0) New broom, sweeps clean. Biasanya orang menggunakan peribahasa ini untuk mengatakan keraguan, sinisme, memerli atau menyindir pekerja atau pegawai atasan yang baru dilantik.
2) Orang yang telah lama berkerja- digambarkan seperti penyapu lama. Sudah banyak cariknya; sudah banyak kelompongan dan kecomotan di sana-sini, yang akhirnya membuatkan tugasnya untuk membersih debu dan kotoran tidak berkesan; malah terdapat banyak tinggalan dan calitan kotoran di sana-sini. Kesan akhirnya, pasti kurang memuaskan dan mungkin tidak berharga lagi. Harus ditegaskan lagi; ini konotasi sinikal, dan kata perlian semata-mata dalam masyarakat.
3) Hebatnya orang lama; adalah kerana pengalamannya. Pengalamannya sangat berharga, kerana mereka telah menempoh dahulu keadaan sedemikian yang mungkin dejavu pada hari ini. Ibarat kata, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina. Lantas, untuk meletakkan taraf penyapu lama, adalah tidak sesuai; dan mungkin dibaca sebagai kurang ajar; terutama bagi masyarakat melayu khususnya.
4) Kebiasaanya, alasan yang sering didengari dan diberi oleh orang lama :-
a) Aku dah pernah buat dah ni...
b) Bagi la peluang pada kamu, orang muda...
Ironinya, alasan ini hanya kedengaran apabila melibatkan tugasan yang tidak memberikan keuntungan dari segi material sahaja! Selebihnya, yang melibatkan tugasan fizikal, emosi, masa, tidak pula diletakkan alasan sedemikian. Yang menariknya, orang yang baru ini pula, biasanya akan menerima tugasan sedemikian. Seolah-olah di sini, adalah perkara (win-win situation) (menang-menang).
5) Memang benar, pengalaman harus diberikan kepada pegawai baru; namun, haruslah bijak dan berhikmah. Bukan memutarkan kembali episod lama; dengan alasan "aku dulu begitu juga." Ini seolah-olah menunjukkan, bahawa tiada penambah baikan yang berlaku dari dulu hingga sekarang. Prinsip pendidikan dan penambah baikan harus datang secara seiring dan membina.
6) Jauh sekali untuk menjatuhkan! Kan biasa dalam masyarakat kita, yang bising suaranya, yang itulah kita tujukan segalanya. "Kamu banyak sangat soalnya, banyak sangat cakapnya, apa kata kamu lakukan selepas ini?" Padahal, mungkin komen atau pendapatnya itu dapat menambah baik apa yang mungkin terlepas pandang? Lantas, jika sebarang perbezaan pendapat dilihat sebagai musuh, kurang ajar, pendek akal, atau apa pun istilahnya, maka, apa lagi untuk bercerita dan menyediakan pelan untuk penambahbaikan? Hakikatnya, apabila dinamakan pendapat, sudah pasti, diletakkan dalam keadaan serba mungkin.
7) Bukankah, apa yang penting, adalah untuk menilai dan memberikan kesan baik dan manfaat kepada orang lain lebih dari diri sendiri? Biar semangat, "Dahulu, kita sudah susah; generasi masa depan akan dapat manfaat daripada apa yang kita susahkan dahulu.." Inilah yang dipanggil, penambah baikan. Lantaran, semangat untuk menukar budaya yang lapok dan negatif harus dipugarkan kembali. Budaya mendidik.
8) Tindakan berhikmah, adalah suatu yang memberi rahmat. Keindahannya dapat dirasai secara emosi yang tenang, rasional yang diterima akal, dan seterusnya membawa keharmonian pada akhirnya lebih daripada porak-peranda dan perpecahan. Kebijaksanaan ini biasanya, datang daripada pengalaman yang cukup mematangkan, bukan daripada pengalaman yang menyakitkan. Ada perbezaan besar walaupun keduanya dalam kategori berpengalaman luas. DAN, apabila berhikmah, sudah tentu datang dengan pendidikan yang membina akal dan ilmu kepada yang menerima.
9) Perhatikan watak-watak di sekeliling masyarakat. Bermacam jenis ragam, juga pengalaman yang menjadikan diri mereka, pada hari ini. Tidak semua kita adalah sama. Kerana itu, kita perlukan satu sama lain, dan saling memberikan pandangan kita atas suatu perkara. Pandangan kita, dan pandangan mereka; dibicarakan dengan tuntas dengan jiwa yang besar, pandangan yang tidak skeptikal, dan pandangan ke arah menambah yang baik. Ini kemahiran yang perlu dikuasai baik penyapu baru mahupun penyapu lama. Apabila kita sudah memahami antara satu sama lain, kotoran tidak akan timbul, dan mungkin kita tidak akan perlukan lagi mana-mana penyapu pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan