Ahad, Jun 21, 2009

Peduli cikgu kepada pelajar

1) Salah satu elemen yang menjadikan perhubungan dan komunikasi berkesan antara cikgu dan murid adalah aspek kepedulian. Kenyataannya, pelajar tidak peduli kepada peperiksaan, buku, masa depan, kerja rumah, solat, hubungan sosial, dan sebagainya selagi tidak ada rasa peduli daripada orang sekelilingnya, baik dari cikgu, ibu-bapa, dan masyarakat amnya. Contohnya, pelajar yang baik dan menyiapkan kerja rumahnya adalah mereka yang tahu, kerja rumahnya akan dipedulikan oleh gurunya, atau ibu bapanya, atau (yang paling penting rasanya) dirinya sendiri. Apabila wujud kepedulian, maka, akan lahirlah rasa kewujudan dan kebersamaan. Ia datang bersama dengan sebuah nilai yang berharga, kerana akhirnya ia mewujudkan pengiktirafan kepada mereka.

2) Begitu juga seorang guru yang berkesan. Para pelajar tidak peduli dengan segala apa yang berlaku dalam kelas ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PnP), selagi cikgu tidak memberi peduli dengan apa yang pelajar faham, dan apa yang pelajar tidak faham. Sudah tentu tugas cikgu adalah untuk berikan kefahaman yang benar. Maka, seharusnya, cikgu harus peduli dengan apa yang pelajar fikirkan, cara mereka memberi fokus, cara mereka berbincang, cara mereka menulis nota, cara mereka menyelesaikan masalah dan sebagainya, kerana kesemua ini akan memberikan implikasi cara mereka memahami apa yang disampaikan cikgu. Begitu juga bahasa apa yang cikgu gunakan!

3) Penggayaan seperti suatu lakonan untuk memberi faham; dengan gerak badan yang menarik, gaya bahasa yang mudah difahami, serta intonasi suara yang berekspresi akan menghasilkan suatu persembahan yang menarik dan mudah diingati. Malah, ilmu cikgu tentang dunia mereka akan membuatkan cikgu memahami apa yang mereka lalui setiap hari. Pada hari ini, berapa ramai cikgu yang mendengar lagu Indi band, berhubung dalam myspace, facebook, beremail dan berchatting dalam internet, dan sebagainya lagi aspek dalam hidup remaja pada hari ini? Setelah cikgu faham dunia pelajar, barulah cikgu dapat membuat keputusan kepada tindakan yang bakal cikgu lakukan. Lantas, kenapa ditanyakan, kenapa begitu sukar untuk memahami bahasa pelajar?

4) Segalanya adalah tentang kepedulian. Cikgu yang dapat rapat dalam hidup sosial dan memahami asas sekadar (permukaan) kehidupan peribadi pelajar, sudah pasti akan dapat berhubung dengan pelajar secara berkesan. Selebihnya, mereka sendiri akan bercerita dengan cikgu terbabit. Bukankah cikgu adalah provokator dan initiator terbaik dalam pembinaan diri pelajar selain ibu-bapa dan kawan sebaya mereka? Keutamaan rasa Peduli guru adalah kepada jati diri pelajar itu dahulu, diikuti dengan prinsip asas kehidupan mereka; Kemudian barulah kepada kurikulum yang ditugaskan oleh Kementerian Pelajaran kepada guru. Hakikatnya, hari ini, sudah jadi caca merba. Ingatlah, Guru sebagai pendidik, bukan setakat mengajar!

5) Apabila jati diri pelajar sudah diangkat dan dikukuhkan, pelajar akan punya motivasi dalam diri untuk terus berusaha sehingga berjaya; melakukan kerja rumah walaupun cikgu tidak akan memeriksa buku latihan mereka; mencari cikgu walaupun di mana hanya untuk bertanyakan soal hati dan perasaan, walaupun agak peribadi! Pada masa yang sama, cikgu akan berkongsi pengalaman, dan menerapkan prinsip asas dalam kehidupan seperti soal fardhu Ain, soal hubungan kemasyarakatan, idealisme kemanusiaan, dan lain-lain lagi; Akhirnya, pelajar ini akan menjadi insan yang harmoni dan seimbang dari aspek rohani, emosi, dan intelektual. Inilah modal insan yang mahu kita ciptakan dari sistem pendidikan yang ideal.

Semuanya bermula dengan hanya mengambil peduli dengan dunia pelajar.






Tiada ulasan: