Rabu, Januari 02, 2013

Idealisme Perjuangan


Idealisme Perjuangan

Intipati Perjuangan - Ucapan Penutup Muzakarah Qiyadah ke 5 – Dr Siddiq Fadil

Kita berada untuk membina kekuatan rijal melalui kaedah tarbiyyah dan perkaderan. Kekuatan itu datang daripada pertolongan Allah s.w.t. dan kualiti umat Islam – kualiti mu’minin. Dia (Allah) memperkuatkan engkau dengan pertolongan-Nya (pertolongan Allah) dan dengan orang yang beriman. (surah :8, ayat: 62) Inilah dua factor kejayaan… bi nasrihi wa bil mu’minin.

Golongan al mu’minin seperti mereka yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w. Gelaran seperti al qawiyul amin (merujuk kepada Nabi Musa a.s.) dan hafizun alim (merujuk kepada Nabi Yusuf a.s.) serta banyak lagi. Perjuangan kita bertitik tolak daripada satu idealisme. Dalam keadaan mana pun idealism ini tidak boleh mati. Komitmen kepada idealisme itu menjadi sebab kita ingin membawa perubahan – menjadi agen perubahan. Kita ingin berubah bagi melaksana idealisme perjuangan.

Sejauh mana kita guna idealisme ini untuk didokongi orang-orang muda dan para pelajar kerana pada usia inilah mereka mempunyai idealisme yang cukup tinggi. Kerana idealisme itulah kita membuat perubahan. Tanpa idealisme buat apa kita inginkan perubahan? Ada kematian idealism pada sebuah pertubuhan. Mereka ini menjadi alat bagi mempertahankan kebobrokan. Persatuan itu melakukan kesilapan strategi besar kerana menyokong regim yang korup. Mereka mengkompromi idealisme dan mengkhianati perjuangan.

Kesempatan ini harus diambil supaya gerakan Islam yang tulen memenangi persaingan. Kesempatan ini perlu diambil demi menyelamatkan generasi muda bagi mengekalkan idealism perjuangan. Kenapa dikatakan mereka mengkhianati perjuangan? Sebabnya adalah mereka bukan saja menyokong parti korup tetapi parti itu merupakan budaya yang merosakkan umat – budaya kezaliman, budaya fitnah, budaya rasuah, budaya diskriminasi… Nama parti itupun telah dijadikan dan dimomokan sebagai sesuatu yang jelek. Mana mungkin gerakan muda Islam mendokong budaya buruk seperti ini. Apa telah jadi kepada idealism perjuangan mereka? Sebenarnya, persatuan ini telah melakukan satu kesalahan yang fatal.

Gerakan Massa 

Ada pergerakan Islam yang mempunyai dilema di antara sama ada menjadi gerakan eksklusif atau gerakan massa ( lebih terbuka dan inklusif). Kita tidak pernah ada dilema seperti ini. Kita mesti bersifat massa – jamahiriyyah. Pergerakan massa terbuka, inklusif dan mempunyai golongan teras – safwatul mukhtarah. Perkaderan itu penting. Dana juga cukup penting. Tetapi kekuatan kita adalah komitmen kepada perjuangan – ikhlas dalam perjuangan – itu yang membawa keberkatan.

Harus diingat babak bersejarah dan terpenting pada abad ke 20 adalah kebangkitan Islam dan perubahan yang dibawa. Siapa yang mendanainya, siapa yang membiayainya? Tidak ada kekuatan dana atau tokoh korporat. Kerana yang bangkit dan berjuang hanyalah anak-anak muda yang tidak ada apa-apa – namun itulah yang mencipta sejarah. Betapa banyak badan-badan yang kaya raya tetapi tidak ada usaha dan tidak ada pencapaiannya. Oleh itu, jangan tunggu dana semata-mata, buat sebaik mungkin kerana yang ikhlas itulah yang membawa keberkatan. Berpuluhan tahun gerakan ini disaingi, disabotaj, dihijack dan menghadapi pelbagai karenah serta gangguan.

Kita masih mempunyai keyakinan bahawa sesiapa yang ikhlas dalam perjuangan, itulah yang diterima oleh Allah swt sebagai amal yang ikhlas – mujahidin dan mukhlasin. Ada sekolah-sekolah kita didiskriminasi sedangkan lain-lain memperolehi bantuan. Gerakan ini pun sudah didiskriminasi. Namun dengan semangat juang, ini tidak akan memberikan kesan apa-apa pun. Bantuan kewangan kalau ada bagus, kalau tidak ada pun tidak mengapa. Gerakan kita berjaya bukan dari bantuan penguasa. Kita ingin katakan begini:- Andai yang ditahan itu memang hak kita, maka itu satu kezaliman. Andainya kita tidak berhak ke atas pemberian itu, kita ridha, kerana itu memang bukan hak kita. Tetapi kalau itu hak kita dan ia disekat, diselewengkan, maka setiap sen akan melaknat mereka yang menghalangnya daripada sampai kepada yang berhak.

Intipati Gerakan Substance kita adalah ilmu, fikrah dan komitmen perjuangan. Dengan pertolongan Allah swt, kita akan survive selama mana kita mempunyai substance – keilmuwan, pemikiran dan komitmen – keazaman perjuangan. Sunnatullah……Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan. (Surah : 13, Ayat : 17) Jika bangkit semata-mata berdasarkan emosi, ia akan lekas lenyap. Inshallah, gerakan ini akan survive – mempunyai kelangsungan selagi mana memberikan manfaat kepada manusia…wa amma ma yan fa unnas.

Di tengah-tengah gelanggang ini mampukah kita terus memberikan manfaat kepada manusia, manfaat kepada Islam dan umat? Kita selamat selagi kita menjadi aset dan bukan liabiliti kepada umat. Namun, Islam mengajarkan kita bahawa bukan sahaja kita harus mempunyai substance tetapi perlu tampil dengan meyakinkan. Bekas atau packaging yang tidak menarik akan tidak terjual. Oleh itu bukan cuma substance tetapi juga penampilan – presentation.

Pencitraan wadah kita – imej – harus meyakinkan, memikat dan memukau. Lihat hadith kedua dari matan arba’in karya Imam al Nawawi. Selama ini kita menangkap tiga mesej utama iaitu Islam, Iman dan Ihsan tetapi mukadimah hadith ini pun perlu kita perhatikan iaitu penampilan Jibril a.s. - ….tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya…. Inilah yang dinamakan penampilan iaitu bukan semata-mata penyampaian mesej tetapi penampilan penyampaian yang impresif. Tidak wajar lagi penampilan yang lekeh dan tidak bermaya.

Kualiti Kepimpinan 

Pada akhirnya, kita ingin membina kepimpinan yang berkualiti. Adakah kita telah meletakkan set standard yang tinggi yang tidak mampu untuk dicapai, dipertahankan dan menyusahkan orang yang terkemudian? Standard ini adalah boleh dicapai – achievable – dengan melebarkan dan memperluaskan ilmu supaya tidak berkisar dan berbicara disiplin khusus masing-masing sahaja tetapi meliputi syariah dan pemikiran Islam bagi aliran yang bukan berasal pendidikan agama. Musalahah Kita menyokong usaha-usaha konsolidasi dalaman gerakan tetapi di samping konsolidasi itu harus ada musalahah – reconciliation.

Musalahah dengan kawan-kawan dan rakan-rakan yang terpisah akibat sesuatu yang telah berlalu pada masa dahulu. Masa telah berlalu dan harapannya telah timbul ketenangan dan kedamaian. Kita harus berusaha supaya gerakan kita terus membesar bukan mengecil. Carilah jalan kemungkinan untuk musalahah – perpaduan – setelah berlalunya masa kecuali mereka yang telah melakukan kesalahan jenayah syariah yang tidak terampun seperti qazaf.

Sejarah 

Adalah sangat perlu supaya sama ada ahli, kader dan pimpinan mengetahui dan memahami sejarah perjuangan gerakan. Sejarah dianggap sebagai alat penting oleh tokoh-tokoh pengurusan – history as a leadership tool – bagaimana mengetahui sejarah dan mengetahui bagaimana untuk memanfaatkan sejarah. Sejarah bukan remeh atau mudah dipandang enteng oleh setengah orang – apa erti sejarah – nostalgia of irrelevant details – mengingati peperangan yang telah berlalu. Apabila timbul isu pertikaian dan ada yang tidak menghormati pandangan syura, maka kita tidak hairan dan tidak terkesan kerana kita mempunyai sejarah dan pengalaman dalam perkara yang sama sebelum ini.

Kita mampu menghadapinya. Sejarah kita penting dan kita perlu hasilkan karya atau memoir yang dapat merekodkan catatan perjalanan perjuangan gerakan. Baru-baru ini ada kuliah seorang professor Barat tentang sejarah tanah air yang terperinci tetapi bab kebangkitan Islam hanya sekadar kisah Kaum Muda sahaja. Babak terpenting kebangkitan Islam dan pemuda serta pelajar sekitar 60’an-80’an tidak dinyatakan olehnya dan ini menimbulkan reaksi hangat audien termasuk pengerusi forum tersebut

Tiada ulasan: