Memaparkan catatan dengan label ABIM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ABIM. Papar semua catatan

Selasa, Julai 17, 2012

KENYATAAN ABIM berkaitan BAHASA MELAYU

Demi Memelihara Perpaduan Nasional, Jadikan Sebahagian Dari Rukun Negara

14 Julai 2012:- ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) merujuk kepada sepuluh tuntutan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan beberapa pertubuhan lain berkaitan pendidikan yang dilaporkan bakal diserahkan kepada Y.A.B Perdana Menteri hujung bulan ini.

Menilai setiap tuntutan yang dikemukakan ini, ia seakan-akan menzahirkan keinginan pihak berkenaan untuk mengasingkan kelompok tertentu dari aliran pendidikan kebangsaan yang turut mengetepikan peranan serta fungsi Bahasa Kebangsaan di samping tidak masuk akal.

Ini disenaraikan di antara tuntutan yang dinyatakan yang antara lain turut berbunyi, ”membuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai guru boleh berbahasa Mandarin yang diperlukan di sekolah-sekolah Cina”.

Dalam hal, ABIM ingin menimbulkan persoalan, mengapa tidak dibuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai pelajar SJKC boleh berbahasa Melayu?
Menurut kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam Seminar Sehari Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) sebelum ini, 44.8% remaja Cina tidak suka belajar bahasa Melayu.

Selain daripada itu, kajian tersebut juga mendapati bahawa 72.1% remaja Cina merasakan bahasa Melayu tidak penting, diikuti oleh Kadazan (40%) dan India (37%).

Dari kajian ini, ia jelas menunjukkan betapa perlunya satu silibus baru yang bersesuaian dirangka, memandangkan nilai dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan tertinggi dalam negara masih gagal dihayati dan difahami para pelajar.

ABIM juga melihat beberapa tuntutan lain termasuk untuk menyokong penubuhan Sekolah Cina Persendirian dikhuatiri akan memisahkan para pelajar dari aliran kebangsaan seandainya ia ditubuhkan di peringkat sekolah menengah yang menyebabkan perpaduan rakyat gagal dicapai.

Ini termasuk tuntutan untuk mendokong serta memperkasakan beberapa Institut Pengajian Tinggi yang dilihat meletakkan negara luar sebagai rujukan dasar dan aliran.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM turut merasakan sudah tiba masanya untuk kita memasukkan elemen kedaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu prinsip dalam Rukun Negara untuk memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara.

Justeru, setiap tuntutan yang ingin dikemukakan oleh mana-mana pihak terutama sekali yang menyentuh fundamental asas sistem pendidikan sesebuah negara, harus meletakkan objektif untuk mempererat perpaduan kaum serta membina sebuah masyarakat yang memahami dan menjiwai semangat kebangsaan Malaysia selaku matlamat utama.

Amidi Abdul Manan
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Jumaat, Mei 04, 2012

Apa agenda sebenar BERSIH 3.0?

Apa Agenda Sebenar BERSIH 3.0?

Masihkah kita ingat akan tragedi Misi Kemanusiaan Mavi Marmara yang mengocak sensitiviti umat Islam sedunia? Saya berpandangan di kalangan kita pun sedia maklum bahawa misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin di bawah payung “Mavi Marmara” turut dipimpin oleh tokoh Mairead Maguire yang merupakan pemenang Anugerah Nobel 1976. Jika kita imbau latar belakang beliau, beliau merupakan tokoh katholik Kristian yang aktif sebagai sukarelawan Legion of Mary yang mengetengahkan agenda Kristian ke seluruh dunia.

Dalam masa yang sama juga, beliau juga merupakan co-founder kepada Committee on the Administration of Justice yang ditubuhkan pada tahun 1981 yang secara teang-terang membawa perjuangan hak asasi manusia secara mutlak sepertimana yang terkandung dalam Universal Declaration of Human Rights (UDHR) (termasuk LGBT).  Berdasarkan kepada fakta di atas, adakah wajar untuk kita mendakwa bahawa perjuangan “Mavi Marmara” itu adalah agenda Kristianisasi dan LGBT hanya disebabkan penglibatan seorang tokoh yang bernama Mairead Maguire.  Sekiranya latar belakang beliau menjadi ukuran besar sehingga boleh mencemarkan agenda “Mavi Marmara”, mengapakah pihak kerajaan Turki termasuk Humanitarian Relief Foundation (IHH) tidak menyekat beliau dari terlibat langsung dalam misi kemanusiaan ini?

Susulan dari tiga siri demonstrasi menuntut Pilihanraya yang bersih dan adil yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya yang bersih dan adil (BERSIH), saya amat terkilan dengan kewujudan dakwaan dangkal pihak yang tidak bertanggungjawab yang menanggapi sokongan NGO-NGO Islam terhadap BERSIH sama seperti menyokong agenda songsang Lesbian, Gay, Bisexual, and Transgender (LGBT) dan murtad.


Kenyataan jahat ini seakan-akan menggambarkan kegagalan pihak mereka untuk berfikir secara rasional, serta kedangkalan dalam membezakan kepentingan menuntut pengendalian tatacara pilihanraya yang telus serta tidak diragui integritinya dengan sokongan ke atas agenda-agenda yang dikaitkan dengan Dato’ Ambiga Srevanisan seperti LGBT dan Murtad.

Berdasarkan rekod perjuangan membawa agenda Islamisasi umat, saya berkeyakinan besar bahawa NGO Islam yang menyokong BERSIH seperti ABIM dan IKRAM sama sekali tidak bertoleransi terhadap sebarang usaha untuk mengarus perdanakan budaya songsang LGBT dalam kehidupan rakyat Malaysia.  Sebaliknya, usaha ini telah dibantah keras oleh NGO Islam. Sebagai contoh menerusi permuafakatan NGO Islam atau Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), ABIM turut terlibat dalam membuat laporan polis pada November 2011 di Balai Polis Pantai Bharu yang mengecam penganjuran Festival Seksualiti Merdeka 2011 yang dilihat cuba untuk membawa budaya songsang seperti LGBT secara terang-terangan. ABIM juga sepanjang zaman tetap konsisten dengan perjuangan menentang secara keras segala usaha untuk mencemarkan pegangan akidah umat Islam tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik mana-mana pihak.


Tindakan menyamakan sokongan terhadap isu pokok iaitu menuntut Pilihanraya yang bersih dengan sokongan terhadap agenda Kristianisasi yang hanya bersandarkan kepada latar belakang individu yang bernama Dato Ambiga yang secara kebetulan dikatakan mirip dengan LGBT dan pemurtadan adalah sesuatu yang di luar logik fikiran. Cuba bayangkan sekiranya perjuangan BERSIH ini dipimpin oleh  tokoh Ulama terkemuka dalam negara, adakah kelompok bukan Islam yang menyokong isu pokok yang dibawa BERSIH ini boleh dikatakan telah memeluk agama Islam atau menjadi kuda tunggangan kepada agenda Islamisasi?


Dalam pada itu, saya tertarik untuk berkongsi pendirian yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung Komenwel Kamalesh Sharma dalam satu laporan pada Julai 2011 ketika lawatannya ke Australia yang dengan keras menentang diskriminasi yang dilakukan terhadap kumpulan gay atau lesbian. Beliau selanjutnya menyebut “vilification and targeting on grounds of sexual orientation are at odds with the values of the Commonwealth”.


Sebagai salah sebuah negara Komenwel, adakah wajar kita menyamakan tindakan pemimpin negara yang secara konsisten mempertahankan keanggotaan Malaysia dalam Komenwel sebagai kelompok yang memperjuangkan LGBT hanya beralaskan kepada kenyataan yang dikeluarkan Kamalesh Sharma?


ANALOGI


Mungkin untuk lebih mudah difahami, saya ingin kemukakan kepada pembaca satu analogi paling mudah. Cuba bayangkan satu senario kita berada dalam sebuah pasaraya. Sewaktu kita berbaris untuk membuat bayaran, tiba-tiba timbul kekecohan bahawa berlaku penipuan yang dilakukan di pihak pasaraya iaitu harga barang yang didaftarkan di mesin “cashier” tidak sama dengan harga barang yang ditandakan pada tag harga.

Secara kebetulan kekecohan tersebut telah ditimbulkan oleh seorang tokoh Kristian yang terkenal dengan perjuangan Kristianisasi disebabkan beliau satu-satunya pihak yang dapat mengesan penipuan tersebut dan mempunyai akses maklumat yang lengkap berbanding pembeli lain kerana kepakaran yang dimiliki. Maka, tokoh tersebut mendesak pihak atasan dan pengurusan pasaraya tersebut untuk membuat siasatan dan meminta satu penjelasan yang jelas diberikan.


Insiden tersebut telah menyebabkan pembeli terbahagi kepada tiga kelompok.


Kelompok pertama adalah mereka yang tidak mahu penipuan dan penganiyaan dilakukan oleh pihak pengurusan pasaraya terhadap mereka. Maka kelompok ini tanpa memikirkan latar belakang tokoh Kristian tersebut telah turut bersama membuat aduan dan menuntut penjelasan yang jelas dari pihak atasan dan pengurusan pasaraya. Kelompok ini turut mengambil pertimbangan waras dan berfikiran jauh sekiranya tindakan tidak diambil kemungkinan besar saudara-mara, atau rakan-rakan mereka juga akan menjadi mangsa penipuan di suatu masa nanti.


Kelompok yang kedua pula ialah kelompok yang meninggalkan barang yang ingin dibeli dan kemudian beredar dari pasar raya tanpa membuat apa-apa. Ini adalah kelompok yang pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab dengan membiarkan penipuan tersebut berlaku. Kelompok ini juga tidak berfikir panjang bahawa kemungkinan penipuan sebegini juga akan berlaku ke atas kaum kerabat serta teman-teman mereka yang akan membeli belah di pasaraya tersebut.


Kelompok ketiga adalah kelompok yang tidak memberi sebarang inisiatif untuk selesaikan masalah yang timbul dengan menuntut kebenaran dan keadilan, sebaliknya mengecam kelompok pertama kerana bersekongkol dengan tokoh Kristian tersebut yang mendesak penipuan itu disiasat dan dihentikan atas sebab secara kebetulan latar belakang tokoh Kristian tersebut. Kelompok ini juga telah menasihati pembeli lain bahawa aduan dan gesaan yang dilakukan tidak perlu sebaliknya menyarankan kepada pembeli untuk menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pihak atasan dan pengurusan pasaraya. Kelompok ini juga menyatakan bahawa “yang penting kita sebagai pembeli perlu menunaikan kewajipan dengan membuat bayaran sekiranya mahu memiliki barang yang dibeli tanpa perlu menyiasat sebarang keraguan, penyelewengan dan penipuan yang berlaku”.


Berdasarkan pertimbangan akal yang waras dan rasional, serta fitrah manusiawi yang sentiasa mencintai kebenaran dan menyayangi keadilan, kelompok manakah yang akan dipilih oleh kita ketika mana kita berada dalam situasi di atas?

Sudah tentu kita tidak akan memilih untuk berada dalam kelompok yang ketiga melainkan disebabkan tiga faktor utama. Faktor pertama adalah disebabkan kedangkalan serta kebodohan mereka sendiri  khususnya dalam membuat keputusan. Kedua adalah faktor hutang iaitu kemungkinan mereka telah berhutang sama ada budi atau wang ringgit (termasuk rasuah) dengan pihak atasan pasar raya yang menyebabkan mereka terpaksa mempertahankan tindakan penyelewengan pihak atasan pasaraya tersebut sebagai balasan kepada hutang (rasuah) yang dibeikan. Faktor ketiga adalah kerana faktor kroni iaitu kemungkinan pasaraya tersebut dimiliki oleh anak-beranak, atau saudara mara mereka. Selain dari ketiga-tiga faktor ini seseorang insan tidak akan dengan dayus menggadai kehendak fitrah manusiawi yang dianugerahkan Allah kepada dirinya iaitu sentiasa mendambakan kebaikan, kejujuran, dan ketelusan dengan menjadi kelompok yang ketiga.


Islam termasuk bidang ketatanegaraan dan tatakelolaan yang baik.

Dalam konteks gerakan Islam yang menjunjung tinggi kesyumulan ajaran itu dalam setiap aspek kehidupan termasuk ketatanegaraan dan tatakelolaan yang baik (Good Governance), kita harus menilai tuntutan-tuntutan yang dikemukakan BERSIH itu sebagai suatu yang perlu dipandang berat oleh umat Islam selaku teras politik di negara ini seperti kewujudan nama pengundi yang meragukan (pengundi hantu), integriti saluran undi POS, akses saksama kepada media untuk semua parti politik, dan integriti serta kedudukan institusi-institusi awam selaku badan yang bebas dari pengaruh partisan mana-mana kelompok politik di samping amalan politik kotor dan rasuah yang sering diperkatakan oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Ini memandangkan pengendalian pilihanraya yang telus serta tidak diragui integriti tatacara penganjurannya merupakan esensi penting untuk mendapatkan permuafakatan aspirasi rakyat serta pra-syarat kearah menjadi sebuah Negara yang baik atau “baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur” bagi mencapai barakah dan keredhaan Allah. Bahkan umat Islam sendiri dituntut sentiasa jujur serta amanah dalam setiap apa yang dikerjakan.

Dalam perkembangan berkaitan, saya turut merasakan bahawa umat Islam perlu menganjak paradigma politik kontemporari mereka serta mengelakkan diri dari terkongkong dalam persepsi politik dangkal yang digerakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya akan merugikan kedudukan Islam itu sendiri di negara ini.

Bahkan saya khuatir, sekiranya situasi ini berterusan (mengaitkan sokongan BERSIH dengan agenda LGBT & Murtad), ia akan mengembangkan persepsi negatif terhadap umat serta gerakan Islam yang dianggap lesu dalam perjuangan demokrasi kerana gagal menilai secara objektif isu pokok yang dikemukakan.  Ini secara tidak langsung akan membuka ruang untuk pendokong LGBT dan gerakan pemurtadan mendampingi kelompok besar rakyat yang mahukan agenda  kebenaran dan keadilan ditegakkan di negara ini.



MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ


(Sumber: http://www.abim.org.my/component/content/article/11-beritautama/650-apa-agenda-sebenar-bersih-30.html)

Selasa, Mac 06, 2012

BINGKISAN MENJELANG 40 TAHUN ABIM SELANGOR: DULU DAN KINI (siri 2)


BINGKISAN MENJELANG 40 TAHUN ABIM SELANGOR: 
DULU DAN KINI  (Siri 2)
Oleh Ustaz Hasri bin Harun

Usaha dakwah masyarakat
Dalam kehebatan ABIM Selangor meneruskan usaha dakwah dalam masyarakat, setelah beberapa dekad dalam masyarakat, satu usaha yang wajar dibangkit dan dimuhasabah terutama dalam mengemudi usaha mendidik umat melalui pendidikan awal anak-anak. Sesungguhnya ABIM terkenal di dalam mengenengahkan idea pendidikan serta melaksana usaha pendidikan formal pra persekolahan yang berjenama TASKI. Walaupun cabaran mengurus institusi pendidikan ini tidak mudah namun ABIM masih menerima sokongan daripada masyarakat dalam soal pendidikan. Kini pendidikan kita telah semakin meluas. Institusi pendidikan ABIM di Selangor sahaja telah melahirkan ribuan anak-anak pra sekolah dan kini telah pun berada di dalam masyarakat sebagai penggerak dakwah. Institusi pendidikan ABIM dalam konteks pra sekolah sememangnya menjadi kekuatan ABIM untuk terus maju dekad mendatang. Walau dihimpit dengan isu kewangan namun sekolah ABIM masih terus bertahan dengan sokongan umat. Usaha dan kegigihan semua pihak di daerah dan warga ABIM keseluruhannya maka 2012 kita menanam hasrat untuk menubuhkan Sekolah Tahfiz Sains ABIM Selangor yang bertempat di Sijangkang, Selangor, di atas tanah seluas 5 ekar hasil sokongan masyarakat. Usaha memartabatkan pendidikan ini tidak pernah luntur dalam sanubari warga ABIM dimana pendidikan menjadi teras kekuatan Islam.

Perubahan zaman

Era 2000 menggamit dengan begitu besar sekali. Kepimpinan ABIM disemua peringkat harus berubah selari dengan perkembangan dakwah dan perubahan zaman yang menuntut kepada perubahan gerak kerja dan kepimpinan. Perubahan zaman yang menuntut kepada era global menuntut gerak kerja dakwah dilaksana dengan pantas dan cepat, menuntut ABIM juga sedikit pertimbangan bahawa dakwah era global ini memerlukan misi dan visi yang amat strategi. Di peringkat dalaman, ABIM menyedari bahawa keperluan menganjak minda bawa perubahan generasi awal iaitu generasi pengasas telah menuntut kita membuat perubahan dengan memfokuskan kepada kepimpinan baru selaras dengan perkembagan dasar-dasar belia Negara. ABIM juga terkesan dengan senario ini, maka pada tahun 2004, ABIM mengambil langkah berani menampilkan pimpinan muda bawah 40 tahun memimpin gerakan ini. Walaupun berhadapan dengan pelbagai komen dan kritikan namun ABIM tetap meneruskan usaha dengan dibantu oleh para senior yang berpengalaman. Selaras dengan dasar kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, kepimpinan belia dalam negara mestilah berumur dibawah 40 tahun. ABIM adalah satu-satunya NGO yang lebih awal bergerak ke arah itu sebelum dasar tersebut di mulakan.




bersambung...

Rabu, Februari 29, 2012

Amalkan Budaya Politik Matang, Tolak Keganasan Politik: Presiden


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin melahirkan kesal dan kecewa dengan beberapa insiden keganasan politik yang berlaku semenjak kebelakangan ini.Berdasarkan dari pengamatan pihak ABIM,  gejala keganasan politik ini tampak semakin menggejala terutama sekali dalam suasana teka-teki tarikh  Pilihanraya Umum Ke-13 yang semakin rancak diperkatakan. 

Insiden-insiden bermotif politik semakin kerap berlaku kebelakangan ini seperti mengganggu ceramah dan penerangan politik, mengakibatkan kecederaan fizikal dan kemusnahan harta benda, serta memecah masuk premis dan rumah tokoh politik, telah menyorot perhatian dan mencetuskan kebimbangan para pengamat politik serta rakyat secara umumnya.

Ini jelas menunjukkan ketidakmatangan budaya politik di peringkat akar umbi dan keluhuran demokrasi. Tambah mendukacitakan perkembangan ini terjadi ketika negara sedang menyaksikan keterbukaan wacana politik di kalangan para pemimpin serta parti-parti politik di negara ini. Insiden-insiden keganasan politik yang berlaku kebelakangan ini seharusnya menyedarkan para pemimpin politik bahawa para pendukung politik di peringkat akar perlu dididik serta dilatih, untuk mengamalkan budaya politik terbuka serta matang.

Dalam erti kata lain, gagasan serta idealisme politik yang sering dicanangkan oleh para pemimpin politik tidak ubah sebagai retorik kosong semata-mata sementelahan amalan politik akar umbi terus-terusan dizahirkan menerusi kebobrokan akhlak, gejala fitnah memfitnah yang mengaibkan seteru politik, keganasan, caci maki dan ugutan.    

Justeru ABIM menyeru pimpinan politik supaya mendidik serta mengawal perilaku serta akhlak tindak tanduk politik para penyokong masing-masing agar menjunjung tinggi prinsip Kedaulatan Undang-undang sepertimana yang digariskan dalam Rukun Negara. 

Selain integriti kepimpinan politik, amalan demokrasi yang positif turut menekankan peri pentingnya budaya kepengikutan yang bersandarkan nilai-nilai moral dan keagamaan yang menghormati tidak sahaja kawan tetapi juga lawan.

ABIM berharap agar insiden-insiden ini tidak berulang di masa hadapan taktala Negara sedang meniti detik-detik getir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13. Kita tidak mahu insiden-insiden keganasan politik yang sering berlaku di luar Negara menggejala lantas mencemarkan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara kita.

Justeru ABIM menggesa agar pihak berwajib memelihara hak-hak bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan serta mengambil tindaka keras terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan politik secara adil dan tanpa memilih bulu.

Sesungguhnya rakyat sudah jelik dengan amalan politik “matlamat menghalalkan cara” yang semakin berleluasa dan menyeru semua pihak memainkan peranan untuk membawa rakyat kembali  berpegang kepada prinsip “Negara Barakah” yang menjunjung tinggi prinsip, nilai akhlaq serta etika dan moral.

Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Rabu, Februari 22, 2012

Bingkisan Menjelang 40 tahun ABIM Selangor (siri 1)

Oleh : Ustaz Hasri bin Harun

Penggerak Awal 
ABIM Negeri Selangor yang dahulunya dibarisi oleh beberapa pimpinan muda mempunyai tekad meneruskan usaha dakwah dikalangan masyarakat. Ini termasuklah nama-nama seperti Mohd Mokhtar Shafie, Arshad Taib, Mokhtar Ramli, Mohd Kassim, Ghazali Basri, dan beberapa orang lagi yang tidak mampu disebut kesemuanya, kebanyakan dikalangan pendidik dan pensyarah universiti meneruskan legasi pendakwah melalui program-program usrah dan tamrin al-kader keseluruh pelusuk negeri. 

Kegiatan dakwah berjalan dengan baik ditengah-tengah masyarakat pada ketika itu. Antara sekretariat awal ABIM Selangor adalah di Jalan Genting Klang, Setapak Kuala Lumpur. Jihad dan dakwah mereka yang berjuang di dalam perjuangan wadah ABIM ini terus tidak dipedulikan apakah wujud halangan yang bakal di terima di masa hadapan namun mereka terus dengan semangat maka tertubuhnya ABIM diperingkat daerah-daerah yang bermula di Shah Alam, Tanjong Karang dan Sabak Bernam dan beberapa daerah lagi. 

Tamrin Al-Kader, jenama latihan yang menjadi satu program penting menjadi sumber membina kekuatan dikalangan ahli terus ditunggu-tunggu bagi menyemat semangat perjuangan mereka dengan lebih baik lagi. Kini para penggiat dakwah yang bersama dalam program-program ABIM telah berada dimerata-rata tempat sama ada dalam sektor kerajaan dan swasta dan ada sebahagiannya telah pun menjadi tokoh-tokoh terkenal peringkat negeri mahupun nasional. Yang menariknya ABIM Selangor di awal pergerakkannya cukup sinonim dengan aktiviti usrah di pejabat dan di kilang-kilang sehinggakan pernah tertubuh kumpulan usrah dikalangan pekerja kilang. Barangkali media dakwah yang sudah meluas seperti hari ini tidak wujud pada tempoh lalu memungkinkan masyarakat mencari sumber maklumat Islam yang jarang sekali dapat melalui media perdana seperti hari ini seperti rancangan kuliah di tv al-hijrah, tv 9 dan rancangan agama di ASTRO yang semakin meluas. Justeru tidak hairan usrah dikhabarkan dilakukan di kantin, di pejabat, di bawah pokok dan sebagainya. Disinilah menunjukkan masyarakat kehausan ilmu dan hikmah Islam yang dianuti dan ini menjadi tarikan usaha dakwah ABIM mendapat tempat dihati masyarakat.

Tahun 80 an telah bermula era negara kempen penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran negara. Kepimpinan negara mula menyedari bahawa betapa pentingnya usaha-usaha yang dilaungkan ini menjadi kenyataan. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam telah mula menjadi topik perbincangan yang akhirnya menjadi satu dasar dan resolusi penting sejarah negara, dimana tertubuhnya Bank Islam, Universiti Islam yang merupakan manifestasi kehendak dari hati nurani umat yang diperjuangkan sejak awal tahun 70 an.

Gerakan ABIM di awal tahun tersebut semakin meluas yang mana para penggerak ABIM telah berada di dalam dan di luar pentadbiran kerajaan. Walaupun sedikit terjejas imej ABIM sebagai NGO Islam bila mana pemimpin utama iaitu Anwar Ibrahim terjun dalam politik bersama UMNO namun ABIM masih terus bergerak sebagai sebuah NGO Islam yang bermatlamat menggerakkan dakwah dalam umat.

Senario perkembangan ABIM peringkat negeri khususnya di Selangor menerima sedikit sebanyak pasang surut dalam perjuangannya, impak daripada senario politik tanahair terutama diperingkat negeri. Satu ketika ABIM begitu dominan dalam usaha-usaha belia bila mana usaha dan gerakan kita mendepani gagasan negeri. Namun kita tidak pernah gentar dalam menghadapi cabaran ini walau ditempuh badai dan duri dalam perjuangan.

ABIM akui melalui pendirian dan semangat atas prinsip non partisan kita, tidak mudah digugat oleh sesiapa walaupun terpaksa menyatakan kebenaran bukan berpaksi kepada pemerintah. Bagi ABIM yang penting kebenaran harus ditegak bukan siapa yang harus dimenangkan. Sebab itu perjuangan ABIM kadangkala dipandang serong oleh sebilangan masyarakat yang berkepentingan dalam menilai pendirian kita yang sedikit tidak memihak atas kepentingan masing-masing berbanding kepentingan umat keseluruhan dan memartabatkan matlamat dakwatul Islam. Dalam pelbagai pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak, ABIM Selangor biasa dijemput bersama dalam mesyuarat-mesyuarat dakwah yang diterajui oleh Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan jawatankuasa yang berbentuk Dakwah di negeri ini. Pandangan ABIM Selangor sentiasa ditunggu dan diterima dalam erti kata menyeimbangkan pandangan yang umum dalam masyarakat. Bagi ABIM, yang penting suara ABIM sentiasa dinanti walau kadangkala dicemburui dan diragui.

Bersambung...

Isnin, Disember 05, 2011

Ucapan Dasar Presiden PEPIAS 2011 (MATP-20)

Ucapan Dasar Presiden PEPIAS 2011 (MATP20)

KENYATAAN MEDIA: Chua Soi Lek dan Hudud

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kenyataan yang dibuat oleh Presiden MCA,Datuk Seri Chua Soi Lek, yang memperlekehkan hukum Hudud di dalam sebuah forum "Hudud and its Implications on non-Muslims" yang dianjurkan semalam. ABIM menilai kenyataan biadap itu sebagai indikasi kepada perasaan kurang hormat beliau terhadap ajaran Islam itu sendiri

Di samping itu, ABIM berpandangan kenyataan tersebut yang itu berniat jahat serta bersifat dangkal dan boleh mencetuskan ketegangan politik serta agama yang sama sekali tidak diingini. Ini memandangkan hukum Hudud serta ajaran Islam secara keseluruhannya menghormati serta memartabatkan hak asasi manusia.   

Kenyataan Datuk Seri Chua Soi Lek tersebut juga merupakan kesinambungan daripada sentimen Islamophobia yang berkembang pesat di seluruh dunia.

ABIM merasa amat kecewa di atas kegagalan beliau mendalami serta memahami Islam secara keseluruhannya, di samping kecewa di atas kegagalan pihak-pihak yang berkenaan untuk memberikan kefahaman yang sepatutnya kepada beliau.  

Memandangkan ia bukanlah kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang bersifat begitu (menghina hukum Islam), ABIM menggesa permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh beliau kepada seluruh umat Islam di negara ini.

ABIM juga menggesa tindakan serta peringatan tegas dikemukakan ke atas beliau untuk mengelakkan insiden-insiden ini daripada berulang kembali.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Rabu, November 30, 2011

Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekali lagi mengulangi bantahannya terhadap penggubalan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 di parlimen semalam. ABIM menilai penggubalan undang-undang ini seakan tidak menghiraukan sensitiviti serta pandangan yang diketengahkan oleh pelbagai pihak  berhubung implikasi negatif yang bakal dicorakkan menerusi kelulusan undang-undang ini.
Dalam hal ini, ABIM amat menyesali  sikap tertutup kerajaan yang enggan membicarakan penggubalan rang undang-undang ini secara terbuka dan meluas sambil membabitkan konsultasi awam dan suara masyarakat sivil di negara ini.
ABIM memandang keengganan tersebut bertentangan samasekali dengan komitmen keterbukaan yang menjadi intipati agenda perubahan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan  di bawah kepimpinan Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Razak.

ABIM menanggapi pendekatan tersebut tidak lain dan tidak bukan, seakan menzahirkan wujudnya agenda “pembebalan”  ke atas masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi, dengan menutup serta menafikan sama sekali  ruang ekspresi bersuara  di kalangan rakyat.  Adalah amat menyedihkan kerana ia hanya akan menghalang kepada perkembangan wacana demokrasi dan kenegaraan yang sihat serta progresif di negara ini.

Demokrasi merupakan intipati penting kepada perkembangan sesebuah negara maju. Lunas-lunas demokrasi meraikan sebarang perbezaan pendapat dengan menjamin kebebasan bersuara di peringkat akar rumput. Demokrasi juga merupakan wahana penting yang merapatkan jurang di antara rakyat dan pemerintah  menerusi komunikasi dua hala rakyat-pemerintah dan rakyat-pemerintah.

