Rabu, Disember 31, 2008

Keputusan PMR 2008

Berikut adalah kenyataan rasmi daripada Dato Alimuddin Mohd Dom, berkenaan keputusan PMR tahun 2008, yang diekstrak daripada Utusan Malaysia
Di bawahnya pula, adalah persoalan-persoalan yang harus dicari jawapannya dan boleh juga dibahaskan lagi untuk mencapai kesimpulan yang mungkin sama ATAU berbeza dengan kesimpulan kementerian sendiri bagi maksud pelaksanaan PPSMI ini...

Dato:
Semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Komunikasi mencatat kenaikan tertinggi iaitu 3.6 peratus.
(Perbezaan pada laporan Malaysiakini- iaitu semua mata pelajaran meningkat kecuali Geografi dan Bahasa Arab Komunikasi- klik di sini)
Fikrah:
1)Bagaimana pula perbandingan untuk tahun-tahun sebelumnya pencapaian subjek BAHASA INGGERIS sebelum pelaksanaan PPSMI?
2)Berapa peratus pelajar yang menjawab soalan bahasa Arab komunikasi, bahasa Melayu, bahasa Tamil, atau bahasa cina dalam bahasa masing-masing? 100% barangkali?
2)Adakah ini bermakna, pengajaran Bahasa tersebut lebih baik daripada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris? ataupun DASARnya lebih baik?

Dato:

Pelajar yang menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris meningkat kepada 51.2 peratus berbanding 21.5 peratus pada 2007, manakala Matematik naik 26.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada 2007.
Fikrah:
1)Dalam 51.2% untuk bahasa Inggeris, dan 26.9% untuk Matematik yang menjawab soalan dalam bahasa Inggeris, berapa peratus dari luar bandar dan dari bandar?
2)Daripada 4.6% kepada 26.9%. Peningkatan lebih 20%. Namun, pencapaian A adalah sebanyak 25%; bagaimana pula pencapaian pada tahun lepas? Adakah kurang daripada 5%?
3)Begitu juga Sains; peningkatan daripada 21.5% kepada 51.2%. Peningkatan lebih 30%. Adakah pencapaian tahun lepas, kurang dari 30% daripada tahun ini?

Dato:
Pencapaian calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini sangat membanggakan apabila 26,378 atau 5.96 peratus daripada 472,060 calon berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran diambil. Berbanding tahun lalu, pelajar yang meraih semua A adalah seramai 24,744 (5.65 peratus); 20,213 (2006) dan 20,101 pada 2005.
Fikrah:
1)Tidak dinyatakan peratus gred A semua mata pelajaran pada tahun 2005, dan tahun 2006 untuk dibuat perbandingan. Data ini sangat releven untuk menilai prestasi pelajar mengenai persoalan dasar atau pengkaedahan PnP atau faktor semasa yang lain; seperti keberkesanan guru, dan budaya sekolah, buku rujukan, dan lain-lain.
2)Adakah peningkatan ini konsisten pada tahun-tahun sebelum dasar PPSMI?
3)Gred A untuk semua mata pelajaran. Jadi, masalah pada dasar PPSMI atau pengajaran?

Dato:
Bagi mata pelajaran Sains, daripada 456,795 calon, sejumlah 235,510 (51.2 peratus) orang menjawab dalam bahasa Inggeris, 141,658 (30.8 peratus) dalam bahasa Melayu manakala 82,627 (18.0 peratus) menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris.
Fikrah:
1)Lebih separuh selesa menjawab dalam bahasa Inggeris, berbanding bahasa Melayu dan bahasa campuran. Pelajar menjawab apa yang ditunjuk dalam kelas, atau apa yang difahami dalam kelas? Apa yang disuapkan, itulah yang masuk ke mulut?
2)Tahap keyakinan pelajar dalam menggunakan istilah bahasa Inggeris lebih baik daripada tahun-tahun lepas dalam subjek Sains.

Dato:
Bagi Matematik, daripada 462,051 calon, seramai 124,209 (26.9 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris, 91,955 (19.9 peratus) bahasa Melayu dan 245,887 (53.2 peratus) menjawab dalam bahasa Melayu dan Inggeris," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Fikrah:
1)Hanya 26.9% sahaja yang menjawab dalam Bahasa Inggeris. Dan pencapaian yang mendapat A pula adalah 25%. Yang 25% ini, berapa ramai yang menjawab dalam bahasa Inggeris, ya?


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>..
Fikrah-
1)Secara keseluruhan, setiap peningkatan dalam pencapaian mana-mana penilaian harus dirai dengan penuh rasa kegembiraan dan kesyukuran.
2)Namun, harus dilihat secara adil dari pelbagai sudut dan tidak meletakkan mana-mana pemberat kepada mana-mana dasar yang mahu diberatkan atas pengkaedahan membenarkan suatu pihak dan menidakkan suatu pihak yang lain.
3)Akhirnya, keuntungan pada jangka panjang dengan melihat generasi masa depan bergerak seiring, malah mendahului negara maju lain tanpa mengorbankan agama Islam, jati diri bangsa, dan asas tamadun Malaysia.





Selasa, Disember 30, 2008

Menyorot arah, mengorak langkah

Pendokong dan seluruh warga SMKTPG haruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh merealisasikan impian dan visi sekolah menjelang tahun 2010. Masa depan adalah milik generasi yang mampu berkerja keras dan berani untuk membantu orang lain dan seterusnya, bertanggung-jawab untuk membina masa depan yang lebih cemerlang. Penulis Perancis, Victor Hugo pernah menukilkan;

"For the weak, it is the unattainable,
For the fearful, it is the unknown,
For the bold, it is the opportunity"

Namun, kita harus memperkuatkan tekad dan memperhebatkan amal kebaikan, dan menjana semula idealisme pendidikan dan pengurusan kebajikan. Harus difahami, idealisme kita haruslah realistik dan sentiasa berpijak pada bumi yang nyata. Impian kita ialah untuk membangkitkan pemuda-pemudi, pelajar-pelajar, malahan guru-guru yang berjiwa besar untuk melahirkan suasana dan budaya sekolah yang lebih membina, bermotivasi dan seterusnya mendapat pengiktirafan di mata umat atas dasar kualiti dan bukannya atas dasar simpati (Quality, not sympathy)

Harapannya, janganlah dengan modal sekepal, diharapkan untung segunung. Lantas, mohonlah kepada Illahi supaya jihad kita ini di medan pendidikan dinaungi petunjuk dan hidayah Allah SWT. Mari kita bersama-sama menyemarakkan semangat Quranik, Fistabiqul Khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan) dengan sebaik-baik amalan. Sifat ikhlas dan ihsan harus disebatikan agar kualiti amal terus meningkat.

Mari kita bersama-sama menyorot arah, mengorak langkah menuju ke hadapan.

Saya simpulkan serangkap kata-kata hikmah oleh HAMKA buat renungan bersama.

"Bukit tinggi berdaki-daki,
Lurah dalam berkala-kala,
Berat kaki boleh berhenti,
Berat beban SIAPA MEMBAWA"


Akhirnya, kita hanya berikhtiar... Tuhan juga yang akan menentukan...

Fikrah Imayu
30/12/2008
9.50 malam





Nilai sebenar bahasa Melayu

Berikut adalah ringkasan tulisan oleh Prof. Dr Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara yang juga adalah profesor Kesusasteraan Bandingan, Pusat Ilmu kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
(Klik pada nama)

Dalam tulisannya, yang dikeluarkan pada hari Ahad (28 September 2008) lepas, di Akhbar Mingguan Malaysia, beliau secara jelas, memberi hujah yang cukup kuat, mengapa dasar PPSMI harus dihapuskan dan mengangkat kembali Bahasa Melayu sebagai bahasa matematik dan sains di sekolah dan universiti.

1) Tujuan pencapaian penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya merujuk kepada pengalaman negara Belanda, Bahasa Inggeris, PErancis dan JErman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah menengah. Oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka hanya selepas sekolah menengah , pelajar-pelajar ini sudah mampu bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik; lebih baik daripada pelajar Malaysia; walaupun setelah 11 atau 13 tahun. Kita juga boleh merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark, Sweden, Belgium, Norway mahupun Switzerland; malah Scandinavia yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri, pada masa yang sama, dapat menguasai bahasa antarabangsa lain dengan baik. Jelas, Singapura bukan contoh yang boleh dibuat perbandingan!

2) Pemenang anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk bidang sains, dan terknologi, bukan sahaja datang dari negra berbahasa Inggeris, tetapi LEBIH BANYAK daripadanya daripada negara bukan berbahasa Inggeris, - seperti Perancis, Jerman, Jepun, SEpanyol, Switzerland, dan India mahupun Bangladesh! Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa Inggeris, tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan. Malah, suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

3) Saya (Prof Muhammad) menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan, dan kemas kini. Saya tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar. NAMUN, untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia, kita perlu mempunyai sebuah bahasa perpaduan / persatuan yang dipelajari, didalami, dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Lantas, kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus (dalam konteks sebagai bahasa ilmu)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah-
Ada beberapa lagi hujah di dalam artikel tersebut yang tidak dapat saya uraikan di sini. Hujahan beliau adalah sangat bernas dan boleh dijadikan asas untuk menolak pelaksanaan PPSMI di sekolah.
Boleh klik di sini untuk baca rencana penuh

Bersama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia.

Bahasa Jiwa Bangsa








Sabtu, Disember 27, 2008

Cahaya Hati Permata papa dan mama

Fakta kelahiran:

Nama bayi (cadangan-belum daftar) : Radin Fatihah Husna Binti Radin Muhd Imaduddin
Jantina : Perempuan
Tarikh kelahiran : 24 Disember 2008 (Rabu) bersamaan 26 Zulhijjah 1429H
Umur kandungan : 37 minggu, 5 hari
Waktu rasmi kelahiran : 11.50 pagi
Berat semasa lahir : 3.39kg
Tempat lahir : Bilik bedah (tingkat 1), dewan bersalin, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)- (juga dikenali - HUKM), Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Doakan semoga lahirnya seorang lagi penerus generasi Ummat Rabbani, seorang khalifah yang berfungsi, dan hamba Allah yang bertakwa.. insyaAllah...

Amin...






Jumaat, Disember 26, 2008

Fahaman yang tidak faham

Sedikit input mengenai masalah idealisme songsang umat; Ramai yang mengetahui istilahnya, namun, amat sedikit yang memahami maknanya; sekurang-kurangnya mengenali makna kasar terma-terma tersebut. Ini adalah fahaman yang melingkari dan membelit umat Islam masa kini; Ia menjejaki sebahagian umat yang tidak faham:-

1) Pemikiran Islam Liberal -
Satu pemikiran yang meringankan dalam memberi takrif suatu amalan dalam Islam secara pemikiran logik akal semata-semata tanpa mendapat atau menerima nas dan dalil dari AL-Quran dan As-Sunnah. Dengan kata lain, memberi makna amalan dalam Islam secara terbuka seluas-luasnya tanpa batasan; 'berfikiran terbuka'
contohnya- Jaringan Islam Liberal
HAKIKATNYA- Islam menggalakkan perbezaan fikiran dan keterbukaan dalam memberikan pendapat; namun, batasannya adalah Al-Quran dan As-Sunnah, dengan berguru dengan ahlinya (pakar)

2) Pluralisme agama -
Satu pemahaman untuk menyamaratakan semua agama di dunia selain Islam. Dengan kata lain, semua agama adalah betul dan boleh diterima; atas alasan kebebasan beragama, dan Hak asasi manusia yang samarata.
HAKIKATNYA- Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi ALlah!
klik di sini(Dr. Danial b Zainal Abidin)HARUS BACA!!

3) Sekularisme -
Pemisahan urusan agama dan lain-lain urusan dalam kehidupan harian; Ini termasuklah dari segi pemikiran, pernyataan dan terutama amalan; termasuklah urusan politik, ekonomi, sosial, pendidikan, dan lain-lain lagi. Contohnya; Menyatakan bahawa 'Jangan mempolitik urusan agama'
HAKIKATNYA- Islam adalah segala-segalanya!

4) Islamophopia -
Suatu fobia (perasaan takut dan bimbang) kepada segala-galanya yang berkaitan dengan Islam; walaupun menyebut perkataan itu sahaja. Segala perkaitan diri dengan Islam pada pandangan masyarakat sekeliling adalah lebih penting dari pandangan Allah SWT.
HAKIKATNYA- Kita harus bangga dengan ISlam dan SYARIATNYA, dan amalan Islam adalah SYIAR untuk menegakkan kebenarannya! BUKAN MEMPERLEKEHKANNYA!

5) Hedonisme -
Budaya menyukai hiburan melebihi segala-gala urusan lain, dan mengagung-agungkan penghibur dan mereka yang mahir atau berpotensi menjadi penghibur melebihi ilmuan, dan pemimpin masyarakat. Dengan kata lain, kalau ada konsert New Year di KLCC, dengan majlis doa hujung tahun-awal tahun di masjid KLCC, ramai manusia memilih konsert.
HAKIKATNYA- Hiburan adalah sebahagian kecil daripada pendekatan Islam (itupun hiburan yang digaris dalam Islam); NAMUN, keutamaannya bukan yang paling atas. ADa Banyak lagi maslahah yang harus diutamakan.

6) Zionisme -
Suatu gerakan rahsia dan tersembunyi untuk memecahkan dan menghancurkan Islam (terutamanya), dan merosakkan lain-lain agama dan budaya. Dengan kata lain, segala propaganda kemusnahan dan kerosakan di atas muka bumi ini, didalangi oleh Yahudi. Kalau kita ikut terjebak mengikuti jalan yang semakin jauh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, maknanya itu jalan yang dipelopori zionis!
HAKIKATNYA- Klik di sini swaramuslim.net

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1) Sesekali, kita sendiri terhanyut dan termasuk dalam ideologi-ideologi songsang dan sesat ini; dalam kita sedar ataupun tidak; Berhati-hati dan berwaspada sentiasa...
2) Sentiasa berhati-hati apabila melayari lautan maklumat di internet; SERING KALI agenda palsu akidah yang menyesatkan kelihatan sangat meyakinkan dan profesional;
3) Berilmu harus berguru; carilah dan teruskan belajar;
4) Soal akidah adalah soal asas keIslaman dan keImanan; AWASI DIRI dan SAUDARA kita; jangan sampai tergelincir ketauhidan kita pada yang ESA.
5) Peganglah Al-Quran dan As-SUnnah; Nescaya kita tidak akan sesat selama-lamanya..

Sekian, tazkirah hari ini




Khamis, Disember 25, 2008

Penantian yang berbaloi

23/11/2008 (Selasa)

1) 7.30 pagi - Saya, ayu dan mama bertolak ke HUKM untuk appointment ECV jam 8.30 pagi. Datang awal dengan penih bersemangat. Dan, kami bertemu dengan Dr. Salmi, seorang doktor graduan dari UIAM. (He..he..he)(satu batch lagi..).

2) 9.00 pagi - Kami mulakan procedure dengan melakukan CTG, (check jantung baby); dalam 30 minit, keputusan menunjukkan jantung bayi ok. Jadi, boleh terus dengan procedure seterusnya...

3) 10.30 pagi - Baru giliran kami untuk masuk ke bilik Scan, dan sambil menunggu Dr pakar, Dr Salmi menerangkan lagi pilihan-pilihan kami; Ayu tiba-tiba merasakan tidak yakin untuk meneruskan ECV (pusingkan baby) dan kami tiba-tiba gusar seketika.... Setelah di consult lagi oleh dr pakar, akhirnya, Ayu bersetuju untuk meneruskan... (suami boleh berada di sebelah)--- (ngeri juga tengok dr tekan perut ayu...) Baby memberikan reaksi, namun, tidak berlaku perubahan kedudukan. Doktor kemudian, memutuskan baby tetap dengan kedudukannya.... Maka, pilihan akhir, Ceasaer.. Doktor terus bagi tarikh; esok (24/12/2008)- pagi!

4) 12.00 tgh - Dapat surat doktor untuk masuk ke wad. Namun, oleh kerana ramai orang di wad, Ayu kena tunggu seketika... Kami pergi makan tengahari terlebih dahulu sebelum pergi ke PAC (Wad kecemasan) semula...

5) 1.30 tgh - Ayu charge masuk ke wad bersalin... Tunggu lagi sehingga hari esok tiba... Saya, menemani di wad sehingga petang; Mama balik menaiki teksi pada waktu tengahari..


24/12/2008 (Rabu)

1) 7.30 pagi - Saya dan mama sekali lagi bergerak ke HUKM seawal pagi... Nurse bagi suami sahaja masuk ke dalam wad; Ayu bersiap dengan pakaian untuk operation. Kami diberitahu, pada pagi ini, hanya ada 2 operation on schedule, maka, giliran Ayu sama ada pukul 9.00 pagi, atau 10 pagi... (1 jam sahaja masa satu operation). Itu pun, sekiranya tiada lain-lain kes kecemasan.

2) 9.00 pagi - Ayu baru masuk ke dalam Operation and Stage 1 Room, bersama suami sahaja yang dibolehkan. Tahulah kami, Ayu adalah giliran kedua; (selepas satu kes kecemasan dan seorang lagi kes baby besar, 4.45kg) sebelum tiba giliran Ayu. Setelah memberikan kata-kata semangat kepada Ayu, saya harus keluar dari bilik tersebut dan menunggu bersama-sama di luar. (Yang bagusnya, kelihatan semua surgeon yang bertugas di situ adalah wanita...)

3) tunggu.... beli paper...
4) tunggu.... sembang-sembang....
5) tunggu.... sembang-sembang....

6) Jam 12.30 tgh - Ayu keluar dari operation room, Alhamdulillah... Operation berjaya... Laporan rasmi, jam 11.50 pagi, seorang baby girl seberat 3.39kg selamat dikeluarkan... Ibu juga selamat. Lantas, saya segera ke bilik kelahiran untuk melihat my baby girl... My God, so cute like me!! (hehehe...... ok la... like my wife la... dan putihnye... Ni banyak minum susu soya ke ni....)

Kemudian, terus saya menjalankan tugas seorang papa! angkat dan terus MEngazankan dan mengiQamatkan sebuah kelahiran ini; dan seterusnya mendoakan perjalanan baby ini untuk sepanjang hidupnya... sudah tentu sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.... (serius... terharunya... rasa nak menangis je....) (hehe..)

Hey... i have a baby!!! Alhamdulillah....

TErnyata, penantian kami selama 2 tahun selepas mengikat tali pernikahan, dan selepas berkampung dalam 1 minggu di hospital, sememangnya berbaloi.... Dan selepas ini, perjalanan kami akan semakin mencabar dan semakin menarik!

(GAMBAR AKAN DI UPLOAD KEMUDIAN, KERANA KETIADAAN KABEL KAMERA... aisey!!)




Rabu, Disember 24, 2008

Perkampungan Menara Gading 2008 (Edisi UPM)



http://sofieyah-longwaytoheaven-sofieyah.blogspot.com/2008/12/pmg-at-upm19-until-21-dis-2008.html

http://pepiasbangi.blogspot.com/2008/12/kenangan-kenangan-semasa-di-pmg-ke-9.html

http://pepiasbangi.blogspot.com/2008/12/berakhirnya-pmg-yang-ke-9.html

1) Ada kenal sesiapa di dalam video dan gambar ini?
2) Tahniah kerana mengikuti program ini sepenuhnya. Cikgu doakan kalian akan terus bersemangat untuk berbakti dan terus bersama menjaga rakan-rakan seperjuangan, sehingga akhir hayat kalian...






Selasa, Disember 23, 2008

Ya Allah, perelokkanlah kesudahan hidupku.

Dari Abi Abdir Rahman Abdillah bin Mas’ud r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:-

dialah yang benar lagi dibenarkan -; Sesungguhnya, tiap-tiap kalian dikumpulkan penciptaannya di dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nuthfah (segumpal darah) , kemudian menjadi ‘alaqah selama itu juga, kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh padanya.

Lalu diperintahkan untuk menuliskan empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagianya.

Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, ada seseorang di antara kalian mengerjakan amalan ahli syurga, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah atasnya takdir Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka.

Ada seseorang di antara kalian mengerjakan amalan ahli neraka, sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah ketentuan Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli syurga, diapun masuk ke dalam syurga.

( HR al-Bukhari dan Muslim )

ULASAN LANJUT hadis, klik pada tajuk; atau di sini
(zahazanmohamed.blogspot.com)

Fikrah- Sangat menyentuh hati saya agar kita bermuhasabah lagi, bagaimana amalan kita sebelum ini? dan ke mana kita selepas ini? Syurga? atau neraka?





Isnin, Disember 22, 2008

tik...tok..tik..tok... (2)



1) Selepas 4 malam di Hospital banting (16-19/12/2008), baby masih tidak menunjukkan apa2 perubahan untuk berpusing kepada kedudukan normal. Doktor bakal menghantar Ayu ke Hospital Klang untuk proses memusingkan baby dan sekiranya ada apa2 komplikasi, operation akan terus dilakukan di sana.

2) Kami memohon dan memilih untuk pergi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) atas alasan berhampiran rumah ibu bapa saya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor. (20 minit sahaja) dan ditambah pula kemudahan lebih selesa.means proses kelahiran di HUKM, lps tu blk le Bnting jugak utk berpantang...

3) pagi Sabtu jam 10.30 pg discharge dari Hosp Banting. kami pulang ke rumah sebentar mengambil barang2 yang perlu. rindunya kat umah...:) selepas Zohor, terus bertolak ke HUKM (kira2 60km dari Banting)
sampai di Unit Kecemasan HUKM, staff yang bertugas menyatakan kami perlu berjumpa doktor di Jabatan O & G pada hari Isnin kerana Klinik O&G dibuka hari bekerja sahaja dan keadaan Ayu yg x menunjukkan sebarang tanda sakit bersalin, jadi wajarlah utk dtg pada hari Isnin...

4) pagi ini Isnin 22/12/08 kami pergi ke HUKM seperti yg dijanjikan...ditemani ibu. sampai di sana, almaklumlah...mana2 hospital pun mcmtulah gayanya...menunggu yg lama di setiap stesen (pdaftaran, scan & jmpe doktor) sabar ye...(kami memujuk hati.

5) keputusan Scan mnunjukkan baby masih berkedudukan "persistant obligue breech"... means masih serong. yg lain2 alhamdulillah baik(jantung, kuantiti air ketuban,tumbesaran dsb). due 6/1/2009. yg tak sangka, Estimated Fetus Weight 3.369kg, agk besar juge...ni baru 37minggu 4hari...

6) jam 12.30 barulah dapat berjumpa doktor O&G... doktor mengambil maklumat2 penting. mula2 Ayu masuk sorang, lepas tu saya pula menyusul kerana doktor minta kami buat keputusan samada mahu:

a. ECV (External Cephalic Version) yg mana doktor akan memusingkan baby menggunakan tangan di bahagian luar abdomen. sekiranya berjaya kepala baby engaged di bhgian bawah, maka boleh bersalin normal itupun sekiranya tiada apa2 komplikasi swktu kelahiran nnti(sbb blum tau lg baby boleh lahir normal atau x,tmbhn pulak berat baby akn smakin besar, lg2 ank sulung)... sekiranya doktor dah cuba tp tidak berjaya dipusingkan,(baby still serong) maka...ceasar lah jwpnnya. menurut doktor, ECV ni agk menyakitkan sedikit pd ibu... doktor kata lagi, selepas buat ECV, doktor akn lihat samada ada komplikasi @ x. komplikasi spt baby akan turning back spt asal, jantung berdenyut semakin perlahan & perubahan uri. sekiranya berlaku komplikasi ni, doktor x kan tunggu lama & terus ceasar...(demi baby & ibu selamat)

b. terus pilih utk ceasarean... yg mana, doktor akn bg tarikh terus... (x pyh fikir2 nak ECV @ cara lain)

kami pilih utk ECV, yg mana kene dtg esk pagi

kami pulang ke rumah dengan keadaan masih berfikir2 lagi sebenarnya dan bincang dgn mak samada nak pilih ECV @ Ceasarean.... jauh di sudut hati, apa yg kami mahukan ialah baby & ibu selamat... macam2 perasaan bertandang di hati dan fikiran... Ya ALLAH Engkau dorongkanlah kami membuat keputusan yg betul & terbaik...
kalian doakanlah kami & baby; smga slmt....

(by Radin & Ayu)





Jumaat, Disember 19, 2008

cerpen; Jangan Tinggal Sembahyang

Jangan Tinggal Sembahyang

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
Kisah di atas, mungkin hanya sebuah cerpen. Apa yang penting, pengajarannya, yang harus di ambil iktibar; solat fardhu 5 waktu sehari semalam adalah rukun (wajib) dalam rukun Islam. Maknanya, syarat penting untuk menganut agama Islam oleh penganutnya. Adakah kita, anak-anak kita, saudara kita, ibu bapa kita, guru-guru kita, telah memenuhi syarat untuk menjadi penganut agama ini dengan baik?

Benarlah soalan orang alim (dalam cerita di atas);
"Kamu berdoa kepada siapa?" Dengan kata lain, "Siapakah Tuhan kita?"

Khamis, Disember 18, 2008

fikir fikir ingat ingat

"Lu fikir la sendiri.."

Inilah akhiran kata yang sering kita selalu dengar oleh anak-anak muda, dan orang kebanyakkan setelah dipopularkan oleh RAja LAwak Nabil. Satu ungkapan yang biasa dan seronok juga dibuat lawak gurauan harian. Biasala kan... untuk mengikut trend percakapan masa kini... Kalau tak tau, terasa macam orang dari Azerbaijan pulak...

Walau bagaimanapun, bolehkah ungkapan itu dibawa ke dalam hidup kita sehari-hari? Mungkin saya terlalu sensitif; PAda pendapat saya, ungkapan itu, menyuruh kita berfikir sendiri; dengan harapan tindakan kita selepas itu mungkin sama atau seperti yang diharapkan oleh yang berkata tadi. Andainya tindakan kita selepas itu, tidak seperti yang diharapkan, seolah-olah kita tidak berfikir la kot... PAdahal, sebenarnya, setiap perkara itu, selepas kita berfikir, ada pelbagai kaedah atau cara untuk membuat tindakan selanjutnya.

"sendiri mau ingat la..."

Ini juga satu konotasi yang menarik; juga popular terutama kepada anak-anak remaja. Saya sendiri pernah dan selalu juga menggunakan ungkapan ini pada suatu ketika. Kemudian, seorang sahabat bertanya balik kepada saya,

"Bukankah lebih baik kita ingat-mengingati antara satu sama lain?"

"Kalau masing-masing ingat, tak ada masalah la dalam dunia ini. Kan saling mengingati itu (tazkirah) suatu yang sangat mulia."

Saya terdiam dan tersenyum... (betul juga tu..)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Tiada sempurna iman salah satu kamu, sehingga kasih sayang pada sesama muslim, sebagaimana ia kasih pada dirinya sendiri
(Bukhari-Muslim)

Rabu, Disember 17, 2008

Berhenti seketika - Muhasabah

Bimbang rasanya... bila memikirkan betapa amanah dan tanggung-jawab semakin besar setiap hari; sememangnya selari dengan usia yang semakin tua; dan dituakan lagi dengan masalah dan rintangan sepanjang perjalanan ini. Rupa-rupanya, masa yang ada sudah semakin sedikit, dan semakin hampir dengan kematian.

Nabi berpesan- 'Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini'. Bimbang rasanya... bila hari esok, tanggung-jawab bertambah lagi dengan bertambahnya tanggungan dalam keluarga ini. Melihat orang lain terus menghadapi pengkisahan ini terlebih dahulu; pastinya memberi pengajaran dan iktibar untuk tidak melakukan kesilapan yang sama, juga mengambil pedoman dan contoh tauladan dari yang berjaya.

ORang kata, mendidik anak-anak, macam tanam pokok. TAk semuanya akan jadi buah yang elok. Biasa la; ada jadi, ada yang tak jadi...
Mama pula kata, mendidik anak-anak, macam tanam pokok. Usahakan sepenuh jiwa dan jaga supaya semuanya menjadi. Selebihnya, serahkan pada Qada' Qadar ketentuan Esa.

ORang kata, hidup kita hari-hari, kadang-kadang bernasib baik, kadang-kadang bernasib buruk (tak de ong, aka Suwey).
Mama pula kata, hidup kita hari-hari, harus membuat keputusan dan pilihan. Pilihan baik akan menghasilkan keputusan baik; pilihan buruk akan menghasilkan pengkisahan yang buruk. Belajar membuat pilihan yang baik. Solat Istikharah selalu.

Fikrah -
1) Bersedia untuk belajar, diajar dan mengajar.
2) Hadapilah hari-hari muka dengan penuh ilmu dan bersedia membuat pilihan yang baik; pilihan yang bertanggungjawab!

Selasa, Disember 16, 2008

tik.. tok.. tik... tok...




1) Masa yang ditunggu semakin tiba... Hari ni, Ayu check in ke Hospital Banting... Doktor pakar menyatakan perlu pemantauan rapi memandangkan keadaan kedudukan baby yang sedikit luar biasa.

2) Bukan biasa - bukan songsang - bukan melintang - tapi serong. Doktor kata, susah nak pusing pada kedudukan itu; doktor sendiri pun tak berani nak pusingkan; dan lagi- sudah cukup 37 minggu.

3) Tik... tok... tik... tok... Masa semakin suntuk. Mungkin kami akan berkampung di hospital. Mujur juga rumah sangat berhampiran... Bila-bila masa sahaja... Walaupun ada 22 hari lagi; itu jangkaan paling akhir... Memang bila-bila masa sahaja...

4) Ya Allah.. permudahkanlah urusan kami... Semoga segalanya berjalan dengan baik... Amiinn..


Fikrah - nak jadi papa ni... :-)

Jumaat, Disember 12, 2008

kisah burung kecil

Dikisahkan pada zaman nabi Ibrahim dulu, pada ketika nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud yang zalim, api dikatakan sangat besar menjulang-julang; sehinggakan menghampirinya juga berasa begitu panas. Ramai orang memerhatikan sahaja, takut dan bimbang akan kemurkaan Raja Namrud.

Tiba-tiba, kelihatan ada seekor burung pipit yang sangat kecil terbang berulang-ulang kali dari kawasan perigi ke tempat pembakaran itu. Rupa-rupanya, burung kecil itu sedang membawa air menggunakan paruhnya yang kecil itu, untuk menyiram api yang sangat marak menyala.

Haiwan lain bertanyakan kepada burung kecil itu...

"Kau ni, melakukan sesuatu yang sia-sia. Masakan air yang kau bawa itu dapat memadamkan api yang besar itu?"

Burung kecil itu menjawab,

"Paling kurang, nanti bila aku mati nanti, dan berhadapan dengan Allah nanti, aku boleh menyatakan ini usaha aku untuk membantu nabi Ibrahim. Air yang sedikit ini akan menjadi saksi usaha aku yang kecil ini"

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1) Kita manusia yang besar; apa usaha kita untuk menegakkan syiar kebenaran Islam?
2) Usaha yang kecil; namun dikerjakan secara berterusan; lebih baik ertinya daripada usaha yang kelihatan besar; namun dikerjakan sekali-sekala. Namun, ia lebih baik daripada langsung tidak berbuat apa-apa...

Khamis, Disember 11, 2008

Konsisten (Istiqamah)

"Ya Rasulullah! Ucapkanlah kepadaku suatu perkataan mengenai Islam, di mana aku tidak bertanyakan kepada seseorangpun melainkan kepadamu"

Sabda RAsulullah SAW, "Ucapkanlah! Aku beriman dengan Allah, dan kemudian hendaklah kamu beristiqamah dengannya."
(Diriwayat oleh Muslim)

Hadis ini pendek dan ringkas; namun mencakupi urusan hidup kita seharian; iaitu iman dan Istiqamah; Istiqamah di atas tauhid yang sempurna; mengEsakan Allah. Perlakuan istiqamah atau konsisten dalam bahasa yang lebih kita biasa guna, tidak mampu dilakukan oleh orang yang kecil jiwanya. Pendiriannya harus teguh; Jati diri harus kukuh. Justeru, ianya merupakan kebebasan dari segala kebiasaan, pemisahan diri dari segala adat dan resam, dan berdiri di hadapan Allah dengan membenarkan segala janjiNya dan menunaikan segala perintahNya.

Apabila kita konsisten (dengan makna di atas), maka dengan sendirinya, akan berlakulah segala kebaikan dan kebajikan. Sesungguhnya, insan tidak akan dapat mencapai perilaku konsisten dengan sebenar-benarnya atas kapasiti IMAN yang sering turun-naik; Oleh yang demikian, perintah untuk meminta ampun adalah HARUS dilaksanakan dalam melakukan amalan kebaikan.
"...Maka hendaklah kamu tetap teguh beristiqamah di atas jalan yang betul, serta pohonlah kepadaNya supaya mengampuni (dosa-dosa yang lalu)" (Fussilat:6)

Perkara berikut adalah turutan mengikut keutamaan dalam Istiqamah:

1) Konsisten menjaga Hati
Hati adalah raja bagi segala anggota. Anggota adalah tentera-tenteranya. Apabila raja beristiqamah, maka istiqamahlah tentera dan pengawasannya.

2) Konsisten menjaga lidah
Lidah menterjemah dan melafazkan apa yang ada dalam hati. Dalam satu hadis, "Tidak akan beristiqamah iman seorang hamba hinggalah istiqamah hatinya. Dan tidak akan beristiqamah hatinya hinggalah istiqamah lidahnya"

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah-
1) Sememangnya sukar dan berat untuk kita konsisten dalam melakukan sesuatu amalan kebaikan; lagi-lagi tidak pernah, atau jarang-jarang melakukan kebaikan. NAMUN, KITA harus INSAF perubahan ini adalah suatu HIJRAH yang sangat penting untuk kehidupan kita. Rasulullah SAW bila ditanya, "sungguh cepat kamu beruban" dan baginda menjawab "Surah Hud dan ayat-ayatnya yang telah membuatkan aku beruban"
Oleh itu, hendaklah kamu (wahai Muhammad SAW), sentiasa tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu...
(Hud:112)

2) Takkan selamanya mahu berada di dalam keadaan 'selemah-lemah' iman? Tingkatkan kualiti diri. Lakukanlah perubahan dengan penuh konsisten dan bertanggung-jawab.

Contohnya;
a) Kalau dulu tak solat / lambat solat (di akhir waktu) / solat sendirian / solat berjemaah di rumah kepada yang terbaik ---> Solat fardhu berjemaah di masjid 5 waktu sehari semalam! Boleh?

b) Menyumbang kepada agama dan masyarakat ---> dengan menulis, berceramah, mengajar, bersukan, berkerja atau segala macam perkara yang boleh difikirkan. Sampai mana tahap kita? di takuk lama atau sudah berubah? ataupun pernah berubah juga.. dulu..

Rabu, Disember 10, 2008

Sucikan hati; Berubahlah sekarang

Untuk menyatakan "ada lubang pada jalan di hadapan", tidak perlukan seorang jurutera untuk menyatakannya. Memadailah seorang budak kecil berumur 7 tahun memberikan amaran. Walau bagaimanapun, adakah sesiapa yang mahu mempercayai kata-kata budak kecil itu? Malahan, budak kecil itu mungkin diketawakan dan dipersendakan, dan akhirnya tidak dipedulikan. Mungkin kredibiliti atau integriti yang menjadi puncanya.

Atas sebab itu juga, untuk kita menyatakan kebenaran, kita harus bersikap benar dan membenarkan; Contoh tauladan telah ditonjolkan oleh junjungan besar RAsulullah SAW. Baginda digelar Al-Amin yang bermaksud (Yang Benar) semenjak usia kanak-kanak baginda lagi. Maka, lebih mudah untuk baginda berdakwah dan menyampaikan Islam dengan sikap dan peribadi baginda yang amat mulia itu. Begitu juga dengan para Sahabat dan tabi' tabi'in. Kredibiliti dan integriti generasi Rabbaniy tersebut tiada tolok banding lagi.

Namun, generasi muda hari ini, tidak pula boleh menjadikan alasan untuk tidak terlibat dalam urusan dakwah hanya kerana tidak punya peribadi semulia Rasulullah SAW dan para Sahabat. Perubahan ke arah kebaikan dan kebenaran adalah tuntutan kepada seluruh ummat, tidak kira siapa kita. Malahan, kita; yang peribadinya sangat jauh dan tidak mampu menjadi contoh kepada masyarakat pun HARUS lebih menyampaikan dakwah. Sekurang-kurangnya, itulah yang mungkin membantu kita di dalam kubur nanti.

bayangkan situasi ini:
1) Seorang bos yang selalu tinggal solat fardhu; apabila sedang bermesyuarat bersama stafnya, dan apabila tiba waktu solat- memberhentikan mesyuarat dan menyuruh stafnya yang mahu solat untuk bersolat; walaupun beliau sendiri tidak bersolat.
2) Seorang abang / ayah yang merokok; apabila adiknya mahu mencuba rokok- abangnya menghalang dan memarahi adiknya / anaknya itu supaya jangan merokok.
3) Seorang pemuda yang jarang-jarang pergi ke surau / masjid (bukan mat surau); mengadakan suatu program Rakan MAsjid - mengajak remaja lain mengimarahkan surau / masjid.
4) Seorang cikgu yang sering juga datang lambat ke kelas atau 'ponteng' kelas kerana alasan berkursus atau mesyuarat dsbnya - mendidik anak-muridnya supaya sentiasa datang sekolah dan hadir setiap kelas dan memberikan fokus dan komitmen semasa PnP.

>>>>>>>>>
Fikrah -
1) Untuk menjadi baik dan contoh DAN SETERUSNYA mengajak kepada kebenaran dan mencegah kepada kemungkaran adalah sangat BAIK dan menjadi suatu tuntutan agama sebenarnya.
2) Kalau tidak mampu menjadi contoh yang baik, BERUSAHALAH untuk berubah ke arah itu; Kalau mampu laju macam kuda; lakukanlah. Kalau mampu perlahan macam kura-kura; lakukanlah seadanya. YANG PENTING, harus berubah!
3) Kalau diri sendiri memilih NERAKA, jangan bawa orang lain bersama. (Ini perangai SYAITAN laknatullah)
4) Kalau diri sendiri memilih SYURGA, ajaklah orang lain bersama. (Ini sikap mulia seorang hamba Allah)
5) Kita harus konsisten sepanjang hayat membina KREDIBILITI dan INTEGRITI dalaman dengan dibantu orang lain. Orang lain BANTU; KITA SENDIRI HARUS BERUSAHA DENGAN SEPENUH HATI.
6) Bersikap benar; HIPOKRIT adalah sikap terkutuk- Maknanya; apabila TIADA KEINGINAN dalam hati untuk melakukan perubahan kepada kebaikan! Maka, sucikan hati (Tazkiyatun Nafs); Berubahlah sekarang!

Ahad, Disember 07, 2008

Soalan kritikal perihalan pemimpin dan kepemimpinan

1)Di mana kita akan berfungsi / memimpin dengan cara terbaik dengan posisi terbaik?

2)Bagaimana sekiranya kita harus suka dengan apa yang kita lakukan / akan lakukan , atau sebenarnya, haruskah kita lakukan apa yang kita suka? (sebagai pemimpin / dipimpin)

3)Soalan bagaimana hendak memilih pemimpin yang berkeperibadian:
Banyak Tahunya? Banyak Tahannya? Banyak Bijaknya? Banyak Cerdiknya?
Mulia Budinya? Banyak relanya?
Banyak Ikhlasnya? Banyak taatnya? Mulia Duduknya? Banyak Sedarnya? Atau Banyak Tidaknya?
Fikrah - Ini semua - 'ahli mesyuarat' harus jelas, bukankah? Iye kah? Sekarang, atau sekadar tangkap muat?

4)Apa makna berkorban? Perlukah Terkorban? disembelih? Siapa yang sembelih? ataupun tolak ansur? siapa yang harus tolak? siapa yang harus ansur?

5)Bagaimana peralihan kepemimpinan merupakan suatu transisi perancangan atau peluang melepaskan beban? atau hanya mengikut budaya terdahulu?

Fikrah - Setiap urusan dan organisasi perlukan barisan kepimpinan yang dipersetujui mampu berfungsi dan yang lebih penting; DIREDHAKAN dan DITERIMA oleh barisan pengikut / ahli. Dengan kata yang mudah, bukan sahaja pemimpin harus jelas tanggungjawab kepada ahli, AHLI JUGA HARUS tahu tanggungjawab kepada pemimpin.

PENGUMUMAN PROGRAM PMG

PERSATUAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ISLAM ANAK-ANAK SELANGOR( PEPIAS) BERSAMA DENGAN MAIS AKAN MENGADAKAN PROGRAM SEPRTI BERIKUT ;

PROGRAM : PERKAMPUNGAN MENARA GADING(PMG)

TEMPAT : KOLEJ 13 UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,SERDANG

TARIKH : 19-21 DISEMBER 2008

SASARAN : LEPASAN SPM/STAM/STPM (17-19 TAHUN)


UTK KETERANGAN LANJUT SILA HUBUNGI

FIQAH-013-2506486
NANA-017-3110573

JOM PUASA HARI AHAD SEHARI SEBELUM HARI RAYA HAJI

Para jemaah Haji mendekati Allah disana dengan memakai Ihram, berTalbiah dan berdo'a, dan kita yang di Malaysia berada di rumah-rumah mendekati tuhannya dengan berpuasa. Nabi saw telah ditanya tentang berpuasa pada Hari Arafah, baginda bersabda

" Menghapuskan dosa setahun yang lepas dan yang berbaki" -
[Hadith Riwayat Muslim dan lain2nya dari Abi Qatadah].


Didalam riwayat lain Nabi saw bersabda :

"Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya"
- [Hadith riwayat Tirmudzi].

Selamat Berpuasa!

Sabtu, Disember 06, 2008

Ucapan dasar Presiden MATP ke-17


Muktamar Agung Tahunan PEPIAS ke-17 (MATP ke-17) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 5-6 Disember 2008; Tempat berlangsungnya- Kompleks Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Gombak. Mungkin, MAT kali ini adalah yang terbaik sepanjang 17 tahun PEPIAS berada di persada dakwah negeri Selangor. Saudara Zamani Mohd Karulani, presiden PEPIAS untuk 2 penggal (2004-2008) telah memberikan suatu ucapan dasar terakhir sebagai presiden PEPIAS; yang saya kira, terbaik antara 4 kali ucapan dasar beliau.

Tema MAT kali ini adalah- MEMPERTINGKAT KAPASITI; MEMENUHI KEPERLUAN UMMAT.
Suka saya berkongsi ringkasan nota ucapan beliau yang saya rasakan amat penting untuk dihadamkan oleh penggerak dakwah terutama generasi belia di SElangor.

REALITI UMMAT MASA KINI;
1) Generasi muda telah diserang pelbagai agenda licik yahudi dan nasrani yang yang tidak akan redha dengan kita selagi tidak mengikut cara mereka. Golongan kanak-kanak di tomtombakkan, golongan belia telah difantasiakan. MAsyarakat Islam pula telah diserang dengan pemikiran Islam Liberal, fahaman pluralisme agama, sekularisme, Islamophopia, hedonisme, globalisasi, feminisme, zionisme, dan lain-lain lagi.

2) Dari segi pendidikan agama, kelompongan kesinambungan pendidikan agama dari sekolah rendah agama terus kepada IPT, tetapi hanya sedikit sahaja bilangan sekolah agama menengah tidak dapat menampung tempat pelajar-pelajar Islam yang dahagakan pendidikan agama.

3) PArti politik pula gemar mencari salah sesama mereka. POlitik dijadikan matlamat untuk mendapatkan kuasa. Sedangkan dalam Islam, politik dan kuasa dijadikan wasilah untuk menegakkan agama di muka bumi.

Masyarakat sedar dan mahu pengisian AGAMA sebagai benteng atau jati diri dalam menghadapi cabaran yang besar dan kian ruwet di luar sana. PERSOALANNYA, adakah kita mampu menjadi rakan kepada pembangunan jati diri remaja yang ada, dengan kekuatan yang kita ada sekarang ini? Ummat amat dahagakan dan mengharapkan kita semua. Adakah kita semua sudah bersedia?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
FIkrah Imayu - Ini baru permulaan (m/s 1; ada 16 m/s semua sekali)... besar dan berat betul isu ni... Selebihnya akan dikongsikan lagi selepas ini (kalau berkesempatan). Namun, setelah pulang dari MAT petang tadi, saya merasakan memang banyak lagi tugasan ummat yang harus dilaksanakan untuk remaja dan belia dalam masyarakat. Harapannya, generasi yang keluar dari madrasah PEPIAS ini mampu berfungsi bak benih yang subur, mengakar dan merimbun dalam masyarakat.

Patutkah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan)? (Ankabut:2)

Khamis, Disember 04, 2008

Majlis mendirikan Masjid orang melayu

Musim cuti sekolah; terutama pada akhir tahun, adalah masa yang cukup popular untuk menjalankan majlis yang melibatkan perkahwinan.

Dalam budaya Melayu, ada 'prosedur'seperti berikut:-
Merisik-Bertunang-Nikah-Walimah'Arus(pihak perempuan)-walimah'Arus(pihak lelaki)

Kalau tidak diikutkan 'work flow' ini, seolah-olah pincanglah adat, rosaklah bangsa... susah juga amalan orang melayu yang diwarisi ini... Susahnya perkara ini apabila melibatkan wang... YAng lebih parah, apabila tidak selari dengan tuntutan agama Islam yang menganjurkan konsep yang mudah, selamat dan tidak membazir. Kerja 'mendirikan masjid', seharusnya dimudahkan, diraikan dengan sekadarnya dan mendapat pahala ibadat; bukan sekadar ikut-ikutan dan menjadi adat warisan semata-mata... Sangat rugi(dari konteks dan kaca mata agama)

Merisik -

SEHARUSNYA- antara lelaki (bakal suami) dan keluarga perempuan (bakal isteri)... Mungkin membawa orang tua pihak lelaki lebih baik (sebagai jurubicara yang lebih baik) - Minta izin dengan orang tuanya untuk berkawan..

YANG BERLAKU- 'dating' dulu pihak lelaki dan perempuan di shopping mall, atau taman tasik... tak pun, 'sms' jer... "awak nak kawan dengan saya, tak?" (heheh...) atau yang seumpama dengannya...Mak bapak... Harramm tak tau siapa anaknya berkawan...


Bertunang -


SEHARUSNYA- Keluarga (ibu dan bapa) pihak lelaki bertemu 8 mata dengan keluarga (ibu dan bapa) pihak perempuan.(mungkin atuk nenek atau saudara dekat boleh dibawa bersama sebagai saksi) Hasrat; menyatakan untuk 'booking' dan meletakkan tanda 'booking'(mungkin berupa cincin atau yang sesuai); supaya tidak diganggu oleh orang lain yang mungkin berhajat. BUKAN sebagai tiket untuk keluar 'dating' selalu, apa lagi manghalalkan perkara sentuhan kulit.

YANG BERLAKU- segerombolan pihak lelaki dalam 10-15 kereta, SIAP dengan 7-11 dulang; dan dilibatkan keseluruhan media yang ada atas muka bumi; bertemu 1000 mata dengan pihak perempuan juga 7-11 dulang; siap pasang khemah- ringkasnya, SELURUH kejiranan dan kesemua pihak keluarga maklum...
Fikrah- Ingat... tunang; belum confirm lagi!! (ada hikmahnya kenapa harus pertemuan 8 mata dan keluarga terdekat sahaja maklum)


Bernikah-

SEHARUSNYA- SEgerombolan ahli keluarga pihak lelaki dan perempuan hadir dalam majlis 'shake hand' meraikan ahli keluarga baru; dan yang penting, menyatakan 'confirmation' dan penyerahan 'TOTAL' tanggungjawab daripada ayah pengantin perempuan kepada pihak lelaki (suami). Hadiah yang berdulang-dulang untuk persediaan majlis WAlimah diberikan kepada kedua-dua pihak.
Masa 'shake hand', sebaiknya, biarlah bapa pengantin perempuan sendiri menjalankan upacara; dan menyerahkan kepada pihak lelaki...

YANG BERLAKU- Pihak bapa perempuan menyerahkan sebulat-bulatnya kepada tok imam; yang hadir majlis pernikahan tak seberapa ramainya; ada pulak, ibubapa pihak pengantin pun tidak hadir;

Fikrah- Ini hari gilang-gemilang; dan diakhiri dengan solat sunat Nikah- solat sunat khusus; banyak pengantin lelaki lupa nak buat...

Walimatul'Arus-

(Perhatian sebutan; bukan walimatul Urus (Makna Al-Arus= pengantin)
SEHARUSNYA- Dijemput seluruh kejiranan dan kenalan sahabat handai dan sering kali juga diambil kesempatan menjemput sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa; Tidak perlu terlalu besar; awasi supaya tidak berlaku pembaziran dan kebersihan (makanan dan persekitaran) dijaga dengan rapi. Memadai dengan bajet yang termampu.
-Jemputan memberikan hadiah kepada pengantin berupa 'becek'an' untuk mengurangkan beban tuan rumah; juga sekadar yang mampu.
-Pengantin HARUS melayan tetamu yang hadir; sudah tentu mereka datang untuk meraikan pengantin
-Pergaulan dan suasana dijaga supaya tidak terlalu melalaikan;

YANG BERLAKU- Majlis sebesar-besar yang boleh; namun, tidak nampak pengantin turun melayan tetamu yang hadir; malah hanya melayan kawan-kawan tertentu sahaja... Saudara sepupu-2pupu-atuk saudara- tidak dilayan; yang lebih parah, tidak kenal pun!
-Majlis bercampur-baur dengan muzik yang melampau (tidak memuji Allah;bukan muzik dalam Islam); lagi best- yang dara dan teruna bermain mata.. adoi... yang bukan teruna pun layan jugak.... lagi la adoi....
-Tuan rumah siap mencebik bila malamnya, membuka sampul surat; ada orang yang memberikan RM1! Habis hilang keikhlasan dan ketulusan...

Fikrah Imayu - Mungkin apa yang saya nukilkan di atas, adalah suatu pendapat peribadi dari kaca mata saya yang banyak kelemahan dan dangkal dalam mendalami budaya masyarakat. Mungkin juga tidak keterlaluan untuk saya meletakkan premis bahawa ibadat haruslah diletakkan jauh di atas sekiranya bertembung dengan adat..
Biar mati adat, jangan mati ibadat


Sama-sama la kita fikirkan....
(BUKAN lu pikir la sendiri!!!)<--Satu lagi indoktrin dan propaganda yang salah!!! ni cerita lain