Seperti yang dipos pada 7/5/2009
(http://imayu05.blogspot.com/2009/05/makna-jati-diri.html)
Bersempena dengan kekeliruan umat tentang himpunan umat dalam BERSIH 3.0.
Khusus untuk anak muda yang takut untuk berubah dan menjadi agen perobah!
1) Jati diri; Insan yang punya jati diri, dapat mempertahankan
prinsip yang dipercayainya, walaupun keadaan sekeliling, tidak seperti
yang disangkainya, dan tidak sealiran dengan apa yang dipercayai itu.
Prinsip yang dipegang itu pula, tidak semestinya benar, dan tidak pula
semestinya salah. Prinsip bergantung dan diasaskan pada suatu idealisme
yang dipelihara atas pengetahuan atau ilmu, dan membawa nilai yang
tinggi, melebihi perkara lain.
2) Dalam masyarakat,
nilai idealisme, biasanya tidak dapat dibawa dan dipraktikal sepenuhnya;
Amat berbeza keadaannya dunia sebenar ini, dengan idealisme yang
didokong dan ditulis dalam buku atau falsafah kemanusiaan yang
sememangnya ideal. Bukankah ideal itu, suatu kesempurnaan; atau
setidak-tidaknya, hampir kepada kesempurnaan? Dengan kata lain,
masyarakat tidak berada dalam keadaan yang betul dan sangat jauh dari
kesempurnaan! Maka, apakah kita tidak boleh berpegang dan bertindak pada
prinsip tertentu yang membawa idealisme dalam masyarakat?
3)
Masyarakat yang punya idealisme tinggi, adalah masyarakat yang
bertamadun (Madani); masyarakat yang rakyatnya, punya prinsip dan asas
dalam melakukan segala tindakan; punya kerukunan dan sistem yang
difahami; dan bukan yang mengikut dan bertindak secara membuta-tuli, dan
mengikut perasaan emosi; atau lebih teruk, mengikut trend dan
kebudayaan (kebiasaan) semasa. Masyarakat sebegini, ibarat masyarakat
lalang; mudah sahaja ditiup ke sana dan ke mari mengikut arah kuatnya
angin bertiup.
4) Generasi berilmu dan bertamadun,
seharusnya membawa gelombang perubahan dan aura idealisme kepada
mana-mana masyarakat. Kehadirannya, membawa suatu prinsip kebenaran dan
berasaskan kepada budaya yang positif, dan bersifat membina tamadun dan
akal. Masyarakat yang tidak punya budaya berprinsip ini, akan memandang
serong, dan benih prejudis, skeptikal, dan rasa tidak senang biasanya,
akan menyerap dan seterusnya akan datang bersama-sama secara seiring.
Gelombang dan aura mana yang lebih kuat, sudah tentu akan menguasai dan
membawa suatu budaya baru, atau meninggalkan kesan lama yang baru dalam
masyarakat tersebut.
5) Hakikatnya, manusia tidak suka
diubah, dan enggan berubah. Mengekalkan 'status quo' adalah penyakit
yang tidak bisa dibiarkan dalam masyarakat, walaupun, masyarakat
tersebut dalam keadaan yang berbudaya positif sekalipun. Ini kerana,
masyarakat perlukan pelajaran dan ingatan setiap masa. Dan yang lebih
penting, zaman dan masa akan membawa generasi baru datang dan generasi
lama akan pergi. Struktur masyarakat perlu berubah. Turun dan naik; suka
dan duka; berjaya dan gagal; semua proses ini perlu dirasai secara
praktikal; bukan sekadar idealisme sahaja. Dengan kata lain, harga harus
dibayar. Risiko perlu diambil!
6) Lantas, bekalan yang
wajib ada dalam setiap insan adalah ILMU, dan IMAN. Ilmu untuk mengisi
akal, dan iman untuk mengisi jiwa. Akal dan jiwa berada di dalam jasad
setiap manusia. Prinsip dan idealisme ini pula harus diterjemahkan dalam
bentuk tindakan. Tindakan pula akan menghasilkan pengalaman.
Pentafsiran setiap pengalaman pula akan menghasilkan kematangan.
Lihatlah, hadirnya seorang yang berprinsip tidak akan sama dengan
hadirnya 1000 orang yang tiada prinsip.
7) Orang yang
tidak ada prinsip; suasana akan mencorakkan mereka. Manakala, orang yang
punya prinsip dan jati diri; mereka akan mencorakkan suasana. Lantas,
suatu yang sangat Aneh bila ada keadaan orang yang berprinsip juga
terikut dengan suasana sekitar, walau diri mereka punya ilmu, iman, dan
pengalaman serta kematangan. Pernah terlihat suasana begini? Tinjau dan
fikir; Rupa-rupanya, tidak ramai yang sanggup mengambil risiko dan
membayar harga suatu perubahan yang belum tentu semakin baik!
8)
Mandat dan kepercayaan harus diberikan; Semua orang maklum, generasi
muda adalah generasi pemimpin masa depan. Didiklah generasi ini untuk
punya prinsip yang baik dan segar; berikan bimbingan, dorongan,
kebebasan berfikir secara lateral dan kreatif, kongsikan pengalaman
sebagai asas dalam membina kematangan mereka. Bina jati diri mereka;
Bantu mereka untuk mereka bina tamadun mereka mengikut acuan Kebenaran.
9)
Semai dan berikan mereka baja yang baik; benih untuk menjadi pohon
meranti yang kukuh, besar, tinggi dan rimbun; merimbuni pelbagai makhluk
dan pohonan kecil yang lain dibawahnya. Malah, lalang-lalang juga akan
turut menumpang nikmat rimbunannya, walau usianya hanya seratus hari.
Usia Meranti ribuan tahun; tamadun yang dibina mampu merimbuni generasi
demi generasi; Hanya angin ribut yang maha kuat, dengan izin Allah, ia
akan tumbang juga. Tumbangnya akan ditangisi oleh sekelian makhluk di
rimba. Gugurnya pohon- yang tingginya menggapai awan, rimbunnya meredup
bumi, dan akarnya memasak di pusat bumi. Itulah makna jati diri
sebenarnya.