Kelulusan rang undang-undang perhimpunan aman 2011 sekaligus menafikan fungsi serta potensi demokrasi itu sendiri sebagai agen perkembangan ekonomi dan politik di negara ini. Adalah amat malang amalan demokrasi dinafikan di atas nama prerogatif menjaga ketenteraman awam, walhal ia (demokrasi) merupakan wahana paling berpengaruh dalam menjamin keamanan serta kestabilan politik di sesebuah negara!

Menilai implikasi-implikasi tersebut, ABIM ingin mengulangi gesaan agar rang undang-undang ini ditarik balik. ABIM juga menggesa pihak kerajaan agar bersikap terbuka terhadap sebarang teguran serta mengadakan konsultasi awam sebelum menggubal sebarang undang-undang di masa akan datang!

AMIDI ABD MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Khamis, Oktober 13, 2011

Kenyataan media : Bajet 2012


KENYATAAN MEDIA BERSAMA RAUDHATUS SAKINAH
11 OKTOBER 2011

DIMANA PERUNTUKAN BAJET 2012 UNTUK MENANGANGI GEJALA SOSIAL MASYARAKAT YANG SEMAKIN MERUNCING
Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Jumaat lepas dikatakan satu bajet yang responsive kepada rintihan semasa rakyat umum. Banyak peruntukan berjuta ringgit dikhususkan untuk memperbaiki kehidupan golongan rakyat kelas biasa dan bawahan yang sememangnya wajar diberikan pembelaan.

Malangnya , tidak terdapat pula satu peruntukan khas dalam bajet tersebut yang menjurus kepada usaha serius menangani gejala sosial dan seksual yang semakin membarah dan meruncing dalam masyarakat hari ini. Betapa saban hari semakin meningkat pelbagai jenis gejala sosial dan seksual berlaku. Sebagai contohnya, terdapat peningkatan kes pembuangan bayi yang begitu ketara. Dari 79 kes yang dilaporkan oleh PDRM pada tahun 2009, ia meningkat sebanyak 15% kepada 91 kes sepanjang tahun 2010. Menurut satu laporan JKM, dari tahun 2004 – 2009, sebanyak 16% bayi yang terdampar ditemui di kawasan pembuangan sampah! Semakin ramai golongan remaja yang sepatutnya menjadi harapan bangsa dan Negara, terbabit dalam pelbagai jenayah seperti samun, peras ugut, ragut, gangsterism, ketagihan dadah dan alkohol, rogol, cabul, bunuh. Jenayah sadis yang membabitkan ahli keluarga terdekat juga semakin berleluasa.

Peningkatan gejala sosial yang semakin kritikal ini amat membimbangkan dan menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada ahli masyarakat. Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk segera menangani isu gejala sosial ini dengan pelbagai langkah pencegahan dan rawatan yang lebih berkesan, agar ianya tidak semakin parah dan diluar kawalan. Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan khususnya dari pihak berwajib, termasuk memperuntukkan sumber kewangan yang mantap dan stabil bagi melaksanakan usaha yang penting ini.

Usah untuk meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata,tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang menitikberatkan konsep amanah, integriti dan pertanggungjawaban, dibimbangi akan lebih mendatangkan mudharat dan kerosakan.  
Sebagai pihak sukarelawan dan NGO yang sekian lama terbabit secara lansung dengan usaha pencegahan dan rawatan pemulihan kelompok yang terlibat dengan gejala sosial dan seksual, kami yang mewakili institusi-institusi yang disenaraikan di bawah sepakat membuat penegasan menuntut semua pihak khususnya pihak berwajib :
1.       Memberikan perhatian, tumpuan dan keutamaan sewajarnya terhadap peningkatan gejala sosial yang serius melanda Negara, dan tidak mengenepikan atau menganggap remeh permasalahan tersebut
2.       Meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas dan holistic dalam membangunkan system sosial yang berpaksikan keadilan, kesejahteraan, akhlak luhur dan nilai terpuji.
3.       Menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) bagi kelompok yang telah terjebak dan terjerumus ke dalam kancah gejala sosial, agar mereka dapat dibimbing untuk bangkit kembali membina kehidupan baru yang lebih bermakna.
4.       Memperuntukkan belanjawan yang mencukupi untuk membiayai semua usaha dan langkah-langkah di atas, sebagai satu komitmen padu yang membuktikan kesungguhan mahu menangani permasalahan peningkatan gejala sosial yang semakin meruncing.
Kami mohon agar penegasan ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kepimpinan Negara. Jangan biarkan kami menunggu setahun lagi untuk pembentangan bajet 2013. Itu pun belum tentu suara dan permintaan kami diambilkira.
Ke arah Malaysia yang lebih sejahtera!

Prof Madya Dr.Harlina Halizah Siraj
Pengerusi , Lembaga Pengarah Induk (LPI)
Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah
0123243134
Bersama wakil-wakil dari :
·         Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID Malaysia)
·         Rumah Puteri Arafiah
·         Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan & Iman Malaysia
·         Rumah Perlindungan & Pemulihan Wanita Darul Wardah
·         Kem Modal Insan KEWAJA
·         Baitul Islah (PERKID)
·         Pertubuhan Inisiatif, Penyelidikan, Pembangunan & Pemerkasaan Wanita (WIRDA)
·         Rumah Kebajikan Darul Islah
·         Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq
·         Keluarga Besar Norlina Alawi

Selasa, September 27, 2011

Polemik Hudud: Ramai Generasi Muda Islam Positif


POLEMIK HUDUD: RAMAI GENERASI MUDA POSITIF



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius polemik perundangan Hudud yang berlaku pada ketika ini. Menilai respon-respon yang dikemukakan oleh pelbagai pihak semenjak kebelakangan ini, ABIM menggesa perundangan hudud tidak dijadikan sebagai polemik  oleh mana-mana parti serta pihak yang mendulang populariti politik semata-mata. Jika keadaan ini berterusan, ABIM khuatir akan tercetus persepsi negatif terhadap keluhuran dan integriti masa depan perundangan jenayah Islam di negara ini. ABIM berpandangan bahawa usaha ke arah undang-undang hudud boleh dan harus dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat  dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada. Persoalannya ialah bila ia akan mula dilakukan secara sistematik dan serius?

Justeru, alasan dan persepsi yang mengatakan perundangan Hudud tidak sesuai diamalkan tidak seharusnya diketengahkan secara semberono tanpa mengambil realiti dan arus perubahan yang berlaku di kalangan umat Islam. Banyak kajian ahli akademik dan perundangan yang telah menggariskan mekanisme ke arah pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam termasuklah pendidikan dan perundangan dan bagaimana sistem  sedia ada boleh dimanfaatkan serta diperkasakan ke arah pelaksanaannya.

Dalam konteks ini, ABIM ingin merujuk kepada hasil kajian (turut disertakan sekali) bertajuk Values Dreams Ideals Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia (terbitan 2011) yang dilakukan Merdeka Centre, Goethe  Institute dan Yayasan Fredrich Naumann baru-baru ini. Dalam temuramah yang dijalankan ke atas 1060 orang responden belia Islam, kajian itu mendapati majoriti  belia Islam mahukan perundangan jenayah Islam diamalkan secara meluas di negara ini termasuklah pelaksanaan hukuman sebat untuk kesalahan minum arak (92.4%), hukuman mati untuk kesalahan membunuh atau Qisas (92.5%) dan 71.5% bersetuju untuk hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

Walaupun tidak konklusif tetapi kajian ini memberi indikasi jelas bahawa generasi muda dan belia Islam di negara ini mempunyai persepsi yang positif terhadap pelaksanaan perundangan jenayah Islam. ABIM yakin melalui pelaksanaan program pendidikan dan penerangan yang lebih sistematik serta road map yang jelas ke arah pelaksanaan hukum hudud, masyarakat akan lebih jelas dan tentang hakikat sebenar pelaksanaan hukuman hudud yang menekankan keadilan dan menolak syubhah atau keraguan.
Pengalaman telah membuktikan bahawa sistem Islam seperti sistem perbankan dan muamalat Islam yang suatu ketika dulu dilihat dengan kacamata negatif telahpun berjaya menawarkan alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan konvensional di Malaysia. Perkara yang sama juga dilihat tidak mustahil, bahkan harus dilihat dalam aspek positif apabila merujuk kepada konteks pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam. Justeru ABIM berpandangan adalah tidak wajar jika ahli politik Islam  bersikap apologetik terhadap sebarang kritikan serta penentangan yang diketengahkan oleh pihak-pihak tertentu baik bukan Islam mahupun di kalangan umat Islam sendiri.

Dalam erti kata lain, perlaksanaan perundangan Islam pada ketika ini serta masa depan tidak hanya bergantung kepada kehendak politik (political will)  para pemimpin politik semata-mata. Sebaliknya, kehendak umat Islam perlulah dihormati serta diterjemahkan menerusi mekanisme politik yang ditetapkan. Merujuk kepada konteks perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan, kebebasan seharusnya diberikan kepada kerajaan serta rakyat negeri terbabit untuk melaksanakan tatacara perundangan yang ingin diamalkan menerusi lunas-lunas demokrasi seperti pungutan pendapat serta referendum.

Ini merupakan praktis dan amalan normal dalam masyarakat yang matang demokrasinya. Jika itu kehendak rakyat, tuntutan perundangan jenayah Islam dilaksanakan di negara ini harus dihormati. Walaupun begitu, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa khuatir dan takut kerana undang-undang ini hanya membabitkan mereka ya ng beragama Islam sahaja.  Di samping itu, perundangan Islam juga menjamin serta memelihara hak serta kebebasan orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya hidup masing-masing.

Dalam hal ini, ABIM semenjak penubuhannya pada 1971 telah menyatakan komitmen serta sokongannya terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Justeru sudah tiba masanya ia dijunjung serta diletakkan di tempat yang sewajarnya bersesuaian dengan status Islam sebagai agama Persekutuan.



MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)




(Sumber :
http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/250-polemik-hudud-generasi-muda-positif-terhadap-perlaksanaannya.html )

Sabtu, September 17, 2011

PPSMI: Jangan Cuba Cetus Polemik Baru


PPSMI: JANGAN CUBA CETUS POLEMIK BARU

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada desakan PAGE dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM)  agar mempertimbangkan semula perlaksanaan dasar PPSMI secara pilihan di sekolah-sekolah meskipun telah dimansuhkan sejak akhir 2009 yang lalu.  Gesaan PAGE dan JMM agar diberikan "autonomi" kepada sekolah untuk memilih PPSMI adalah berdasarkan kajian mereka yang mendakwa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Walaupun menghargai keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh PAGE dan JMM dalam usaha mereka mengendalikan kajian tersebut, akan tetapi ABIM mendapati terdapat keraguan pada cara perlaksanaan dan hasil dapatan kajian tersebut yang boleh dipertikaikan kesahan dan kebolehpercayaannya.

Dalam hal ini, ABIM menyambut baik ketegasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Fuad Zakarshi yang menolak kajian yang dikemukakan oleh JMM atas faktor yang sama.  Selain itu, hujah PAGE untuk menyokong cadangan mereka pada kali ini adalah ulangan kepada hujah-hujah mereka sebelum ini yang telah dibahaskan dalam siri persidangan meja bulat yang lalu dan dimuktamadkan oleh Timbalan Perdana Menteri dengan pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada 25 November 2009. 

Perkara seperti kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris, kecemerlangan subjek Sains dan Matematik, diskriminasi kepada golongan yang “beribundakan” Bahasa Inggeris dan ketidakkesanan kepada Perkara 152, Akta Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara telah dibidas dalam buku “Mengapa Kami Bantah” serta diambil pertimbangan sewajarnya dalam mempersiapkan dasar MBMMBI.     

Dalam perkembangan yang berkaitan, ABIM berpandangan bahawa cadangan pemberian kuasa "autonomi" memilih dasar kepada sekolah adalah kecelaruan terbesar dalam sistem pendidikan negara. Tidak ada autonomi bagi perkara dasar melainkan hanya dalam soal pentadbiran dan pengurusan sekolah seperti yang diamalkan di Sekolah Kluster.

Komuniti sekolah hanya sebagai pelaksana dan bersama memberi sumbang saran  dalam penggubalan sesuatau dasar tetapi tidak untuk memilihnya bagi kecenderungan tertentu. Hal ini mencabar kredibiliti Kerajaan khususnya Menteri Pelajaran dalam menentukan masa depan negara kerana ia tercorak dari dasar yang diperkenalkannya.   

Di samping itu, cadangan PAGE dan JMM tersebut akan menimbulkan konflik dan ketegangan sosial serta kesenjangan di kalangan rakyat apabila dua arus perdana ini bertembung dalam masyarakat. Ini akan menggagalkan usaha penyatupaduan rakyat seperti mana yang terkandung dalam matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Cadangan tersebut juga dilihat tidak munasabah kerana akan menimbulkan kesulitan di peringkat perlaksanaan, penilaian dan pemantauannya. Ia akan menimbulkan masalah dalam proses latihan dan penempatan guru, penyediaan bahan mengajar, penerbitan dan pengagihan buku teks, penggubalan dan pencetakan kertas soalan, dan yang lebih utama penilaian berpusat bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan awam.

Oleh itu, ABIM menyeru agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran tegas menolak kajian dan cadangan yang dikemukakan oleh PAGE dan JMM berdasarkan hujah yang dikemukakan.

ABIM juga berharap agar Kerajaan memberikan fokus kepada perlaksanaan dasar MBMMBI seperti mana yang telah diputuskan sebelum ini. ABIM percaya polemik ini tidak akan timbul sekiranya proses penggubalan dan perlaksanaan sesuatu dasar baru menuruti semua peringkat tapisan yang telah ditetapkan oleh pihak KPM tanpa sebarang kompromi.



Abu Qassim Nor Azmi

Ketua Biro Penerangan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Jumaat, September 16, 2011

wakaf Prof Khalijah untuk Kompleks ABIM Selangor


Tanda simbolik Waqaf prof. Khalijah
Bergambar kenangan bersama (wakil Kuala Langat yang hadir adalah YDP abim kuala langat (Radin), Abg Jak dan Kak Nisa)
Jambangan bunga untuk Prof. Khalijah <diterima oleh wakilnya, iaitu anak bongsunya, Saudara Aizad>
Penyerahan cenderamata tanda penghargaan
Prof Madya Dr. Shaharudin sedang memberikan ucapan
Antara yang hadir bersama
Haji Razif sedang memberikan penerangan mengenai perkembangan pembinaan sambil diperhatikan Abang Jak (Hj Salehuddin), AJK Dana.
Sedang asyik mendengar penjelasan dari ahli jawatankuasa kompleks yang hadir
Wakil keluarga Prof Khalijah bersama Kak Dib
Tanah wakaf cadangan pembinaan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor sebesar 5 ekar (Jalan Batu 8, Sijangjang)



16 September 2011, Sijangkang, Kuala Langat - Jam 9.00 pagi, jawatankuasa kerja ABIM Selangor bersama jawatankuasa pembangunan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor yang diketuai oleh Ustaz Zawawi selaku Timbalan Pengerusi jawatankuasa pembangunan kompleks telah berkumpul di tapak kompleks bersama menanti kehadiran wakil keluarga Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk majlis penyerahan waqaf Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk pembinaan satu komponen kompleks iaitu Rumah Kebajikan Dan Perlindungan Wanita Darul Wardah.

Beliau diwakili oleh anak bongsunya, Saudara Aizad menerima sedikit penerangan ringkas yang disampaikan oleh Haji Razif selaku jawatankuasa teknikal dan Us Zawawi sendiri. Kehadiran wakil Prof. Khalijah dalam jam 9.30 pagi diiringi oleh Profesor Madya Dr. Shaharuddin dan isteri. Ketibaan mereka disambut oleh Ustaz Hasri Harun selaku TYDP ABIM Selangor serta mewakili ABIM Pusat selaku Exco Tarbiyah.

Majlis penerangan dijalankan secara kecil-kecilan dan diikuti dengan beberapa ucapan dan bacaan doa. Majlis diteruskan dengan penyerahan cenderamata tanda penghargaan kepada Prof. Khalijah serta jambangan bunga tanda hadiah dan kasih sayang daripada penghuni Darul Wardah.

Majlis diakhiri dengan penanaman tunas buah kelapa sebagai simbolik penyerahan waqaf Prof Khalijah yang dilakukan sendiri oleh anak bongsu beliau. Kami di ABIM Selangor berasa amat terharu dengan majlis ini dan mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memberikan yang terbaik buat Prof Khalijah sekeluarga.

Majlis ini juga memberikan suntikan semangat untuk jawatankuasa pembangunan kompleks dan ABIM Selangor sendiri untuk terus gigih berusaha mengetuai usaha untuk membangunkan kompleks ini serta menjadi contoh di dalam mendepani isu-isu kebajikan, pendidikan serta sosial masyarakat hari ini. Semoga Majlis ini diberkati.

Khamis, September 08, 2011

Kembara Remaja Nafas Baru 1.0





Surat Kebenaran Ibu Bapa Penjaga KRNB 1.0 Lampiran a Surat Kebenaran Ibu Bapa KRNB 1.0 Borang Pendaftran KRNB 1.0