Sabtu, Ogos 27, 2011

Perutusan Aidilfitri 1432H YDP ABIM Selangor





Perutusan Aidilfitri 1432H
Assalamualaikum wrt wbt
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al Baqarah : 185)

Kepada semua pendokong dakwah dan pencinta tarbiyah serta sekelian umat Islam , bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432H. Semoga kita tergolong dalam golongan minal ‘aidin wal faizin dalam erti kata yang sebenar serta didoakan semoga setiap dari kita akan mendapat taqwa hasil daripada menghidupkan ramadhan tahun ini. Moga kita diberikan kekuatan oleh Allah dalam menangani isu-isu umat Islam dan menanganinya dengan cara yang terbaik dan hikmah. Dalam keghairahan menyelesaikan masalah atau isu yang timbul , meletakkan ilmu dan bersandarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah amat penting disamping ketajaman analisa dalam menyelesaikan kemelut yang melanda.

ABIM Negeri Selangor mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih Jazakumullah khairul jaza’ kepada semua penyumbang yang menjayakan program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) peringkat Negeri Selangor lebih 580 kampit beras dapat diagihkan kepada sasaran di segenap sudut Negeri Selangor dan Program Sandang Raya untuk dinikmati bersama keberkatan Ramadhan ini. Terima kasih khusus untuk Semua penyumbang, ABIM Pusat, ABIM Daerah di Selangor terutama ABIM Bangi, ABIM Shah Alam, ABIM Klang, ABIM Kuala Langat , ABIM Hulu Selangor, ABIM Gombak, semua ABIM Daerah, Darul Wardah dan agensi-agensi dibawah ABIM Selangor yang terlibat mengumpul dana dan tenaga. Tidak lupa kepada semua sukarelawan ABIM yang bertungkus lumus memberi khidmat dan bantuan. Itulah yang menjadi impian untuk menggerakkan setiap individu , rasa keprihatinan terhadap ummat serta merealisasikan ABIM Sebagai Gerakan Ilmu dan Bakti. Semoga kita dapat meneruskan program-program seperti ini bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi juga bulan yang lain. Ambillah peluang Aidilfitri yang ada ini dengan memenuhkan setiap ruang masa dan peluang mengamalkan sunnah dan beribadah kepada Allah. Memenuhi ruang masa dengan takbir dan amalan-amalan sunat yang dianjurkan. 

Kesempatan yang ada , mewakili Saf Qiyadah pimpinan ABIM Negeri Selangor memohon kemaafan andai tersilap kata dan perbuatan dalam melaksana tanggungjawab dan amanah yang di galas. Tunjuk ajar dan peneguhan amat diperlukan dalam tanzim megurus gerakan ini. Semoga dengan bekalan yang terbaik ramadhan kali ini, kita diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN


KHAIRUDIN BIN ABAS
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan
2011/2012

Tiada ulasan: