Memaparkan catatan dengan label PEPIAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PEPIAS. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 14, 2010

Kes Aminulrasyid dan PDRM


ABIM Selangor merakamkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Amiulrasyid. Pada 3 Mei 2010, Sekretariat, Mantan Ketua Helwa beserta sukarelawan ABIM Selangor sempat turun padang ke rumah Allahyarham untuk mendengar kenyataan secara langsung dari sahabat Allahyarham yang sama-sama terlibat dalam kejadian itu.

Hasil daripada pemerhatian di atas kes ini, ABIM berpendirian berpendirian bahawa ada beberapa perkara penting yang perlu ditegaskan dalam memastikan isu ini benar-benar ditangani dengan telus selain kedaulatan undang-undang dapat dijunjung sepenuhnya.

ABIM menggesa lapan tindakan diambil seperti berikut:

1· Menyokong permintaan keluarga mangsa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjamin ketelusan,
membela kehormatan maruah Allahyarham serta keluarganya, di samping mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM yang menjunjung moto perkhidmatan, “Mesra, Cepat dan Betul”.

2· Menggesa semua pihak agar
menghentikan segala kenyataan berbentuk tuduhan, sindiran serta spekulasi yang boleh mengeruhkan suasana serta menjatuhkan maruah Allahyarham selain mengguris hati serta perasaan keluarga arwah terutama ibunya.

3· Menggesa kerajaan
melantik wakil dari NGO untuk menganggotai suruhanjaya itu bagi memantau siasatan polis dalam kes ini bertujuan menjamin keadilan dan ketelusan sewajarnya bagi mengelakkan isu siasatan ini dipolitikkan.

4· Lebih ramai saksi yang menyaksikan kejadian itu tampil
memberikan kerjasama tanpa sebarang ancaman atau ugutan daripada mana-mana pihak demi mencapai proses keadilan.

5· Abim juga menyeru agar lebih banyak NGO yang berpengaruh dan badan hak kemanusiaan menggerakkan
kesedaran pendidikan hak asasi untuk rakyat Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

6· Menggesa
kerajaan agar lebih tegas dalam usaha memperkasa ketelusan dan kepimpinan PDRM untuk membaikpulih imej wibawa dan nama baik PDRM di mata masyarakat.

7· Abim juga
mahu ibu bapa lebih bertanggungjawab dan secara serius memantau aktiviti anak masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian lain yang tidak diingini. · Abim juga faham dengan beban dipikul PDRM untuk menjaga keselamatan negara. Justeru, PDRM perlu mempertingkatkan tahap profesionalisme dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berulang.



8. Abim juga faham dengan beban dipikul PDRM untuk menjaga keselamatan negara. Justeru, PDRM perlu mempertingkatkan tahap profesionalisme dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berulang. 

........................
* Berita ini telah disunting dari hasil tulisan Puan Fadhlina Siddiq, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita ABIM (Helwa) dan lanjutan maklumat boleh ke link berikut :

ABIM Selangor BANTAH Judi Piala Dunia 2010


KENYATAAN AKHBAR ABIM NEGERI SELANGOR

ABIM SELANGOR MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA PEMBERIAN LESEN JUDI BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah sekeras-kerasnya serta merasa amat kesal dengan keputusan kerajaan yang secara rasminya telah memberikan lesen pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA. ABIM menilai keputusan ini tidak wajar kerana majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini menolak judi kerana banyak membawa kesan buruk dan penyakit sosial yang teruk.

ABIM menegaskan bahawa keputusan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang justifikasi yang munasabah serta hanya bersifat untuk meraih keuntungan material jangka pendek yang boleh memberikan kesan yang negatif ke atas masyarakat dan negara. ABIM dengan ini menyeru kepada semua umat Islam untuk sama-sama membantah keputusan tersebut demi menjaga kesejahteraan setiap lapisan masyarakat di negara ini. Pihak ABIM juga akan menggerakkan bantahan ini di seluruh negara bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak. Tiada ada agama di dalam dunia ini yang membenarkan serta menghalalkan perjudian kerana impak negatif sosialnya yang secara langsung akan menyebabkan kemusnahan moral individu, institusi keluarga dan masyarakat serta mencemar imej Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. ABIM dengan ini menggesa dan bertegas agar Kerajaan Malaysia menarik semula keputusan pemberian lesen pertaruhan ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara.

Bagi ABIM Selangor , pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap. Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh yang demikian ABIM Selangor mendesak :

  1. Kerajaan Persekutuan menarik balik lesen yang telah dikeluarkan kepada BERJAYA GROUP serta merta.
  2. Semua mufti dan para ulamak khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri untuk mengeluarkan kenyataan atas kelulusan ini.
  3. Semua institusi pendidikan, Masjid dan surau membuat bantahan dan kempen penerangan bagi menimbulkan kesedaran agar muslimin dan muslimat terutama golongan belia sedar keburukan judi dan kesannya kepada masyarakat.
  4. Semua NGO Islam bersatu menyatakan pandangan dan bantahan mengenai pemberian lesen perjudian ini.
  5. Semua pihak sentiasa peka dan sedar , bahawa ada agenda buruk yang mahu melihat umat Islam semakin sesat dan jauh dari agama melalui judi, arak , seks, dadah dan semua maksiat.

MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH

MOHD ZAWAWI BIN AHMAD MUGHNI
Yang Di Pertua
Negeri Selangor Darul Ehsan

Khamis, Mei 06, 2010

Siaran Akhbar : Kes Aminulrasyid dan PDRM



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham  Aminulrasyid yang terlibat dalam tragedi yang meragut nyawanya minggu lalu. Walaupun pihak kerajaan dan polis telah memberikan jaminan bahawa siasatan yang telus akan dibuat secara menyeluruh, ABIM berpandangan ada beberapa aspek ketelusan dan ketegasan yang perlu diperkukuhkan bagi menjamin keadilan untuk semua pihak. Dalam menangani isu ini, ABIM berpendirian bahawa ada beberapa perkra penting yang perlu dipertegaskan dalam memastikan isu ini benar benar ditangani dengan telus dan kedaulatan undang-undang dijunjung sepenuhnya.
Dengan ketegasan untuk membersihkan dua nama iaitu membersihkan nama Allahyarham Aminulrasyid daripada gelaran penjenayah serta membersihkan nama serta imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedikit sebanyak tercalar kerana insiden ini, maka ABIM menggesa lapan tindakan diambil seperti berikut:-
  1. Menyokong permintaan keluarga mangsa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjamin ketelusan, membela kehormatan maruah Allahyarham serta keluarganya, di samping mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM yang menjunjung moto perkhidmatan, “Mesra, Cepat dan Betul”.
  2. Menggesa semua pihak agar menghentikan segala kenyataan yang berbentuk tuduhan,  sindiran serta spekulasi yang boleh mengeruhkan suasana serta menjatuhkan maruah Allahyarham di samping mengguris hati serta perasaan keluarga beliau.
  3. Menggesa kerajaan melantik wakil-wakil dari NGO untuk mengganggotai Suruhanjaya yang memantau siasatan polis di dalam kes ini bagi menjamin keadilan dan ketelusan yang sewajarnya bagi mengelakkan isu siasatan ini dipolitikkan.
  4. Menggesa lebih ramai saksi-saksi yang menyaksikan tragedi tersebut tampil memberikan kerjasama tanpa sebarang ancaman atau ugutan daripada mana-mana pihak demi mencapai proses keadilan.
  5. ABIM juga menyeru agar lebih banyak NGO yang berpengaruh dan badan-badan hak kemanusiaan berpartisipasi bagi menggerakakan kesedaran pendidikan hak-hak asasi untuk rakyat Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan di kalangan masyarakat.
  6. Menggesa Kerajaan agar lebih tegas dalam usaha memperkasa ketelusan dan kepimpinan PDRM dengan usaha untuk membaikpulih imej wibawa dan nama baik PDRM di mata masyarakat.
  7. ABIM juga menegaskan agar ibu-bapa khususnya agar lebih bertanggungjawab dan secara serius memantau aktiviti anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian lain yang tidak diingini.
  8. ABIM juga akur dengan beban yang dipikul oleh pihak PDRM  untuk menjaga keselamatan negara. Justeru, PDRM perlu mempertingkatkan tahap professionalisme dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berulang kembali di masa akan datang.


FADHLINA SIDDIQ
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita ABIM (HELWA)

Isnin, April 26, 2010

Salam Perkhabaran

Untuk adik-adik SYABAB Nurul Iman yang dikasihi dan diingati;
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Salam perkhabaran,

Semoga semua sekali berada dalam keadaan sihat walafiat.

Apa pun, perkhabaran ini menandakan sudah 1 tahun berlalu, sejak kita bersama-sama mengadakan program SMART INSAN 2009, di SK Kebun Baru. Ya, 1 tahun lamanya, kali terakhir kita berusrah di Masjid Nurul Iman… pejam-celik, anda masing-masing berada di pelbagai lapangan dalam meniti kehidupan yang sedang belajar dan bersedia untuk masuk ke masyarakat semula sebagai apa sahaja insan yang kalian pilih, dalam sedikit masa lagi. Pada waktu itu, mungkin 3-4 tahun dari sekarang, kalian akan berhasil menjadi seperti yang kalian idamkan. Mungkin akan bergelar Doktor, jurutera, guru, ahli farmasi, juru rawat, technician, akauntan, ahli ekonomi, bisnesman, dan bermacam-macam lagi kemungkinan. Maka, selamat meneruskan usaha dalam menjadi mukmin profesional terbaik satu hari nanti. Biar apa pun lapangan kita, yang penting, khidmat kita akan diperlukan kelak oleh setiap umat Islam di seluruh pelusuk dunia, khususnya di daerah Kuala Langat ini.

Masih ingatkah kalian, makna SMART Insan? akronimnya, Solat, Motivasi, Adab, Rakan, dan Tekun; Ingat? Saya doakan kalian perkukuhkan asas dalam menjadi insan terbaik dengan memperkukuhkan tiang Agama dengan bersolat 5 waktu sehari semalam, seterusnya terus bermotivasi dalam mengejar cita-cita dan impian; Dr HM Tuah kata, soalnya ‘Nak ke Tak Nak’.  Seterusnya, menjadi yang terbaik dengan menjaga Adab, dan akhlak sebagai seorang muslim. Asasnya, matlamat harus kena dengan caranya.  Seharusnya, punya rakan sebaya, rakan mentor, mahupun rakan protege, dan juga rakan sparring, yang mampu memberikan refleksi cerminan kepada pencapaian kita, dan akhir sekali, konsisten; istiqamah atau Ketekunan dalam mengejar kejayaan; bukan asal berjaya; kita mahukan kejayaan yang gemilang.

Tidak dilupakan juga, kawan-kawan dan adik-adik kita yang masih menuntut di sekolah, dan sudah tentu, yang berada di perkarangan rumah di Kebun Baru ini, juga perlukan kasih sayang dan belaian dari kalian, untuk menjadi contoh, role model, dan teladan kepada mereka. Percayalah, ramai daripada kalian, boleh, mampu dan sedang dijadikan inspirasi oleh adik-adik kita ini, malahan, ada juga kalangan rakan-rakan kita yang dalam diam, admire pada pencapaian kita. Nasihat saya, usah berkecil jiwa, usah malu, dan inilah masanya, kalian menyusun semula langkah untuk kembali berbakti pada tempat kita, asal ada masa yang boleh kalian luangkan; kalau segan secara berseorangan, pilih lah secara berjamaah. Kalau tidak di alam fana, boleh juga di alam maya. Bagi saya, saya akan pilih jalan berjemaah; kerana saya juga seorang yang pemalu! Kata orang, Mahu, tapi malu. Mahu untuk menabur budi, tapi malu untuk memulakannya. Saya bimbang, takut-takut, nanti tidak sempat untuk berbuat bakti, dipanggil pula oleh Illahi... kan sayang... Kalian bagaimana? Mana mungkin berbudi di alam Barzakh?

Untuk pengetahuan kalian, PEPIAS Kuala Langat, dan ABIM Kuala Langat, 2 beradik ini, masih beroperasi secara kecil-kecilan. Nak kata ada, macam tak ada. Nak kata tidak ada, masih ada yang bernyawa. Hidup segan, mati tak mahu; Ngeri pula bunyinya. Kami di sini, perlukan tenaga muda dan berjiwa besar. Ingin melatih kembali generasi Rabbani, generasi Penerus yang akan turut sama punya idealisme perjuangan, dan pada masa yang sama, punya semangat aktivisme dalam mencorakkan masa depan negara. Idealisme harus dipraktiskan secara aktivisme; disisipi dengan spiritualisme yang kukuh melalui tarbiyah usrah, tamrin, dan lain-lain lagi, yang seharusnya membutuhkan suatu tempoh masa yang lama untuk membentuk fikrah yang terbaik dalam suatu kerangka Tauhid, MengEsakan Allah, mengangkat Sunnah Rasulullah, dan menegakkan Syiar Fisabilillah. Rumusan saya setakat ini, masih jauh perjalanan kita. Kayu ukurnya, adakah masyarakat sekitar, sedar akan kehadiran kita?

Saya Muhasabah diri; masih banyak lagi yang tidak dapat dilakukan. Kerdil rasanya bila menginsafi sendiri...

Di kesempatan ini, saya ingin mengajak kembali, rakan-rakan, adik-adik SYABAB NURUL IMAN sekelian, terutama diri saya sendiri, untuk menguatkan kembali asas gerakan kita, pulang ke Pengkalan, perkukuhkan Pengkalan kita apabila keletihan di Lapangan. Sesungguhnya, kita tidak berseorangan, dan percayalah, jalan ini adalah jalan para nubuwah, jalan para sahabat, jalan tabi’ tabiin, jalan orang-orang soleh terdahulu dari kita. Jalan Dakwah, tidak pernah senang; tidak pernah tanpa mehnah, tribulasi, dan cobaan. Kalau pada hari ini, kita sudah leka, dan lupa, maka, benarlah, iman kita sedang keletihan dan kelesuan. Jalan Dakwah perlukan pengorbanan. Ia adalah satu perjuangan hingga akhir nyawa kita. Mungkin sepanjang kalian bekenalan dengan SYABAB, dan mengikuti usrah kecil dan ringkas bersama saya, saya tidak mampu memberikan Motivasi, Iltizam dan Idealisme yang mampu menyerap ke dalam jiwa kalian, Ampun Maaf dipinta atas kelemahan saya. InsyaAllah, kita sama-sama belajar dalam menjadi Khalifah terbaik di atas muka bumi ini.

Aturkan perjalanan fisabilillah kita dengan kemas dan teratur. Hubungi mana-mana rakan-rakan usrah, dan seterusnya bertanyakan “Apa yang saya boleh bantu?” atau “Apa yang boleh saya sumbangkan?” Teringat pesan guru saya dahulu; Jika saki baki masa kita, kita serahkan untuk perjuangan Islam, maka, hasilnya juga adalah saki baki sahaja. Terkesan atas amanat itu, hingga hari ini, saya masih cuba untuk menambah baik Masa Kualiti (Quality Time) bersama dalam Gerakan Dakwah. Kualiti perbincangan usrah akan ditambah baik dengan persediaan tafsir Hadis dan Tafsir Ayat Quran, serta perkembangan isu semasa yang akan dikupas dengan lebih baik, dan bukan berbincang secara sembrono dan sewenang-wenangnya. Isu-isu picisan boleh juga dibincangkan bergantung kepada mad’u yang memerlukan keringanan dalam tasawwur yang berbeza. Prinsipnya, mudahkan mana yang susah, kerana yang utama dalam Usrah adalah kebersamaan, kemudian, baru keilmuan. Soalnya, bilakah kali terakhir anda berusrah? Kesian dengan jiwa rohani kita, kelaparan apabila kita tidak hidangkan santapan rohani untuk jiwa kita.

Semoga warkah Salam yang telah lama tersimpan dalam rasa kerinduan yang amat dalam, melihat dan berjumpa semula dengan adik-adik dan rakan-rakan SYABAB, terasa masih banyak lagi yang mahu dicoretkan. Mujur juga kita berada dalam zaman siber yang segalanya hanya dihujung jari. Yang jauh, kita dekatkan, Yang dekat, kita Serasi-serasikan. Kita serasikan dalam selimut Ukhuwah Fi Llah.

Salam perkhabaran dari Putrajaya.
Salam Ukhuwah,
Salam sayang,
Salam kasih,

Radin Muhd Imaduddin b Radin Abdul Halim

Rabu, Februari 03, 2010

Gerakan Islam: Menoleh Masa yang Lalu dan Menyoroti Masa Depan (Bahagian 2)






Gerakan Islam: Menoleh Masa yang Lalu dan Menyoroti Masa Depan (Bahagian 2)
Oleh: Dr Siddiq Fadil
Adalah tidak benar dan salah persepsi yang menganggap ABIM sebagai tempat pelarian Melayu yang merasakan kerendahan diri kerana lemah atau gagal menguasai bahasa Inggeris (inferiority complex) – tanggapan yang didakwa dalam tulisan oleh Judith Nagata, Zainah Anwar, Chandra Muzzaffar. Padahal sebahagian yang signifikan pemimpin ABIM adalah berpendidikan aliran Inggeris. Adalah tidak benar ABIM itu jelmaan Melayu yang jati dirinya terhakis. Fenomena kebangkitan Islam di Malaysia adalah fenomena global al sahwah al Islamiah.


Yang membentuk pemikiran para aktivis ABIM bukan tokoh-tokoh racist Melayu, tetapi karya tulisan para pemikir dan pemimpin gerakan Islam seperti Hasan al Banna, Sayyid QutbMuhammad Qutb, Maududiy, an Nadwi, Fathi Yakan, Sa'id Hawwa, Muhammad Natsir, Malik Bennabi, Isma'il R. al Faruqi dan lain-lain lagi.

Daripada kalangan ilmuwan-pemikir tempatan yang turut berperanan membentuk pemikiran para aktivis termasuklah Prof. Sayyid Naquib al Attas. Beliau sangat berjasa dalam pengukuhan idea Islamisasi dan dewesternisasi. Kritiknya terhadap Barat, tamadun dan kesarjanaannya telah meruntuhkan hegemoni pemikiraan Barat di kalangan generasi muda terpelajar. Ini seperti membebaskan minda yang terpenjara. terhadap peranan besar Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu memberikan keyakinan budaya - cultural confidence - dalam perjuangan pendaulatan Islam dan tamadunnya di Malaysia. (peranan Islam yang selama ini diperkecilkan oleh orientalis) Prof Sayyid Hussein al Attas adalah public intellectual yang turut memberikan sumbangan besar dalam membangkitkan kepedulian sosial dan pemikiran kritis. Kritiknya terhadap Dasar Ekonomi Baru dan idea kapitalistik buku Revolusi Mental mendapat perhatian luas di kalangan pimpinan dan warga ABIM.


Inilah tradisi keilmuwan ABIM yang terbuka kepada karya-karya termasuk contohnya penulis Brazil, Paulo Freire yang menulis Pedagogy of the Oppressed, membela kaum tertindas melalui pendidikan. Dalam pembinaan tradisi keilmuannya ABIM bersikap terbuka, sedia memanfaatkan ilmu dari siapa sahaja termasuk dari kalangan bukan Islam. ABIM tidak pernah terikat dengan sesiapa – bacalah dan manfaatkanlah mana-mana – bawa balik ke jamaah dan bersama kita menjadikan madrasah ABIM. Dengan demikian, kekayaan khazanah ilmu dan kepelbagaian, keintelektualannya menjadi lebih kaya dan beragam – membolehkan pencitraan ABIM kepada rakyat – bukan badan da’wah dalam pengertian yang sempit tetapi suatu kekuatan sosial dan agen perubahan sosial – a social and political force to reckon with. Kekayaan dan keragaman intelektual memang sangat perlu untuk pengentalan mesej risalah dan misi perjuangan membina masyarakat yang beragama dan sekaligus rakyat yang cerdas dan berfikiran kritis.


Catatan Kuliah pada Muzakarah Qiyadah 2 WADAH-ABIM-PKPIM 30-31 January 2010

Gerakan Islam: Menoleh Masa yang Lalu dan Menyoroti Masa Depan (bahagian 1)





Gerakan Islam: Menoleh Masa yang Lalu dan Menyoroti Masa Depan
Dr Siddiq Fadil
Catatan Kuliah (Bahagian 1)

Wajar kita menyoroti masa lalu sebelum menyoroti masa depan. Maklumat sejarah masa lalu amat penting seperti kata-kata ‘siapa tak sedar sejarah berkemungkinan besar mengulangi sejarah’. Kesedaran sejarah amat penting dalam konteks da’wah dan dinamika gerakan Islam kita semasa dan bagi eksperimen kita.



1961 Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia PKPIM lahir dengan matlamat yang sederhana – ‘perjuangan kepentingan pelajar-pelajar Islam’. Itulah ungkapan pemimpin-pemimpin masa yang lalu – seperti Dato’ Hanafiah dan Dato' Ishak Tadim.

Menjelang tahun-tahun 70’an – dengan kematangannya – PKPIM menegakkan idealismenya ‘memperjuangkan cita-cita Islamiah’. Ungkapan pusaka – cita-cita Islamiah. Komitmen terhadap cita-cita Islamiah dan aspirasi nasional – menjadi dua serangkai – lambang kesedaran mahasiswa telah berubah daripada perjuangan sederhana kebajikan pelajar.

Pada tahun-tahun 70’an – aktivis PKPIM bertindak sebagai elemen yang sedar daripada masyarakat – conscience of the majority – a catchy phrase, sarat dengan makna dan nilai dan kita adalah pewaris kata dan makna itu. Di antara aksi-aksinya sewaktu yang selalu dinukilkan itu adalah advocacy, penampilanisu semasa dan demonstrasi. Tetapi lebih penting lagi adalah dimensi ilmu dan kebudayaannya yang diperlihatkan melalui program seperti:-

• Kongres Kemajuan Islam Malaysia
• Seminar Peradaban Islam
• Seminar Pendidikan Islam Malaysia 1968 anjuran badan gabungan PKPIM – disitulah diumumkan persetujuan kerajaan tentang penubuhan UKM oleh Menteri Pelajaran, Khir Johari (Khir Johari, Anwar Ibrahim dan Siddiq Fadil berada di atas pentas yang sama)
• Universiti Islam Antarabangsa UIA mempunyai akar sejarah dalam perjuangan PKPIM

Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM adalah pelanjut perjuangan mahasiswa – merupakan jatidiri harakah Islamiah. Badan yang pertama beridentiti gerakan Islam Malaysia ialah ABIM. ABIM bergerak dengan keanggotaan yang merakyat dan nasional – anggota melebar dan meratai seluruh Malaysia dan tidak bersifat lokal. ABIM adalah peloporan fenomena ‘rising tide of Islam’ – kebangkitan Islam – istilah yang memaknai kerana waktu itu belum lagi muncul istilah sahwah. Pertama kali, kata-kata ini lahir daripada perbualan Pak Natsir dan Anwar Ibrahim di Jakarta . ABIM berjaya mempelopori ‘the rising tide of Islam’ di Malaysia.

Faktor-faktor yang membantu kejayaan ABIM menempa namanya:-

1. Kekuatan wadah persediaannya PKPIM
• bukan lahir daripada kekosongan tetapi adalah lonjakan daripada suatu kekuatan dengan pengkaderan dan jaringan (IIFSO, PEMIAT)
• dengan titik tolak yang sangat kuat, ABIM meneruskan apa yang sudah diletakkan dasar oleh PKPIM

2. Ketepatan waktu kemunculan
Faktor timing sangat penting kerana andainya ia lahir pada waktu yang salah barangkali tidak akanmenjadi. Ditakdirkan kelahirannya pada saat yang tepat maka tiada badan lain yang menyambut fenomena kebangkitan Islam. Kemunculan ini membuatkan ABIM sangat terkait dengan fenomena kebangkitan Islam.


3. Karisma pemimpin utamanya
Contohnya Anwar Ibrahim disebut-sebut di mana-mana sebagai a charismatic leader. Sewaktu Ustaz Razali Nawawi mengundur diri daripada jawatan Presiden untuk melanjutkan pengajian, berlaku dialog di antara Ust Fadhil Noor dan Anwar Ibrahim. Anwar dan Ustaz Fadhil saling menolak jawatan tersebut sehingga Ustaz Fadhil mengatakan ‘bukan orang nak dengan aku, depa nak kat hang’. Mereka berkompromi dan Anwar bersetuju dilantik Presiden dan Ustaz Fadhil sebagai Timbalan. Beberapa bulan selepas itu, Anwar ditahan di bawah ISA selama 21 bulan dan Ustaz Fadhil menjadi pemangku Presiden.

4. Kepimpinan Jama’iyy
  • Collective leadership
  • kepimpinan yang berlatar pelbagai pendidikan samada berunsur English, Melayu dan Arab
  • gabungan kesepaduan komplimentari

5. Memanfaatkan kepemudaan dan dinamika keIslaman
Keanggotaannya menjadi aktivis komited dan rela berkorban

6. Kekuatan fikrah/ idea/ gagasan
  • daripada gabungan ilmu yang kuat
  • bukan lawak jenaka sahaja tetapi seloroh pun berdimensikan idea-idea bernas

7. Keberkesanan tarbiyyah ilmiah, rohaniah, harakiyyah
  • kita gubal skima latihan kita sendiri berasaskan rujukan-rujukan dan pelbagai sumber
  • membina kekuatan ilmu, rohani dan harakah

8. Keberkesanan mekanisme/ jentera organisasi
  • well organised, skilled organisers compared to others and well trained since the days of PKPIM
  • setiausaha-setiausaha agong mahir, berkemampuan, kompeten, berencana
  • Keterbukaan dan toleransi
  • Kepelbagaian mazhab dan pemikiran
  • Akomodatif, inclusive of all, bersifat jamahiriyya
  • Toleransi di antara mazhab – Hanafi tiada masalah, aliran Perlis pun tiada masalah
  • Kita pertahankan keterbukaan dan kepelbagaian – asalkan ada alasan saja, dipersilakan tetapi kalau tiada alasan, tidak boleh diterima

Sebagai contoh, seorang tokoh, Pak Imad yang terkenal tegas dengan pandangan fiqhnya tetapi selesa dengan ABIM – Pak Imad pernah menjadi makmum solat subuh tidak membaca qunut tetapi masih mengikuti dan menunggu Imam sebelum sujud.

10. Komitmen yang tinggi terhadap misi amar ma’ruf nahy mungkar
• kepedulian sosial yang sangat tinggi
• pembinaan diri – melalui usrah, tamrin, qiamulayl – maka terbina sikap dan semangat kepedulian sosial


Catatan Kuliah pada Muzakarah Qiyadah 2 WADAH-ABIM-PKPIM 30-31 January 2010

Jumaat, Disember 18, 2009

Tokoh Maal Hijrah 1431H


(I) Yusuf Al-Qaradawi Tokoh Maal Hijrah

Tokoh Pembaharuan Islam masa kini, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009M peringkat Kebangsaan hari ini. Tokoh Maal Hijrah adalah anugerah tahunan Kerajaan Malaysia bagi menghargai sumbangan ilmu, jasa, perkhidmatan dan dakwah.
Ini adalah kali kedua di mana tokoh ulama dari luar Negara diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia. Tokoh luar negera yang menerima anugerah itu sebelum ini ialah Dr. Wahbah Az-Zuhaili.
Yusuf adalah seorang sarjana dan pemikir intelek kontemporari pada abad ini. Di kalangan ’ulama tradisional’ beliau telah dicop sebagai tokoh ’wahabi’ lantaran pemikiran beliau banyak terpengaruh dengan pemikiran Imam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.
Bersempena kedatangan beliau ke Malaysia, beberapa pihak telah mengatur program ceramah yang akan disampaikan oleh tokoh pembaharuan Islam itu. Dr. Yusuf Al-Qaradawi akan berceramah di Putrajaya International Convension Centre (PICC) pada hari Sabtu ini pukul 9 pagi. Manakala disebelah malam beliau dijemput berceramah di Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor selepas solat Maghrib.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>


Seorang lagi tokoh untuk Negeri Selangor;




kenal tak tokoh ini? sila rujuk  di sini.(http://www.mra.my/)
tahniah dari kami, warga ABIM Selangor.

Minggu Du'at 2009 negeri Selangor


Karnival Maal Hijrah 1431 Hijrah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Dan Program Kefahaman Islam
Tarikh : 17 - 20 Disember 2009
Tempat : Perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Penganjur : Masjid SSAAS dan Bahagian Dakwah JAIS

Antara Program Dijalankan :-
Perasmian oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor pada 17 Disember 2009 (malam)
Bacaan Doa Awal Dan AKhir Tahun
Forum Perdana Khas Maal Hijrah
Program Malam Sentuhan Hati
Program Muslimah
Program Halwa Minda
Program Malam Silaturrahim NGO
Program Mesra Keluarga
Pameran oleh agensi kerajaan dan NGO




Semua dijemput hadir bersama keluarga sempena cuti persekolahan ini





YAB Tan Sri Dato Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor melawat tapak pameran; Kelihatan, Booth ABIM Selangor




Gambar kenang-kenangan bersama YAB MB bersama penggerak PEPIAS dan ABIM negeri Selangor.

Sabtu, Disember 05, 2009

Usrah ala Naruto

Usrah Naruto...


Salam Ceria,


Bila bercakap tentang usrah tergambarlah sekelompok manusia yang sedang bertalaqi ilmu dan mendengar tazkirah di masjid atau surau. Yang pasti diketuai oleh seorang fasi atau naqib atau naqibah. Dipanggil...`THE POWER OF CIRCLE`..hehe.


Pelbagai tafsiran dan cakap-cakap bermain difikiran mereka yang tidak pernah menyertai usrah. Bagi yang pernah bersekolah agama mungkin anda mengenalinya. Hari soal bicara saya adalah berkaitan dengan USRAH. Tapi bukan usrah biasa.....usrah yang saya idam-idamkan selama ini....USRAH NARUTO!


Apakah itu?


“Sistem usrah ini umpama kumpulan-kumpulan ninja dalam cerita Naruto.” Saya menyeluruhi semua wajah ahli usrah.


Semua anak-anak usrah saya juga merupakan naqib yang bermaksud ketua usrah dalam sekolah tersebut. Saya menerima tanggungjawab untuk membawa usrah bagi sekumpulan naqib di salah sebuah sekolah berasrama harian di Gombak.




Objektif yang ingin dicapai oleh saya adalah supaya mereka semua boleh membawa usrah sendiri dengan baik. Zaman sekolah dulu tidak pernah saya pegang tanggungjawab sebegitu.


Hehe. Naruto lagi,” balas Faiz.


“Kamu semua pun tengok, kan?”


Saya menyambung, “Siapa yang hendak usrahnya jadi serius sikit-sikit, boleh ikut stail pakcik Asuma. Kalau hendak yang ceria sikit boleh ikut stail pakcik Kakashi dan pakcik Gai.”


“Lagi… lagi…”


Menetapkan matlamat dalam berusrah




“Apabila kita berhadapan dengan anak usrah, anggap mereka seperti ninja-ninja yang kita ingin latih. Tentukan apa matlamat yang ingin kita capaidalam setiap sesi latihan tersebut.”


“Maksud abang Azree?” soal Imran.


“Maksudnya setiap sesi latihan kita perlu ada matlamat apa yang perlu kita sebagai naqib ingin capai. Itu matlmat jangka pendek dan kita juga perlu ada matlamat jangka panjang apa yang kita ingin capai dalam usrah tersebut.


Sebagai contoh, matlamat jangka panjang abang dalam usrah dengan kamu semua selama setahun ini adalah ingin membimbing kamu semua supaya menjadi pelajar contoh di sekolah. Bukan setakat baik dalam sahsiah, tetapi juga baik dari segi pemikiran. Cuma jangan baca komik Naruto banyak sangat sudah,” terang saya sambil disambut gelak.




“Matlamat jangka pendek pula, dalam satu sesi usrah kamu itu, apa topik yang kita ingin anak-anak usrah kita faham. Sebagai contoh, minggu ini kita bincang tentang topik akhlak. Jadi, matlamat kita selepas berakhirnya sesi usrah tersebut adalah anak-anak usrah kita faham tentang topik tersebut.”

Malam semakin gelap. Saya berkira-kira dalam hati untuk pulang lebih awal pada malam tersebut. Pertama kerana masih belum makan malam sedangkan perut mula memulas. Kedua kerana jarak rumah yang agak jauh daripada sekolah tersebut.


“Ada ciri-ciri lain lagi dalam sistem usrah versi Naruto ini?” soal Faiz lagi yang memang menggemari Naruto.


Mengambil tahu perkembangan ahli usrah


“Yup. Ada lagi. Siapa naqib pertama Naruto?”


“Erm. Iruka!”


“Apa yang Iruka buat apabila dia hendak menyerahkan Naruto kepada Kakashi?”


“Erm. Macam tak buat apa-apa pun. Cuma kadang-kadang Iruka akan bertanya Kakashi tentang perkembangan Naruto,” jawab Nasir yang sedari tadi hanya angguk-angguk dan senyum-senyum sahaja.


“Sebenarnya apabila Iruka hendak menyerahkan Naruto kepada Kakashi, Iruka telah memberi semua maklumat berkaitan Naruto kepada Kakashi seperti tingkah laku Naruto dan juga perkara yang perlu diambil tindakan oleh Kakashi seterusnya.


Kemudian Iruka akan tetap mengikuti perkembangan Naruto walaupun Naruto bukan lagi di bawah tanggungjawabnya. Begitu juga apabila Kakashi menyerahkan Naruto kepada Datuk Jiraiya. Dia juga akan menjelaskan apa yang perlu dan mengambil tahu tentang perkembangan Naruto,” jelas saya yang sudah lama tidak menggunakan cerita Naruto sebagai analogi dalam setiap isu yang ingin diutarakan.





