Selasa, November 04, 2008

Pemimpin; tamsil dan ibarat

... ringkasan daripada artikel oleh : Azizi Abdullah
(aziziabdullah.blogspot.com)

Fikrah Imayu -Penulis menceritakan tentang buku 'Pemimpin dalam Ungkapan Melayu';tulisan H.Tenas Effendy

...Dalam buku itu memberitahu siapakah pemimpin? Diterangkannya dengan kaedah matematik juga, katanya:
Yang didahulukan selangkah. Yang ditinggikan seranting.
Yang dilebihkan serambut. Yang dimuliakan sekuku.

Bukan mustahil jika anda menjawab, saya tidak bertemu pun pemimpin seperti ini. Jika begitu, pemimpin bagaimanakah yang anda hendak memilih? Memilih tidaklah sukar kerana sudah ada yang menawar diri. Yang penting anda kena berfikir hendak memilih pemimpin seperti apa?

Adakah hendak memilih pemimpin yang berkeperibadian:
Banyak Tahunya? Banyak Tahannya? Banyak Bijaknya? Banyak Cerdiknya?
Banyak Pandainya? Banyak Arifnya? Mulia Budinya? Banyak relanya?
Banyak Ikhlasnya? Banyak taatnya? Mulia Duduknya? Banyak Sedarnya? Atau
Banyak Tidaknya?

Buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu dalam bab Kepantangan Pemimpin menyebut betapa adanya pemimpin bertabiat:
Mengejar pangkal mau menjilat.
Mengejar harta mau melata.
Mengejar kedudukan mau melendan.
Mengejar pengaruh mau bergaduh.

Dalam mesyuarat berbantah-bantah.
Dalam berunding tuding menuding.
Dalam helat cacat mencacat.
Sesama keluarga laga melaga.
Sesama kawan makan memakan.
Sesana sahabat sebat menyebat.
Sesama bangsa paksa-memaksa.

Tenas Affendy dalam buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu memberitahu jenis pemimpin.

Dikatakan-
Pemimpin Abu: Bagaikan abu di atas tunggul, tegak goyang duduk pun tak betul.
Pemimpin Acah: Sebarang kerja terkacah-kacah, duduk resah tegak gelisah,ke sana mengacau ke sini mengacah.
Pemimpin Agak: Hati bimbang dan banyak agak, kerja tak ada rancangan banyak, masa habis teragak-agak.
Pemimpin Agul: Lakunya buruk perangai tak betul, masyarakat dihasung rakyat diagul, hati berulat akal pun tumpul, bencana datang fitnah pun timbul.
Pemimpin Aib: Pemimpin tidak beraib malu, Fikiran menyalah hati berbulu, awak bodoh berlagak tahu, orang berlebih ia cemburu.
Pemimpin Ajun: Kerja asyik mengajun orang, ini tak boleh itu dilarang, jalan lurus ia melentang, negeri rosak rakyat berhutang.
Pemimpin Alah: Ke tengah ke tepi ianya kalah,hati kecil ilmu pun rendah, negeri rosak rakyat berbantah, dijadikan induk orang berbantah.
Pemimpin Alat: Lupa diri tak ingat rakyat, di mana untung di situ mendekat.
Pemimpin Alih: Adat ditukar undang dialih, diberi nasihat ia berdalih, negeri rosak rakyat pun jerih.
Pemimpin Ampas: pemimpin bagaikan ampas, manis terbuang sedapnya langkas, tidak dapat menjalankan tugas.
Pemimpin Ampu: Sukalah mengampu, mengambil muka ia tak malu, penderitaan orang tak mahu tahu,kesenangan diri yang ia buru.
Pemimpin Amuk: Suka mengamuk, rakyat pun teruk, fikiran suntuk, hati busuk, di beri formula ia mengutuk.
Pemimpin Angguk: Ke mana pun terangguk-angguk, pendirian goyah akal penyuntuk, dalam negeri orang beramuk, dalam majlis orang mengutuk.
Pemimpin Angkuh: hati busuk akal tak senonoh, mana yang jernih menjadi keruh.
Pemimpin Antah: bagaikan antah di dalam beras, dengan rakyat tiada senafas.
Pemimpin Antan: Menumbuk menindas kiri dan kanan.
Pemimpin Antuk: menjalankan tugas hatinya busuk, negeri rosak rakyatpun teruk. Pemimpin Arang: Berkata tidak memandang orang, mulut besar banyak temberang. Pemimpin Asal: Turun temurun ianya kekal, umpama kayu ia berpangkal, tuahnya ada maruah pun kebal.
Pemimpin Asap: Negeri yang terang menjadi gelap.
Pemimpin Badak: Muka tebal kulit badak ke hulu membohong ke hilir membengkak, ke laut menipu ke darat melagak.

Sebenarnya banyak lagi tamsil ibarat tentang pemimpin ini mengikut Tenas Affendy. Bagaimanapun cukuplah rasanya sekadar renungan untuk membuat kiraan matematik dalam masa congak mencongak ini.

Tiada ulasan: