Jumaat, Disember 18, 2009

Sambutan Maal Hijrah


Sedikit pandangan tentang sambutan Maal Hijrah;
(II) Pandangan Dr Asri Tentang Sambutan Maal Hijrah
Dr Mohd Asri Zainal Abidin mempunyai pandangan tersendiri tentang sambutan Maal Hijrah. Malah ulama muda yang kontroversi ini banyak terpengaruh dengan pandangan dan pemikiran Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam tulisan dan ceramahnya.
Berikut ialah soal-jawab bersama Dr Mohd Asri tentang sambutan Maal Hijrah yang dipetik dari laman web beliau beberapa tahun yang lalu:
Soalan: Adakah Nabi s.a.w mula berhijrah pada bulan Muharram seperti difahami oleh kebanyakan masyarakat awam di Malaysia ini?
Jawapan: Sebenar ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah adalah pada bulan Safar. al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam buku sirahnya yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Thur. Pada hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yasrib ketika itu. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut barulah baginda memasuki Madinah.
Dengan ini, maka sangkaan sesetengah pihak bahawa Nabi s.a.w berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi s.a.w berhijrah pada Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah. Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama. Adapun bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari bagi tahun masihi.
Soalan: Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?
Jawapan: Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin. Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan. Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu. Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.
Soalan: Apakah kita langsung kita tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah?
Jawapan: Sambutan Hijrah ini tidak boleh buat atas asas ianya amalan khas agama ini. Ini kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama sedangkan baginda bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” Riwayat Muslim.
Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini -pada pandangan saya- 
- Boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun dengan itu lalu membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan
Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang diboleh syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus
Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya, demikian apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita menyebut tentang sejarahnya. Sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran. Ia dibolehkan. 
Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi

2 ulasan:

Sekolah Bahagia berkata...

Kebimbangan Ustaz Asri dan para ulama lain ialah jika amalan menyambutnya menjadi satu upacara keagamaan pada masa akan datang. Ini yang dialami oleh kaum-kaum terdahulu yang main-main ikut sahaja upacara tersebut. bagi mengelakkan amalan sebegini menjadi upacara keagamaan maka perlu dihindarkan.

Saya percaya jika dipertanyakan rakyat yang hadir dalam majlis berkenaan tentu macam-macam ulasan di utarakan dan lebih malang menganggap ianya upacara sejak zaman para sahabat. Orang bukan Islam pun akan beranggapan demikian dan mengandaikan Islam tidak jauh berbeza dengan kristian yang mereka sambut kelahiran al-masih.

wassalam

radin fatihah husna berkata...

benar sekali.. saya juga berpandangan sedemikian. namun, mungkin dalam konteks malaysia, para ilmuan islam harus menerangkan perkara ini dengan penuh hikmah dan berhati-hati. maklumlah, kerana ia sudah diamalkan sekian lama di sini.

yg penting, tindakan yg benar sekalipun, perlukan hikmah dan ketelitian dalam memberi ilmu kepada masyarakat, dan sudah tentu akan mengambil masa. mungkin memakan masa sehingga satu generasi! bersabarlah dan beristiqamahlah..