Isnin, Julai 09, 2012

Perihal Masa Depan Pendidikan Negara : Konteks Keguruan


Malaysia perlu menaik taraf kependidikan di malaysia dengan mengiktiraf dan menghargai modal insan yang berpengetahuan sedia ada untuk menjadi pendidik di sekolah-sekolah kebangsaan setanding dengan negara-negara maju. Negara-negara maju terutama yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia seperti Finland, Singapura, atau Taiwan, telah meletakkan syarat asas untuk menjadi guru dengan mempunyai kelayakkan sekurang-kurangnya ijazah sarjana. Malahan, bagi mereka yang mempunyai ijazah doktor falsafah, diletakkan untuk mendidik kanak-kanak di peringkat pra-sekolah. Malah, kerjaya keguruan menjadi idaman dan cita-cita utama anak-anak kecil di sana.
Dalam SBPA dan kini SSM Yang Ditambah Baik, skim yang ditawarkan dalam perkhidmatan awam dalam sektor pendidikan, bermula dari lepasan PMR, sehingga ijazah pertama sahaja. Ini bermakna, sekiranya seorang guru di sekolah mempunyai ijazah yang melebihi ijazah pertama, gred gaji yang diterima adalah sama, tidak mendapat apa-apa kenaikan tangga gaji atau apa-apa kelebihan dari aspek senioriti atau kekananan. Ini sangat ironik kerana dalam sektor pendidikanlah sewajibnya meletakkan standard yang tinggi untuk pendidik dan pada masa yang sama menyediakan dan mengiktiraf peluang kenaikan pangkat berasaskan kesarjanaan yang sudah pastinya berlandaskan faktor keilmuan. Adalah lebih wajar untuk mempertimbangkan skim yang bermula daripada lepasan STPM / Diploma sehinggalah kepada Ijazah doktor falsafah. Lantaran itu, apalah kiranya cadangan untuk diberikan insentif kenaikan tangga gaji tertentu, 4 hingga 8 tahun untuk pemegang ijazah sarjana atau permulaan DG48, dan kenaikan 8 hingga 12 tahun untuk pemegang ijazah doktor falsafah atau permulaan DG52. Alternatif lain mungkin ada laluan kerjaya lain yang boleh difikirkan. 
Di negara maju, kesarjanaan yang tertinggi seorang guru akan ditempatkan untuk mendidik murid pra-sekolah dengan alasan untuk memberikan asas (foundation) yang kukuh sebelum memasuki pendidikan perdana. Pengistilahan ‘perdana’ di sini dinisbahkan kepada peringkat ‘sekolah rendah kebangsaaan’ bagi penggunaan biasa di Malaysia. Istilah ini menjadi satu lagi ironi dalam pendidikan kebangsaan. Bagaimana ‘primary school’ apabila diterjemahkan menjadi ‘sekolah rendah’? Daripada aspek falsafahnya, bukankah terdapat perbezaan bumi-dan-langit antara nilai ‘perdana’ dan ‘rendah’?

Artikel ditulis untuk dihantar kepada myedureview.com
Dihantar pada 10:13 pagi, 9 Julai 2012

Tiada ulasan: