Seorang lagi tokoh untuk Negeri Selangor;
kenal tak tokoh ini? sila rujuk di sini.(http://www.mra.my/)
tahniah dari kami, warga ABIM Selangor.
Salam Ceria,
Bila bercakap tentang usrah tergambarlah sekelompok manusia yang sedang bertalaqi ilmu dan mendengar tazkirah di masjid atau surau. Yang pasti diketuai oleh seorang fasi atau naqib atau naqibah. Dipanggil...`THE POWER OF CIRCLE`..hehe.
Pelbagai tafsiran dan cakap-cakap bermain difikiran mereka yang tidak pernah menyertai usrah. Bagi yang pernah bersekolah agama mungkin anda mengenalinya. Hari soal bicara saya adalah berkaitan dengan USRAH. Tapi bukan usrah biasa.....usrah yang saya idam-idamkan selama ini....USRAH NARUTO!
Apakah itu?
“Sistem usrah ini umpama kumpulan-kumpulan ninja dalam cerita Naruto.” Saya menyeluruhi semua wajah ahli usrah.
Semua anak-anak usrah saya juga merupakan naqib yang bermaksud ketua usrah dalam sekolah tersebut. Saya menerima tanggungjawab untuk membawa usrah bagi sekumpulan naqib di salah sebuah sekolah berasrama harian di Gombak.
Objektif yang ingin dicapai oleh saya adalah supaya mereka semua boleh membawa usrah sendiri dengan baik. Zaman sekolah dulu tidak pernah saya pegang tanggungjawab sebegitu.
“Hehe. Naruto lagi,” balas Faiz.
“Kamu semua pun tengok, kan?”
Saya menyambung, “Siapa yang hendak usrahnya jadi serius sikit-sikit, boleh ikut stail pakcik Asuma. Kalau hendak yang ceria sikit boleh ikut stail pakcik Kakashi dan pakcik Gai.”
“Lagi… lagi…”
Menetapkan matlamat dalam berusrah
“Apabila kita berhadapan dengan anak usrah, anggap mereka seperti ninja-ninja yang kita ingin latih. Tentukan apa matlamat yang ingin kita capaidalam setiap sesi latihan tersebut.”
“Maksud abang Azree?” soal Imran.
“Maksudnya setiap sesi latihan kita perlu ada matlamat apa yang perlu kita sebagai naqib ingin capai. Itu matlmat jangka pendek dan kita juga perlu ada matlamat jangka panjang apa yang kita ingin capai dalam usrah tersebut.
Sebagai contoh, matlamat jangka panjang abang dalam usrah dengan kamu semua selama setahun ini adalah ingin membimbing kamu semua supaya menjadi pelajar contoh di sekolah. Bukan setakat baik dalam sahsiah, tetapi juga baik dari segi pemikiran. Cuma jangan baca komik Naruto banyak sangat sudah,” terang saya sambil disambut gelak.
“Matlamat jangka pendek pula, dalam satu sesi usrah kamu itu, apa topik yang kita ingin anak-anak usrah kita faham. Sebagai contoh, minggu ini kita bincang tentang topik akhlak. Jadi, matlamat kita selepas berakhirnya sesi usrah tersebut adalah anak-anak usrah kita faham tentang topik tersebut.”
Malam semakin gelap. Saya berkira-kira dalam hati untuk pulang lebih awal pada malam tersebut. Pertama kerana masih belum makan malam sedangkan perut mula memulas. Kedua kerana jarak rumah yang agak jauh daripada sekolah tersebut.
“Ada ciri-ciri lain lagi dalam sistem usrah versi Naruto ini?” soal Faiz lagi yang memang menggemari Naruto.
Mengambil tahu perkembangan ahli usrah
“Yup. Ada lagi. Siapa naqib pertama Naruto?”
“Erm. Iruka!”
“Apa yang Iruka buat apabila dia hendak menyerahkan Naruto kepada Kakashi?”
“Erm. Macam tak buat apa-apa pun. Cuma kadang-kadang Iruka akan bertanya Kakashi tentang perkembangan Naruto,” jawab Nasir yang sedari tadi hanya angguk-angguk dan senyum-senyum sahaja.
“Sebenarnya apabila Iruka hendak menyerahkan Naruto kepada Kakashi, Iruka telah memberi semua maklumat berkaitan Naruto kepada Kakashi seperti tingkah laku Naruto dan juga perkara yang perlu diambil tindakan oleh Kakashi seterusnya.
Kemudian Iruka akan tetap mengikuti perkembangan Naruto walaupun Naruto bukan lagi di bawah tanggungjawabnya. Begitu juga apabila Kakashi menyerahkan Naruto kepada Datuk Jiraiya. Dia juga akan menjelaskan apa yang perlu dan mengambil tahu tentang perkembangan Naruto,” jelas saya yang sudah lama tidak menggunakan cerita Naruto sebagai analogi dalam setiap isu yang ingin diutarakan.
Kadang-kadang sengaja saya memasukkan analogi-analogi berunsur kekartunan sedikit. Sedikit sebanyak dapat mengimbangi suasana antara ceria dan serius.
“Oh, begitu. Faham.”
“Jadi, kamu semua apabila sudah habis SPM, keluar daripada sekolah ini jangan pula lupa kepada ahli-ahli usrah yang pernah menjadi tanggungjawab kamu semua. Kerana itu abang lebih suka menetapkan matlamat dalam usrah supaya setiap ahli usrah abang akan boleh bawa usrah lain pula. Jadi, perkara ini akan berterusan.”
“Ciri-ciri yang lain lagi?”
“Eh, asyik abang saja yang bagi. Cuba kamu semua pula bagi.”
Keistimewaan pada naqib
Semua pandang-memandang sesama sendiri. Faiz memandang ke syiling. Mungkin sedang cuba mengingat sesuatu.
“Mungkin boleh juga dikaji kenapa usrah si Naruto, Sakura dan Sasuke ini ceria. Sedangkan kita juga tahu yang perangai Naruto dengan Sasuke cukup berbeza. Naruto dengan perangai main-main dia, Sasuke pula lebih serius. Jadi, bagaimana pakcik Kakashi ini boleh mengawal ahli-ahli usrah dia dengan baik?” Faiz cuba mengemukakan pandangan. Saya sendiri berkerut dahi sambil wajah cuba mengukir senyum.
“Hurm. Menarik untuk dibincangkan. Bagaimana kita sebagai naqib boleh mengawal ahli-ahli usrah yang pelbagai ragam? Kamu ada idea, Faiz?” saya cuba mencelah sambil memikirkan mengenainya.
“Saya tidak ada jawapan lagi tentang persoalan ini. Cuma mungkin ini terletak kepada setiap ahli usrah untuk memberi komitmen terhadap usrah mereka,” jawab Faiz.
Suasana perbincangan menjadi hangat. Saya merenung wajah setiap ahli usrah. Menanti sama ada mereka masih ada idea untuk dilontarkan.
“Mungkin juga sebab ada sesuatu ilmu daripada Kakashi yang ingin dipelajari oleh Sasuke. Pada awalnya kan Kakashi ini merupakan seorang yang penuh teka-teki. Teka-teki bagaimana dia ada mata Sharingan, sama seperti Sasuke. Mungkin itu yang menjadi daya penarik bagi Sasuke untuk memberi komitmen kepada kumpulan ‘usrah’ tersebut.” Imran melontarkan pandangannya.
“Betul… betul… betul… Setiap orang sebenarnya ada keistimewaan masing-masing. Cuma kita rasa rendah diri apa keistimewaan kita. Jadi, apabila kita menjadi naqib, sebenarnya ilmu atau keistimewaan kita itulah yang menjadi daya penarik kepada ahli usrah kita,” saya cuba menjawab apa yang termampu.
Sumber : http://studiomuslim.com/dakwah/usrah-dan-naruto/
Kalau filem itu filem Melayu, memang saya tidak akan menontonnya di panggung. Malah dahulu saya pergi ke panggung hanya untuk menonton filem yang mempunyai efek CGI yang bagus. Jadi, filem Jin Notti memang tidak termasuk dalam senarai filem yang saya akan tonton di panggung (malah mungkin tidak akan ditonton langsung seperti filem Cicakman).
Tetapi Papadom adalah satu-satunya filem yang saya tonton dua kali di panggung wayang untuk tahun ini.
Sinopsis Papadom
Papadom memberikan satu cerita yang mudah iaitu kasih sayang seorang bapa kepada anak. Saadom merupakan seorang peniaga Nasi Kandar dalam tahun 1990-an. Beliau mempunyai seorang isteri bernama Munirah.
Selepas Munirah melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Miasara, Saadom bersama dua orang rakannya berusaha membesarkan perniagaan Nasi Kandar. Saadom menjadi begitu sibuk sehingga kekurangan masa bersama isteri dan anak beliau.
Suatu hari Munirah terlibat dalam kemalangan dan meninggal. Sejak dari saat itu Saadom berubah dan berusaha menjaga Miasara sebaik mungkin. Bukan setakat baik sahaja malah lebih dari itu.
Di sinilah terjadi pelbagai ragam dan komedi dalam membesarkan Miasara.
Kelainan Dalam Papadom
Sebelum ini kita asyik dihidangkan dengan kisah ibu tunggal atau kisah berkaitan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Papadom memberikan kita kisah bagaimana pula seorang lelaki ingin menunjukkan kasih sayangnya.
Kiranya Papadom menunjukkan kepada kita bagaimana kasih sayang kepada anak dari sudut pandang seorang lelaki. Ia berasaskan kepada pemikiran bahawa seorang lelaki tidak pandai meluahkan kasih sayang melalui kata-kata, jadi mereka menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan mereka.
Kebebasan Untuk Remaja
Papadom juga memberi persoalan tentang sampai ke tahap mana sepatutnya kebebasan diberikan kepada seseorang remaja itu. Adakah sampai ibu bapa perlu memperhatikan segala tindak tanduk anak mereka atau membiarkan sahaja anak mereka buat apa sahaja.
“Saya tak nak anak saya membuat sebarang kesilapan,” kata Saadom dalam satu babak.
Jadi, satu perkara yang saya dapat daripada filem ini adalah biarlah seorang remaja itu belajar daripada kesilapan. Kalau mereka tidak buat sebarang kesilapan, jadi mereka tidak akan tahu selama-lamanya yang perkara itu silap.
Antara belajar dari buku atau kata-kata nasihat dengan belajar daripada pengalaman, mana yang kita lebih senang faham?
Sindiran Terhadap Filem Tempatan
Saya melihat ada beberapa babak yang menyindir industri perfileman tempatan. Contohnya seorang watak iaitu Rahmat yang suka dirinya dipanggil ‘Wajib Tayang’. Rahmat merupakan seorang pelajar yang suka membuat filem-filem pendek. Dan kefahaman beliau tentang filem adalah sesuatu filem itu mestilah bersifat abstrak.
Watak tersebut memberi gambaran beberapa orang Pengarah yang membuat filem yang orang tidak faham. Semata-mata untuk kepuasan dirinya sendiri.
Satu lagi dialog yang diucapkan oleh Scha, “Bukankah kita buat filem untuk buat duit, prof?”
Ini satu lagi perkara yang membuatkan industri perfileman kita seakan mengisi keinginan orang ramai dengan nilai komersial semata-mata. Buat filem untuk buat duit. Jadi filem Malaysia dipenuhi dengan filem berkaitan cinta, tahyul dan bisnesman yang kaya melampau.
Jadi ada dua persoalan iaitu buat filem yang ada nilai moral tetapi kurang nilai komersial dengan filem yang semata-mata memuatkan nilai komersial sahaja. Mana satu yang baik?
Kesimpulan
Papadom boleh dikatakan filem yang baik untuk tahun ini. Mungkin inilah filem yang bakal diingati oleh penontonnya. Lama kita menunggu filem-filem yang menarik dan diingati zaman berzaman seperti filem-filem P. Ramlee.
P/s: Dan ini kali pertama saya menulis reviu untuk filem Melayu.
* Gambar diambil daripada blog Afdlin Shauki.
http://studiomuslim.com/ulasan-filem/reviu-papadom/
Azree Hanifiah
Johor Bahru
31 Oktober 2009