Jumaat, Januari 11, 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112




1. Perhimpunan ini adalah perhimpunan terakhir sebelum PRU13 yang menghimpunkan gerakan yang membuat tuntutan tertentu
- BERSIH - menuntut pilihan raya yang adil dan bersih dengan 8 tuntutan asasi.
- STOP LYNAS - menuntut agar loji pemprosesan nadir bumi oleh Lynas dihentikan.
- ROYALTI - menuntut agar hak rakyat Kelantan dan mana-mana hak royalti hasil bumi kepada rakyat yang dinafikan dikembalikan.
- SELAMATKAN FELDA (ANAK) - menuntut agar Felda tidak diperdagangkan dalam pasaran terbuka FGHB dan menyerahkan hak milik tanah Felda kepada peneroka.

2. Perhimpunan ini adalah perhimpunan yang dijangka melibatkan 1 juta rakyat berbilang kaum dan parti. Oleh kerana dominasi tuntutan rakyat dan gerakan ini adalah daripada pihak Pakatan Rakyat, maka pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti seperti PKR, PAS dan DAP akan mendominasi perhimpunan ini.

3. Pihak media massa arus perdana dan pihak cyber-troopers melecehkan perhimpunan ini dengan menggelarkannya sebagai 'Perhimpunan Syamsidar' atas dakwaan perhimpunan berkenaan diadakan beberapa hari sebelum Syamsidar (isteri kepada YB Azmin Ali) hadir ke mahkamah sebagai saksi pendakwaan kes berkaitan DSAI.

4. Perhimpunan ini telah mendapat kebenaran daripada pihak PDRM setelah perbincangan di antara pihak penganjur yang diketuai oleh YB Mohammad b Sabu dengan KPN. Malah, dalam pertemuan tersebut, KPN telah menjanjikan agar perhimpunan kali ini menjadi suatu yang bersejarah. Kebenaran oleh pihak Stadium Merdeka juga telah diberikan, sehinggalah pada hari Khamis, 10 Januari 2013, pihak PDRM menasihatkan untuk berpindah tempat ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Tindakan PDRM ini dilihat secara skeptikal oleh penganjur kerana akan menyukarkan proses promosi dan lain-lain urusan teknikal. Kenyataan YB Mohamad Sabu pada 11 Januari 2013 bagaimanapun menyatakan perhimpunan ini akan diteruskan juga di Stadium Merdeka.

5. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah politik tanah air semenjak merdeka, apabila pihak PDRM memberikan kerjasama dan kebenaran untuk pihak pembangkang mengadakan perhimpunan awam. Justeru, adalah wajar bagi pihak penganjur berasa skeptikal dan curiga dengan langkah PDRM kali ini. Di pihak PDRM pula, sebanyak 27 syarat ketat diberikan kepada pihak penganjur dan secara praktikalnya, agak sukar untuk dipatuhi secara keseluruhannya yang dijangka menjadi sebab untuk mendakwa pihak penganjur. Antara syarat yang diletakkan adalah seperti berikut:
  
  • Penganjur dan peserta yang berada dalam himpunan itu tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan yang berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, perasaan tidak puas hati atau permusuhan di kalangan orang awam amnya atau membuat apa-apa yang akan menganggu ketenangan orang awam.
  • Penganjur hendaklah memastikan bahawa dia atau mana-mana orang lain yang berada di himpunan tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang bertulis. 
  • Penganjur hendaklah mematuhi tarikh, masa dan tempat perhimpunan sebagaimana yang telah ditetapkan, tarikh 12 Januari 2013, 2 petang hingga 5 petang di Stadium Merdeka.
  • Penganjur hendaklah menentukan tiada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke tempat perhimpunan.
  • Penganjur hendaklah menentukan semua syarat-syarat dan semua sekatan perhimpunan dimaklumkan kepada semua peserta perhimpunan.
  • Penganjur hendaklah memastikan bilangan peserta perhimpunan yang masuk stadium tidak melebihi 30,000 orang sebagaimana mengikut terma yang ditetapkan oleh pemilik Stadium Merdeka.
  • Penganjur hendaklah mematuhi cara berhimpun yang ditetapkan di bawah Akta 736.
  • Penganjur hendaklah memastikan pembersihan semasa dan selepas perhimpunan atau menanggung kos pembersihan tempat perhimpunan.
  • Penganjur hendaklah memastikan perhimpunan itu tidak akan membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta atau alam sekitar. 
  • Penganjur dan peserta hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa awam.

