1) Penguasaan dwi-lingual adalah pengkaedahan yang terbaik dalam mendepani arus globalisasi disamping punya jati diri negara Malaysia. Dengan kata lain, budaya negara tidak tergadai, negara tidak keciciran.
2) Soal ilmu pengetahuan; gunalah apa sahaja pengkaedahan asalkan isi ilmunya meresap ke dalam sanubari pelajar. Juga, tidak menidakkan soal yang pertama seperti di atas. Pokoknya, untuk memartabatkan suatu bahasa, syarat pertamanya; ia harus mampu menjadi bahasa Ilmu. Maka, atas alasan kebanyakan teks utama adalah daripada Bahasa Inggeris, atas alasan yang sama juga, penguasaan Bahasa Inggeris harus dikukuhkan untuk mencedok ilmu pengetahuan tersebut. Proses transisi selepas penguasaan ilmu tersebut, martabatkanlah bahasa ibunda kita pula seadanya. Mudah, kan?
3) Polemik yang berterusan dengan ada segelintir pihak yang 'urban' sifatnya, yang mahukan juga dasar PPSMI diteruskan di sekolah anak-anak mereka, terlupa bahawa mana mungkin soal DASAR dibeza-bezakan. Bukan dasar namanya itu! Itu mungkin sudah menjadi pengkaedahan pembelajaran. Hakikatnya, negara Malaysia, kalau tidak memartabatkan BAHASA MALAYSIA, negara mana lagi yang mahu memartabatkannya pula? cukup rasional, kan?
4) Dengan era yang serba canggih ini, dasar harus PRO kepada BAHASA MALAYSIA, tak kiralah, pusing macam mana pun. Soal Pengajaran dan Pembelajaran bagaimanapun, masih boleh diperdebatkan dan diperincikan mengikut kesesuaian sekolah masing-masing. Dengan pemahaman isu yang sebenar-benarnya, barulah kita akan bergerak maju ke hadapan dengan bijaksana, aman, dan progresif.
5) BULAN BAHASA yang lepas, apa pula komitmen masyarakat dalam mengisi hari-hari mereka dalam memartabatkan BAHASA? tak kira bahasa MALAYSIA mahupun bahasa INGGERIS? Bukankah seharusnya perlu dilipatgandakan program pengisian bahasa dalam bulan itu berbanding bulan yang lain? Di sekolah, mungkin ada. Di rumah? di dalam kaca Televisyen? di dalam akhbar? di dalam Dewan Rakyat?
(Mungkin perasaan saya sahaja; tidak merasakan datang; mahupun perginya bulan bahasa tahun ini..)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan