Rabu, Julai 01, 2009

kemahiran yang benar

1) Kemahiran datang apabila suatu kerja dilakukan berulang-ulang. Daripada usaha yang berterusan, barulah mengerti di mana silap dan salahnya. Dengan adanya kemahiran, ilmu tangan (hands on) diperolehi; tidak bermakna sama dengan ilmu yang diperturunkan oleh guru melalui buku-buku, dan teori-teori pembelajaran dan amalan. Yang pasti, tugasan tetap dapat diselesaikan. Cepat dan lambat sahaja yang membezakannya. Bukankah baik, ilmu dan kemahiran disatukan untuk memahami apa yang dilakukan. Dengan kata lain, aras tugasan biarlah aras jurutera, dan tidak sekadar aras operator pengeluaran sahaja.

2) Pentingkah menguasai suatu ilmu? Apa sahaja ilmu adalah penting selagi ia berguna kepada individu dan masyarakatnya. Dari sekecil ilmu, sehinggalah sains roket; harus dikuasai oleh suatu bangsa untuk berjaya. Ilmu hanya boleh dipanggil ilmu apabila memahami apa yang dilakukan. Maka, kemahiran menyelesaikan tugasan tanpa mengetahui konsep, makna dan apa yang dilakukan tidak pula dipanggil ilmu. Itu mungkin dilabel sebagai ikut-ikutan. (Taklid)

3) Isunya, menguasai kemahiran tanpa ilmu tidak menambah kualiti. Ia hanya proses pengekalan. Kemahiran ini, palsu. Manakala, menguasai ilmu tanpa kemahiran pula tidak menambah kuantiti. Ia hanya proses dalaman penambahbaikan mentaliti sahaja. Menguasai ilmu dan menambah kualiti nilai ilmu dengan kemahiran; barulah seimbang kualiti dan kemahiran produk yang dihasilkan. Kemahiran inilah kemahiran yang benar.

4) Contoh dalam ibadat fardhu Ain seperti solat, puasa Ramadhan, zakat, dan haji. Kesannya dapat dilihat dalam masyarakat kita. Amalan Ibadat, secara perlahan-lahan akan diangkat menjadi adat semata-mata. Contoh dalam pengajaran dan pembelajaran (pnp) di sekolah, para pelajar, mempelajari cara menjawab soalan peperiksaan, sehinggakan mereka tidak tahu pun apa makna jawapan yang mereka tuliskan itu. Akhirnya, jadilah seperti hari ini, iaitu belajar dengan berorientasikan peperiksaan, dan bukan untuk menguasai ilmu. Dalam tidak sedar, ada banyak lagi contoh di dalam kehidupan harian kita. Contoh cikgu? polis? peguam? jurutera? hakim? menteri? ahli qariah masjid? Ada? Sebenarnya banyak sekali...

5) Orientasi kita harus dibetulkan. Orientasi dalam masyarakat sudah begitu senang dan selesa dengan adat dan kebiasaan. Yang salah sudah dibiasakan, sehinggakan dianggap yang biasa itu benar. Kemahiran harus berpasak dengan ilmu. Ilmu pula harus bersumber kepada kebenaran. Hari ini, cabaran semakin besar kerana terlalu banyak ilmu yang falasi. Falasi adalah penipuan secara halus sehingga dirasakan benar. Bayangkan apa yang kita lakukan hari ini, yang kononnya berasaskan ilmu, rupanya salah dan jauh dari kebenaran. Malah, diperturunkan dari generasi ke satu generasi.




Tiada ulasan: