Ahad, Jun 12, 2011

Saya budak baru belajar

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Saya amat pasti, setiap orang yang membesar di bumi Malaysia, pasti akan pernah belajar dan hafal pantun ini, pantun yang paling asas diajar dan dipelajari oleh anak-anak di setiap rumah. Mesejnya jelas; untuk belajar, harus bersedia untuk menerima teguran dan tunjuk ajar. Lumrah orang belajar; memang pasti akan melakukan kesalahan demi kesalahan, sebelum menghampiri kesempurnaan. Bagaimana untuk menghampiri kesempurnaan, adalah dengan rela menerima tunjuk ajar daripada yang berilmu. Proses tunjuk ajar ini akan berlaku secara berulang-ulang kali, dan mendambakan masa yang bukan sedikit. Sesungguhnya, itulah hakikat dalam pembelajaran.

Belajar perlu berguru. Guru boleh jadi seorang  insan, malah apa sahaja yang ada pada alam ini. Tuhan jadikan segala yang ada di sekeliling kita, untuk manusia berfikir dan mencari iktibar, termasuk di sebalik suatu kejadian. Maka, untuk belajar dan mencapai suatu tahap menghampiri kesempurnaan perlukan kita untuk melihat berkali-kali. Melihat dengan pandangan mata, pandangan akal, dan yang paling penting adalah pandangan hati. Sudah tentu, ini juga memerlukan insan guru yang sifatnya sebagai Muaddib dan Murabbi.

Muaddib maknanya, seorang yang membentuk adab, manakala Murabbi bermakna seorang yang membentuk sifat ke'hamba'an dan ke'khalifah'an. Pendidik yang boleh dipanggil guru adalah yang punya komitmen untuk membentuk peribadi insan untuk menjadi soleh dan musleh, iaitu membentuk orang lain untuk menjadi soleh. Cabaran besar umat pada hari ini adalah untuk mencari dan menjadi seorang guru yang punya ciri sedemikian, tidak kurang juga cabaran mencari dan menjadi pelajar yang rela diajar; dari aspek jasmani, rohani, emosi, dan intelek? kenapa sukar mencari dan menjadi pelajar sedemikian? Sukar kerana kualiti pelajar dikatakan telah belajar, apabila akhirnya pendidikan menghasilkan perubahan sikap, pemikiran, dan tindakan yang mencirikan seorang yang soleh!

Salah satu unsur penting untuk mempelajari sesuatu, adalah keperluan untuk bertindak. Kaedah untuk belajar sambil bertindak merupakan kaedah klasik yang diperturunkan sejak turun-temurun. Kaedah ini memerlukan jiwa yang kental, keikhlasan dan keinginan yang tinggi untuk menghasilkan perubahan terhadap diri. Latihan membentuk keperibadian sebegini juga kekal sejak berzaman kerana hasilnya yang lebih tahan di samping guru di sekeliling yang sifatnya sangat semulajadi. Masyarakat akan menjadi guru yang paling berguna; kerana akhirnya tujuan pendidikan adalah untuk hidup dalam masyarakat. . Namun, berhati-hati dengan masyarakat yang rosak, kerana mungkin akan memberikan pandangan mata, akal, dan hati yang berkecamuk dan mengelirukan. Suatu latihan yang sifatnya terpaksa, atau jurulatih yang sentiasa memaksa, sebenarnya melatih untuk belajar tentang keikhlasan. Keihklasan tidak boleh dipaksakan, tetapi hati mungkin boleh dilatih dengan pentarbiyahan yang berterusan yang akhirnya melahirkan kemanisan dalam beramal seterusnya melahirkan keikhlasan.

Pembelajaran yang tidak kurang juga diperlukan dalam suatu sistem pendidikan, adalah dengan memberi suatu ramalan atau jangkaan tentang bakal apa yang berlaku sekiranya suatu tindakan dibuat. Sudah tentu jangkaan dan ramalan adalah berdasarkan kepada peristiwa lalu. Bukankah dalam Al-Quran juga ditulis sejarah umat manusia dari era Adam as sehinggalah hari akhir zaman untuk kita umat hari ini belajar dan mencari ibrah di sebalik setiap peristiwa? Maka, ingatkan dan teruskanlah mengingatkan orang yang belajar. Kalau boleh, joloklah mana yang patut supaya pelajar dapat belajar, dan bukannya kurang ajar kerana letih diajar oleh masyarakat yang rosak. Pantun di atas boleh juga diulas semula seperti ini:


Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
sebelum salah tolong jolokkan!


Tiada ulasan: