Isnin, Disember 05, 2011

KENYATAAN MEDIA: Chua Soi Lek dan Hudud

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kenyataan yang dibuat oleh Presiden MCA,Datuk Seri Chua Soi Lek, yang memperlekehkan hukum Hudud di dalam sebuah forum "Hudud and its Implications on non-Muslims" yang dianjurkan semalam. ABIM menilai kenyataan biadap itu sebagai indikasi kepada perasaan kurang hormat beliau terhadap ajaran Islam itu sendiri

Di samping itu, ABIM berpandangan kenyataan tersebut yang itu berniat jahat serta bersifat dangkal dan boleh mencetuskan ketegangan politik serta agama yang sama sekali tidak diingini. Ini memandangkan hukum Hudud serta ajaran Islam secara keseluruhannya menghormati serta memartabatkan hak asasi manusia.   

Kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek tersebut juga merupakan kesinambungan daripada sentimen Islamophobia yang berkembang pesat di seluruh dunia.

ABIM merasa amat kecewa di atas kegagalan beliau mendalami serta memahami Islam secara keseluruhannya, di samping kecewa di atas kegagalan pihak-pihak yang berkenaan untuk memberikan kefahaman yang sepatutnya kepada beliau.  

Memandangkan ia bukanlah kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang bersifat begitu (menghina hukum Islam), ABIM menggesa permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh beliau kepada seluruh umat Islam di negara ini.

ABIM juga menggesa tindakan serta peringatan tegas dikemukakan ke atas beliau untuk mengelakkan insiden-insiden ini daripada berulang kembali.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan: