / menteri kewangan / penguasa di negeri kafir, presiden kafir... Maka, dlm ideal politik, menerangkan kelebihan calon adalah penting bg mendaptkn keyakinan pengundi / penguasa.

5. Mendapatkan kerjasama rakyat walaupun negara kafir penting bagi membina negara. Dlm konteks dunia Islam, mendapatkan sokongan kafir juga penting bg menjana politik yg diilhamkan dan ingin dibawa oleh Yusuf as.

6. Model ekonomi Yusuf dengan ilham Illahi menunjukkan betapa kemakmuran ekonomi penting dan seiring dengan kemakmuran politik, dan kemakmuran politik sangat bekait rapat dgn kemakmuran ekonomi. Justeru, pemimpin yg mahir dlm ekonomi punya integriti dan kepercayaan kredit lebih sbg pentadbir negara.

7. Manifesto Yusuf, resepi Yusuf as dlm menjana ekonomi walau nampak sukar dilaksanakan dlm budaya ekonomi sedia ada yg sangat membudayakan pemborosan, boleh dilaksanakan dgn komitmen politik dan sokongan pemerintah.

Wallahualam..

NOTA:
Di atas adalah catatan tazkirah oleh Ustaz Siddiq Fadhil pada 2 Mei 2013 di KDH.

Jumaat, April 12, 2013

Umat Islam Perlu Tolak Amalan Politik Lucah, Fitnah, Ganas Dan Rasuah!

Umat Islam Perlu Tolak Amalan Politik Lucah, Fitnah, Ganas Dan Rasuah!

Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13) bakal menyaksikan persaingan sengit di kalangan parti-parti politik utama di negara ini. Keadaan in berlaku berasaskan kepada tanggapan bahawa pilihanraya ini bakal mencatatkan hitam putih ataupun jatuh bangun negara pada masa akan datang. Signifikasi sedemikian telah mengundang minat dan perhatian yang meluas dari pelbagai lapangan serta golongan masyarakat.

Justeru,kami secara serius menanggapi PRU 13 ini tidak sahaja dianggap semata-mata sebagai pertembungan untuk mengundang populariti dan kejayaan Siyasiy. Sebaliknya pilihanraya ini memberi makna sangat mendalam ke arah membentuk budaya politik serta sosio budaya rakyat di negara ini.

Kami menegaskan perlunya kita bersama: parti politik, pemimpin masyarakat, ‘alim ulama’, intelektual, pengamal media dan rakyat seluruhnya, berusaha mendaulatkan demokrasi yang bersih dan beretika. Dari itu, kami selaku wakil Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama di negara ini ingin mengetengahkan empat saranan utama untuk umat Islam sempena PRU 13 ini:

MENOLAK BUDAYA POLITIK FITNAH

Dalam era di mana “Politic With Brain” mula menjadi sebutan dan dambaan ramai, kami ingin menggesa agar umat Islam di negara ini menolak sama sekali amalan politik fitnah. Gesaan ini bersandarkan pada ayat ke-58 Surah Al-Ahzab yang berbunyi:

"Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata."

Kami ingin melahirkan keprihatinan kami terhadap berleluasanya budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini. Walaupun ia membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat. Umat Islam perlu mengetengahkan pendirian ini agar hak mereka selaku rakyat tidak dikesampingkan dengan pembodohan berupa fitnah yang tidak mempunyai apa-apa signifikasi terhadap kehidupan mereka, sebaliknya membawa kerosakan kepada masyarakat.

MENOLAK AMALAN POLITIK LUCAH

Kami menggesa umat Islam untuk menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mendulang populariti siyasiy dalam jangka pendek. Kami memandang berat amalan mencipta video, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina (ke atas seseorang) sewenang-wenangnya di khalayak ramai. Kami mengajak umat Islam untuk merenung pengajaran yang dikemukakan menerusi rangkaian ayat-ayat Al-Qur’an seperti:

Orang-orang yang membuat pertuduhan palsu terhadap wanita mu’minah , Muhsanah yang alpa mereka dilaknat di dunia dan di akhirat . Untuk mereka disediakan azab yang sangat besar.
(An- Nur: 23)

dan

Orang-orang yang menyakiti mu’min lelaki dan mu’minah wanita mengenai perkara-perkara yang mereka tidak melakukannya maka mereka telah melakukan pembohongan dan dosa yang jelas nyata
(Surah Al Ahzab : 58)

Sesungguhnya fitnah zina adalah perbuatan yang sangat keji di sisi syariat Islam. Para pelaku serta pendukung amalan politik lucah ini akan mengundang laknat berpanjangan selaku golongan Fasiq yang ditolak kesaksian mereka selama-lamanya. Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media.

Adalah amat mendukacitakan dalam esak tangis kita meratapi keruntuhan moral di kalangan anak muda Islam (terutama sekali amalan zina yang berleluasa), amalan tersebut dijadikan sebagai modal rujukan untuk mencapai sesuatu perkara atau maksud!

MENOLAK AMALAN POLITIK SAMSENG

Kami menyeru umat Islam untuk menyatakan penentangan mereka secara jelas terhadap amalan politik ganas yang sering mewarnai politik negara semenjak kebelakangan ini. Pilihanraya seharusnya diraikan sebagai hari kebesaran rakyat. Seharusnya rakyat dibiarkan untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk diri mereka tanpa sebarang ancaman fizikal dan mental.

Demokrasi membolehkan persaingan dan perbezaan politik dilangsungkan secara aman. Amalan politik ganas merupakan bentuk kezaliman dan penindasan yang perlu ditolak samasekali berasaskan kepada firman Allah s.w.t menerusi Surah Al-Maidah ayat ke-8:

Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwa kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

MENOLAK AMALAN RASUAH DAN PERAS UGUT

Kami menyeru umat Islam untuk menolak serta menafikan sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas mereka. Sesungguhnya amalan itu bertentangan sekali dengan fitrah illahi yang telah menetapkan kebebasan mutlak manusia ke atas segala apa yang dikurniakan menerusi firman-Nya berbunyi:

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Al-Isra: 70)

Amalan rasuah serta peras ugut yang diterjemahkan menerusi pendekatan stick & carrot adalah amalan politik tidak berperikemanusiaan. Allah s.w.t telah mengurniakan ruang sebebas-bebasnya terhadap segala ciptaan-Nya di dunia ini. Manusia hanyalah pemegang amanah serta tidak menzalimi serta menafikan hak yang lain untuk menikmatinya.

Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa. Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka.

Adalah menjadi harapan agar umat Islam dapat menyuarakan dengan tegas dan jelas akan pendirian ini. Sesungguhnya terbentuknya "baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” bergantung kepada persekitaran serta masyarakat sesebuah negara.

Justeru kami menganjurkan agar umat Islam di seluruh negara sempena dengan PRU 13 ini untuk sama-sama menunaikan solat hajat secara individu serta berjamaah khususnya di sepertiga malam. Partisipasi pada penggerak masjid serta surau amat dihargai untuk mempermudahkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan tersebut.

Kurnia rahmat serta keberkatan Illahi dalam amalan berpolitik hanya akan terjelma sekiraya umat Islam menolak sebarang amalan politik yang melangkaui batas yang dilandaskan syariah. Semoga PRU 13 ini akan menjelmakan amalan politik murni yang tiada celanya terhadap pemikiran serta sosio budaya umat Islam serta rakyat di negara ini.

http://www.ustream.tv/recorded/31327137

Isnin, Februari 18, 2013

Bersederhanalah dalam Perbezaan

Tidak ramai orang yang akan sama pemikirannya dengan kita. Ada masa tertentu mungkin boleh bersetuju. Ada ketikanya pada masa yang lain kita akan berbeza dalam perkara yang tidak terjangka. Sekalipun terdedah dengan suasana pendidikan yang sama silibusnya, perbezaan itu tetap akan ada. Tidak juga mustahil, sekalipun berbeza latar belakang pendidikan, kesepakatan dalam pendapat boleh wujud tanpa dipaksa.

Maka, kita jangan hairan kalau hari ini kawan yang selalu bersama dengan kita akan bertukar menjadi lawan. Demikian juga bukan perkara ajaib jika lawan yang kita tentang habis-habisan akan segala perkara yang berkaitan dengan dirinya akan menjadi kawan sejati dalam perjuangan. Yang sama atau berbeza itulah dinamakan sebagai prinsip pegangan.

Lumrah inilah yang akan kita saksikan di mana-mana pentas sejarah kemanusiaan. Berbeza itu fitrah. Sepakat juga fitrah. Jika fitrah yang satu ini kita hendak nafikan, bagaimana manusia ingin meninggikan tamadun dan tahap pemikirannya?.

Perhatikanlah, hak berfikir itu tertakluk kepada setiap insan. Juga hak memutuskan sesuatu terletak kepada hasil fikirannya. Malah, tindakannya pula bergantung kepada apa yang telah diputuskannya. Bayangkan, jika berfikir, memutuskan dan bertindak itu dikawal oleh sistem yang wujud di luar lingkungan dirinya, apa faedahnya kurniaan ‘aql oleh Tuhan kepada manusia?

Satu campur satu bersamaan dengan dua. Ini adalah cara berfikir yang biasa.
Tetapi, enam tolak empat juga bersamaan dengan dua. Boleh jadi dua ditambah kosong juga menghasilkan jawapan yang sama. Ini adalah cara berfikir di luar kerangka pemikiran biasa. Hasilnya sama tetapi yang membezakannya ialah proses dalam menghasilkan jawapan.

‘Proses’ itu yang seringkali ditempuh secara sambil lewa. Proses itu juga kadangkala dipandang rendah oleh segelintir mereka yang berfikirnya hanya lurus bendul sahaja.

Walhal, ‘proses’ itulah yang mematangkan diri dan menjadikan kita mampu untuk berdikari. Proses itu jugalah yang menjadikan kita hormat kepada prinsip, pendirian dan pandangan orang lain. Hormat kita kepada orang lain, mengundang pula hormat orang lain kepada diri kita.

Demikian juga kita ingin bahagia dalam hidup. Bahagia itu letaknya di jiwa. Apa guna harta berkoyan-koyan jika tidur pun sudah tidak nyenyak?. Justeru, jiwa yang bahagia itu prosesnya pada merdeka dalam berfikir, membuat keputusan dan bertindak.

Sekalipun mempunyai ijazah yang professional, tetapi jiwa bahagianya ditemui ketika mengajarkan anak-anak kecil, tidak salah jika diteruskan langkahnya. Kerana jiwanya bahagia apabila dapat menyumbang dalam usaha memanusiakan manusia.

Oleh yang demikian, jiwa yang bahagia dalam kerjanya, hasilnya langsung memuaskan dan sudah pasti bukan sekadar biasa-biasa. Kerana pada kerjanya yang membuahkan bahagia itu, dilimpahkan usaha yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi supaya tidak mengundang sinis mereka yang lurus-lurus itu.

Lalu, jangan pernah kita meremehkan pendirian-pendirian orang. Tentu sekali kita boleh berbeza. Berbeza yang seharusnya diertikan dengan maksud yang betul. Dalam kerangka pemikiran yang tidak menafikan lunas-lunas agama dan prinsip ‘ilmu. Maka, yang tidak harus itu ialah memaksakan orang lain agar sependapat dengannya. Itu namanya menghina kemuliaan ‘aql kurniaan Ilahi. Juga dianggap memandang hina kepada prinsip karamah insaniyyah.

Penting sekali untuk kita ingat, bersederhanalah dalam sebarang perbezaan. Tolaklah kesalahan dengan baik dan sampaikanlah kebaikan dengan hikmah. Hal ini kerana kebenaran itu tidak selamanya akan berada di samping kita. Tidak salah untuk kita mengaku kalah tetapi harga diri tetap tinggi. Boleh jadi musuh kita pun terkadang ada juga benarnya. Mungkia kita tidak sedar, kita sebenarnya saling melengkapkan. Maka, hendaklah kita membuat pilihan yang terbaik dalam meneguhkan pendirian. Firman Allah ‘azzawajalla dalam surah Az-Zumar ayat 17 dan 18 yang bermaksud:

17.  Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira, sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba- hamba-Ku 18.  Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal (ulul-albab).

(Tulisan ini diambil daripada blog saudara Ukasyah iaitu http://soutulfaizin05.blogspot.com/)
 
MUHAMMAD UKASYAH AZHARI
Penolong Setiausaha 2
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Catatan Usrah: Harta dunia; harta akhirat

Naqib: Dato’ Shakir Husein Khalid

Maksud Surah 23. Al-Mu’minun, Ayat 115:
Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
 
  1. Ayat ini memberikan satu mesej yang jelas bahawa matlamat kehidupan kita adalah sebagai menyambung misi Rasulullah SAW. 
  2. Seseorang itu dianggap lari dari kehidupan yang sebenarnya apabila: 
    1. Adanya perasaan tamak yang dilayan. 
    2. Kelalaian dan kerakusan yang diberikan usaha yang lebih. 
    3. Ketaatan kepada Allah SWT dan RasulNya yang ditinggalkan 
  3. Mengumpul harta sebagai satu-satunya matlamat hidup merupakan satu kerja yang sia-sia tetapi mengumpul harta adalah untuk dimanfaatkan. 
  4. Ramai yang membesarkan rumah mereka di dunia tetapi tidak ramai yang membesarkan rumah mereka di akhirat, sedangkan kehidupan ini merupakan kehidupan yang sementara. 
  5. Bayangkan, sebagai contoh, orang yang sedang bermusafir dan apabila berhenti di suatu tempat untuk bermalam sementara, maka dipasangkannya khemah buat berteduh.  Adakah orang tersebut akan berhabis-habisan dan bersungguh-sungguh untuk menghias khemahnya sedangkan dia tahu bahawa dia hanya singgah di situ untuk satu malam sahaja? 
  6. Tamak yang dilayan adalah seseorang yang meletakkan segala usahanya semata-mata untuk duniawinya.  Mereka lupa matlamat asal kehidupan. 
  7. Orang yang cuba meluaskan dunia ini untuk dirinya sahaja menyangka bahawa mereka sudah berbuat baik tetapi sebenarnya tidak banyak membantu mereka di akhirat kelak dan di sisi Allah tidak bernilai.  Namun, sekiranya ia meluaskan dunia ini untuk dimanfaatkan oleh orang lain demi hal-hal yang berbentuk kebaikan, maka sesungguhnya dia telah meluaskan penginapannya di akhirat. 
  8. Perkara yang menjadi kayu pengukur masuknya seseorang ke syurga adalah atas dasar ketaqwaannya dan kehambaan mutlak kepada Allah. 
  9. Kata-kata Saidina Umar al-Khattab, Taqwa adalah umpama kamu berjalan penuh hati-hati di dalam hutan yang penuh dengan duri dan onak, supaya tidak terpijak duri dan onak tersebut.  Sudah tentu kita akan berjaga-jaga ketika berjalan kerana khuatir duri tersebut akan mencederakan kaki kita. 
  10. Kekuatan yang ada hanyalah pada Allah dan jadilah hamba-hambaNya yang terbaik!
  Respon

  1. Dunia ini sebagai bekalan untuk akhirat.  Carilah seberapa banyak harta di dunia tetapi gunakanlah ia buat pelaburan di akhirat, carilah harta untuk Islam. 
  2. Hakikatnya, ketahuilah bahawa sesungguhnya “harta sendiri” adalah apa yang dibelanjakan kepada jalan Allah SWT di mana ianya membawa manfaat besar buat kita di akhirat kelak tetapi “harta yang ditinggalkan” apabila kita mati, merupakan “harta waris”.
 

Catatan Usrah; Pendakwah: Tuntutan Amanah

Pendakwah: Tuntutan Amanah
Oleh: Dato’ Shakir Husein Khalid (Bendahari MRA)
 
  1. Sebagai pendakwah, tahu satu, sampaikan satu. Tahu dua, sampaikan dua. Jadilah orang yang sentiasa menyeru orang lain ke jalan Allah.
  2. Dalam hidup, kita bawa 3 perkara atau modal iaitulah nyawa, akal dan iman.  Inilah amanah yang Allah berikan kepada kita.  Jangan sesekali kita mempersia-siakannya.
  3. Kenapa Allah beri amanah itu?  Maknanya Allah SWT memberi peluang untuk kita membesarkan syurga kita di akhirat kelak.
  4. Adakah pilihan untuk tidak membuat dakwah? Kita tiada pilihan untuk terkecuali daripada melaksanakan kerja-kerja dakwah.
  5. Amanah bermaksud dari segi bahasa ialah aman, tenteram dan bahagia.
    1. Kepercayaan yang diberi oleh seseorang kepada seseorang yang lain atas perkara yang baik.
    2. Pikullah amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
  6. Maksud hadith, “Rezeki ini akan mencari kamu di mana sahaja kamu berada, sama seperti ajal mencari kamu walau di mana kamu berada.
  7. Kenapa perlu dakwah? Dakwah perlu sebab ianya sebagai usaha untuk menyelamatkan diri daripada azab Allah SWT.  Konsepnya, hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. 
  8. Antara tujuan utama berdakwah adalah bagi menyelamatkan diri kita dan ummah daripada azab Allah SWT.  Kisah bagaimana orang yang berada di dasar kapal, sekiranya mahu air, mudah sahaja, tebok kapal tersebut tanpa perlu meminta orang di bahagian atas kapal untuk mengambil air.  Maka dapatlah air tetapi sesungguhnya akhirnya semuanya dalam kapal itu akan tenggelam kerana kapal akan karam. 
  9. Perhatikan “bahasa” yang digunakan oleh Allah SWT iaitu bahasa alam, bahasa manusia dan bahasa makhluk seluruhnya. 
  10. Sebagai dai, kita mesti faham bahasa masyarakat yang ingin kita dakwahkan. 
  11. Kerja dakwah adalah wajib kerana bagi memenuhi sifat mukmin yang sejati.  
  12. Bergembiralah dengan nikmat iman yang kita kecapi. 
  13. Perlu berdakwah untuk membezakan diri kita daripada orang munafik. 
  14. Kecapi nikmat-nikmat lain seperti nikmat muda sebelum tua dan lain-lain. 
  15. Mustafa Masyur ada menyebut bahawa kecapilah nikmat dan nilai hidup sebelum mati. 
  16. Maksud hadith, “Semua perkara akan ditinggalkan di dunia bila kita mati kecuali doa daripada anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat yang diajarkan.” 
  17. Tunaikan amanah walau di mana sahaja kita berada.  Amanah Allah SWT kepada kita ialah untuk kita uruskan dunia ini dengan sebaik-baiknya, sesuai dengan amanah sebagai khalifah Allah SWT di bumi. 
  18. Seseorang yang komited mengamalkan sunnah Nabi SAW, maka Allah menyelamatkan kehidupannya di dunia dan akhirat. 
  19. The more you give, the more you get.  Pindahkan daripada hakmilik sementara kepada hakmilik kekal, antaranya ialah dengan melaksanakan infaq. 
  20. Masa hidup inilah buat sebanyak mungkin amal buat bekalan di hari kemudian kelak.  
  21. Pelaksanaan kerja-kerja dakwah juga adalah sebagai mewarisi cara kehidupan Rasulullah SAW.  Malangnya, ketika ini, sebagai contoh, mereka yang terus menerus membuat mungkar seperti dalam dunia hiburan “diangkat” dan dipopularkan dengan diberikan liputan yang luas seolah-olah inilah pejuang umat. 
  22. Rezeki walau sedikit tetapi sekiranya berkat, itulah yang lebih baik. 
  23. Dakwah: Memastikan keutuhan ummah. 
  24. Islam itu dikembangkan dengan akhlak Rasulullah SAW, bukannya dengan pedang
Respon:
  1. Apa beza antara baraqah dan rezeki?
    1. Rezeki: Allah mudahkan sesuatu.
    2. Kalau kita tidak mengecapinya sekarang, generasi akan datang akan mengecapinya. Itu dinamakan baraqah.
    3. Laksanakanlah sunnah-sunnah kecil apatah lagi sunnah-sunnah besar.
    4. Mari kita kejarkan baraqah ini sepenuhnya
  2. Bagaimana untuk dapatkan baraqah?
    1. Caranya mesti ada perasaan zuhud dan cintakan kepada Allah SWT.

Rabu, Januari 09, 2013

Catatan Usrah: Pendidikan, manusia dan melayu

Catatan Usrah
  1. Konsep usrah adalah belajar secara bersama. 
  2. Kita mesti mendidik semula diri kita 
  3. Ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan yang sedia ada. Ada perkara yang dirasakan tidak cukup. Sebagai contoh, kita dilatih sebagai seorang doktor perubatan, tetapi kita tidak betul-betul dilatih sebagai seorang manusia. 
  4. Sistem kita tidak mementingkan watak manusia tetapi mementingkan otak manusia. 
  5. Maka jadilah atau lahirnya manusia yang berotak tetapi tidak berwatak dan berakhlak. 
  6. Apa yang dipentingkan oleh kebanyakan orang sekarang ialah kecemerlangan akademik. 
  7. Subjek pengajian Islam sendiri telah terheret kepada exam oriented bukannya penghayatan, pengamalan dan pengabdian diri kepada Allah. 
  8. Kita mesti cinta kepada ilmu dengan memahami konsep menuntut ilmu itu sebenarnya. 
  9. Kalau sekadar mahu mengisi otak sahaja, maka kita akan lupa. Sebagai contoh, mereka yang sudah lama berkerjaya, cuba ambil peperiksaan SPM sekarang, maka pastinya tidak boleh lulus semuanya dengan cemerlang. 
  10. Usahakan cinta kepada ilmu. 
  11. Dimensi kemanusiaan yang ada pada diri kita dilihat seolah-olah telah hilang. 
  12. Konsep keinsanan dalam watak manusia tidak sama dengan penemuan sains manusia. 
  13. Manusia dalam Al-Qur`an adalah makhuk yang dimuliakan oleh Allah dalam hembusan roh Ilahi. 
  14. Manusia dalam ilmu moden tidak ada konsep ini. 
  15. Sesungguhnya yang menjadikan manusia makhluk yang terbaik kerana adanya hembusan roh Ilahi di dalamnya. Inilah ciri keinsanan yang asasi. 
  16. Apabila Adam dicipta atau dibentuk daripada tanah, ianya tidak dibiarkan oleh Allah sebagai tanah sahaja tetapi dihembuskan dengan roh kemudiannya. 
  17. Kejadian ini difahami oleh para malaikat tetapi diingkari oleh para iblis. 
  18. Ketika disuruh sujud kepada Adam, malaikat sujud tanda hormat tetapi diingkari oleh iblis kerana merasakan dirinya yang dijadikan dari api lebih mulia daripada manusia yang dijadikan daripada tanah. 
  19. Jangan ditanya bagaimana caranya roh tersebut dihembus masuk ke dalam diri manusia. 
  20. Juga, jangan sesekali menghina anak manusia kerana dalam dirinya ada roh hembusan Ilahi. 
  21. Makhluk-makhluk lain tidak menjalani proses hembusan roh Ilahi sepertimana yang dialami oleh manusia, sebab itu manusia layak menjadi khalifah di dunia ini. 
  22. Profesor Syed Husein Nasr menyebut bahawa sains moden menganggap manusia sebagai earthly bound man - manusia yang sudah tertambat atau terikat atau terlekat di bumi.  Kalau begitu, apa bezanya manusia dengan iblis. 
  23. Maka kerana itulah kita kena reeducate atau mendidik semula manusia untuk membina jadi diri kemanusiaan pada diri manusia itu sendiri. 
  24. Sebab itu, yang berhak mendapat human right adalah human. 
  25. Akhirnya, ada sesuatu yang asas dalam sistem pendidikan kita yang tak kena. 
  26. Krisis kelemahan kemanusiaan ini sedang berlaku secara berleluasa. 
  27. Masalah ketamadunan manusia sekarang yang dilihat sebagai makhluk mulia yang tidak dikenali lagi yang adanya roh hembusan Ilahi. 
  28. Manusia kini dilihat sebagai kehilangan ciri-ciri kemanusiaannya. 
  29. Seorang budayawan atau seniman di Indonesia, Emha Ainun Najib mengatakan bahawa iblis kelihatan senyum-senyum sahaja kerana seolah-olah permohonannya untuk merosakkan manusia sehingga kiamat dianggap telah berjaya lebih awal dari jangkaannya. 
  30. Tempoh yang diminta sehingga kiamat cuba dibuktikan bahawa manusia ini tidak layak menerima sujud ketika mula-mula dijadikan.  Itu sekadar imaginasi seorang seniman. Beliau senyum-senyum kerana tidak perlu tunggu sehingga kiamat pun, manusia telah berjaya dirosakkan. 
  31. Mengapa Melayu menerima Islam? Kerana Islam menjanjikan sesuatu yang lebih baik. 
  32. Sebelum Melayu menganut Islam, dalam sistem feudal Melayu, ianya menganut fahaman Hindu. Rakyat tiada hak menuntut keadilan ketika itu. 
  33. Prinsipnya “you don't have right to have right” - tiada hak untuk menuntut apa-apa hak. Sebagai contoh, tidak boleh menuntut hak kepada Raja, tetapi ianya sekadar dipanggil kurnia Raja, contohnya tanah kurnia! 
  34.  Setelah Islam datang, Islam memuliakan manusia. Semua manusia asal usulnya dari Adam yang dijadikan daripada tanah, maka tidak timbul isu Raja berasal dari kayangan. 
  35. Ketika Islam datang ke Tanah Melayu, para ulama berusaha untuk memanusiakan Raja. Namun, bukannya mudah untuk memanusiakan Raja. 
  36. Selepas itu, barulah rakyat boleh terangkat setaraf dengan golongan Raja dari segi kamanusiaannya. 
  37. Ungkapan Melayu: Raja adil Raja disembah. Raja zalim Raja disanggah. 
  38. Melayu setia kepada Raja bersyarat dan derhaka kepada Raja kerana bersebab.  Adil vs zalim.
  39. Satu ketika dahulu, orang dalam bidang agama merasa sangat “inferiority complex” atau rendah diri berbanding dengan golongan sains. 
  40. Rasa rendah diri ini berada pada jangka waktu yang agak lama. 
  41. Penyanjungan yang melampau kepada golongan tertentu tidak sewajarnya berlaku. 
  42. Rasululah s.a.w. meraikan golongan badwi yang berada dalam rendah diri ketika itu dengan ungkapan, "Aku bukan siapa-siapa. Aku anak seorang wanita Quraish yang biasa makan daging kering." 
  43. Rasulullah s.a.w. secara sengaja “silent” atau diamkan perkataan atau asal usul bapanya kerana bapanya dari keturunan orang ternama sedangkan ibunya dari orang awam. 
  44. Makanannya juga biasa-biasa sahaja kerana kebiasaannya makanan yang kita biasa ambil dilihat sebagai indikasi status sosial. 
  45. Sebab itu Rasulullah s.a.w. berkata baginda berasal daripada manusia biasa. 
  46. Dalam Islam tidak boleh merendahkan orang dan merasa bangga diri. 
  47. Kesedaran tentang maruah diri perlu dititikberatkan. Jangan sesekali menghina atau menjatuhkan maruah atau “dignity” seseorang. 
  48. Orang yang bermaruah ada sifat tahu malu. Sebagai contoh, bukan sahaja tidak sanggup masuk ke kedai nombor ekor, malah lalu di hadapannya sahaja sudah merasa malu. Sebagai contoh lain, satu ketika dahulu, sekitar tahun 80-an, kebiasaannya, bagi mendapatkan “Certificate of Fitness” (CF) bagi membina rumah, perlu 'hulur'.  
  49. Namun, orang yang ada maruah, dia lebih rela membayar denda kerana tidak ada CF pada rumah yang dibina daripada 'hulur' untuk mendapatkan CF.  Itulah namanya orang yang bermaruah! 
  50. Yang DiPertuan adalah yang dijadikan tuan oleh rakyat. Maka rakyat sebenarnya yang mengangkat Raja.   
  51. Melayu kalau melakukan kesalahan dari segi syarak, boleh menerima  hukuman tetapi Melayu jangan sesekali diaibkan. Inilah kontrak sosial Melayu. 
  52. Sekiranya seseorang diaibkan secara berleluasa, maka kita perlu ada maruah untuk membelanya.
  53. Gabungkan bangsa yang bermaruah, kuat dan punya keberanian. Kekuatan tiada ertinya kalau tiada keberanian. 
  54. Gurauan: Badan sahaja bertubuh sasa dan fizikalnya kuat tetapi tengah malam apabila mahu ke dapur pun maka dikejutkan isterinya untuk temankan kerana tidak berani. 
  55. Peribahasa Melayu: "Apa guna pergi ke bendang kalau tidak menanam padi, apa guna keris disandang kalau tidak berani mati. Sebab itu, demi menjaga maruah, manusia wajar berani mati. 
  56. “Apakah tandanya anak jantan?  Matinya di gelanggang (iaitu mati berjuang). 
  57. Keris pada suatu ketika dahulu menjadi pembela tetapi keris ketika ini sekadar menjadi simbol. 
  58. Gurauan: "Apa guna pergi ke bendang kalau tidak bertanam padi. Apa guna kering bersilang kalau takut sama bini.”

Khamis, Disember 27, 2012

Kalimah Allah: Sedalam Mana Sensitiviti & Keprihatinan Politik Kita?


Kalimah Allah: Sedalam Mana Sensitiviti & Keprihatinan Politik Kita?

Oleh Amidi Abd Manan (Presiden ABIM)

Pernyataan kedatangan agama Kristian beraliran Nestorian ke rantau ini di blog 1Malaysia Datuk Seri Najib, mengundang beberapa persoalan. Apakah tujuan pernyataan tersebut? Adakah ia bertujuan ingin menyatakan bahawa kehadiran agama Kristian adalah seusia dengan kedatangan Islam atau lebih awal lagi?

Adakah pernyataan ini ingin mengangkat fungsi dan watak agama Kristian yang mewarnai rantau ini dalam merubah masyarakat? Atau adakah ia sekadar pernyataan politik yang bertujuan menyantuni pengundi Kristian?

Pernyataan sumbangan Kristian terhadap pembangunan rantau ini perlu dibuat dengan berhati-hati apatah lagi apabila merujuk ke abad yang ke-7. Ia boleh mendatangkan kekeliruan tehadap latar belakang pembentukan budaya dan peradaban di rantau ini.

Menurut Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam telah memainkan peranan yang jauh lebih signifikan dalam pembentukan budaya dan peradaban di rantau ini. Ia telah membebaskan dan membentuk weltanschauung atau pandangan sarwa masyarakat di sini.

Pengaruh Islam telah jauh meresap ke dalam urat nadi umat manusia di sini yang terpancar dalam pemikiran, budaya, kesusasteraan dan peraturan hidup.

Kedatangan Islam telah merungkai pengaruh Hindu-Buddha dalam peradaban masyarakat di Nusantara. Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa kehadiran Hindu-Buddha gagal merubah pandangan hidup masyarakat dan seterusnya tidak mampu menghasilkan satu kelainan yang memerdekakan masyarakat daripada fahaman animisme yang telah bertapak terlebih dahulu.

Dari pernyataan ini juga ia turut menatijahkan bahawa kedatangan Kristian juga gagal membentuk dan memberikan pengaruh yang bermakna terhadap kebudayaan dan peradaban masyarakat di sini. Tambahan pula Kristian aliran Nestorian yang merupakan aliran minoriti yang bermula di sekitar abad yang ke lima di Parsi.

Aliran ini mempercayai bahawa Isa (Jesus) merupakan anak angkat tuhan yang bertentangan dengan kepercayaan majoriti penganut Kristian yang menyatakan bahawa Jesus adalah anak tuhan dan bersatu dalam satu jasad. Ajaran Nestorian ini akhirnya terpencil dan semakin mengecil walau pun ada usaha untuk mengembangkannya sehingga ke tanah besar China.

Penyebaran Islam di rantau ini telah dilaksanakan dengan begitu teliti dan berhati-hati oleh para pendakwah Islam. Warna Hindu-Buddha yang begitu pekat perlu dicairkan dan diganti dengan warna Islam yang indah. Ketelitian itu turut melibat persoalan bahasa.

Bahasa memberikan makna dan seterusnya membentuk persepsi yang dikehendaki dan menanam keyakinan yang hakiki. Justeru itu menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, penyebaran agama Islam di rantau ini menggunakan bahasa Melayu dan bukan bahasa Jawa. Ini kerana bahasa Jawa telah diresapi oleh pengaruh Hindu-Buddha yang begitu pekat.

Para pendakwah ketika itu tidak menggunakan perkataan 'brahma' bagi merujuk tuhan yang esa sebagaimana yang digunakan oleh agama Hindu. Ini kerana konsep ketuhanan yang berbeza yang hendak disampaikan kepada mad'u. Tidak menyamakan 'dewa/deva' dengan malaikat juga kerana sebab yang sama.

Justeru kalimah 'Allah' yang digunakan oleh masyarakat di sini adalah unik dan khusus kepada konsep ketuhanan yang diperakui oleh Islam sahaja. Maka perkongsian perkataan adalah satu usaha yang berlawanan dengan budaya masyarakat di sini. Tambahan pula tiada hujah ilmiah yang menunjukkan perkongsian itu perlu diwajarkan. Hanya dakwaan ia telah digunakan berabad lamanya di tanah Arab bukan satu hujah yang kukuh.

Ini kerana kalimah Allah tidak digunakan dalam Bible versi asli yang diturunkan dalam bahasa Ibrani atau Hebrew (bahasa kaum Yahudi). Perkataan 'helluvah' atau Elohim digunakan bagi merujuk tuhan dalam bahasa tersebut. Apatah lagi versi bahasa Inggeris yang menggunakan 'god' bagi rujukan yang serupa.

Jadi apakah hujah yang wajar bagi perkataan Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu melainkan hujah penyebaran agama Kristian kepada masyarakat Melayu?

Jika alasan ia telah digunakan selama lebih 50 tahun di Sabah dan Sarawak ia adalah alasan yang terbit dari satu kesalahan situasi yang lahir dari kefahaman yang salah. Adakah kesalahan ini mahu dibiarkan atau perlu kepada pembetulan?

Bukan kerana takut berkongsi istilah yang sama. Jika kita lihat perkembangan agama Islam di Sabah dan Sarawak dalam masa 50 tahun ini, ia telah menunjukkan pertambahan yang ketara. Islam telah berkembang sehingga ke pedalaman dan terus berkembang dari semasa ke semasa.

Penghayatan Islam sudah semakin baik dengan pertambahan institusi pendidikan Islam dan disambut baik oleh masyarakat. Mereka yang berhujah kekhuatiran ini memberikan gambaran bahawa Islam ini kerdil juga telah tersilap.

Penegasan Allah dalam surah al-Ikhlas, yang dengan jelas menekankan 'Allah' adalah tidak beranak dan tidak diperanakkan memberikan isyarat bahawa istilah 'Allah' jangan dipermudahkan.

Oleh itu gesaan Setiausaha Agung DAP, Yb Lim Guan Eng yang mahukan agar perkataan 'Allah' boleh digunakan oleh masyarakat Kristian dalam Bible versi Melayu jelas menunjukkan kejahilan beliau dalam persoalan ini. Ia hanya satu isu politik yang cuba ditonjolkan.

Polemik kalimah 'Allah' antara penganut Islam dan Kristian di Malaysia mesti dihentikan segera dengan menghormati waq'iy atau latar sejarah dan budaya masyarakat setempat.

Penegasan perasaan kesal yang mendalam terhadap ahli politik negara ini apabila isu kalimah 'Allah' ini digunakan untuk meraih sokongan sehingga menggadaikan maruah agama Islam dan memperjudikan keharmonian hubungan antara agama.

Pertubuhan dakwah di negara ini mahukan ketegasan yang ikhlas dalam memelihara agama khususnya agama Islam.

Khamis, Julai 26, 2012

What money can buy

What money can buy:

A bed but not sleep
Books but not brains
Foods but not appetite
Finery but not beauty
A house but not a home
Medicine but not health
A house but not a home
Medicine but not health
Luxuries but not culture
Amusements but not happiness
Religion but not salvation
 physical but not soul

Money can buy almost anything, but not everything!

