Selasa, Julai 17, 2012

KENYATAAN ABIM berkaitan BAHASA MELAYU

Demi Memelihara Perpaduan Nasional, Jadikan Sebahagian Dari Rukun Negara

14 Julai 2012:- ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) merujuk kepada sepuluh tuntutan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan beberapa pertubuhan lain berkaitan pendidikan yang dilaporkan bakal diserahkan kepada Y.A.B Perdana Menteri hujung bulan ini.

Menilai setiap tuntutan yang dikemukakan ini, ia seakan-akan menzahirkan keinginan pihak berkenaan untuk mengasingkan kelompok tertentu dari aliran pendidikan kebangsaan yang turut mengetepikan peranan serta fungsi Bahasa Kebangsaan di samping tidak masuk akal.

Ini disenaraikan di antara tuntutan yang dinyatakan yang antara lain turut berbunyi, ”membuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai guru boleh berbahasa Mandarin yang diperlukan di sekolah-sekolah Cina”.

Dalam hal, ABIM ingin menimbulkan persoalan, mengapa tidak dibuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai pelajar SJKC boleh berbahasa Melayu?
Menurut kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam Seminar Sehari Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) sebelum ini, 44.8% remaja Cina tidak suka belajar bahasa Melayu.

Selain daripada itu, kajian tersebut juga mendapati bahawa 72.1% remaja Cina merasakan bahasa Melayu tidak penting, diikuti oleh Kadazan (40%) dan India (37%).

Dari kajian ini, ia jelas menunjukkan betapa perlunya satu silibus baru yang bersesuaian dirangka, memandangkan nilai dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan tertinggi dalam negara masih gagal dihayati dan difahami para pelajar.

ABIM juga melihat beberapa tuntutan lain termasuk untuk menyokong penubuhan Sekolah Cina Persendirian dikhuatiri akan memisahkan para pelajar dari aliran kebangsaan seandainya ia ditubuhkan di peringkat sekolah menengah yang menyebabkan perpaduan rakyat gagal dicapai.

Ini termasuk tuntutan untuk mendokong serta memperkasakan beberapa Institut Pengajian Tinggi yang dilihat meletakkan negara luar sebagai rujukan dasar dan aliran.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM turut merasakan sudah tiba masanya untuk kita memasukkan elemen kedaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu prinsip dalam Rukun Negara untuk memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara.

Justeru, setiap tuntutan yang ingin dikemukakan oleh mana-mana pihak terutama sekali yang menyentuh fundamental asas sistem pendidikan sesebuah negara, harus meletakkan objektif untuk mempererat perpaduan kaum serta membina sebuah masyarakat yang memahami dan menjiwai semangat kebangsaan Malaysia selaku matlamat utama.

Amidi Abdul Manan
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan: