Rabu, September 30, 2009

Penggunaan kata 'Cik' dan 'Cikgi'

Menurut Za`ba (1941), cik ialah ringkasan daripada encik. Penggunaannya pula hendaklah bersekali dengan nama orang. Contohnya, Cik Ali dan Cik Halimah. Menurut Za`ba lagi, cik boleh digunakan dalam komunikasi lisan atau tulisan tetapi tidak boleh digunakan tanpa diikuti oleh nama orang.

Ada tiga perkara menarik dalam penjelasan Za`ba. Yang pertamacik digunakan untuk lelaki dan wanita. Yang kedua, Za`ba tidak mengehadkan penggunaan kata ganti nama cik untuk wanita yang sudah berkahwin. Yang ketiga, cik tidak boleh berdiri sendiri seperti dalam ungkapan/ayat "surat *cik sudah kami terima", "janganlah *cik susah hati" dan "*cik-cik dan tuan-tuan".

Profesor Emeritus Dr. Asmah Haji Omar sependapat dengan Za`ba. Dalam Ensiklopedia Bahasa Melayu (2008), beliau menyatakan,cik ialah "bentuk lemah" atau kependekan bagi encik. Menurutnya, sebelum tahun 1960-an encik dan cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan. Cara menyapa hadirin ialah "encik-encik dan tuan-tuan", tanpa membezakan lelaki dengan perempuan. Profesor Asmah juga menyatakan, kata ganti nama cik boleh digunakan untuk lelaki dalam perbualan tidak formal.

Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) juga menyatakan cik ialah singkatan bagi encik yang biasanya digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkah win. Menurut KDEK lagi, cikdigunakan juga sewaktu bercakap dengan perempuan atau lelakiyang tidak begitu dikenali.

Pada suatu masa, ketua saya ialah wanita. Dia intim dengan semua pegawainya. Dia menyapa hampir semua pegawai lelaki dengan kata sapaan cik. Dia menggunakan kata sapaan ini dalam konteks lisan yang tidak rasmi dan dalam beberapa situasi rasmi. Kami tetap berasa selesa dengan sapaannya itu. Hal ini bererti ungkapan "yang tidak begitu dikenali" dalam KDEK berubah dalam keadaan yang kami hadapi.

Perbincangan ini menunjukkan bahawa penggunaan kata ganti nama cik untuk lelaki pernah berlaku dan boleh diteruskan dalam komunikasi lisan yang tidak formal. Walau bagaimanapun, eloklah kita berhati-hati apabila menggunakannya. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat kini menganggap ungkapan itu janggal, malah mungkin dikatakan bertujuan untuk memperli seseorang.

Cikgu
Ada satu perkataan popular yang berkaitan dengan perkara ini. Perkataan itu ialah cikgu. Perkataan cikgu berasal daripada encik guru atau cik guru. Profesor Asmah menyatakan bahawa kata cikgu neutral dari segi gender. Maksudnya, kata cikgu boleh digunakan untuk lelaki dan wanita.

Bolehkah kita menggunakan perkataan "cikgi" untuk guru wanita? Jawapannya, tidak. Bahasa kita sudah menerima kata sapaan cikgu untuk guru lelaki dan wanita. Percubaan kita untuk membina kata "cikgi" tidak berasaskan apa-apa peraturan yang terdapat dalam bahasa Melayu. Jadi, perlakuan kita menggunakan kata "cikgi" jelas janggal, bahkan dapat dianggap sebagai mencemarkan bahasa Melayu atau bertujuan untuk mempersenda seseorang.

Seperkara lagi, KDEK menyatakan cik biasanya digunakan sebelum nama perempuan yang belum berkah win. Profesor Asmah sependapat dengan KDEK. Beliau mengatakan hal ini ialah ciri baharu dalam bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, dalam banyak keadaan, kita tidak mampu memastikan sama ada seseorang wanita itu sudah berkahwin atau belum. Apabila keadaan ini kita hadapi, kita boleh menggunakan kata sapaan puan. Hal ini sesuai dengan pendirian pihak Khidmat Nasihat Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyatakan bahawa gelaran puan boleh digunakan tanpa mengira seseorang itu sudah berkahwin atau belum.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>.

Fikrah:-
1) Banyak sekali rupanya, yang kita tidak ketahui...
2) Bahasa Melayu yang indah, dan punya daya intelektualiti yang tinggi, jarang sekali dihargai dan sering kali pula diambil ringan penggunaannya... Kesian...

Tiada ulasan: