Isnin, Februari 18, 2013

Catatan Usrah: Harta dunia; harta akhirat

Naqib: Dato’ Shakir Husein Khalid

Maksud Surah 23. Al-Mu’minun, Ayat 115:
Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
 
  1. Ayat ini memberikan satu mesej yang jelas bahawa matlamat kehidupan kita adalah sebagai menyambung misi Rasulullah SAW. 
  2. Seseorang itu dianggap lari dari kehidupan yang sebenarnya apabila: 
    1. Adanya perasaan tamak yang dilayan. 
    2. Kelalaian dan kerakusan yang diberikan usaha yang lebih. 
    3. Ketaatan kepada Allah SWT dan RasulNya yang ditinggalkan 
  3. Mengumpul harta sebagai satu-satunya matlamat hidup merupakan satu kerja yang sia-sia tetapi mengumpul harta adalah untuk dimanfaatkan. 
  4. Ramai yang membesarkan rumah mereka di dunia tetapi tidak ramai yang membesarkan rumah mereka di akhirat, sedangkan kehidupan ini merupakan kehidupan yang sementara. 
  5. Bayangkan, sebagai contoh, orang yang sedang bermusafir dan apabila berhenti di suatu tempat untuk bermalam sementara, maka dipasangkannya khemah buat berteduh.  Adakah orang tersebut akan berhabis-habisan dan bersungguh-sungguh untuk menghias khemahnya sedangkan dia tahu bahawa dia hanya singgah di situ untuk satu malam sahaja? 
  6. Tamak yang dilayan adalah seseorang yang meletakkan segala usahanya semata-mata untuk duniawinya.  Mereka lupa matlamat asal kehidupan. 
  7. Orang yang cuba meluaskan dunia ini untuk dirinya sahaja menyangka bahawa mereka sudah berbuat baik tetapi sebenarnya tidak banyak membantu mereka di akhirat kelak dan di sisi Allah tidak bernilai.  Namun, sekiranya ia meluaskan dunia ini untuk dimanfaatkan oleh orang lain demi hal-hal yang berbentuk kebaikan, maka sesungguhnya dia telah meluaskan penginapannya di akhirat. 
  8. Perkara yang menjadi kayu pengukur masuknya seseorang ke syurga adalah atas dasar ketaqwaannya dan kehambaan mutlak kepada Allah. 
  9. Kata-kata Saidina Umar al-Khattab, Taqwa adalah umpama kamu berjalan penuh hati-hati di dalam hutan yang penuh dengan duri dan onak, supaya tidak terpijak duri dan onak tersebut.  Sudah tentu kita akan berjaga-jaga ketika berjalan kerana khuatir duri tersebut akan mencederakan kaki kita. 
  10. Kekuatan yang ada hanyalah pada Allah dan jadilah hamba-hambaNya yang terbaik!
  Respon

  1. Dunia ini sebagai bekalan untuk akhirat.  Carilah seberapa banyak harta di dunia tetapi gunakanlah ia buat pelaburan di akhirat, carilah harta untuk Islam. 
  2. Hakikatnya, ketahuilah bahawa sesungguhnya “harta sendiri” adalah apa yang dibelanjakan kepada jalan Allah SWT di mana ianya membawa manfaat besar buat kita di akhirat kelak tetapi “harta yang ditinggalkan” apabila kita mati, merupakan “harta waris”.
 

Tiada ulasan: