Memaparkan catatan dengan label muktamar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muktamar. Papar semua catatan

Selasa, Jun 14, 2011

IJTIMA’ HARAKIY KUALA LANGAT ; MERIAH DAN MENCERAH


IJTIMA’ HARAKIY KUALA LANGAT ; MERIAH DAN MENCERAH

Mengambil model jemaah di peringkat pusat, ABIM Daerah Kuala Langat berjaya mengumpulkan di semua peringkat umur. Bermula dengan Wacana ABIM bersama Umat tentang isu ; Qazaf , menjawab fitnah yang menampilkan pembicara Al-Fadhil Ustaz Muhd Zawawi Ahmad Mughni , Yang Dipertua ABIM Selangor yang menerangkan secara terperinci tentang isu semasa ini dan bagaimana masyarakat perlu menghadapinya. Ijtima’ ini diadakan di Surau Hj Marzuki , Warisan Kasih, Darul Maghfirah , Sungai Kelambu Banting pada 10 dan 11 Jun 2011.


Ustaz Zawawi sedang menyampaikan pencerahan













Kehadiran Sdr Dr Muhammad Razak Idris , Presiden ABIM Pusat bersama dalam majlis tersebut menyerlahkan lagi hasrat beliau untuk menjadikan ABIM kembali kepada masyarakat dan kembali berfungsi menyelesaikan msalah umat . Sdr Presiden juga merasmikan Muktamar ABIM Daerah Kuala Langat ke 29 (2011).


Sdr Dr Muhd Razak Idris , Presiden ABIM menyampaikan hadiah kepada guru TASKI











Pada pagi Sabtu , Hari Keluarga ABIM Daerah Kuala Langat yang melibatkan ahli, PEPIAS Daerah Kuala Langat serta guru TASKI di sambut meriah. Program seperti ini akan merapatkan ukhuwah antara ajk , ahli serta mengenali ahli keluarga besar ABIM Daearah Kuala Langat. “ Terima kasih kepada semua yang terlibat dan ABIM Kuala Langat berazam akan menumpukan program bersama ummat untuk mengembalikan fungsi ABIM dalam masyarakat seperti yang disarankan Presiden ABIM untuk ABIM menjadi nasihal Ummat (penasihat Umat )” kata Sdr Radin Muhd Imaduddin . Yang Dipertua ABIM Daerah Kuala Langat bagi sesi 2011/2012.



Tiup dik , Tiup , Jangan Tak Tiup

















Juara Bola Tampar Plastik Sampah Kuala Langat 2011













YDP ABIM Kuala Langat yang baru ; Cikgu Radin menyampaikan hadiah










Jumaat, Disember 17, 2010

Muktamar PEPIAS 2010

Sekitar Muktamar PEPIAS tahun 2010

Tanggal 5 disember 2010 yang lalu, PEPIAS telah berjaya menyelesaikan Muktamar Agung Tahunan kali ke - 19. Sepanjang tempoh sebelum itu, kesemua cawangan telah mengadakan Mini muktamar masing - masing. Hampir kesemua cawangan melihatkan perubahan pimpinan termasuk pimpinan PEPIAS pusat. Alhamdulillah ini merupakan petanda sistem kaderisasi PEPIAS terus berjalan dengan baik.

Persoalannya ialah bagaimana PEPIAS mengembeling tenaga untuk mengisi barisan pelapis baru ini? Bersama hayati dan beriltizam dengan tema PEPIAS sesi 2010/2011;

MENGISI PEMUDA PERUBAH UMMAT, MEMBANGUN INSAN DIRUNTUHAN ADAB.

Untuk itu disertakan koleksi suasana muktamar cawangan untuk tatapan bersama moga terimbau semula semangat untuk terus memperbaiki diri dan berbakti.


Muktamar PEPIAS Kuala Langat


Muktamar PEPIAS Kuala Langat


Muktamar PEPIAS Petaling Jaya


Muktamar PEPIAS Petaling Jaya


Muktamar PEPIAS Pandan


Muktamar PEPIAS Pandan


Muktamar PEPIAS Bangi


Muktamar PEPIAS Bangi


Muktamar PEPIAS Gombak


Muktamar PEPIAS Pusat

Rabu, Ogos 11, 2010

Ijtimak-harakiy-wadah-abim-pkpim

Ijtimak Harakiy WADAH_ABIM_PKPIM


8 Ogos 2010, Sungai Ramal, Kajang - Pertemuan 3 generasi dalam gerakan Islam di Malaysia antara WADAH, ABIM dan PKPIM menjadi satu sejarah yang besar dan permulaan kepada kerja-kerja dakwah yang lebih jitu. Ijtimak Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM kali pertama telah berlangsung dengan jayanya dengan dihadiri oleh ratusan ahli-ahli, sukarelawan dan da'i, bersatu fikiran dan gerak kerja mereka.

Pertemuan yang bermula dengan Makan Malam Jamaah yang berlangsung di Bangi Golf Resort pada 6 Ogos 2010, menyaksikan kehadiran Datuk Seri Anwar bin Ibrahim selaku mantan Presiden PKPIM dan ABIM beserta beberapa tetamu yang terdiri daripada mantan-mantan presiden ABIM, PKPIM dan ahli-ahli gerakan yang lain. Pertemuan ini disajikan dengan ucapan-ucapan yang sangat membakar semangat dan membuka minda ahli gerakan itu sendiri.

Pada 7 Ogos 2010 pula, sepanjang hari, ahli-ahli gerakan dari WADAH, ABIM dan PKPIM berdiskusi dan bersyarah dalam Seminar Maqasid Syariah yang mengetengahkan pandangan, idea serta gagasan bagi membangkitkan corak perjuangan dan pemikiran para du'at untuk lebih fokus dan meyakini apa yang diperjuangkan oleh gerakan dakwah ini. Sehinggalah pada sebelah petang dan malam, sesi muktamar dimulakan bagi memuhasabah ahli gerakan tentang apa yang telah dilaksana sepanjang tahun diberikan amanah.

Muktamar Sanawi ABIM ke 39 berakhir pada 8 Ogos 2010 jam 1.30 petang dengan tiada sebarang perubahan dalam barisan kepimpinan. Pada akhir muktamar, pelbagai harapan dilontarkan baik dari pimpinan mahupun dari ahli gerakan yang lain agar meneruskan usaha dakwah ini dan perjuangan ini harus diberikan keutamaan dan fokus demi agama Allah dan pembinaan ummat yang diredhai.

ABIM Selangor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pimpinan ABIM Pusat, WADAH dan PKPIM atas usaha menemukan 3 generasi pergerakan Islam ini. Harapan yang sangat besar dengan impak pertemuan ini akan merancakkan lagi perjalanan dakwah kita semua dalam usaha mengangkat darjat Kalimah yang Hak dihadapan masyarakat khususnya di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Setiausaha Negeri
Kuala Selangor
11 Ogos 2010

Selasa, Julai 13, 2010

Melatih belia Islam

1) Muktamar Sanawi ABIM Selangor telah berlangsung dengan jayanya di dewan utama, Kolej Darul Hkmah (KDH), Sungai Ramal, Bangi. Program tahunan yang dilaksanakan pada 26 - 27 Jun 2010 yang lalu, diserikan dengan wacana pemikiran 'Badiuzzaman said Nursi', seorang tokoh reformis dan pemikir Turki. Menariknya, pada kali ini, 99% kehadiran adalah dari kalangan belia yang dengan erti kata 'di bawah umur 40 tahun'. Mungkin sejumlah besar abang-abang ABIM negeri Selangor harus ke Mesyuarat Koperasi Belia Islam (KBI) yang berlangsung pada hari yang sama.

2) Kehadiran adalah di tahap sederhana, namun masih boleh dibanggakan (sebagai langkah awal). Ini menunjukkan ABIM negeri Selangor harus memulakan langkah untuk menjana generasi penerus dengan lebih aktif dan progresif. Dasar ROY yang mendesak keahlian belia untuk terhad pada umur 40 tahun merupakan satu titik tolak untuk ABIM melakukan perubahan. Walaupun pencapaian kehadiran perwakilan dan pemerhati dilihat sederhana, jumlah ini sebenarnya amat memuaskan berbanding dengan persatuan-persatuan belia tertentu yang kononnya dilihat terkehadapan dalam isu ini. Pokok pangkalnya, usaha harus digiatkan dari sekarang untuk memantapkan lagi keberkesanan kepimpinan belia dalam ABIM. Kalau tidak tersangguk, kita mungkin tidak akan mengadah.

3) Usul yang dihantar oleh setiap daerah tidak menunjukkan ke'bitara'an belia yang seharusnya kritis dan kreatif dalam melihat permasalahan belia secara amnya. 2 daerah sahaja yang menghantar usul; mujur meliputi segala aspek aktivisme dan idealisme dalam hala tuju perjuangan ABIM. 8 Daerah lain? Harus lebih serius dalam menjanakan penggerak dalam masyarakat sedaya mungkin. Alasan ROY, mungkin boleh diterima pada tahun ini. Namun, adalah tidak relevan untuk tahun hadapan! Secara jujurnya, belia Islam harus lebih baik daripada ini.

4) Dalam tangga untuk meningkatkan rasa ukhuwah fillah, dalam rangka gerakan rantaian PEPIAS-ABIM-WADAH, kita bergerak dalam 1 jalan yang sama; 3 gerabak dalam 1 landasan. Potensi, darah panas, daya agresif yang ada pada anak muda PEPIAS, harus terus diletakkan dalam acuan yang telah ABIM bina; namun harus diingat, untuk tidak sesekali menyejukkan darah panas, darah muda itu hingga hilang sifat dan watak yang seharusnya ada pada anak muda. Biarkan mereka lakukan apa yang mereka seharusnya lakukan; Laju, Gelojoh, Terumbang-ambing, Beremosi tidak Stabil, dan lain-lain kebobrokan yang seangkatan dengannya adalah apa yang perlu dilalui untuk belajar menjadi Pemimpin. Peranan ABIM adalah Mentor; asalkan mereka tahu rujukan mereka dan segera kembali kepada landasan acuan ABIM.

5) Risiko membina adalah sebesar risiko memusnah. Hanya mereka yang kembali pada landasan acuan yang disediakan, akan membesar sebagai Pemimpin yang sebenar. Mereka berkata tentang kualiti. Seorang pemimpin, merangkap SU, merangkap Bendahari, merangkap AJK!. Ini bukan kualiti. Ini zero produktiviti. (bercakap tentang diri sendiri.. yang lain terkena, sama la kita) Pandangan dunia tentang melatih pemimpin, adalah bersifat jangka panjang. Mana adilnya; dalam sekelip mata, mahu dilahirkan pemimpin dalam kuantiti yang besar. Jika dalam setahun, 10 orang muda dilahirkan sebagai pemimpin, sudah lebih dari cukup untuk menggegarkan dunia bertahun-tahun. Itu kata Sukarno. Dan beliau telah membuktikannya. Mungkin modul Rasulullah SAW, boleh dijadikan model gerakan. Memadai dengan 2 orang sahabat rapat; 1 receptif (Abu Bakr), 1 agresif (Umar),  beserta 2 orang anak muda; 1 aktivis / ekstrovert (Ali), 1 idealis / introvert (Uthman) dalam satu pentarbiyahan yang berterusan. Lihat kesannya dalam menjadikan umat terus-terusan hebat dan melahirkan lebih ramai pejuang Islam sejati.

6) Melatih orang muda, tak kira belia-remaja (15-25), atau belia-dewasa (25-40), harus menjanakan suatu potensi dan risiko yang terlalu besar. Namun, hasil akhirnya nanti, adalah sangat berbaloi. Tidak mudah berasa serik, dan bersedia untuk tidak bersedia. Itu petua asas dalam berhadapan dengan orang muda. Satu lagi yang menjadi taruhan, adalah jiwa muda yang sentiasa harus segar dan bersaiz besar. Ini amat penting dalam mendalami hati-nurani orang muda. Impian dan harapan orang muda sifatnya dinamik, dan sangat kreatif, jauh dari jangkaan dan jangkauan kebanyakkan orang dewasa, terutama generasi yang beza umurnya melebihi 20 tahun dengan satu-satu susuk orang muda. Motivasi untuk meninggalkan generasi pewaris yang mampu meneroka dan membangunkan fungsi maksimum khalifah dengan berkesan perlu disegerakan tanpa rasa kecewa dan putus asa. Usah dibiarkan kelompongan dalam satu-satu generasi. Usah ditangisi kegagalan hari ini. Usah juga menuding pada sesiapa.

Yang tidur, kita kejutkan; Yang terperangkap dalam musim sejuk, barangkali mereka selesa di sana, tegur-tegurlah, mungkin sapaan kecil kita dapat mengetuk pintu hati mereka untuk bersama.Yang penting, adalah untuk terus bergerak kehadapan tanpa ragu dan gusar. Kita berada pada jalan yang benar. Yakin dan percayalah, di depan sana, ada cahaya yang akan mengakhiri terowong kegelapan ini. Teruskan perjalanan, dan teruskanlah melatih belia Islam.

Selasa, Mei 19, 2009

Ucapan Dasar YDP ABIM Selangor 2009

RINGKASAN
UCAPAN DASAR YDP ABIM SELANGOR
SEMPENA MUKTAMAR THANAWI ABIM SELANGOR KE-37
17 MEI 2009 / 22 JAMADIL AWWAL 1430 HIJRAH
DI KOMPLEKS BELIA DAN KEBUDAYAAN SELANGOR

MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH
(Oleh: Mohd Zawawi Ahmad Mughni)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
GERHANA SEMANGAT KESUKARELAAN

Satu fenomena sosial yang membimbangkan ialah kelunturan semangat kesukarelaan (tatawwu’). Oleh serangan ganas faham kebendaan (maddiyyah) begitu kuat mencengkam masyarakat Malaysia, gerakan sosial semakin sukar mendapat sumbangan dari para sukarelawan. Sebahagian generasi muda nampaknya sukar menawarkan diri untuk berkerja membantu masyarakat secara sukarela jika tidak ada balasan kebendaan. Dengan berkurangnya semangat kesukarelaan itu, kita begitu bimbang dengan kehilangan idealisme perjuangan dikalangan generasi muda. Senario ini adalah berbahaya untuk masa hadapan umat Melayu masa depan Melayu Muslim.

Dalam masa yang sama, rakan-rakan warga bukan Islam begitu aktif dan bersungguh melaksanakan aktiviti dan program kebajikan tanpa rasa jemu dan bosan. Bahkan ramai dari kalangan orang-orang melayu Muslim yang mendapatkan bantuan dan perlindungan dirumah-rumah kebajikan dan perlindungan yang terang-terang dikendalikan oleh aktivis agama bukan Islam. Apakah kita masih sekadar menjadi penonton yang hanya mengira dan menganalisis peristiwa tanpa apa-apa tindakan yang boleh membantu mengeluarkan umat dari kerangka yang mengurung hidup umat?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
MENANGANI KELESUAN GENERASI PEWARIS

Selepas Majlis Syura Kebangsaan membuat keputusan supaya ABIM didaftarkan dibawah Akta Belia bermakna segala undang-undang yang termaktub dalam akta hendaklah dipatuhi. Antara peraturan yang disebut dalam akta tersebut ialah pemegang jawatan pertubuhan belia tidak boleh lebih dari usia 40 tahun.

Kita akui bahawa pemimpin sentiasa bertukar ganti, yang lama akan berganti dengan yang baru. Ini bermakna qiadah baru ABIM akan memimpin ahli-ahli yang pelbagai peringkat usia dan latar belakang yang lebih berwarna-warni. Mereka mungkin seorang tua yang sudah bersara, seorang dewasa yang berkerjaya, seorang muda yang sedang membina hidup, seorang belia dibangku pengajian atau pekerja biasa yang mempunyai idealisma yang tersendiri.

Tentunya keragaman ini menuntut qiadah ABIM lebih berhikmah dalam menyantuni realiti generasi lama yang sarat dengan ilmu dan pengalaman dan generasi muda yang tinggi dengan idealisme dan bahang semangat anak muda. Seharusnya qiadah ABIM mengelakkan konflik dalaman kerana seringkali Gerakan Islam menjadi lemah dan lumpuh bukannya kerana serangan musuh dari luar tetapi akibat konflik dalaman yang berpanjangan.

Mengenal pasti punca kelesuan

Ia mungkin berlaku apabila organisasi itu hanya tinggal pada nama saja. Ia tidak digerakkan lagi oleh ahli-ahlinya atau barangkali kurang ahli-ahli yang berkualiti atau mungkin ahli-ahlinya hilang kepercayaan kepada kepimpinannya atau mungkin juga krisis keutamaan (Awlawiyat) dalam mencapai hadap organisasi. Atau mungkin kerana kurang interaksi antara sesama ahli kerana wujud khilaf dan perbalahan. Atau wujud berbilang kelompok jamaah (ta’addud al-jama’ah) dalam sebuah organisasi. Atau mengurus organisasi sebagai persatuan semata –mata tidak sebagai sebuah Gerakan Islam.

Apakah kelesuan itu hanya persepsi orang luar terhadap gerakan Islam? Apakah para pendakwah ditimpa penyakit Wahnu (hubbuddunya wa karahiyatumaut-cinta dunia takut mati). Apakah kelesuan itu berpunca daripada faktor saingan yang tidak sihat antara pelbagai jamaah @ atau wujud hasadan di kalangan sebilangan pendukung jamaah demi mengejar populariti!.

Semua persoalan di atas, mungkin dapat dijawab dengan tepat melalui proses muhasabah dalaman (introspection) dan secara terus terang (musarahah) demi meluruskan kelancaran dakwah dan tarbiyah.

Menurut (Ali Abdul Halim Mahmud, 1994) terdapat 10 sebab kemunduran umat (at-Taraji’ al-Hadari);

1. Penyelewengan terhadap kefahaman yang sebenar terhadap akidah Islam
2. Kedangkalan memahami khilafah dan kelemahan kepimpinan
3. Tidak mengambil manhaj Islam dalam sistem hidup
4. Perpecahan dan pengkelompokan umat
5. Mati dan lemah ruh jihad
6. Kejumudan dan ketiadaan ijtihad
7. Terpengaruh dengan keduniaan dan lupa akhirat
8. Tersebar luas bidaah yang menyesatkan
9. Kelemahan keluarga Islam dalam bidang pendidikan kanak-kanak
10.Tidak maju dalam bidang keilmuan

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
PERSIAPAN GENERASI PEWARIS

ABIM mesti segera menyediakan barisan kepimpinan yang mantap untuk menggerakkan semua agenda dakwah dan misi tarbiyyah dan islah ummah. Perancangan program dan aktiviti yang menjurus kepada kumpulan sasar yang tepat iaitu kelompok muda yang berusia antara 15 – 40 tahun. Tanpa qiadah yang komited dan ikhlas untuk memimpin dan menggerak ummah hanya tinggal impian dan perancangan di atas kertas sahaja.

Menyedari ABIM sebagai sebuah Gerakan dakwah yang menyasarkan kelompok belia, adalah wajar ABIM menumpukan kepada bidang pendidikan.Melalui Pendekatan 3 P ( pembela- Pendidik –Prihatin ) kita boleh menggunakan pengalaman Yayasan Anda yang hari ini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin dan individu hebat dalam berbagai bidang. Dengan menubuhkan kelas-kelas bimbingan ini kita akan dapat mendampingi lebih dekat lagi anak-anak muda yang berpotensi untuk digilap dan diacu menjadi insan rabbani seperti Generasi Salahuddin yang sedang kita bina ini.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
FOKUS GERAKAN ABIM

Mengangkat martabat ummat adalah amanah berat, tetapi sebagai sebuah gerakan Islam yang serius kita tidak dapat lari dari tanggungjawab. Kita harus mencubanya sekadar terdaya, Allah jua yang akan menentukan hasilnya. Jadi matlamat kita hendak capai ialah membentuk institusi keluarga yang mantap dan bertakwa maka program yang dirancang hendaklah berfokus kepada pembinaan keluarga yang bertakwa. Program mendidik keluarga bukan sekadar dalam bilik kuliah berceramah dan berforum sahaja tetapi boleh digunakan pendekatan lain seperti Hari Keluarga, Edaran buletin bulanan, Lawatan / rehlah dan sebagainya.

_______________________________________________________________
1. MEMBINA KELUARGA MARHAMAH SAKINAH

Pembinaan keluarga muslim sakinah marhamah adalah mata rantai kehidupan yang penting dalam tamadun manusia. Membina Keluarga Marhamah Sakinah merupakan pembinaan tahap kedua selepas pembinaan individu muslim yang rabbani muttaqi.

Dengan perkembangan sosial yang begitu menghambat, pembinaan keluarga Muslim dengan berpaksikan prinsip mawaddah, rahmah dan sakinah sewajarnya menjadi agenda utama umat Melayu Muslim hari ini.

Kita berpandangan bahawa institusi keluarga Melayu Muslim tidak boleh dikekangkan dari tradisi agama dan budaya tempatan. Kita mengakui bahawa pada masa ini memang ada beberapa penyesuaian yang terpaksa dilakukan oleh umat Melayu Muslim kerana faktor-faktor dalaman dan luaran.Namun usaha untuk mewujudkan keluarga yang Islami perlu dilakukan dengan pelbagai pendekatan yang berkesan dan menarik.

Justeru ABIM telah menggerakkan Program Usrah Marhamah dan Bahagia Menjadi Gadis sebagai satu usaha untuk membantu masyakat untuk membina keluarga sakinah dan marhamah. Program Usrah Marhamah yang memfokuskan kepada pendidikan dan kemahiran keibubapaan harus dijadikan agenda utama dalam kalendar ABIM negeri dan daerah. Ini kerana kita telah mendapat kepercayaan dan mandat yang menggalakkan dari masyarakat Melayu Muslim yang telah menghantar anak-anak mereka untuk mendapat pendidikan Islam di TASKI-TASKI ABIM.

Dalam masa yang sama, usaha membina Keluarga Haraki Islami juga harus dibina dan digerakkan dengan dengan lebih teratur dan istiqamah. Para Qiadah dan aktivis dakwah mestilah menanamkan jiwa dakwah dan tadhiah dalam keluarga agar pergerakan dalam dunia dakwah menjadi lebih lancar dan pantas. Sokongan dari pasangan yang memahami gerak kerja dakwah dan penglibatan anak-anak sangat penting dalam memacu agenda Pembinaan Generasi Salahudin tersebut.

______________________________________________________________
2. PERTEGUH UKHUWWAH IMANIYYAH FILLAH

Sesungguhnya ikatan ukhuwwah imaniyyah fillah lebih kukuh daripada ikatan kekeluargaan, bangsa dan keturunan. Orang Muhajirin melupakan ikatan kebangsaan Quraisy dan orang ansar melupakan ikatan kepuakan Aus dan Khazraj semata-mata kerana hubungan ukhuwwah imaniyyah fillah.

Ikatan ukhuwwah merupakan Elemen penting dalam Gerakan ABIM. Ia akan dapat dirasai jika sistem Tarbiyyah Universiti ABIM yang diatur oleh Jamaah diikuti dengan sepenuhnya melalui usrah, tamrin, ziarah, rehlah dan sebagainya. Dengan penglibatan yang menyeluruh dikalangan aktivis dakwah dan qiadah akan tercetuslah satu kekuatan jamaah sebagaimana yang telah terbukti dalam pembentukan masyarakat Islam di Madinah pada Zaman Rasulullah SAW dan Sahabat R.A.

_______________________________________________________________
3. MEMPERKASA TARBIYYAH HARAKIYYAH

Tarbiyah ialah proses mendidik anggota jamaah meliputi aspek jasmaniyyah, rohaniyyah, akliah ( fikrah ) dan atifiyyah ( emosi ) supaya dapat meresap nur Islam dalam diri insan dan dijelmakan dalam kehidupan. Lahirnya sahsiah Islamiyyah terserlah dalam fikiran, perasaan, sikap dan amalan hidupnya yang mencermin seorang muslim dalam semua keadaan.

Strategi Tarbiyyah

1.Tarbiyyah Ruhiyyah

Tujuannya ialah untuk mendidik kekuatan jiwa melalui amalan Qiamullail, solat-solat sunat, puasa sunat, zikrullah, tilawah Al Quran, Sedekah dan infak fi sabilillah dan berziarah. Hasilnya, membentuk jiwa dan hati yang ikhlas dalam mengharapkan reda Allah.

2.Tarbiyyah Tsaqafiyyah

Tujuannya ialah untuk membina kefahaman dan fikrah dengan ilmu akli dan nakli melalui majlis-majlis ilmu seperti Usrah, tamrin, seminar, wacana, sidang meja bulat, diskusi buku dan sebagainya. Hasilnya, mereka akan dapat melihat, menghuraikan dan menyimpulkan permasalahan menurut kacamata Islam.

_________________________________________________________________
4. MEMPERTINGKATKAN KECERDASAN SQ

Dalam usaha kita mengatasi kemelut sosial yang membimbangkan, semua qiadah dan aktivis dakwah ABIM hendaklah mempertingkatkan kefahaman, iltizam dan penghayatan mereka terhadap tujuan dan matlamat tarbiyyah ruhiyyah ( pendidikan jiwa ) seperti yang terdapat dalam Al Quran dan Al Sunnah.

Justeru, kita hendaklah menggandakan amal ibadat pada tahap yang paling maksimum.Program-program seperti solat berjamaah dimasjid dan surau, Solat-solat sunat, qamullail, wirid-wirid ma’thurat, zikrullah dan puasa sunat hendaklah menjadi amalan dan disiplin utama dalam kehidupan seharian.

Hanya dengan kekuatan kerohanian yang jitu, para qiadah dan aktivis dakwah dapat mendepani segala cabaran dan ujian getir ketika menyampaikan risalah dakwah ini.Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kemenangan mutlak (al falah) kepada individu muslim yang melakukan tajddid al iman, menunaikan amal ibadat yang wajib dan sunat dengan penuh khusyu’, berbudaya infaq fi sabilillah dan melakukan perkara-perkara yang ma’ruf serta mencegah perkara-[erkara yang mungkar.

Kita mesti meneladani para rasul, anbiya’, sahabat dan salihin dalam menyemarakkan amal ibadah. Iltizam mereka telah mendapat jawapan dari Allah denegan limpahan barakah dariNya. Dalam penilaian Allah SWT, kejayaan yang mutlak hanya berada dikalangan orang-orang yang sentiasa membersihkan jiwa supaya tidak dipenuhi dengan kotoran.
Kita mesti melakukan al naqdu al zaty dalam wadah tercinta ini agar masa hadapannya terus cerah tidak ghaib ditelan zaman. Proses Tazkiatun Nafs – penyucian jiwa – adalah suatu usaha yang mesti dilakukan. Qiadah dan Aktivis dakwah Gerakan Islam mesti mencontohi sirah perjuangan para nabi dan rasul, para sahabat, tabien dan selepas tabien.

Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW menjalin hubungan yang paling akrab dengan Allah SWT. Dalam hadis yang masyhur, baginda menyatakan bahawa dirinya adalah fursan bil nahar wa ruhban bil lail ( Penunggang kuda diwaktu siang dan ahli ibadah diwaktu malam) . Hadis tersebut membuktikan sifat integratif antara tugas sebagai daie dan amalan kerohanian yang konsisten.

Gerakan kita mesti menampilkan seramai mungkin pelapis yang berwibawa dari segi ilmu duniawi dan ukhrawi, istiqamah dalam perjuangan, berakhlak mulia, iltizam dengan amal ibadat, berketrampilan serta sentiasa bersedia untuk membantu.

Teruskanlah jihad kita untuk menegakkan kebenaran, keadilan, persaudaran dan kemanusiaan. Seluruh keluarga dan kerabat ABIM perlu mempertingkatkan disiplin diri – beramanah, bertanggungjawab dan menepati masa. Budaya dan rukun jamaah hendaklah sentiasa dipelihara dengan mematuhi prinsip dan amalan syura, adab qiadah dan jundiyyah

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
MEMPERSATU WAHDATUL FIKRI

Keadaan hari ini menjadikan Gerakan Islam menjadi satu keluarga besar yang menghimpunkan remaja ( PEPIAS ), belia ( ABIM ) dan WADAH ( pasca belia ). Namun persoalan yang timbul ialah siapakah yang harus menjadi peneraju utama dalam Gerakan ini? Adakah ABIM atau WADAH? Mampukah ABIM atau WADAH menjadi penggerak dan pengemudi kepada agenda membina tamadun kayra ummah. Atau ABIM yang akan dibebani dengan segala macam amanah dan tanggungjawab lantaran nama besar dan sejarah panjangnya dalam perjuangan.

Dalam hal ini, semua pihak terutamanya para senior dan mantan qiadah dan aktivis Gerakan dakwah harus kembali turun ke lapangan bersama anak-anak muda untuk memadu tenaga dan idea bagi merealisasikan amanah sebagai Pelanjut Risalah. Para aktivis muda yang penuh dengan semangat dan idealisme akan

WADAH harus benar-benar menjadi sebuah Gerakan yang mandiri dan Non Partisan. Penglibatan Qiadah Gerakan dalam kepimpinan politik parti hanya akan menimbulkan salah tafsiran dan pemahaman kepada Konsep Non Partisan ABIM dan WADAH. Kesatuan fikrah dan idealisme perjuangan ini mesti dikekalkan dan dipereratkan. Program-program seperti Pertemuan W.A.P 3G, Hari Keluarga, Rehlah dakwah diniyyah perlu diadakan dengan lebih kerap diperingkat negeri dan daerah.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
KERAJAAN BARU ; SIKAP ABIM SELANGOR

Sejak pilihanraya yang lalu keadaan suhu politik negara sentiasa panas dan menggelegak. Kemenangan besar yang diraih oleh Pakatan Rakyat merupakan satu fenomena baru yang perlu ditangani dengan hikmah dan bijaksana. Kita mengakui bahawa perubahan yang berlaku ini sangat dirasai oleh Gerakan kita kerana faktor sejarah dan aspirasi perjuangan lalu. Namun begitu keadaan ini perlu diurus dengan teliti dan berhati-hati.

Kita hendaklah menjadikan agenda dakwah dan tarbiyyah kita sebagai paksi gerakan dan tindakan. ABIM Selangor akan menyokong dan memberikan kerjasama dalam melaksanakan agenda membangunkan ummah khasnya generasi muda di Selangor ini selagi mana tidak bertentangan dengan syariat.

Selepas lebih setahun Kerajaan baru ini ditampuk kuasa nampaknya masih belum ada agenda program yang jelas dan konkrit tentang pembangunan belia di Selangor. Kita wajar merasa gusar dengan keadaan ini kerana ketika generasi muda hari ini terkapai-kapai dilanda gelora dan badai arus perubahan kemajuan dan kemodenan, tidak jelas kelihatan usaha membantu dan menyelamat. Usaha dan keprihatinan ABIM dalam usaha membantu melaksanakan agenda membangun belia nampaknya kurang mendapat perhatian dan tunjuk minat dari pihak-pihak berkenaan.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
MEMPERTAHANKAN PRINSIP NON PARTISAN

Persoalan Islam dan siasah tidak dapat dipisahkan. Al Mawardi r.h – seorang ulama terkenal dibidang siasah menyatakan bahawa siasah itu ialah harasu addin waddunya – mengawal agama dan urusan dunia.

Dalam konteks ABIM, gerakan ini bebas dari sebarang ikatan kepartian yang wujud dalam negara. ABIM perlu mempertahankan polisi politiknya yang mandiri. ABIM adalah wadah dakwah dalam erti kata yang komprehensif.

Politik amat berkait dengan survival masa hadapan ummat. Justeru ABIM hendaklah terus berperanan sebagai jurubicara ummat – mendidik generasi muda supaya mempunyai kesedaran politik. Justeru ABIM bukan penyokong atau sayap perjuangan mana-mana parti politik sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang.

Kita berpandangan bahawa politik dalam negara hendaklah terus berperanan sebagai pemelihara dignity umat. Cabaran lingkungan dan antarabangsa yang semakin bertambah seharusnya menjadikan iklim politik Malaysia lebih Islamik.

Kita sedang berdepan dengan persoalan besar, apakah pentadbiran sekarang – dengan segala kelemahan dan kekuatannya – benar-benar membawa aspirasi untuk mendaulatkan Islam atau memang belum siap untuk menjadi kerajaan alternatif kepada sebuah pemerintahan yang lebih adil dan memenuhi aspirasi umat. Sebagai sebuah Gerakan yang memperjuangkan aspirasi Islam, termasuk aspirasi politiknya apakah kita ada ruang atau peluang untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup? Atau kita tidak berkeupayaan untuk mengisi ruang dan peluang yang diberi?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
MEMPERKASAKAN EKONOMI GERAKAN

Sebelum itu, ketika melancarkan Kempen Sumbangan Seribu Seorang, Sdr. Ahmad Azam Abdul Rahman, Presiden ABIM telah menyeru seluruh petugas dan aktivis ABIM untuk sama-sama kembali memperkasai dana dan prasarana gerakan ABIM yang semakin terjejas oleh kegawatan ekonomi. Menurut beliau lagi, ALlah S.W.T. melanjutkan usia kita sehingga kini untuk menyumbang sesuatu sekadar termampu demi mencipta suatu sejarah baru bagi ummat Islam sebelah sini.

Dalam hal yang berkaitan juga, Dr Siddiq Fadhil menyatakan bahawa peningkatan harta bukanlah jaminan untuk seseorang itu menyumbang lebih. Malah, sikap ini pernah ditegur ALlah S.W.T. apabila sebilangan dari kaum Ansar mulai berpakat untuk menimbun harta setelah sekian lama berjuang hingga berjaya mendaulatkan Islam di Madinah. ALlah S.W.T. seterusnya menyuruh kaum Muslimin untuk terus berinfaq dalam perjuangan dan jangan membiarkan diri di dalam kebinasaan.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
WANITA SEBAGAI SAYAP PERJUANGAN GERAKAN

Sesungguhnya disebalik kejayaan seorang wira dan mujahid dakwah pasti ada disebelahnya atau dibelakangnya ada seorang wirawati atau mujahidah. Kita percaya bahawa peranan wanita Islam dalam agenda membangun umat amat besar sekali. Selain menjadi seorang ibu, isteri atau saudara kandung kepada seorang mujahid dan daie, peranannya dalam membangun masyarakat amat diperlukan sekali.

Malang sekali sekiranya ketika Gerakan emansipasi wanita dan feminisme dari kalangan sekularis dan liberalis bergerak laju kehadapan, wanita-wanita Gerakan Islam seperti menekan brek atau masuk gear rendah kerana berbagai faktor luaran dan dalaman. Justeru, marilah kita berganding bahu merancang dan menggerak Gerakan dakwah yang kita dokongi ini dengan sepenuh hati yang ikhlas untuk Islam dan keredaan Allah SWT.
_________________________________________________________________
Cabaran HELWA

Antara cabaran besar wanita khasnya HELWA ABIM masakini ialah ;

1. Mengikis persepsi salah tanggapan terhadap Islam sekaligus menjadi menunjukkan citra Islam sebagai agama yang unggul.
2. Serangan dan ledakan globalisasi yang yang memaksa nilai-nilai baru terpaksa diserap, terutamanya muslimat seperti bersaing secara terbuka dalam semua bidang.
3. Keruntuhan institusi keluarga yang membawa implikasi kebejatan dan keruntuhan moral dikalangan generasi pewaris.
4. Mengekal dan meneruskan usaha dakwah dalam situasi Islam diasak dari dalam

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
PESAN BUAT QIADAH DAN AKTIVIS DAKWAH

Sebagai Pewaris kepada sebuah Gerakan yang telah mempunyai sejarah panjang yang sarat dengan pengalaman dan rangkaian, teruskanlah legasi yang telah ditinggalkan oleh abang-abang pejuang awal yang telah bertungkus lumus membuka ruang dan peluang membangun ummah. Sesungguhnya kerja-kerja meruntuh itu lebih mudah dari membina.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
ISTIQAMAH DALAM DAKWAH

Istiqamah dalam Gerakan dakwah menuntut semua qiadah dan semua aktivis dakwah ABIM disemua peringkat berpendirian teguh, berpegang pada aqidah Islam dan melaksanakan syariat dengan patuh, sentiasa menjaga akhlak dan adab islami. Istiqamah merupakan daya kekuatan dalaman yang diperlukan sepanjang hayat dalam melaksanakan tuntutan Islamiyyah melalui amalan hati, amalan lisan dan amalan anggota badan secara serentak.

Marilah kita membetulkan niat ( mind setting ) dalam minda dan hati kita apakah tujuan kita terlibat dengan Gerakan Dakwah. Tentunya kerana ingin menjadi Pelanjut Risalah Samawiyah, mengajak yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar.

Renungilah pesan seorang ulama’ Melayu nusantara, Raja Ali Haji bin raja Ahmad (1808 – 1873)

Barang siapa khianat akan dirinya,
Apalagi kepada lainnya
Kepada dirinya ia aniaya
Orang itu jangan engkau percaya
Orang yang suka menampakkan jasa
Setengah syirik mengaku kuasa
Kejahatan diri sembunyikan
Kebaikan diri diamkan
Keaiban orang jangan dibuka
Keaiban diri hendaklah sangka
Tahu pekerjaan tak baik tapi dikerjakan
Bukannya manusia iaitulah syaitan
Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa
Hendaklah jadi kepala
Buang perangai yang cela
Hendaklah memegang amanat
Buang khianat
Hendaklah marah
Dahulukan hujah
Hendak dimalui
Jangan memalui
Hendak ramai
Murahkan perangai

(1263H, Pulau Penyengat, Riau)

Sekian . Wassalam.







Sabtu, Disember 06, 2008

Ucapan dasar Presiden MATP ke-17


Muktamar Agung Tahunan PEPIAS ke-17 (MATP ke-17) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 5-6 Disember 2008; Tempat berlangsungnya- Kompleks Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Gombak. Mungkin, MAT kali ini adalah yang terbaik sepanjang 17 tahun PEPIAS berada di persada dakwah negeri Selangor. Saudara Zamani Mohd Karulani, presiden PEPIAS untuk 2 penggal (2004-2008) telah memberikan suatu ucapan dasar terakhir sebagai presiden PEPIAS; yang saya kira, terbaik antara 4 kali ucapan dasar beliau.

Tema MAT kali ini adalah- MEMPERTINGKAT KAPASITI; MEMENUHI KEPERLUAN UMMAT.
Suka saya berkongsi ringkasan nota ucapan beliau yang saya rasakan amat penting untuk dihadamkan oleh penggerak dakwah terutama generasi belia di SElangor.

REALITI UMMAT MASA KINI;
1) Generasi muda telah diserang pelbagai agenda licik yahudi dan nasrani yang yang tidak akan redha dengan kita selagi tidak mengikut cara mereka. Golongan kanak-kanak di tomtombakkan, golongan belia telah difantasiakan. MAsyarakat Islam pula telah diserang dengan pemikiran Islam Liberal, fahaman pluralisme agama, sekularisme, Islamophopia, hedonisme, globalisasi, feminisme, zionisme, dan lain-lain lagi.

2) Dari segi pendidikan agama, kelompongan kesinambungan pendidikan agama dari sekolah rendah agama terus kepada IPT, tetapi hanya sedikit sahaja bilangan sekolah agama menengah tidak dapat menampung tempat pelajar-pelajar Islam yang dahagakan pendidikan agama.

3) PArti politik pula gemar mencari salah sesama mereka. POlitik dijadikan matlamat untuk mendapatkan kuasa. Sedangkan dalam Islam, politik dan kuasa dijadikan wasilah untuk menegakkan agama di muka bumi.

Masyarakat sedar dan mahu pengisian AGAMA sebagai benteng atau jati diri dalam menghadapi cabaran yang besar dan kian ruwet di luar sana. PERSOALANNYA, adakah kita mampu menjadi rakan kepada pembangunan jati diri remaja yang ada, dengan kekuatan yang kita ada sekarang ini? Ummat amat dahagakan dan mengharapkan kita semua. Adakah kita semua sudah bersedia?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
FIkrah Imayu - Ini baru permulaan (m/s 1; ada 16 m/s semua sekali)... besar dan berat betul isu ni... Selebihnya akan dikongsikan lagi selepas ini (kalau berkesempatan). Namun, setelah pulang dari MAT petang tadi, saya merasakan memang banyak lagi tugasan ummat yang harus dilaksanakan untuk remaja dan belia dalam masyarakat. Harapannya, generasi yang keluar dari madrasah PEPIAS ini mampu berfungsi bak benih yang subur, mengakar dan merimbun dalam masyarakat.

Patutkah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan)? (Ankabut:2)