6.  Lokasi utama adalah di Stadium Merdeka dijangka hangat pada jam 2:00 petang. Justeru, lokasi tempat berkumpul yang dicadangkan oleh pihak penganjur adalah seperti berikut: 
  • Hadapan AMCORP MALL 
    • AMK Parti Keadilan Rakyat 
  • Masjid Universiti Malaya Jalan Pantai 
    • Orang muda / Mahasiswa 
  • Brickfields 
    • PSM, OKU, seniman, BERSIH 
  • KLCC 
    • ANAK & ROYALTI 
  • Jalan Sultan 
    • Selamatkan Kampung Warisan, MUAFAKAT 
  • Pasar Seni 
    • Wanita PKR, DAP, PAS 
  • Dataran Merdeka 
    • Kumpulan Hijau (Selamatkan LYNAS) 
  • Kelab Sultan Sulaima 
    • SAMM / anak muda 
  • Masjid Negara 
    • YB Azmin Ali, YB Mujahid Rawa, YB Khalid Samad

Rabu, Januari 09, 2013

Catatan Usrah: Pendidikan, manusia dan melayu

Catatan Usrah
  1. Konsep usrah adalah belajar secara bersama. 
  2. Kita mesti mendidik semula diri kita 
  3. Ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan yang sedia ada. Ada perkara yang dirasakan tidak cukup. Sebagai contoh, kita dilatih sebagai seorang doktor perubatan, tetapi kita tidak betul-betul dilatih sebagai seorang manusia. 
  4. Sistem kita tidak mementingkan watak manusia tetapi mementingkan otak manusia. 
  5. Maka jadilah atau lahirnya manusia yang berotak tetapi tidak berwatak dan berakhlak. 
  6. Apa yang dipentingkan oleh kebanyakan orang sekarang ialah kecemerlangan akademik. 
  7. Subjek pengajian Islam sendiri telah terheret kepada exam oriented bukannya penghayatan, pengamalan dan pengabdian diri kepada Allah. 
  8. Kita mesti cinta kepada ilmu dengan memahami konsep menuntut ilmu itu sebenarnya. 
  9. Kalau sekadar mahu mengisi otak sahaja, maka kita akan lupa. Sebagai contoh, mereka yang sudah lama berkerjaya, cuba ambil peperiksaan SPM sekarang, maka pastinya tidak boleh lulus semuanya dengan cemerlang. 
  10. Usahakan cinta kepada ilmu. 
  11. Dimensi kemanusiaan yang ada pada diri kita dilihat seolah-olah telah hilang. 
  12. Konsep keinsanan dalam watak manusia tidak sama dengan penemuan sains manusia. 
  13. Manusia dalam Al-Qur`an adalah makhuk yang dimuliakan oleh Allah dalam hembusan roh Ilahi. 
  14. Manusia dalam ilmu moden tidak ada konsep ini. 
  15. Sesungguhnya yang menjadikan manusia makhluk yang terbaik kerana adanya hembusan roh Ilahi di dalamnya. Inilah ciri keinsanan yang asasi. 
  16. Apabila Adam dicipta atau dibentuk daripada tanah, ianya tidak dibiarkan oleh Allah sebagai tanah sahaja tetapi dihembuskan dengan roh kemudiannya. 
  17. Kejadian ini difahami oleh para malaikat tetapi diingkari oleh para iblis. 
  18. Ketika disuruh sujud kepada Adam, malaikat sujud tanda hormat tetapi diingkari oleh iblis kerana merasakan dirinya yang dijadikan dari api lebih mulia daripada manusia yang dijadikan daripada tanah. 
  19. Jangan ditanya bagaimana caranya roh tersebut dihembus masuk ke dalam diri manusia. 
  20. Juga, jangan sesekali menghina anak manusia kerana dalam dirinya ada roh hembusan Ilahi. 
  21. Makhluk-makhluk lain tidak menjalani proses hembusan roh Ilahi sepertimana yang dialami oleh manusia, sebab itu manusia layak menjadi khalifah di dunia ini. 
  22. Profesor Syed Husein Nasr menyebut bahawa sains moden menganggap manusia sebagai earthly bound man - manusia yang sudah tertambat atau terikat atau terlekat di bumi.  Kalau begitu, apa bezanya manusia dengan iblis. 
  23. Maka kerana itulah kita kena reeducate atau mendidik semula manusia untuk membina jadi diri kemanusiaan pada diri manusia itu sendiri. 
  24. Sebab itu, yang berhak mendapat human right adalah human. 
  25. Akhirnya, ada sesuatu yang asas dalam sistem pendidikan kita yang tak kena. 
  26. Krisis kelemahan kemanusiaan ini sedang berlaku secara berleluasa. 
  27. Masalah ketamadunan manusia sekarang yang dilihat sebagai makhluk mulia yang tidak dikenali lagi yang adanya roh hembusan Ilahi. 
  28. Manusia kini dilihat sebagai kehilangan ciri-ciri kemanusiaannya. 
  29. Seorang budayawan atau seniman di Indonesia, Emha Ainun Najib mengatakan bahawa iblis kelihatan senyum-senyum sahaja kerana seolah-olah permohonannya untuk merosakkan manusia sehingga kiamat dianggap telah berjaya lebih awal dari jangkaannya. 
  30. Tempoh yang diminta sehingga kiamat cuba dibuktikan bahawa manusia ini tidak layak menerima sujud ketika mula-mula dijadikan.  Itu sekadar imaginasi seorang seniman. Beliau senyum-senyum kerana tidak perlu tunggu sehingga kiamat pun, manusia telah berjaya dirosakkan. 
  31. Mengapa Melayu menerima Islam? Kerana Islam menjanjikan sesuatu yang lebih baik. 
  32. Sebelum Melayu menganut Islam, dalam sistem feudal Melayu, ianya menganut fahaman Hindu. Rakyat tiada hak menuntut keadilan ketika itu. 
  33. Prinsipnya “you don't have right to have right” - tiada hak untuk menuntut apa-apa hak. Sebagai contoh, tidak boleh menuntut hak kepada Raja, tetapi ianya sekadar dipanggil kurnia Raja, contohnya tanah kurnia! 
  34.  Setelah Islam datang, Islam memuliakan manusia. Semua manusia asal usulnya dari Adam yang dijadikan daripada tanah, maka tidak timbul isu Raja berasal dari kayangan. 
  35. Ketika Islam datang ke Tanah Melayu, para ulama berusaha untuk memanusiakan Raja. Namun, bukannya mudah untuk memanusiakan Raja. 
  36. Selepas itu, barulah rakyat boleh terangkat setaraf dengan golongan Raja dari segi kamanusiaannya. 
  37. Ungkapan Melayu: Raja adil Raja disembah. Raja zalim Raja disanggah. 
  38. Melayu setia kepada Raja bersyarat dan derhaka kepada Raja kerana bersebab.  Adil vs zalim.
  39. Satu ketika dahulu, orang dalam bidang agama merasa sangat “inferiority complex” atau rendah diri berbanding dengan golongan sains. 
  40. Rasa rendah diri ini berada pada jangka waktu yang agak lama. 
  41. Penyanjungan yang melampau kepada golongan tertentu tidak sewajarnya berlaku. 
  42. Rasululah s.a.w. meraikan golongan badwi yang berada dalam rendah diri ketika itu dengan ungkapan, "Aku bukan siapa-siapa. Aku anak seorang wanita Quraish yang biasa makan daging kering." 
  43. Rasulullah s.a.w. secara sengaja “silent” atau diamkan perkataan atau asal usul bapanya kerana bapanya dari keturunan orang ternama sedangkan ibunya dari orang awam. 
  44. Makanannya juga biasa-biasa sahaja kerana kebiasaannya makanan yang kita biasa ambil dilihat sebagai indikasi status sosial. 
  45. Sebab itu Rasulullah s.a.w. berkata baginda berasal daripada manusia biasa. 
  46. Dalam Islam tidak boleh merendahkan orang dan merasa bangga diri. 
  47. Kesedaran tentang maruah diri perlu dititikberatkan. Jangan sesekali menghina atau menjatuhkan maruah atau “dignity” seseorang. 
  48. Orang yang bermaruah ada sifat tahu malu. Sebagai contoh, bukan sahaja tidak sanggup masuk ke kedai nombor ekor, malah lalu di hadapannya sahaja sudah merasa malu. Sebagai contoh lain, satu ketika dahulu, sekitar tahun 80-an, kebiasaannya, bagi mendapatkan “Certificate of Fitness” (CF) bagi membina rumah, perlu 'hulur'.  
  49. Namun, orang yang ada maruah, dia lebih rela membayar denda kerana tidak ada CF pada rumah yang dibina daripada 'hulur' untuk mendapatkan CF.  Itulah namanya orang yang bermaruah! 
  50. Yang DiPertuan adalah yang dijadikan tuan oleh rakyat. Maka rakyat sebenarnya yang mengangkat Raja.   
  51. Melayu kalau melakukan kesalahan dari segi syarak, boleh menerima  hukuman tetapi Melayu jangan sesekali diaibkan. Inilah kontrak sosial Melayu. 
  52. Sekiranya seseorang diaibkan secara berleluasa, maka kita perlu ada maruah untuk membelanya.
  53. Gabungkan bangsa yang bermaruah, kuat dan punya keberanian. Kekuatan tiada ertinya kalau tiada keberanian. 
  54. Gurauan: Badan sahaja bertubuh sasa dan fizikalnya kuat tetapi tengah malam apabila mahu ke dapur pun maka dikejutkan isterinya untuk temankan kerana tidak berani. 
  55. Peribahasa Melayu: "Apa guna pergi ke bendang kalau tidak menanam padi, apa guna keris disandang kalau tidak berani mati. Sebab itu, demi menjaga maruah, manusia wajar berani mati. 
  56. “Apakah tandanya anak jantan?  Matinya di gelanggang (iaitu mati berjuang). 
  57. Keris pada suatu ketika dahulu menjadi pembela tetapi keris ketika ini sekadar menjadi simbol. 
  58. Gurauan: "Apa guna pergi ke bendang kalau tidak bertanam padi. Apa guna kering bersilang kalau takut sama bini.”

Rabu, Januari 02, 2013

Idealisme Perjuangan


Idealisme Perjuangan

Intipati Perjuangan - Ucapan Penutup Muzakarah Qiyadah ke 5 – Dr Siddiq Fadil

Kita berada untuk membina kekuatan rijal melalui kaedah tarbiyyah dan perkaderan. Kekuatan itu datang daripada pertolongan Allah s.w.t. dan kualiti umat Islam – kualiti mu’minin. Dia (Allah) memperkuatkan engkau dengan pertolongan-Nya (pertolongan Allah) dan dengan orang yang beriman. (surah :8, ayat: 62) Inilah dua factor kejayaan… bi nasrihi wa bil mu’minin.

Golongan al mu’minin seperti mereka yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w. Gelaran seperti al qawiyul amin (merujuk kepada Nabi Musa a.s.) dan hafizun alim (merujuk kepada Nabi Yusuf a.s.) serta banyak lagi. Perjuangan kita bertitik tolak daripada satu idealisme. Dalam keadaan mana pun idealism ini tidak boleh mati. Komitmen kepada idealisme itu menjadi sebab kita ingin membawa perubahan – menjadi agen perubahan. Kita ingin berubah bagi melaksana idealisme perjuangan.

Sejauh mana kita guna idealisme ini untuk didokongi orang-orang muda dan para pelajar kerana pada usia inilah mereka mempunyai idealisme yang cukup tinggi. Kerana idealisme itulah kita membuat perubahan. Tanpa idealisme buat apa kita inginkan perubahan? Ada kematian idealism pada sebuah pertubuhan. Mereka ini menjadi alat bagi mempertahankan kebobrokan. Persatuan itu melakukan kesilapan strategi besar kerana menyokong regim yang korup. Mereka mengkompromi idealisme dan mengkhianati perjuangan.

Kesempatan ini harus diambil supaya gerakan Islam yang tulen memenangi persaingan. Kesempatan ini perlu diambil demi menyelamatkan generasi muda bagi mengekalkan idealism perjuangan. Kenapa dikatakan mereka mengkhianati perjuangan? Sebabnya adalah mereka bukan saja menyokong parti korup tetapi parti itu merupakan budaya yang merosakkan umat – budaya kezaliman, budaya fitnah, budaya rasuah, budaya diskriminasi… Nama parti itupun telah dijadikan dan dimomokan sebagai sesuatu yang jelek. Mana mungkin gerakan muda Islam mendokong budaya buruk seperti ini. Apa telah jadi kepada idealism perjuangan mereka? Sebenarnya, persatuan ini telah melakukan satu kesalahan yang fatal.

Gerakan Massa 

Ada pergerakan Islam yang mempunyai dilema di antara sama ada menjadi gerakan eksklusif atau gerakan massa ( lebih terbuka dan inklusif). Kita tidak pernah ada dilema seperti ini. Kita mesti bersifat massa – jamahiriyyah. Pergerakan massa terbuka, inklusif dan mempunyai golongan teras – safwatul mukhtarah. Perkaderan itu penting. Dana juga cukup penting. Tetapi kekuatan kita adalah komitmen kepada perjuangan – ikhlas dalam perjuangan – itu yang membawa keberkatan.

Harus diingat babak bersejarah dan terpenting pada abad ke 20 adalah kebangkitan Islam dan perubahan yang dibawa. Siapa yang mendanainya, siapa yang membiayainya? Tidak ada kekuatan dana atau tokoh korporat. Kerana yang bangkit dan berjuang hanyalah anak-anak muda yang tidak ada apa-apa – namun itulah yang mencipta sejarah. Betapa banyak badan-badan yang kaya raya tetapi tidak ada usaha dan tidak ada pencapaiannya. Oleh itu, jangan tunggu dana semata-mata, buat sebaik mungkin kerana yang ikhlas itulah yang membawa keberkatan. Berpuluhan tahun gerakan ini disaingi, disabotaj, dihijack dan menghadapi pelbagai karenah serta gangguan.

Kita masih mempunyai keyakinan bahawa sesiapa yang ikhlas dalam perjuangan, itulah yang diterima oleh Allah swt sebagai amal yang ikhlas – mujahidin dan mukhlasin. Ada sekolah-sekolah kita didiskriminasi sedangkan lain-lain memperolehi bantuan. Gerakan ini pun sudah didiskriminasi. Namun dengan semangat juang, ini tidak akan memberikan kesan apa-apa pun. Bantuan kewangan kalau ada bagus, kalau tidak ada pun tidak mengapa. Gerakan kita berjaya bukan dari bantuan penguasa. Kita ingin katakan begini:- Andai yang ditahan itu memang hak kita, maka itu satu kezaliman. Andainya kita tidak berhak ke atas pemberian itu, kita ridha, kerana itu memang bukan hak kita. Tetapi kalau itu hak kita dan ia disekat, diselewengkan, maka setiap sen akan melaknat mereka yang menghalangnya daripada sampai kepada yang berhak.

Intipati Gerakan Substance kita adalah ilmu, fikrah dan komitmen perjuangan. Dengan pertolongan Allah swt, kita akan survive selama mana kita mempunyai substance – keilmuwan, pemikiran dan komitmen – keazaman perjuangan. Sunnatullah……Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan. (Surah : 13, Ayat : 17) Jika bangkit semata-mata berdasarkan emosi, ia akan lekas lenyap. Inshallah, gerakan ini akan survive – mempunyai kelangsungan selagi mana memberikan manfaat kepada manusia…wa amma ma yan fa unnas.

Di tengah-tengah gelanggang ini mampukah kita terus memberikan manfaat kepada manusia, manfaat kepada Islam dan umat? Kita selamat selagi kita menjadi aset dan bukan liabiliti kepada umat. Namun, Islam mengajarkan kita bahawa bukan sahaja kita harus mempunyai substance tetapi perlu tampil dengan meyakinkan. Bekas atau packaging yang tidak menarik akan tidak terjual. Oleh itu bukan cuma substance tetapi juga penampilan – presentation.

Pencitraan wadah kita – imej – harus meyakinkan, memikat dan memukau. Lihat hadith kedua dari matan arba’in karya Imam al Nawawi. Selama ini kita menangkap tiga mesej utama iaitu Islam, Iman dan Ihsan tetapi mukadimah hadith ini pun perlu kita perhatikan iaitu penampilan Jibril a.s. - ….tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya…. Inilah yang dinamakan penampilan iaitu bukan semata-mata penyampaian mesej tetapi penampilan penyampaian yang impresif. Tidak wajar lagi penampilan yang lekeh dan tidak bermaya.

Kualiti Kepimpinan 

Pada akhirnya, kita ingin membina kepimpinan yang berkualiti. Adakah kita telah meletakkan set standard yang tinggi yang tidak mampu untuk dicapai, dipertahankan dan menyusahkan orang yang terkemudian? Standard ini adalah boleh dicapai – achievable – dengan melebarkan dan memperluaskan ilmu supaya tidak berkisar dan berbicara disiplin khusus masing-masing sahaja tetapi meliputi syariah dan pemikiran Islam bagi aliran yang bukan berasal pendidikan agama. Musalahah Kita menyokong usaha-usaha konsolidasi dalaman gerakan tetapi di samping konsolidasi itu harus ada musalahah – reconciliation.

Musalahah dengan kawan-kawan dan rakan-rakan yang terpisah akibat sesuatu yang telah berlalu pada masa dahulu. Masa telah berlalu dan harapannya telah timbul ketenangan dan kedamaian. Kita harus berusaha supaya gerakan kita terus membesar bukan mengecil. Carilah jalan kemungkinan untuk musalahah – perpaduan – setelah berlalunya masa kecuali mereka yang telah melakukan kesalahan jenayah syariah yang tidak terampun seperti qazaf.

Sejarah 

Adalah sangat perlu supaya sama ada ahli, kader dan pimpinan mengetahui dan memahami sejarah perjuangan gerakan. Sejarah dianggap sebagai alat penting oleh tokoh-tokoh pengurusan – history as a leadership tool – bagaimana mengetahui sejarah dan mengetahui bagaimana untuk memanfaatkan sejarah. Sejarah bukan remeh atau mudah dipandang enteng oleh setengah orang – apa erti sejarah – nostalgia of irrelevant details – mengingati peperangan yang telah berlalu. Apabila timbul isu pertikaian dan ada yang tidak menghormati pandangan syura, maka kita tidak hairan dan tidak terkesan kerana kita mempunyai sejarah dan pengalaman dalam perkara yang sama sebelum ini.

Kita mampu menghadapinya. Sejarah kita penting dan kita perlu hasilkan karya atau memoir yang dapat merekodkan catatan perjalanan perjuangan gerakan. Baru-baru ini ada kuliah seorang professor Barat tentang sejarah tanah air yang terperinci tetapi bab kebangkitan Islam hanya sekadar kisah Kaum Muda sahaja. Babak terpenting kebangkitan Islam dan pemuda serta pelajar sekitar 60’an-80’an tidak dinyatakan olehnya dan ini menimbulkan reaksi hangat audien termasuk pengerusi forum tersebut