Kadang-kadang sengaja saya memasukkan analogi-analogi berunsur kekartunan sedikit. Sedikit sebanyak dapat mengimbangi suasana antara ceria dan serius.


“Oh, begitu. Faham.”


“Jadi, kamu semua apabila sudah habis SPM, keluar daripada sekolah ini jangan pula lupa kepada ahli-ahli usrah yang pernah menjadi tanggungjawab kamu semua. Kerana itu abang lebih suka menetapkan matlamat dalam usrah supaya setiap ahli usrah abang akan boleh bawa usrah lain pula. Jadi, perkara ini akan berterusan.”


“Ciri-ciri yang lain lagi?”


“Eh, asyik abang saja yang bagi. Cuba kamu semua pula bagi.”


Keistimewaan pada naqib


Semua pandang-memandang sesama sendiri. Faiz memandang ke syiling. Mungkin sedang cuba mengingat sesuatu.



“Mungkin boleh juga dikaji kenapa usrah si Naruto, Sakura dan Sasuke ini ceria. Sedangkan kita juga tahu yang perangai Naruto dengan Sasuke cukup berbeza. Naruto dengan perangai main-main dia, Sasuke pula lebih serius. Jadi, bagaimana pakcik Kakashi ini boleh mengawal ahli-ahli usrah dia dengan baik?” Faiz cuba mengemukakan pandangan. Saya sendiri berkerut dahi sambil wajah cuba mengukir senyum.


“Hurm. Menarik untuk dibincangkan. Bagaimana kita sebagai naqib boleh mengawal ahli-ahli usrah yang pelbagai ragam? Kamu ada idea, Faiz?” saya cuba mencelah sambil memikirkan mengenainya.





“Saya tidak ada jawapan lagi tentang persoalan ini. Cuma mungkin ini terletak kepada setiap ahli usrah untuk memberi komitmen terhadap usrah mereka,” jawab Faiz.


Suasana perbincangan menjadi hangat. Saya merenung wajah setiap ahli usrah. Menanti sama ada mereka masih ada idea untuk dilontarkan.


“Mungkin juga sebab ada sesuatu ilmu daripada Kakashi yang ingin dipelajari oleh Sasuke. Pada awalnya kan Kakashi ini merupakan seorang yang penuh teka-teki. Teka-teki bagaimana dia ada mata Sharingan, sama seperti Sasuke. Mungkin itu yang menjadi daya penarik bagi Sasuke untuk memberi komitmen kepada kumpulan ‘usrah’ tersebut.” Imran melontarkan pandangannya.

“Betul… betul… betul… Setiap orang sebenarnya ada keistimewaan masing-masing. Cuma kita rasa rendah diri apa keistimewaan kita. Jadi, apabila kita menjadi naqib, sebenarnya ilmu atau keistimewaan kita itulah yang menjadi daya penarik kepada ahli usrah kita,” saya cuba menjawab apa yang termampu.


Sumber : http://studiomuslim.com/dakwah/usrah-dan-naruto/

Sabtu, November 28, 2009

Perutusan Aidil Adha

Bismillahirrahmanirrahim

Nabi Ibrahim bukan sekadar diteladani pengorbanannya, malah baginda sangat pintar dalam mencari dan mengenali Tuhannya dengan Borhan (Hujah yang kuat). Baginda tidak taklid buta tetapi mencari dalil melalui pemerhatian dan penelitian. Lihat sahaja dialog baginda dengan patung berhala dan ketika melihat bulan, bintang dan matahari dalam perjalanan mencari tuhannya.

Dari ilma yaqin (ilmu yang meyakinkan), barulah tumbuh berani dan iltizam untuk berkorban. Sebab kita faham dan yakin seolah-olah nampak syurga neraka. Kita yakin Allah sentiasa mengawasi kita. Maka sesudah itu, adakah lagi ruang untuk tidak berkorban?

Sempena Eid-Adha ini, saya menyeru seluruh ahli agar:-
1) kembali mempertaut hati yang jauh,
2) merapatkan hati yang dekat, dan
3) memesrakan hati yang telah bersatu.

Saya dan saf pimpinan pusat memohon ampun atas segala kesalahan yang berpunca dari kelemahan.

Adapun teguran yang haq (benar) tidaklah saya mohon ampun darinya. Qulil Haq walau Kana Murran. (Berkata benarlah walaupun pahit)

4) Marilah bersatu. Asas kita adalah ukhwah dan tarbiah (kefahaman).
5) Marilah sesali kelemahan lalu dan memperbaharu tekad dan iltizam.
6) Tegurlah, Nasihatlah baik pengikut terhadap pemimpin ataupun sebaliknya.
7) Jangan sesiapun memandang usaha ini dengan pesimis dan mentafsirnya dengan tafsiran yang prejudis. Pandang saja dengan pandangan yang murni.
8) Jangan ada tafsiran kedua yang melekehkan.

Kesimpulan dan tindakan:-

Mari bersama berazam mengamalkan perkara ini:

1. Menjaga hubungan dengan Allah dengan menjaga terutamanya amalan wajib.
2. Belajar memaafkan orang sebelum tidur.
3. Jangan cepat melatah dengan berita-berita yang sampai dan dapatkan penjelasan dari mereka yang terbabit.
4. Bayangkan wajah mereka yang bermasalah dengan kita ketika membaca doa rabitah.
5. Telefon selalu Ibu Bapa untuk mendapat keberkatan.


Sekian.

Mohd Zulhelmi Abdullah
Presiden,
PEPIAS.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Kupasan yang kemas dan bermakna. Tidak sahaja untuk PEPIAS, malah untuk sekelian umat yang berada dalam organisasi. Well said!
2) Fikrah menulis dan menyusun semula teks ucapan di atas agar ia dapat dibaca secara poin yang tersusun dan perhatikan betul-betul, 8 perkara yang saudara Zul tekankan. Salute!

Ahad, November 01, 2009

Pemimpin Munafik, pengikut Fasik

Apa lagi yang diharap dari pemimpin yang berpura-pura? Tidak pernah bermujahadah memperbaiki diri dan menjadi contoh kepada pengikut. Lebih mementingkan air muka dan reputasi berbanding memimpin pengikut supaya beragama. Zahirnya nampak baik, komited dan hebat. Dia melazimi usrah dan selalu memberikan pendapat dalam perbincangan. Tidak pernah terlepas melibatkan diri dalam semua aktiviti. Ini seperti firman Allah:

"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih)...." Al-Munafikun:4

Malangnya kita sendiri terlalu pantas mulutnya berbanding perbuatan dan lebih malang lagi kita tidak bersungguh-sungguh mengislahkan diri. Kelak Allah akan menyoal kita seperti firmannya:

"Wahai orang beriman, kenapa tidak kamu perbuat apa yang kamu katakan? Sungguh besar kemurkaan Allah kepada mereka yang berkata tetapi tidak beramal dengannya." As-Shaff: 2

Kita merasakan amaran Allah didalam Al-Quran hanyalah terkena pada orang lain dan bukan diri kita. Beria-ia merancang program untuk masyarakat, tetapi diri sendiri bagaimana? Segala salah orang kita perhati tetapi salah sendiri tidak pernah disedari. Jadilah seperti pepatah dahulu:

"kuman seberang laut kita nampak, Gajah depan mata kita tak perasan"

Memilih pemimpin mesti yang amanah. Bukan yang bersikap talam 2 muka, dihadapan orang kelihatan taat, bila bersendiri membelakangkan Allah dengan biadap.

"(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah)." Al-Munafikun: 3

Amanah pemimpin ialah menjadi Uswah kepada pengikutnya. Kajian menunjukkan, hanya 20% nasihat yang dituturkan oleh pemimpin memberi kesan kepada kepada pengikutnya. Baki 80% lagi adalah melalui perbuatan pemimpin tersebut.

Rasullullah sebagai ketua umat Islam merupakan contoh kepada umatnya. Kerana itu terbentuk generasi sahabat yang paling hebat pada zaman baginda.

“Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu adalah teladan yang baik bagimu, (yakni) bagi orang yang mengharap (Rahmat) Allah dan (keselamatan) di hari akhirat dan yang banyak mengingati Allah.” Al-Ahzab: 21

Kalau kita benar-benar ingin melihat Islam tinggi, tidak ada pilihan, kita mesti berubah. Jika pemimpin tidak boleh menjadi contoh, pengikut akan hanyut dan merasakan perbuatan pemimpin yang serba lalai itu sebagai tidak salah. Berterusanlah mereka menjadi orang yang fasik (berterusan berbuat dosa) kerana beramal mengikut penilaian mereka terhadap pemimpin.

Untuk senior dan pimpinan, jadilah contoh. Saya lalai dan pasrah dgn kefasikan diri. Mohon jangan berlakon lagi. Pilihlah pemimpin yang takutkan Allah.

Rabu, Oktober 07, 2009

ABIM Selangor pula menghantar Memo



Tuan Haji Nik Mohd Yusop , Timbalan Pengerusi WADAH Negeri Selangor (2 dari kanan) serta Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni , Yang Di Pertua ABIM Selangor (kiri sekali) sambil diperhatikan oleh Saudara Khairuddin Abas, SUA ABIM Negeri Selangor


Sdr Razman Razali wakil PEPIAS, Sdr Zamani Mohd Karulani , YDP ABIM Daerah Gombak dan Hjh Hazlina Abd Razak, Mantan Ketua HELWA turut kelihatan.



Tepat jam 415 petang Isnin 5 Oktober 2009 di Tingkat 7 Menara Selatan Bangunan Sultan Idris Shah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor, Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH) Negeri Selangor dan Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) menyerahkan memorandum bantahan terhadap kenyataan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan WAO serta konco-konco mereka melaui memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 OGOS 2009 telah mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk “Justice for Kartika”).

Memorandum diserahkan kepada wakil pengarah JAIS, Utz. Hj. Ahmad Zaki @Ahmad Jakai B. Arshad, (Ketua Penolong Pengarah (Dakwah). Memorandum di serahkan oleh Tuan Haji Nik Mohd Yusop , Timbalan Pengerusi WADAH Negeri Selangor serta Ustaz Mohd Zawawi , Ahmad Mughni , Yang Di Pertua ABIM Selangor dan Sdr Razman Razali wakil PEPIAS. Turut serta ialah Sdr Khairudin Abas , Setiausaha ABIM Negeri Selangor, Sdr Zamani Mohd Karulani , YDP ABIM Daerah Gombak dan Hjh Hazlina Abd Razak, Mantan Ketua HELWA.

Tuntutan biadap ini telah diulangi lagi sebagaimana yang tersiar dalam The Star hari 1 Oktober 2009, Ivy Josiah, Pengarah Esksekutif WAO berkata –
“We urge the Federal and State governments to conduct comprehensive review of all laws pertaining to Syariah criminal offences with a view to repeal such laws.

Memorandum sebegini juga pernah dikemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh lebih 300 individu dan NGO termasuk Menteri-Menteri Kabinet dan ahli politik beragama Islam yang sedang berkhidmat supaya kawalan moral melalui penguatkuasaan undang-undang Syariah dihapuskan.

Bagi ABIM Selangor, Wadah Selangor dan PEPIAS ini perbuatan ini:-
1. Menghina kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan agama Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu (sebagaimana termaktub dalam Kanun Undang-Undang Negeri-Negeri Melayu).
2.Ia juga menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri,
3.Bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan dan
4.Menghina hukum Syarak yang sedang berkuatkuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri, serta
5.Mengguris perasaan dan sensitivity beragama umat Islam.