Rabu, September 29, 2010

Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) JERMAN

Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) di Jerman: Peningkatan kemahiran tenaga kerja di negara ekonomi terbesar di Eropah


Sistem TEVT dianggap satu daripada kekuatan utama sistem pendidikan di Jerman yang mana sebanyak 60-70% daripada pelajar (lebih daripada 1.6 juta) memasuki sekolah vokasional. Latihan ini menyediakan banyak program latihan merangkumi hampir 340 pekerjaan dan sangat popular dalam kalangan lepasan sekolah di Jerman. Sistem latihan ini sangat berjaya dengan kadar pengangguran siswazah dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian adalah rendah,
iaitu 3%.

Pendidikan vokasional yang paling banyak dilaksanakan adalah sistem latihan perantisan. Perantis dilatih oleh majikan dalam bidang pekerjaan yang akan diceburi (3-4 hari seminggu) dan mendapat pendidikan teori di sekolah vokasional (1-2 hari seminggu). Di samping memperoleh kelayakan yang diiktiraf (sijil dikeluarkan oleh dewan perniagaan) apabila tamat pengajian, perantis juga mendapat gaji daripada majikan. Melalui sistem ini, pelajar terlibat dalam pekerjaan bergaji dan menerima latihan yang diiktiraf selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan. Peratus pekerja tidak mahir dan pengganguran dalam kalangan belia di Jerman adalah rendah.

Sektor swasta (menyediakan lebih kurang 80% pembiayaan) dan sektor awam terlibat dalam pembiayaan dan penyampaian TEVT. Di samping penyediaan dan pembiayaan latihan, sektor swasta terlibat dalam penambahbaikan kurikulum latihan, pindaan peraturan latihan, khidmat nasihat dan penyeliaan latihan serta urusan pentadbiran peperiksaan. Pada masa yang sama, kerajaan terlibat dalam menggubal peraturan latihan, menetapkan kurikulum dan membiayai tenaga pengajar di sekolah vokasional. Kerajaan juga memainkan peranan yang sangat aktif dalam penyelarasan penawaran dan bilangan tempat TEVT.

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Fikrah:-

1) Sistem pendidikan kita akan menjuruskan kepada Aliran Kemahiran kepada mereka yang tidak cenderung kepada sistem akademik, bermula daripada tingkatan 1. Walaupun pada dasarnya murid-murid tidak dipecahkan aliran bermula umur 13 tahun, namun, program yang direncanakan menerusi Makmal NKRA untuk Pendidikan adalah suatu bentuk Program, berbanding Aliran. IDea asalnya membentuk 'Aliran Asas Kemahiran' mungkin akan bertukar kepada 'Program Asas Kemahiran'.

2) Ideanya adalah tetap dengan meletakkan kurikulum asas kepada subjek akademik seperti Matematik, Sains, Geografi dan lain-lain, tetapi meletakkan kredit yang lebih kepada bidang teknik dan vokasional. Kurikulum asas yang dimaksudkan adalah aras yang lebih rendah berbanding mereka yang ditempatkan dalam aliran akademik, atau aliran biasa. Walaubagaimanapun,masih terdapat isu-isu seperti nilaian sijil akhir, peng'aras'an setiap subjek akademik, dan lain-lain lagi yang masih dalam perbincangan. Secara umum, isu peng'aras'an menjadi unsur yang membimbangkan.

3) Pendidikan hari ini (sedia ada) banyak menekankan kepada akademik semata-mata, dengan tidak berjaya menterjemahkan Falsafah Pendidikan Negara dengan berkesan. Isi utama Falsafah seperti melahirkan insan yang seimbang dan harmonis, serta mencungkil dan mengembangkan potensi murid tidak langsung tercapai. Hasil hari ini harus mengajar kita semua bahawa sesuatu harus dilakukan. Hari ini, kita tidak menghasilkan insan seimbang dari segi JERInya, malahan langsung tidak harmonis baik dari mana sudut sekalipun, dan yang paling jelas, pengembangan potensi langsung tidak diambil kira dan membunuh terus bakat yang ada dengan memberi nilai yang terlampau tinggi pada akademik semata-mata, yang hakikatnya, juga gagal dihasilkan secara penuh. Sedar atau tidak, kita masih ditakuk lama, dengan kemujuran trend dunia yang menghanyutkan sistem pendidikan kita, sudah tentu bukan sistem pendidikan acuan kita sendiri. Kemujuran jika trend dunia membawa kepada kebaikan, yang pada hakikatnya seluruh dunia menghala kepada kemudaratan. Dengan kata lain, jika masalah yang berlaku pada dunia telah berlaku, maka masalah itu juga akan melanda negara kita. Maka, tidak perlulah kata-kata seperi "...kita dikejutkan dengan..."


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

xde rujukan ke>