Ahad, Julai 22, 2012

PrinsiP kejuruteraan insan


Kejuruteraan Insan adalah suatu pengoperasian yang bersistematik dalam membina dan mengkoordinasi suatu pembangunan insani, dan seterusnya akan melahirkan suatu generasi yang terarah dan tersusun dalam suatu sistem sosial yang kompleks dan pelbagai. Dengan erti kata lain, Kejuruteraan Insan adalah proses membina manusia menjadi Khalifah yang berfungsi.

Berikut adalah prinsip-prinsip dalam merangka produk Kejuruteraan Insan.
Program membina manusia menjadi khalifah yang berfungsi perlu mencapai objektif berikut:
  1. Membina generasi bertamadun dan berukun
  2. Melahirkan masyarakat Rabbani dan Madani, iaitu masyarakat yang hidup dalam amal Islami dan relevan setiap zaman.
  3. Menjana potensi dalam kepelbagaian kecerdasan.
  4. Mengawal selia sistem dan operasi pengurusan insan secara bersistematik dan terancang.
  5. Menggarap sumber keinsanan bagi menerap semangat kesukarelaan dalam melakukan amalan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  6. Mencetus dan meraikan budaya penambah-baikan dalam membina dan meneguhkan prinsip-prinsip kesejagatan ummat.
  7. Meraikan keunikan dalam kesamaan serta keindahan dalam kepelbagaian; berpaksikan dan berpandukan Akidah Tauhidiq.
  8. Menerapkan amal jama'iy, dalam setiap perlakuan dengan mengiktiraf kepimpinan dalam kepersatuanan.
  9. Memandang dan meletakkan visi masa depan dengan positif dan optimis, serta penuh beriltizam dengan meletakkan cabaran dan halangan adalah ujian dari Tuhan.


Prinsip yang ditulis di atas juga boleh dijadikan sebagai standard atau kayu-ukur atau benchmarking apabila mengkritik program motivasi yang dianjurkan oleh   kita atau mana-mana pihak.

Sekurang-kurangnya, kaedah ini yang saya gunakan untuk merangka modul dan program yang saya anjurkan!


Jumaat, Mei 18, 2012

Kita orang baik

kalau kita ada: 


pengetahun
pelajaran
pembelajaran
ilmu

dan kita:

benamkan fakta ini
sorokkan fakta ini
pesongkan fakta ini

kerana kita:

mendapat untung
menjadi kaya raya
menjadi ternama


berkereta besar
berumah besar
berbini besar

maka: 


disinilah punca kesakitan yang maha sangat
disinilah bermulanya permasalahan
inilah yang sedang dihadapi oleh manusia melayu

yang berilmu
yang berkuasa
yang bijak
terus menipu orang melayu


jika ini berterusan:

maka akan sampai satu ketika
maka akan sampai satu masa
dimana semuanya telah terlambat
dimana semuanya telah terlewat

kerana terlalu ramai:
 

orang yang baik baik
orang yang warak warak
orang yang berilmu


senyap tidak bersuara
maka masyarakat kita dipenuhi oleh orang orang jahat!







(Adaptasi dari Hishamuddin Rais@tukartiub.blogspot.com)

Sabtu, Mei 12, 2012

Makna Jati diri

Seperti yang dipos pada 7/5/2009
(http://imayu05.blogspot.com/2009/05/makna-jati-diri.html)

Bersempena dengan kekeliruan umat tentang himpunan umat dalam BERSIH 3.0.
Khusus untuk anak muda yang takut untuk berubah dan menjadi agen perobah! 



1) Jati diri; Insan yang punya jati diri, dapat mempertahankan prinsip yang dipercayainya, walaupun keadaan sekeliling, tidak seperti yang disangkainya, dan tidak sealiran dengan apa yang dipercayai itu. Prinsip yang dipegang itu pula, tidak semestinya benar, dan tidak pula semestinya salah. Prinsip bergantung dan diasaskan pada suatu idealisme yang dipelihara atas pengetahuan atau ilmu, dan membawa nilai yang tinggi, melebihi perkara lain.

2) Dalam masyarakat, nilai idealisme, biasanya tidak dapat dibawa dan dipraktikal sepenuhnya; Amat berbeza keadaannya dunia sebenar ini, dengan idealisme yang didokong dan ditulis dalam buku atau falsafah kemanusiaan yang sememangnya ideal. Bukankah ideal itu, suatu kesempurnaan; atau setidak-tidaknya, hampir kepada kesempurnaan? Dengan kata lain, masyarakat tidak berada dalam keadaan yang betul dan sangat jauh dari kesempurnaan! Maka, apakah kita tidak boleh berpegang dan bertindak pada prinsip tertentu yang membawa idealisme dalam masyarakat?

3) Masyarakat yang punya idealisme tinggi, adalah masyarakat yang bertamadun (Madani); masyarakat yang rakyatnya, punya prinsip dan asas dalam melakukan segala tindakan; punya kerukunan dan sistem yang difahami; dan bukan yang mengikut dan bertindak secara membuta-tuli, dan mengikut perasaan emosi; atau lebih teruk, mengikut trend dan kebudayaan (kebiasaan) semasa. Masyarakat sebegini, ibarat masyarakat lalang; mudah sahaja ditiup ke sana dan ke mari mengikut arah kuatnya angin bertiup.

4) Generasi berilmu dan bertamadun, seharusnya membawa gelombang perubahan dan aura idealisme kepada mana-mana masyarakat. Kehadirannya, membawa suatu prinsip kebenaran dan berasaskan kepada budaya yang positif, dan bersifat membina tamadun dan akal. Masyarakat yang tidak punya budaya berprinsip ini, akan memandang serong, dan benih prejudis, skeptikal, dan rasa tidak senang biasanya, akan menyerap dan seterusnya akan datang bersama-sama secara seiring. Gelombang dan aura mana yang lebih kuat, sudah tentu akan menguasai dan membawa suatu budaya baru, atau meninggalkan kesan lama yang baru dalam masyarakat tersebut.

5) Hakikatnya, manusia tidak suka diubah, dan enggan berubah. Mengekalkan 'status quo' adalah penyakit yang tidak bisa dibiarkan dalam masyarakat, walaupun, masyarakat tersebut dalam keadaan yang berbudaya positif sekalipun. Ini kerana, masyarakat perlukan pelajaran dan ingatan setiap masa. Dan yang lebih penting, zaman dan masa akan membawa generasi baru datang dan generasi lama akan pergi. Struktur masyarakat perlu berubah. Turun dan naik; suka dan duka; berjaya dan gagal; semua proses ini perlu dirasai secara praktikal; bukan sekadar idealisme sahaja. Dengan kata lain, harga harus dibayar. Risiko perlu diambil!

6) Lantas, bekalan yang wajib ada dalam setiap insan adalah ILMU, dan IMAN. Ilmu untuk mengisi akal, dan iman untuk mengisi jiwa. Akal dan jiwa berada di dalam jasad setiap manusia. Prinsip dan idealisme ini pula harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Tindakan pula akan menghasilkan pengalaman. Pentafsiran setiap pengalaman pula akan menghasilkan kematangan. Lihatlah, hadirnya seorang yang berprinsip tidak akan sama dengan hadirnya 1000 orang yang tiada prinsip.

7) Orang yang tidak ada prinsip; suasana akan mencorakkan mereka. Manakala, orang yang punya prinsip dan jati diri; mereka akan mencorakkan suasana. Lantas, suatu yang sangat Aneh bila ada keadaan orang yang berprinsip juga terikut dengan suasana sekitar, walau diri mereka punya ilmu, iman, dan pengalaman serta kematangan. Pernah terlihat suasana begini? Tinjau dan fikir; Rupa-rupanya, tidak ramai yang sanggup mengambil risiko dan membayar harga suatu perubahan yang belum tentu semakin baik!

8) Mandat dan kepercayaan harus diberikan; Semua orang maklum, generasi muda adalah generasi pemimpin masa depan. Didiklah generasi ini untuk punya prinsip yang baik dan segar; berikan bimbingan, dorongan, kebebasan berfikir secara lateral dan kreatif, kongsikan pengalaman sebagai asas dalam membina kematangan mereka. Bina jati diri mereka; Bantu mereka untuk mereka bina tamadun mereka mengikut acuan Kebenaran.

9) Semai dan berikan mereka baja yang baik; benih untuk menjadi pohon meranti yang kukuh, besar, tinggi dan rimbun; merimbuni pelbagai makhluk dan pohonan kecil yang lain dibawahnya. Malah, lalang-lalang juga akan turut menumpang nikmat rimbunannya, walau usianya hanya seratus hari. Usia Meranti ribuan tahun; tamadun yang dibina mampu merimbuni generasi demi generasi; Hanya angin ribut yang maha kuat, dengan izin Allah, ia akan tumbang juga. Tumbangnya akan ditangisi oleh sekelian makhluk di rimba. Gugurnya pohon- yang tingginya menggapai awan, rimbunnya meredup bumi, dan akarnya memasak di pusat bumi. Itulah makna jati diri sebenarnya.

Rabu, Februari 29, 2012

worthy life

Amalkan Budaya Politik Matang, Tolak Keganasan Politik: Presiden


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin melahirkan kesal dan kecewa dengan beberapa insiden keganasan politik yang berlaku semenjak kebelakangan ini.Berdasarkan dari pengamatan pihak ABIM,  gejala keganasan politik ini tampak semakin menggejala terutama sekali dalam suasana teka-teki tarikh  Pilihanraya Umum Ke-13 yang semakin rancak diperkatakan. 

Insiden-insiden bermotif politik semakin kerap berlaku kebelakangan ini seperti mengganggu ceramah dan penerangan politik, mengakibatkan kecederaan fizikal dan kemusnahan harta benda, serta memecah masuk premis dan rumah tokoh politik, telah menyorot perhatian dan mencetuskan kebimbangan para pengamat politik serta rakyat secara umumnya.

Ini jelas menunjukkan ketidakmatangan budaya politik di peringkat akar umbi dan keluhuran demokrasi. Tambah mendukacitakan perkembangan ini terjadi ketika negara sedang menyaksikan keterbukaan wacana politik di kalangan para pemimpin serta parti-parti politik di negara ini. Insiden-insiden keganasan politik yang berlaku kebelakangan ini seharusnya menyedarkan para pemimpin politik bahawa para pendukung politik di peringkat akar perlu dididik serta dilatih, untuk mengamalkan budaya politik terbuka serta matang.

Dalam erti kata lain, gagasan serta idealisme politik yang sering dicanangkan oleh para pemimpin politik tidak ubah sebagai retorik kosong semata-mata sementelahan amalan politik akar umbi terus-terusan dizahirkan menerusi kebobrokan akhlak, gejala fitnah memfitnah yang mengaibkan seteru politik, keganasan, caci maki dan ugutan.    

Justeru ABIM menyeru pimpinan politik supaya mendidik serta mengawal perilaku serta akhlak tindak tanduk politik para penyokong masing-masing agar menjunjung tinggi prinsip Kedaulatan Undang-undang sepertimana yang digariskan dalam Rukun Negara. 

Selain integriti kepimpinan politik, amalan demokrasi yang positif turut menekankan peri pentingnya budaya kepengikutan yang bersandarkan nilai-nilai moral dan keagamaan yang menghormati tidak sahaja kawan tetapi juga lawan.

ABIM berharap agar insiden-insiden ini tidak berulang di masa hadapan taktala Negara sedang meniti detik-detik getir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13. Kita tidak mahu insiden-insiden keganasan politik yang sering berlaku di luar Negara menggejala lantas mencemarkan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara kita.

Justeru ABIM menggesa agar pihak berwajib memelihara hak-hak bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan serta mengambil tindaka keras terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan politik secara adil dan tanpa memilih bulu.

Sesungguhnya rakyat sudah jelik dengan amalan politik “matlamat menghalalkan cara” yang semakin berleluasa dan menyeru semua pihak memainkan peranan untuk membawa rakyat kembali  berpegang kepada prinsip “Negara Barakah” yang menjunjung tinggi prinsip, nilai akhlaq serta etika dan moral.

Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Selasa, Januari 31, 2012

Hayati Keunggulan Konsep Wassatiyyah

Kesederhanaan atau wasatiyyah adalah identiti agama Islam. Islam mengajar penganutnya agar mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan tanpa sebarang tokok tambah yang menyusahkan. Dalam Islam sesuatu yang menyusahkan bukanlah sesuatu yang terbaik. Maka sebab itulah kita dianjurkan untuk segera berbuka puasa dan melewatkan pula sahurnya. Begitu juga dalam ibadah yang lain. Ini dapat kita perhatikan apabila teguran yang Nabi Muhammad s.a.w berikan kepada sekumpulan sahabat yang mahu mengekang nafsu dari berkahwin, tidak mahu berbuka apabila berpuasa dan mengharamkan diri dari memakan daging yang halal.

Baginda mengingatkan, kepada mereka, sedangkan Baginda sendiri seorang Nabi, Baginda berkahwin, berbuka apabila berpuasa dan memakan daging yang dihalalkan. Lantas Baginda memberikan penegasan bahawa sesiapa yang tidak menyukai sunnah Baginda dia bukanlah terdiri dari umat Nabi Muhammad. Wasatiyyah dalam Islam bukan terhenti sekadar pada ibadah semata-mata, tetapi juga dari sudut pemikiran, akidah dan akhlak. Kesederhanaan menjadikan Islam itu indah dan mampu menarik manusia untuk mendekatinya. Menakrifkan kesederhanaan atau wasatiyyah bukanlah mudah. Ini diakui sendiri oleh Ibnu Maskaweh yang menyatakan: “Sesungguhnya sukar menentukan pertengahan itu dan berpegang kepadanya setelah ,menetapkannya”

Wasatiyyah juga bukanlah bererti menghindari segala bentuk tindakan yang agresif. Baik bersifat persendirian mahupun berkumpulan. Peperangan bagi menuntut hak dan mengembalikan kebenaran ditempatnya adalah satu tindakan yang masih lagi dalam ruang lingkup wasatiyyah. Golongan yang tertindas apabila bangkit menentang kezaliman tidaklah dianggap sebagai golongan pelampau dalam Islam.

Menentang segala ketidakadilan dan penindasan adalah suatu tugas yang wajib dilaksanakan oleh setiap kaum muslimin. Malah membebaskan puak yang tertindas dan dizalimi amat dituntut oleh Islam. Wasatiyyah juga bukan bermaksud menerima kedua-dua pandangan yang berada pada dua hujung yang saling bertentangan. Menerima segala-galanya demi menjaga hati dan menjauhi kemarahan mana-mana pihak. 

Mencampur adukkan kebenaran dan kebatilan bukanlah ciri wasatiyyah Islam yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam perlu memelihara prinsip dengan tegas dan jangan sesekali membenarkan prinsip ajaran Islam diperkotak- katikkan dengan mudah. Inilah yang sering disalah tafsir oleh masyarakat Barat. Mereka mahukan konsep wasatiyyah selari dengan pandangan hidup yang moderat.

Mereka melabelkan sesiapa sahaja yang berpegang teguh dengan ajaran agama sebagai fundamentalis yang ekstrem. Pada mereka muslim yang moderat adalah muslim yang mengamalkan agama Islam seperti kacamata mereka terhadap agama Kristian. Kristian hanya pada nama, bukan amalan dan kepercayaan. Mereka dengan bangga menyatakan I’m a Christian, but I’m not going to the church every Sunday. Pada mereka cukuplah sekadar ada agama tapi untuk mengamalkannya jauh sekali.

Mereka dengan segera dan rakus melabelkan pejuang jihad sebagai ekstremis. Walau apa pun alasannya, jihad adalah satu keganasan. Mereka dengan penuh rasa benci menyatakan bahawa Islam adalah agama peperangan. Kalimah jihad mesti dihapuskan dari kamus ajaran Islam. Bagi mereka moderat adalah kelompok yang berfikiran terbuka dan menerima apa saja dari siapa sahaja tanpa kayu ukur kebenaran. 

Kebenaran bagi mereka bersifat relatif bukan sesuatu yang muktamad. Kebenaran diukur menerusi citarasa dan sokongan majoriti. Pada mereka pula segala pandangan yang bersumberkan kitab suci agama yang mengenepikan pilihan atau kecenderungan manusia adalah tidak moderat dan tertutup. Justeru apabila kita berbicara mengenai wasatiyyah ia adalah satu konsep yang jauh dengan terjemahan moderat dalam masyarakat barat.

Kita mesti berpegang dengan keutuhan konsep wasatiyyah yang dianjurkan oleh Islam. Konsep wasatiyyah adalah konsep yang murni bagi memelihara karamah insaniyah yang tinggi. Bagi memastikan konsep wasatiyyah ini dapat dipelihara dan diamalkan oleh masyarakat, maka satu agenda diperlukan bagi menghapuskan sebarang bentuk belenggu yang bercirikan pembodohan dan pembebalan. Ini kerana sifat bodoh dan bebal akan menjerumuskan kita ke lembah ketaksuban dan kehancuran. Ia mengingkari konsep wasatiyyah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Amidi Abd Manan
(Sumber: http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/342-pertahankan-keunggulan-konsep-wassatiyyah.html)

Isnin, Januari 16, 2012

Integrasi dalam pengetahuan


Fikrah: 

Apakah yang dikatakan sebagai 'integrasi pengetahuan' (integration of knowledge)?

a) belajar ilmu fardhu kifayah pada waktu persekolahan rasmi, kemudian belajar ilmu fardhu ain pada waktu petang?
b) belajar ilmu fardhu kifayah dan ilmu fardhu ain pada waktu persekolahan rasmi?
c) belajar ilmu fardhu kifayah diserapkan ilmu fardhu ain pada waktu yang sama?

Dalam sistem pendidikan KBSM hari ini, pelajaran agama Islam disisipkan dalam satu mata pelajaran yang wajib diambil oleh semua murid beragama Islam iaitu subjek 'Pendidikan Agama Islam' (PI). Subjek ini diletak dalam linear yang sama dengan subjek lain, seperti Matematik, sains, Bahasa dan lain-lain. Ini termasuk masa pengajaran dan pembelajaran (P&P yang telah ditentukan dalam sistem, iaitu 5 waktu seminggu.

Sekiranya  P&P PI telah dijalankan di sekolah, maka apa perlunya lagi murid untuk hadir ke sekolah agama petang (KAFA) untuk mempelajari lagi tentang ilmu fardhu ain? Antara sebab yang sering diterima adalah masa pembelajaran di sekolah pagi (SK) tidak mencukupi bagi membina kualiti murid dalam pengisian rohani mereka. Tidak salah sepenuhnya. (Ada betulnya juga). Yang betulnya, masa diperuntukkan untuk fardhu ain seharusnya melebihi keseluruhan ilmu fardhu kifayah atau sekurang-kurangnya menyamai keseluruhan waktu p&p tersebut. Yang salahnya, pembelajaran sebegini tidak menepati konsep integrasi pengetahuan.

Pada hari ini, umat Islam terperangkap dalam sistem sekular, iaitu sistem yang memecah-mecahkan sistem pengetahuan dan pengamalan. Harus ditegaskan, semua Ilmu adalah dari Allah. Sama ada ilmu fardhu kifayah, mahupun ilmu fardhu ain. (Ilmu tadbir alam, dan ilmu tadbir insan) Dalam ilmu tadbir alam, perlu diserapkan aplikasi Islami untuk melihat dan mengenal Tuhan, dan begitu juga dalam ilmu tadbir insan, perlu diserapkan aplikasi Islami untuk melihat dan mentadbir alam. Perhubungan antara kedua-duanya perlu seiring dan tidak harus dipisah-pisahkan. Ini konsep sebenar pengintegrasian pengetahuan dalam kerangka Islamisasi pengetahuan (Islamization of knowledge) 

Seorang kanak-kanak perlu melalui alam kanak-kanak, dan kurikulum untuk mereka perlu memahami fitrah manusia (nature of human being). Ini adalah sangat penting dan perlu diperbetulkan. Model kurikulum sebegini perlu dibentuk. Sememangnya perlu digali diceruk mana kurikulum yang menepati ciri ini? 

model alternatif:




Jumaat, Disember 09, 2011

Dosa yg lebih besar daripada berzina

Pada suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-hayung. Pakaianya yang serba hitam menandakan bahwa ia berada dalam dukacita yang mencengkam.
Kerudungnya menutup hampir seluruh wajahnya tanpa hias muka atau perhiasan menempel di tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan roman mukanya yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang telah meroyak hidupnya.
Ia melangkah terseret-seret mendekati kediaman Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil memberi salam.
Maka terdengarlah ucapan dari dalam,
“Silakan masuk”
Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus merunduk. Air matanya
berderai tatkala ia berkata,
“Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya.”
“Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut.
“Saya takut mengatakannya.”jawab wanita cantik..
“Katakanlah jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa.
Maka perempuan itupun terpatah bercerita, “Saya… telah berzina”.
Kepala Nabi Musa terangkat,hatinya tersentak.
Perempuan itu meneruskan,
“Dari perzinaan itu saya pun… hamil. Setelah anak itu lahir,langsung saya… cekik lehernya sampai… mati,” ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya.
Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik,
“Perempuan bejad, pergi kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!”…teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.
Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu hancur luluh segera bangkit dan melangkah surut. Dia terantuk-antuk keluar dari dalam rumah Nabi Musa..
Ratap tangisnya amat memilukan. Ia tak tahu harus kemana lagi hendak mengadu.. Bahkan ia tak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya.
Ia tidak tahu bahwa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa as. Sang Ruhul Amin Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?”
Nabi Musa terperanjat.
“Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?”
Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril.
“Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?”
“Ada!” jawab Jibril dengan tegas.
“Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa.
“Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina”.
Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusuk untuk memohonkan ampunan kepada Allah untuk perempuan tersebut. 
Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahwa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Bererti ia seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.
Sedang orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahwa Allah itu ada, di jalan ketaatan kepada-Nya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.
Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita pezina dan dua hadis Nabi, mudah-mudahan menjadi pelajaran bagi kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah.