1) Salam hijrah tahun yang ke 1431. Selama itulah, 'Hijrah' Rasul SAW bermula; berPindah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Hakikat perpindahan yang membawa pelbagai pengajaran kepada umat Islam seluruh dunia. Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi menerangkan peri pentingnya umat Islam memahami pengkisahan ini dengan menolak mana-mana kisah yang bersifat diada-adakan atau ditokok-tambah, dan yang mana kisah yang benar, bersandarkan pada sumber Al-Quran dan As-Sunnah. Kisah perpindahan itu sendiri memberi pengajaran yang bukan calang-calang kerana hakikat urusan perpindahan itu adalah mengikut perencanaan Allah SWT; yang mana Nabi Muhammad SAW adalah penggerak kepada perencanaan tersebut. Maka, sudah tentu, Hikmah kebijaksanaan adalah berteraskan Tauhid kepada KebenaranNya, KeadilanNya dan Kasih sayangNya kepada seluruh HambaNya yang beriman.
2) Dr Yusuf kemudian, melakarkan lagi, hasil ekstradisi peristiwa Hijrah ini kepada beberapa pengajaran kepada umat Islam keseluruhannya seperti berikut:-
a) Bersabar dengan ujian yang diberikan kepada kita. Ujian, mehnah dan tribulasi akan hadir kepada setiap orang yang berjuang untuk kebenaran. Dalam bersabar, tugas menyampaikan harus diteruskan dengan penuh Hikmah dan berterusan. Konsistensi itu sendiri adalah satu ujian yang berat; malah konsistensi itu juga akan melihatkan kebenarannya. Malahan, kekuatan Agenda untuk menyampaikan kebenaran akan semakin dirasai oleh sekelian umat, termasuk musuh-musuh kepada kebenaran itu.
b) Merencanakan satu perubahan memerlukan pemikiran yang strategik dan berkesan. Pemikiran harus diiringi dengan tindakan yang bertepatan dengan penggemblengan buah fikiran yang tuntas dan bernas. Soal ini sangat penting dan vital dalam memastikan rancangan jangka pendek dan jangka panjang berhasil sebagai satu misi 'pasti berjaya', dengan izin Allah taala. Memberi pendidikan yang jelas dalam satu misi yang sukar, sudah tentu memerlukan ketelusan dalam rasional maklumat yang disampaikan serta tegas dalam disiplin tatacara penyampaian supaya tidak ada kebocoran mahupun ketirisan maklumat untuk tindakan dari komander kepada penggerak umat secara keseluruhan.
c) Segala mobiliti adalah dari Jemaah, secara Jemaah dengan ukhuwah yang jitu dan rapat. Maka, segala kelonggaran saf pimpinan, mahupun saf jemaah akan melemahkan rangkaian komunikasi, dan akhirnya akan memudahkan kelicikan musuh untuk menjatuhkan dan seterusnya menerobos benteng umat yang mahukan perubahan dalam penghijrahan ini. Kesatuan dalam Jemaah bukan sekadar dengan memberi Wala' kepada pimpinan, malah mengetahui dan menyedari tanggung-jawab ataupun akauntabiliti setiap ahli dalam jemaah. Malah, ia adalah pra-syarat dalam menguruskan kelancaran perencanaan yang telah disusun seawalnya.
d) Penghijrahan yang dilakukan Rasulullah SAW adalah perpindahan yang memberi erti kepada perpindahan keutamaan susun atur dalam sosial masyarakat. Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa ASAS kepada kekuatan komuniti adalah Tauhid dan keEsaan kepada Allah SWT.
e) Maka, tempat untuk memantap dan menyuburkan lagi asas kerohanian ini, adalah dengan mendirikan dan menghidupkan institusi Masjid itu sendiri. Masjid, yang diperihalkan adalah tempat masyarakat berkumpul untuk bersolat, berzikir, bermesyuarat, berusrah, dan lain-lain lagi yang berorientasikan hubungan sesama manusia dijana dengan diiringi kukuhnya hubungan dengan Allah. Di sinilah juga pemerkasaan generasi muda sebagai generasi penerus digarap dengan kepelbagaian bentuk dan kaedah pendidikan syariah Islam yang syumul.
f) Seterusnya, penghijrahan ini memerlukan pengorbanan yang bukan calang-calang. Ini termasuklah meninggalkan segala harta benda dan menyerahkan segala urusan selepas itu kepada Allah dan Rasul Nya. Lantas, kekuatan Ekonomi harus dijana semula, dengan memasuki pasaran setempat, melibatkan diri dan mengaktifkan perdagangan dua hala di antara masyarakat-masyarakat di sekeliling kota. Lantas, keharusan terlibat dalam perniagaan adalah suatu kemestian untuk akhirnya nanti, berbakti semula untuk agama Allah.
3) Ekstrak ilmu yang diulas di atas adalah versi yang telah diperhalusi dan difahami oleh penulis dalam melayari bahtera ilmu Tuhan yang luas ini. Yang pasti, konteks hijrah yang ditunjukkan oleh Rasul SAW adalah mencangkumi segala Sosio-Ekonomi dalam mengatur masyarakat; sama ada masyarakat kecil keluarga kita, mahupun masyarakat yang besar di luar sana. Disiplin dan keutamaan inilah kunci kepada kejayaan Umat; sekiranya kita memahami dan mengamalkan apa yang tertulis secara tersurat dan tersirat.
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan