Selasa, Ogos 02, 2011

Menetapkan contoh






1) Apa yang berlaku disekeliling anak-anak, murid-murid adalah daripada sekeliling mereka. Apa yang mereka lihat, apa yang mereka dengar, dan apa yang mereka rasakan dan simpulkan daripada itu semua, akan menjadikan mereka siapa pada masa hadapan.

2) Pendidik bukan sahaja pada guru di sekolah, ibu-bapa juga adalah pendidik pertama di rumah, dan pada seluruh kehidupan kanak-kanak. Apabila mereka membesar, persekitaran mereka juga akan menambah dengan rakan sebaya yang berpengaruh akan memberi contoh popular kepada mereka. Biasanya, yang popular itu, sering tidak yang sepatutnya. itu yang menjadi masalah!

Selasa, Julai 26, 2011

Isnin, Julai 25, 2011

Kisah Syaitan dan sahabat manusia

Ada seorang manusia yang bertemu dengan syaitan di waktu subuh. Entah bagaimana awalnya, akhirnya mereka berdua sepakat mengikat tali persahabatan. Ketika waktu subuh berakhir dan orang itu tidak mengerjakan solat, maka syaitan pun sambil tersenyum berkata, "Orang ini memang sangat layak menjadi sahabatku..! "

Begitu juga ketika waktu zohor orang ini tidak mengerjakan solat, syaitan tersenyum lebar sambil berkata dalam hati, "Hampir pasti, inilah bakal teman sejatiku di akhirat nanti..!"

Ketika waktu asar hampir habis tetapi temannya itu dilihatnya masih juga asyik dengan kegiatannya tanpa mempedulikan waktu solat, tiba-tiba, syaitan mulai terdiam...... .

Kemudian ketika datang waktu maghrib, temannya itu ternyata tidak solat juga, maka syaitan nampak mulai gelisah, senyumnya sudah berubah menjadi kecut. Dari wajahnya nampak bahawa ia seolah-olah sedang mengingat-ngingat sesuatu.

Dan akhirnya ketika dilihatnya sahabatnya itu tidak juga mengerjakan solat Isya, maka syaitan menjadi sangat panik.

Ia rupanya tidak mampu untuk menahan diri lagi, dihampirinya sahabatnya yang manusia itu sambil berkata dengan penuh ketakutan, "Wahai sahabat, aku terpaksa memutuskan persahabatan kita!"

Dengan kehairanan manusia ini bertanya,"Kenapa engkau memungkiri janji. Bukankah baru tadi pagi kita berjanji akan menjadi sahabat?".
"Aku takut! Aku sangat takut!", jawab syaitan dengan suara gementar.

"Nenek moyangku saja yang dulu hanya sekali membangkang pada perintahNya, iaitu ketika menolak apabila disuruh sujud kepada Adam, maka Allah telah melaknatinya sehingga akhir zaman; apalagi engkau yang hari ini saja kusaksikan telah lima kali membangkang untuk bersujud padaNya. Tidak terbayangkan olehku bagaimana besarnya murka Allah kepadamu !", kata syaitan sambil pergi.








(Sumber : facebook kawan-kawan)




------------------------------::::::::::::::::::::::::::::::::::::------------------------------

Fikrah:

Ada berani?



Sabtu, Julai 02, 2011

We can make a Difference





Just brilliant!


"All that's necessary for the forces of evil to win in the world is for enough good men to do nothing." Edmund Burke.

Khamis, Jun 23, 2011

BPK Teras Pendidikan


BPK teras pendidikan
Putra-putri negara
Tegak megah berdiri indah
Di persada putrajaya

Padamu harapan bangsa
Mencapai cita-cita
Gemblengkan tenaga
Tugas diutama
Itu bakti mulia

Dalam bidang sukan dan kebajikan
Kami berpadu tenaga
Hidup berbakti pada agama, bangsa dan negara

Bersatu kita teguh
Bercerai kita roboh
Marilah bersama kita berusaha
Bina negara jaya

Rabu, Jun 22, 2011

jiwa orang muda

Jiwa orang muda sentiasa membawa kepada tindakan yang diluar dugaan. Tindakan yang belum tentu membawa kepada kebaikan, dan begitu juga belum tentu membawa kepada kemusnahan. Tindakan luar duga ini mungkin kerana kenaifan, atau sebenarnya mereka tahu lalu bersedia untuk menerima risiko. Agresifnya orang muda adalah penting untuk kematangan dan kemajuan. Saya menggunakan istilah kematangan, bukan kerosakan kerana suatu tindakan akan memungkinkan sebarang hasil sama ada baik atau buruk; kedua-duanya akan membawa kepada kematangan. Berbeza dengan langsung dengan tiada tindakan; pasti akan menghasilkan kejumudan. Mungkin atas dasar ini, suatu tindakan perlu didasari dengan ilmu pengetahuan untuk meminimumkan risiko kerosakan.

Jiwa orang muda walau didasari dengan ilmu pengetahuan, sifatnya yang buas perlu merasai sendiri pengalaman tertentu, memungkinkan kota keilmuan seseorang sering tewas dengan langkah pencak hati dan semangat yang mencakari kota ilmu yang biasanya hebat pada teorinya namun tidak lekat di kepala. Selagi anggota tangan, badan dan kaki tidak merasa pahit-jerih dan keringat menitis ke bumi, maka jiwa itu tidak akan tenang. Maka, lontaran emosi perlu disambut! Benak minda jelas dan segar, menyatakan ‘ikut hati, mati; ikut rasa, binasa’; namun, itulah peperangan dalaman yang sukar digambarkan jika tidak pernah merasai jadi orang muda. Ya, semua orang walaupun sudah melalui usia senja, belum tentu merasai jadi orang muda.

Ertinya, jiwa kecil pada jasad yang senja! Hanya mereka yang melalui pengalaman orang muda akan bisa mematangkan jiwa untuk terus menjadi dewasa. Lantaran, jasad akan menjadi dewasa seiring dengan jiwa.
Inilah masalah umat yang enggan dimatangkan dengan pengalaman yang dijana dan dibina secara sukarela. Kita ini, umat yang mahu dimatangkan oleh keadaan. Maknanya, berubah apabila dipaksa untuk berubah. Tidak mahu berubah apabila dalam keadaan selesa. Walhal, tidaklah selesa manapun.. tertipu dengan keselesaan yang tidak selesa. Kata pepatah, ‘alah bisa tegal biasa’. Kemudian, ditanya mana inovasi kita? Semak semula bila kali terakhir kita berubah?

Tidak pula bermakna ilmu itu tidak perlu. Ilmu itu maha penting untuk membezakan antara orang alim dengan yang jahil. Tidaklah sama kedua-duanya. Kemuliaan seorang manusia ditentukan dengan ilmu yang ada padanya. Ilmu Tuhan sangat luas. Bukan sekadar ilmu akademik semata-mata. Ilmu yang lebih penting, adalah ilmu untuk menambah dekat seseorang dengan Tuhan sebagai hambaNya yang soleh, serta menambah dekat seseorang dengan makhluk Tuhan sebagai khalifah mentadbir bumi dengan adil dan bijaksana. Lantaran itu, memiliki ilmu adalah suatu yang wajib bagi setiap insan, tidak kira agama apa sekalipun. Semakin kita memiliki ilmu, semakin dekat kita dengan kerelaan untuk berubah dan merobah diri dan sekeliling kita menjadi lebih baik dan menghampiri kesempurnaan.

Pra-syarat untuk mempunyai jiwa yang besar adalah jiwa muda yang rela belajar dan diajar, mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, berlandaskan tradisi yang disanadkan turun temurun melalui ulama yang muktabar. Malahan, segala prinsip kehidupan seharusnya diteladani daripada baginda. Siapa lagi yang mampu menterjemahkan cara hidup Islam yang serba sederhana selain daripada Rasulullah SAW? Maka, jiwa muda Rasulullah SAW perlu diteladani sepenuhnya untuk menjadi matang, berilmu, dan seterusnya menjadi umat yang terbaik di kalangan manusia. Kalau kita percaya di syurga adalah yang terbaik, maka percayalah bahawa jiwa muda adalah jiwa yang terbaik. Bukankah di syurga, semua orang adalah muda-muda belaka? Pasti ada perkara yang maha penting untuk dicari dan digali yang sangat berharga pada jiwa orang muda.

Marilah kita membina, membangunkan dan membesarkan jiwa kita dengan jiwa muda. Selagi jasad masih muda, selagi jiwa masih suci dari noda dan dosa. Raikan sunnah, penuhi semangat hijrah. Depani umat pada barisan paling hadapan. Jihad masa muda sebelum tiba masa tua. InsyaAllah, umat masa depan akan terbina dengan jasad-jasad yang matang yang punya jiwa yang besar. Jiwa orang muda! Mulakan dengan lakukan perubahan. Mulakan sekarang!

Selasa, Jun 14, 2011

IJTIMA’ HARAKIY KUALA LANGAT ; MERIAH DAN MENCERAH


IJTIMA’ HARAKIY KUALA LANGAT ; MERIAH DAN MENCERAH

Mengambil model jemaah di peringkat pusat, ABIM Daerah Kuala Langat berjaya mengumpulkan di semua peringkat umur. Bermula dengan Wacana ABIM bersama Umat tentang isu ; Qazaf , menjawab fitnah yang menampilkan pembicara Al-Fadhil Ustaz Muhd Zawawi Ahmad Mughni , Yang Dipertua ABIM Selangor yang menerangkan secara terperinci tentang isu semasa ini dan bagaimana masyarakat perlu menghadapinya. Ijtima’ ini diadakan di Surau Hj Marzuki , Warisan Kasih, Darul Maghfirah , Sungai Kelambu Banting pada 10 dan 11 Jun 2011.


Ustaz Zawawi sedang menyampaikan pencerahan













Kehadiran Sdr Dr Muhammad Razak Idris , Presiden ABIM Pusat bersama dalam majlis tersebut menyerlahkan lagi hasrat beliau untuk menjadikan ABIM kembali kepada masyarakat dan kembali berfungsi menyelesaikan msalah umat . Sdr Presiden juga merasmikan Muktamar ABIM Daerah Kuala Langat ke 29 (2011).


Sdr Dr Muhd Razak Idris , Presiden ABIM menyampaikan hadiah kepada guru TASKI











Pada pagi Sabtu , Hari Keluarga ABIM Daerah Kuala Langat yang melibatkan ahli, PEPIAS Daerah Kuala Langat serta guru TASKI di sambut meriah. Program seperti ini akan merapatkan ukhuwah antara ajk , ahli serta mengenali ahli keluarga besar ABIM Daearah Kuala Langat. “ Terima kasih kepada semua yang terlibat dan ABIM Kuala Langat berazam akan menumpukan program bersama ummat untuk mengembalikan fungsi ABIM dalam masyarakat seperti yang disarankan Presiden ABIM untuk ABIM menjadi nasihal Ummat (penasihat Umat )” kata Sdr Radin Muhd Imaduddin . Yang Dipertua ABIM Daerah Kuala Langat bagi sesi 2011/2012.



Tiup dik , Tiup , Jangan Tak Tiup

















Juara Bola Tampar Plastik Sampah Kuala Langat 2011













YDP ABIM Kuala Langat yang baru ; Cikgu Radin menyampaikan hadiah










Ahad, Jun 12, 2011

Saya budak baru belajar

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Saya amat pasti, setiap orang yang membesar di bumi Malaysia, pasti akan pernah belajar dan hafal pantun ini, pantun yang paling asas diajar dan dipelajari oleh anak-anak di setiap rumah. Mesejnya jelas; untuk belajar, harus bersedia untuk menerima teguran dan tunjuk ajar. Lumrah orang belajar; memang pasti akan melakukan kesalahan demi kesalahan, sebelum menghampiri kesempurnaan. Bagaimana untuk menghampiri kesempurnaan, adalah dengan rela menerima tunjuk ajar daripada yang berilmu. Proses tunjuk ajar ini akan berlaku secara berulang-ulang kali, dan mendambakan masa yang bukan sedikit. Sesungguhnya, itulah hakikat dalam pembelajaran.

Belajar perlu berguru. Guru boleh jadi seorang  insan, malah apa sahaja yang ada pada alam ini. Tuhan jadikan segala yang ada di sekeliling kita, untuk manusia berfikir dan mencari iktibar, termasuk di sebalik suatu kejadian. Maka, untuk belajar dan mencapai suatu tahap menghampiri kesempurnaan perlukan kita untuk melihat berkali-kali. Melihat dengan pandangan mata, pandangan akal, dan yang paling penting adalah pandangan hati. Sudah tentu, ini juga memerlukan insan guru yang sifatnya sebagai Muaddib dan Murabbi.

Muaddib maknanya, seorang yang membentuk adab, manakala Murabbi bermakna seorang yang membentuk sifat ke'hamba'an dan ke'khalifah'an. Pendidik yang boleh dipanggil guru adalah yang punya komitmen untuk membentuk peribadi insan untuk menjadi soleh dan musleh, iaitu membentuk orang lain untuk menjadi soleh. Cabaran besar umat pada hari ini adalah untuk mencari dan menjadi seorang guru yang punya ciri sedemikian, tidak kurang juga cabaran mencari dan menjadi pelajar yang rela diajar; dari aspek jasmani, rohani, emosi, dan intelek? kenapa sukar mencari dan menjadi pelajar sedemikian? Sukar kerana kualiti pelajar dikatakan telah belajar, apabila akhirnya pendidikan menghasilkan perubahan sikap, pemikiran, dan tindakan yang mencirikan seorang yang soleh!

Salah satu unsur penting untuk mempelajari sesuatu, adalah keperluan untuk bertindak. Kaedah untuk belajar sambil bertindak merupakan kaedah klasik yang diperturunkan sejak turun-temurun. Kaedah ini memerlukan jiwa yang kental, keikhlasan dan keinginan yang tinggi untuk menghasilkan perubahan terhadap diri. Latihan membentuk keperibadian sebegini juga kekal sejak berzaman kerana hasilnya yang lebih tahan di samping guru di sekeliling yang sifatnya sangat semulajadi. Masyarakat akan menjadi guru yang paling berguna; kerana akhirnya tujuan pendidikan adalah untuk hidup dalam masyarakat. . Namun, berhati-hati dengan masyarakat yang rosak, kerana mungkin akan memberikan pandangan mata, akal, dan hati yang berkecamuk dan mengelirukan. Suatu latihan yang sifatnya terpaksa, atau jurulatih yang sentiasa memaksa, sebenarnya melatih untuk belajar tentang keikhlasan. Keihklasan tidak boleh dipaksakan, tetapi hati mungkin boleh dilatih dengan pentarbiyahan yang berterusan yang akhirnya melahirkan kemanisan dalam beramal seterusnya melahirkan keikhlasan.

Pembelajaran yang tidak kurang juga diperlukan dalam suatu sistem pendidikan, adalah dengan memberi suatu ramalan atau jangkaan tentang bakal apa yang berlaku sekiranya suatu tindakan dibuat. Sudah tentu jangkaan dan ramalan adalah berdasarkan kepada peristiwa lalu. Bukankah dalam Al-Quran juga ditulis sejarah umat manusia dari era Adam as sehinggalah hari akhir zaman untuk kita umat hari ini belajar dan mencari ibrah di sebalik setiap peristiwa? Maka, ingatkan dan teruskanlah mengingatkan orang yang belajar. Kalau boleh, joloklah mana yang patut supaya pelajar dapat belajar, dan bukannya kurang ajar kerana letih diajar oleh masyarakat yang rosak. Pantun di atas boleh juga diulas semula seperti ini:


Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
sebelum salah tolong jolokkan!


Khamis, Jun 09, 2011

Perutusan ABIM 40 tahun


ABIM bukan nama asing di pentas dakwah negara ini. Tahun ini, ABIM akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40. Menurut Prof John C Raines, seorang pengkaji Islam dari Amerika Syarikat dalam rencananya mengenai sejarah perjuangan ABIM, beliau membahagikan pertumbuhan ABIM sebagai pertubuhan dakwah kepada beberapa era utama. Era pertama ia mula ditubuhkan pada 1971, ABIM mendepani persekitaran masyarakat yang ‘rapuh’. Kerana pada sekitar tahun itu negara baru saja 12 tahun mencapai kemerdekaan.
ABIM muncul ketika usia negara terlalu muda serta tidak mempunyai sistem pemerintahan kukuh dalam segala aspek kehidupan. Banyak perkara diwarisi daripada sistem penjajahan terutama segi dasar dan sistemnya terus diguna pakai kepemimpinan awal negara. Keadaan ini menimbulkan rungutan dan kekecewaan masyarakat Melayu kerana sistem pemerintahan tidak berupaya memenuhi aspirasi kemerdekaan mereka khususnya dalam memajukan ekonomi mereka yang amat daif akibat dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan penjajah.
Keadaan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dicatat seorang penganalisis yang mana dari keseluruhan pemilikan ekuiti pada 1971, British memiliki 65 peratus, masyarakat Cina (27 peratus) manakala masyarakat Melayu hanya memiliki 2 peratus ekuiti. Realiti ini menggusarkan semua pihak dan mendorong penentangan masyarakat yang kecewa.
Dalam latar masyarakat yang sebeginilah ABIM sebagai sebuah pergerakan dakwah membentuk dirinya pada awal penubuhan. Kegiatan yang bersifat protes bagi menyuarakan isi hati dan menyampaikan realiti sebenar masyarakat umum yang ketinggalan pada arus pembangunan negara begitu sinonim dengan ABIM. Walaupun corak kegiatan dakwah ini dilihat terlalu lantang dan keras, namun ia dijayakan atas cita-cita perjuangan yang murni iaitu bagi memastikan semua pihak terutama masyarakat Melayu terbabit secara aktif dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara selepas kemerdekaan.
Selepas melalui era ini, dinamika pergerakan ABIM melalui fasa baru sekitar 1980–an dan 1990–an. Masyarakat dan melalui pengalaman baru pembangunan kesan dari beberapa dasar negara yang mula proaktif terhadap realiti sosio-ekonomi semasa. Selepas peristiwa 13 Mei 1969 di mana terjadi pertembungan kaum di negara ini, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tumpuan khusus dasar ini bagi membentuk keseimbangan ekonomi dan ia memberi manfaat kepada masyarakat Melayu.
Berdasarkan rekod, pemilikan ekuiti masyarakat Melayu meningkat daripada 2 peratus pada 1971 kepada 19 peratus pada 1994, walaupun dalam masa sama ekuiti masyarakat Cina meningkat daripada 27 peratus pada 1971 kepada 45 peratus pada 1994. Peningkatan keupayaan ekonomi Melayu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. Apa yang jelas pertambahan golongan kelas menengah dan elit. Sebahagian besar masyarakat memperoleh peluang pendidikan sama ada di dalam atau luar negara. Kesan lain ialah aspek kebudayaan. Masyarakat terdedah dengan kebudayaan global yang berkembang tanpa kawalan.
Pada era baru ini, ABIM bertukar corak. Dasar dan sikap pemerintah yang dinamik dalam memenuhi tuntutan dan keperluan masyarakat terutama dalam aspek ekonomi, pendidikan dan agama membuka ruang yang luas kepada usaha pengisiannya. ABIM menumpu usahanya sebagai rakan dalam pembangunan negara. Penyertaan ABIM dalam pelbagai bidang pembangunan masyarakat bagi memastikan perkembangan masyarakat dimanfaatkan dengan mewujudkan persekitaran yang mendorong penghayatan agama secara lebih menyeluruh.
Saya sering ditanya apakah agenda ABIM selepas ini? Pada saya, ABIM pada alaf baru harus mempersiapkan masyarakat terutama generasi muda mendepani era masyarakat terbuka. Realiti dunia bersifat global menuntut persediaan luar biasa terutama dari segi ketahanan ilmu dan budaya. Jika tidak, masyarakat kita berdepan krisis jatidiri yang parah. Kita tentu tidak menginginkan negara mencapai status maju namun asing di tanah air akibat jati diri yang larut dalam kebudayaan asing. Inilah agenda besar dakwah ABIM untuk beberapa dekad mendatang.
Sumber: ABIM Online

Isnin, Jun 06, 2011

MAHKAMAH HATI!


MAHKAMAH HATI!
(Petikan daripada artikel Ust. Pahrol Mohd Juoi)
Bukankah kita sering diperingatkan,  berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.
Mahkamah pengadilan itu ada tiga. 
Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.    
Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah.  Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan “hidup” untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya “body” yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.
Ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya  terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan.
Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setia masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara. Tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran.
Dosa itu derita. Kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi.  Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.
Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan.  Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan. Jadi, hati-hati menjaga hati, agar hati itu tidak mati!
Rasulullah SAW sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila beliau ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab:
“Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”
Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak. Kata ulama, mujurlah dosa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita.
Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati!