1) Muktamar Sanawi ABIM Selangor telah berlangsung dengan jayanya di dewan utama, Kolej Darul Hkmah (KDH), Sungai Ramal, Bangi. Program tahunan yang dilaksanakan pada 26 - 27 Jun 2010 yang lalu, diserikan dengan wacana pemikiran 'Badiuzzaman said Nursi', seorang tokoh reformis dan pemikir Turki. Menariknya, pada kali ini, 99% kehadiran adalah dari kalangan belia yang dengan erti kata 'di bawah umur 40 tahun'. Mungkin sejumlah besar abang-abang ABIM negeri Selangor harus ke Mesyuarat Koperasi Belia Islam (KBI) yang berlangsung pada hari yang sama.
2) Kehadiran adalah di tahap sederhana, namun masih boleh dibanggakan (sebagai langkah awal). Ini menunjukkan ABIM negeri Selangor harus memulakan langkah untuk menjana generasi penerus dengan lebih aktif dan progresif. Dasar ROY yang mendesak keahlian belia untuk terhad pada umur 40 tahun merupakan satu titik tolak untuk ABIM melakukan perubahan. Walaupun pencapaian kehadiran perwakilan dan pemerhati dilihat sederhana, jumlah ini sebenarnya amat memuaskan berbanding dengan persatuan-persatuan belia tertentu yang kononnya dilihat terkehadapan dalam isu ini. Pokok pangkalnya, usaha harus digiatkan dari sekarang untuk memantapkan lagi keberkesanan kepimpinan belia dalam ABIM. Kalau tidak tersangguk, kita mungkin tidak akan mengadah.
3) Usul yang dihantar oleh setiap daerah tidak menunjukkan ke'bitara'an belia yang seharusnya kritis dan kreatif dalam melihat permasalahan belia secara amnya. 2 daerah sahaja yang menghantar usul; mujur meliputi segala aspek aktivisme dan idealisme dalam hala tuju perjuangan ABIM. 8 Daerah lain? Harus lebih serius dalam menjanakan penggerak dalam masyarakat sedaya mungkin. Alasan ROY, mungkin boleh diterima pada tahun ini. Namun, adalah tidak relevan untuk tahun hadapan! Secara jujurnya, belia Islam harus lebih baik daripada ini.
4) Dalam tangga untuk meningkatkan rasa ukhuwah fillah, dalam rangka gerakan rantaian PEPIAS-ABIM-WADAH, kita bergerak dalam 1 jalan yang sama; 3 gerabak dalam 1 landasan. Potensi, darah panas, daya agresif yang ada pada anak muda PEPIAS, harus terus diletakkan dalam acuan yang telah ABIM bina; namun harus diingat, untuk tidak sesekali menyejukkan darah panas, darah muda itu hingga hilang sifat dan watak yang seharusnya ada pada anak muda. Biarkan mereka lakukan apa yang mereka seharusnya lakukan; Laju, Gelojoh, Terumbang-ambing, Beremosi tidak Stabil, dan lain-lain kebobrokan yang seangkatan dengannya adalah apa yang perlu dilalui untuk belajar menjadi Pemimpin. Peranan ABIM adalah Mentor; asalkan mereka tahu rujukan mereka dan segera kembali kepada landasan acuan ABIM.
5) Risiko membina adalah sebesar risiko memusnah. Hanya mereka yang kembali pada landasan acuan yang disediakan, akan membesar sebagai Pemimpin yang sebenar. Mereka berkata tentang kualiti. Seorang pemimpin, merangkap SU, merangkap Bendahari, merangkap AJK!. Ini bukan kualiti. Ini zero produktiviti. (bercakap tentang diri sendiri.. yang lain terkena, sama la kita) Pandangan dunia tentang melatih pemimpin, adalah bersifat jangka panjang. Mana adilnya; dalam sekelip mata, mahu dilahirkan pemimpin dalam kuantiti yang besar. Jika dalam setahun, 10 orang muda dilahirkan sebagai pemimpin, sudah lebih dari cukup untuk menggegarkan dunia bertahun-tahun. Itu kata Sukarno. Dan beliau telah membuktikannya. Mungkin modul Rasulullah SAW, boleh dijadikan model gerakan. Memadai dengan 2 orang sahabat rapat; 1 receptif (Abu Bakr), 1 agresif (Umar), beserta 2 orang anak muda; 1 aktivis / ekstrovert (Ali), 1 idealis / introvert (Uthman) dalam satu pentarbiyahan yang berterusan. Lihat kesannya dalam menjadikan umat terus-terusan hebat dan melahirkan lebih ramai pejuang Islam sejati.
6) Melatih orang muda, tak kira belia-remaja (15-25), atau belia-dewasa (25-40), harus menjanakan suatu potensi dan risiko yang terlalu besar. Namun, hasil akhirnya nanti, adalah sangat berbaloi. Tidak mudah berasa serik, dan bersedia untuk tidak bersedia. Itu petua asas dalam berhadapan dengan orang muda. Satu lagi yang menjadi taruhan, adalah jiwa muda yang sentiasa harus segar dan bersaiz besar. Ini amat penting dalam mendalami hati-nurani orang muda. Impian dan harapan orang muda sifatnya dinamik, dan sangat kreatif, jauh dari jangkaan dan jangkauan kebanyakkan orang dewasa, terutama generasi yang beza umurnya melebihi 20 tahun dengan satu-satu susuk orang muda. Motivasi untuk meninggalkan generasi pewaris yang mampu meneroka dan membangunkan fungsi maksimum khalifah dengan berkesan perlu disegerakan tanpa rasa kecewa dan putus asa. Usah dibiarkan kelompongan dalam satu-satu generasi. Usah ditangisi kegagalan hari ini. Usah juga menuding pada sesiapa.
Yang tidur, kita kejutkan; Yang terperangkap dalam musim sejuk, barangkali mereka selesa di sana, tegur-tegurlah, mungkin sapaan kecil kita dapat mengetuk pintu hati mereka untuk bersama.Yang penting, adalah untuk terus bergerak kehadapan tanpa ragu dan gusar. Kita berada pada jalan yang benar. Yakin dan percayalah, di depan sana, ada cahaya yang akan mengakhiri terowong kegelapan ini. Teruskan perjalanan, dan teruskanlah melatih belia Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan