Pergerakan Islam di negara ini harus mula menyusun usaha bagi menjana gelombang baru kebangkitan dakwah. Usaha ini adalah cabaran utama pada abad 21 bagi pertubuhan berteraskan Islam di Malaysia. Keutamaan usaha menangani cabaran ini disebabkan oleh beberapa faktor.
Pertama, tahap kesedaran terhadap Islam sebagai satu cara hidup pada masa kini sudah semakin merata. Ini dapat dilihat menerusi fenomena pengamalan ajaran Islam yang bertambah meluas dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada peringkat individu, kemasyarakatan dan kenegaraan.
Kita boleh melihat contoh perkembangan fenomena kesedaran Islam yang meluas ini menerusi beberapa aspek. Salah satunya ialah dari sudut peningkatan kefahaman individu dan masyarakat mengenai erti agama Islam itu sendiri. Pada masa kini, kefahaman bahawa agama Islam ialah satu cara hidup yang meliputi seluruh aspek kehidupan sudah mula melebar. Kefahaman ini berbeza sekiranya dibandingkan dengan tahap kefahaman mengenai agama Islam pada peringkat awal kebangkitan dakwah.
Agama Islam pada tahap terbabit dipandang sebagai satu bentuk amalan 'ritual' atau 'upacara' khusus antara seorang manusia dengan Penciptanya yang dijelmakan menerusi rukun-rukun agama seperti bersolat dan berpuasa. Pada tahap ini, masyarakat Islam masih belum mengerti bahawa agama Islam selain keupacaraan pada masa sama satu sumber nilai yang boleh dijelmakan di dalam bidang pentadbiran dan urusan kemasyarakatan, perekonomian, pendidikan, perundangan dan hal ehwal kenegaraan.
Antara contoh lain mengenai fenomena Islam di Malaysia ialah dari aspek peningkatan tahap pengamalan dan pelaksanaan ajaran Islam itu sendiri. Hal ini dapat kita lihat menerusi beberapa unsur seperti pertambahan jumlah penganut yang tekun menunaikan ibadah bersolat, berpuasa, berzakat dan menunaikan ibadah haji. Kita semua boleh memerhatikan peningkatan jumlah kehadiran muslim pada majlis mingguan solat Jumaat atau pertambahan berterusan jumlah kutipan zakat di seluruh negara.
Fenomena sama boleh dilihat pada peningkatan jumlah penganut Islam yang menunaikan ibadah haji setiap tahun. Fenomena yang sama boleh juga dilihat pada pertambahan jumlah muslimah yang memilih gaya berpakaian menutup aurat, pertambahan institusi pendidikan berteraskan Islam sama ada pada peringkat asas, rendah, menengah dan tinggi serta peningkatan sambutan masyarakat terhadap produk muamalat atau sistem kewangan berasaskan Islam di negara ini.
Contoh mengenai fenomena Islam yang dinyatakan ini memberikan kita beberapa petunjuk penting tahap kualiti kesedaran, kefahaman dan penghayatan agama Islam di negara kita. Secara keseluruhannya, fenomena ini membuktikan masyarakat Islam sudah mula menunjukkan keyakinan mengenai kemuliaan ajaran Islam sebagai satu cara hidup pilihan kepada mereka pada era moden hari ini.
Tahap keyakinan baru terhadap Islam dan ajarannya seperti ditunjukkan menerusi pelbagai fenomena kehidupan hari ini adalah kesan proses dakwah Islamiyyah yang berlaku sekian lama. Proses ini sudah bermula sejak agama Islam mula disebarkan kepada umat Melayu di rantau ini berabad-abad lalu. Fenomena hidup beragama masyarakat Islam masa kini adalah kesan usaha dakwah berterusan pada masa lalu.
Hasil dakwah ini seharusnya menjadi sumber pengajaran dan kayu ukur di dalam usaha kita merancang dan merangka usaha pembangunan dakwah pada masa depan. Pada pandangan saya, gelombang dakwah baru di abad ke-21 harus memiliki beberapa ciri penting berikut:
Pertama, penerusan secara lebih tersusun usaha dakwah yang dijalankan pada gelombang sebelum ini. Ia meliputi langkah memperhebatkan penyebaran dakwah secara umum dan khusus meliputi kelompok masyarakat yang masih belum terdedah sepenuhnya kepada keindahan ajaran Islam. Kelompok ini meliputi remaja dan belia, suri rumah, masyarakat bukan Islam dan Orang Asli.
Kedua, pembangunan golongan muda atau belia berusia sekitar umur 45 tahun ke bawah sebagai teras pergerakan dakwah. Ini kerana golongan ini adalah generasi penerus kepada usaha dakwah pada beberapa dekad akan datang. Golongan ini perlu dilatih secara berterusan mengenai ilmu, kepentingan dan kemahiran dakwah. Ketiga, penggembelengan seluruh sumber dakwah daripada segenap unsur dan pengaruh sebagai pergerakan yang bersatu secara utuh. Ini menuntut kerjasama yang utuh antara individu, pertubuhan, parti politik dan institusi dakwah yang ada di negara ini yang bergiat di dalam pelbagai bidang kehidupan. Model ini adalah berasaskan konsep 'perkongsian bijak' bagi tujuan memanfaatkan kekuatan yang dimiliki oleh seluruh unsur dan sumber dakwah itu demi kemajuan agama dan ummah.
Keempat, pengembangan bidang tumpuan dakwah di dalam aspek baru sejajar dengan cabaran umat abad 21. Ini meliputi langkah menangani cabaran peralihan zaman dan globalisasi, agenda liberalisasi budaya dan sikap prejudis terhadap Islam atau 'Islamophobia' di kalangan masyarakat bukan Islam. Agenda menjana gelombang baru dakwah ini memerlukan banyak persediaan pergerakan dakwah di negara ini. Antara cabaran utama ialah menampilkan satu watak kepemimpinan dakwah yang boleh diterima semua pihak.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan