Rabu, Januari 14, 2009

Fakta atau Auta

**Nota**
Baca secara halus...
Fakta atau Auta...
(read between the lines)

1)Dapatkan maklumat dari orang yang betul.
-Bunyinya senang; tapi ramai yang tidak faham dan enggan melakukannya.
-Berita lebih mudah datang daripada orang yang mahukan sokongan berbanding berita yang menentang atau tidak sependapat.
-Penyampaian berita juga 'lebih mudah' jika disampaikan kepada orang ketiga. Mudah di sini bermakna tidak perlu bersemuka.

2)Berani kerana benar, takut kerana salah.
-Hakikatnya, berani kerana ada penyokong dan pendokong; benar atau salah sudah menjadi perkara kedua; mungkin juga perkara ke-18.
-Takut pula kerana tidak biasa, atau tidak pasti dengan sebarang kemungkinan yang bakal tiba. Salah atau betul tidak ada dalam pertimbangan pun.

3)Lebih tua, lebih berilmu
-Umur boleh dijadikan sandaran seseorang berilmu atau tidak?
-Sandaran usia adalah pada pengalaman. Pengalaman tidak sama dengan ilmu.
-Biasanya, orang berpengalaman, lebih berilmu. Orang berilmu biasanya tindakannya lebih matang, dan rasional.
-Kalau orang yang lebih muda lebih rasional, orang muda itu lebih tua dari usia orang yang benar-benar tua yang tidak rasional.

4)Banyak bercakap, banyak yang silap
-Menyampaikan sesuatu maklumat, cara terbaik biasanya harus dengan medium percakapan.
-Banyak cakap, banyak maklumat disampaikan.
-Maklumat boleh betul, maklumat boleh salah. Apa yang dicakap, itulah maklumat.
-Bila bercakap tanpa berfikir, dengan kegopohan, dan beremosi, maklumat betul boleh jadi silap; Cerita 3cm jadi 3km.
-Bila tidak bercakap, langsung tidak silap; tapi, tiada siapa tahu yang betul.

5)Profesional tidak boleh bersama emosional
-Profesional adalah sistem dan peraturan tetap dengan melalui latihan dan piawaian tertentu yang juga dibataskan dengan suatu etika dan nilai yang tertentu.
-Emosional pula adalah hantaran perasaan yang diwajahkan dengan tindakan fizikal, yang membawa kepada implikasi tenaga negatif kepada diri dan persekitaran.
-Makan nasi secara profesional harus dimulakan dengan membaca doa dan membasuh tangan; makan nasi secara emosional pula; meletakkan 5 lauk pauk, bersama perencah gosip-mengata di meja makan, ditambah dengan gelojoh melahap.
-Hasilnya, perut tetap boleh kenyang. Bezanya, kalau profesional dan emosional bersama, apa lagi kesudahannya?


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1)Satu lagi pengkisahan dari pembacaan kisah komuniti manusia
2)Mungkin benar, mungkin auta... Boleh dinilai dan difikir bersama..







Selasa, Januari 13, 2009

Menerobos, merungkai, menjernihkan

Menerobos
1)Menyelinap ke dalam suatu kawasan yang kusut, masai, dan penuh cabaran dan masalah yang bakal mendatang.
2)Mungkin perkataan merempuh lebih tepat daripada menyelinap; memandangkan menerobos adalah lebih agresif dan gagah bunyinya daripada menyelinap, yang halus dan berhati-hati bunyinya.
3)Pokoknya, menerobos adalah suatu tujahan kuat dengan pelbagai liku dan ancaman yang bakal menggugat si Penerobos.
4)Menerobos juga mengungkapkan suatu lapisan yang tepu, tebal dan liat; amat sukar untuk masuk ke dalam lapisan itu; mungkin kerana terlalu lama di situ, atau sudah terlalu selesa dengan keadaan itu.

Merungkai

1)Kekusutan dan simpulan-simpulan yang berselirat dibuka satu-persatu; dan dicari punca kekusutan itu, menjadi sesuatu yang mudah dan kemas.
2)Biasanya, keselerakan itu berpunca daripada punca tali yang tidak tahu punca. Lantas, membawa keseluruhan ekor-ekornya turut sama terlingkar.
3)Membuka sesuatu simpulan ini perlukan sokongan dan dokongan; dan mungkin juga suatu galakan dan kekuatan; kerana biasanya, sesuatu yang telah lama kusut, sudah ketat simpulannya, amat sukar untuk dirungkai. Dibimbangi, akan semakin kusut.
4)Tambahan pula, ada kekusutan yang ada tepung di atasnya; kalau ditarik secara kasar, berselerak tepungnya; semakin tercalit dan comot keseluruhan kawasan rumah. Namun, tidak pula boleh dibuat secara lembut; Lagi tidak akan merungkai sebarang kekusutan. Lebih baik comot, dari kusut.
5)Nasihat orang tua, untuk menyelesaikan kekusutan, jangan pula ditambah kekusutan yang lain. Lagi satu, lebih baik lambat, dari terus tidak datang (it's better late than never).Maknanya, pilih yang mana lebih baik; atau antara dua perkara buruk, pilih mana yang paling kurang buruk.

Menjernihkan
1)Kalau dibicarakan pasal air di sungai, adanya kocakan, keruhlah air itu; Lantas tidak nampak segala yang tersembunyi di dasar sungai; bukan sahaja yang tersembunyi, yang ada jelas di atas dasar sungai pun tidak kelihatan.
2)Dan kalau kocakan berlaku secara berterusan, tak mustahil, apa yang ada di dasar sungai, mahupun yang tersembunyi akan hilang terus ditelan pasir, dan kalau hidupan, akan mati dan yang boleh lari, sudah lama melarikan diri mereka.
3)Tempat yang indah yang boleh didiami, keruh; dikeruhkan pengganggu yang sebenarnya punya pilihan; Sama ada menjernihkan, atau mengkeruhkan.
4)Ternyata, bila pilihan telah dibuat, kesannya, bukan sahaja kepada pengganggu, tetapi kepada seluruh komuniti sungai.
5)Rungkaian suatu kekeruhan ini juga merupakan keindahan kebijaksanaan yang berhikmah; terpancar dari tindakan, tutur kata, dan keberanian untuk memberi manfaat kepada orang lain lebih daripada diri sendiri.


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1)Setiap komuniti harus sedia menerobos, merungkai dan seterusnya menjernihkan kembali apa yang keruh, apa yang liat, dan apa yang buruk.
2)Mungkin sukar bertindak secara berseorangan; lantas, kita harus guna pengkalan untuk rungkai segala kekusutan bersama-sama, sebelum kita pulang semula ke lapangan.
3)Bertindak secara berhikmah dan bertanggung-jawab tidak sekompleks sains roket, namun, ia memang berat; jika melakukannya dengan emosi.



Selamatkan keluarga kita...
Fikrah Imayu




Ahad, Januari 11, 2009

lagi PPSMI

kajian ilmiah daripada Prof Emeritus Dr Isahak Haron; berkenaan PPSMI
(klik)

Laporan yang HArus dibaca!!

Ringkas dan padat.

Fikrah-
Banyakkan membaca daripada bercakap!




Khamis, Januari 08, 2009

Kisah Palestin...



Kisah Palestin
(Klik dan baca; fahami betul-betul..)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1)Bagaimana kita boleh bersama-sama mengambil iktibar dan pengajaran dalam kisah Palestin ini?
2)Ya Allah, selamatkan umat Islam walau di mana sahaja mereka berada...
3)Ya Allah, sedarkanlah umat Islam yang masih leka dan mementingkan diri dan kebendaan serta keduniaan yang sementara ini...

Amiin...




Selasa, Januari 06, 2009

Bacalah

1)Baca dengan gaya tersurat dan tersirat. Kemudian, lakukan pula muhasabah kepada diri sendiri dan masyarakat.

2)Bacaan pula, pastikan sesuatu yang memberi provokasi kepada pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk mencabar minda dan seterusnya, agar mahir dalam membuat keputusan.

3)Baca dengan mata, namun, dalam kehidupan harian, baca dengan hati serta berhati-hati.

4)Apabila tidak faham apa yang di baca, timbulkan pertanyaan; dan harus dirungkaikan kepada bentuk perbincangan ilmiah bersama-sama.

5)Sesetengah bacaan, harus dipraktikkan ilmunya untuk difahami. Harga buku boleh dibayar. namun, harga ilmu dari bacaan itu adalah tiada ternilai (priceless)

6)Mentaliti dan keupayaan mental seseorang juga dapat dikenal dengan melihat apa yang sering dibacanya; sama ada akhbar, majalah, komik, atau buku. Malahan, kualiti perbandingan perbahasan, perbincangan atau sembang-sembang juga dapat dinilai daripada sumber bacaan seseorang itu.

7)Tabiat datang dari sikap. Sikap datang dari penetapan mental atau pendirian. Penetapan mental datang dari ilmu dan pengalaman. Pengalaman datang dari kehidupan. Ilmu datang dari bacaan. Kehidupan yang baik datang dari ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat datang dari pembelajaran. PEmbelajaran harus berasaskan pembacaan.

8)Pembelajaran harus berasaskan penyampaian ilmu, pengalaman dan pembacaan; dari guru kepada murid. 3 faktor itu harus datang seiring; baru boleh menghasilkan suatu pendidikan. kalau tinggal salah satu, ia hanyalah suatu pelajaran. Pelajaran dan pendidikan pula tidak sama maksudnya.

9)Orang yang membaca, biasanya... laluan tindakannya dari akal baru ke hati, dan seterusnya anggota badan bertindak. Hasilnya, selalu rasional; jarang sekali tidak.

10)Orang yang kurang membaca, biasanya... laluan tindakannya dari hati ke akal, dan seterusnya anggota badan bertindak. hasilnya, mungkin rasional, sering kali tidak. Sering juga dari hati terus ke anggota badan. Ini namanya melatah; Melatah itu tidak rasional dan melatah juga adalah penyakit nyanyuk.

Fikrah-
1) Lebih baik banyakkan membaca daripada dapat penyakit nyanyuk sebelum masa tiba.
2) Jadilah pendidik yang bermanfaat; bukan sekadar pengajar.
3) Pembelajaran yang baik, akan menghasilkan tabiat yang baik dan berkesan.
4) Jadilah orang yang meletakkan nilai tinggi kepada ilmu. Caranya, membaca diletakkan keutamaan pertama!



Selamat pulang ke sekolah; murid-murid, dan guru-guru sekelian.




Isnin, Januari 05, 2009

versus

Berkongsi versus Menumpang
1) Kalau berkongsi, sikap antara rakan kongsi adalah sehati sejiwa; Alasannya, apabila untung, kita sama-sama untung, dan kalau rugi, begitu juga. Berkongsi berasaskan persetujuan bersama tidak kira 50-50; atau 80-20. Masing-masing akan dapat habuan masing-masing berasaskan syer yang setimpal.
2) Kalau menumpang, tiada istilah rakan kongsi. Yang ada, hubungan tuan-penumpang. Alasannya, seorang tuan adalah empunya; yakni hak dan tidak boleh dicabar. Penumpang pula tidak akan mendapat hak yang sama mahupun yang setimpal. Hidup bersama hanyalah berasaskan hubungan simpati dan ehsan.
3) Dua istilah ini, hampir sama dalam penggunaan harian;(namun berbeza implikasinya). Kedua-duanya akan berlaku dalam keadaan kekurangan; namun memerlukan perkara yang sama.
4) Istilah berkongsi pada mulanya, akan bertukar kepada istilah menumpang pada akhirnya; sekiranya salah satu pihak merasa diri adalah TUAN dalam perkara yang sama itu. Secara automatik, perasaan kurang senang akan timbul kerana haknya tidak setimpal.
5) Mungkin perasaan lebih layak, lebih dulu, lebih lama, atau lebih banyak mengeluarkan modal untuk mendapat perkara itu mendorong kepada pertukaran istilah itu; padahal pada asasnya, kedua-dua pihak punya hak yang sama sebagai rakan kongsi.


Lebih tua versus lebih lama
1) Tua lawannya muda; bererti hubungan yang direlatifkan dengan usia. Usia pula adalah berasaskan tahun kehidupan. Maknanya, seorang yang lebih dahulu hidup daripada seseorang yang lain adalah lebih tua daripada orang tersebut. A berumur 40 tahun adalah lebih tua daripada B yang berumur 29 tahun. Walaubagaimanapun, A adalah muda berbanding C yang berumur 70 tahun; dan C juga adalah orang muda jika dibandingkan dengan D yang berumur 89 tahun.
2) Lama pula lawannya baru. Hubungan ini relatif dengan sesuatu keluaran; tak kiralah keluaran dari mana-mana proses dalam hidup ini. COntohnya, kilang, universiti, latihan perguruan, PLKN, latihan kawad kaki, kemahiran pengurusan, dan lain-lain lagi.
3) Lama juga boleh dilawankan dengan sekejap. Lama ini pula adalah suatu relatif ketahanan dalam masa yang panjang berbanding masa yang ditetapkan atau standard terhadap perkara itu. Sekiranya lama masa diambil untuk sesuatu urusan, ia bersamaan pula dengan lambat. Maka, lawan lambat pula adalah cepat.
Contohnya,sekiranya kereta F1 bergerak pada kadar 200km/j, kereta itu adalah lambat. Berbanding kereta kancil 660cc yang bergerak pada kadar 100km/j, kereta itu adalah dalam kategori cepat.
4) Lama bukan seerti dengan tua. Yang ini harus difahami...
5) Orang lama tidak semestinya orang tua. Orang muda juga tidak semestinya orang baru.
6) Dengan kata lain; Orang lama juga mungkin orang muda, dan orang muda juga mungkin orang lama.

Pertimbangkan situasi ini:
1)Seorang murid, A tidak mahu berpindah ke kelas lain kerana dia lebih cepat 'cop' tempat itu. (andaiannya- boleh masuk kelas mana-mana; asalkan boleh belajar);dan lagi, dia tidak mahu berpisah dengan rakan-rakannya yang lain.
Ada pula budak baru, B yang masuk ke kelas itu; walau bagaimanapun, tidak cukup kerusi dan meja di kelas itu. Lantas, guru menyuruh A itu berkongsi tempat di kelas tersebut bersama A.

Fikrah
- Apa agaknya yang berlaku lama-kelamaan?
- Apa tindakan rasional yang harus dilakukan guru mahupun murid A atau B?


2)Murid baru, B tadi dilantik pula sebagai ketua kelas setelah ramai memilihnya berbanding murid-murid lain. Namun, lantikannya itu dibuat kerana, (secara tradisinya) tidak orang yang sanggup melakukan kerja-kerja kesukarelaan atas alasan yang pelbagai; seperti banyak masa terbuang, kena balik sekolah lambat, kena tolong cikgu hujung minggu, kena buat koleksi duit kelas, dan lain-lain; dan alasan yang paling besar, tidak mahu menanggung beban dikata orang lain apabila tidak mampu atau gagal melakukan sesuatu tugas yang diberikan. Namun, ramai lagi murid lama di dalam kelas itu menyatakan sokongan mereka walaupun setiap kali mahu mengadakan jamuan kelas, pasti ada yang terasa hati, enggan mengikut sama dan sebagainya lagi kerenah.

Fikrah-
- Di mana silapnya?
- Apa tindakan rasional yang boleh dilakukan murid B, guru kelas, dan rakan-rakan kelas?




Jumaat, Januari 02, 2009

Be 2009

Be understanding to your perceived enemies.
Be loyal to your friends.
Be strong enough to face the world each day.
Be weak enough to know you cannot do everything alone.
Be generous to those who need your help.
Be frugal with that you need yourself.
Be wise enough to know that you do not know everything.
Be foolish enough to believe in miracles.
Be willing to share your joys.
Be willing to share the sorrows of others.
Be a leader when you see a path others have missed.
Be a follower when you are shrouded by the mists of uncertainty.
Be first to congratulate an opponent who succeeds.
Be last to criticize a colleague who fails.
Be sure where your next step will fall, so that you will not tumble.
Be sure of your final destination, in case you are going the wrong way.
Be loving enough to those who love you. they may change...
Be loving enough to those who do not love you; they may change...

Above all,

BE YOURSELF.



WE CHANGE WHAT HAS TO BE CHANGED,

BUT ABOVE EVERYTHING

WE MUST CHANGE FIRST, FOR THINGS TO CHANGE.




(from the others)


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
Dedicated to my beloved family, viewers, bloggers and friends...



Khamis, Januari 01, 2009

keratan akhbar - perkampungan menara gading 2008

Sekitar Kampus: Program PMG
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

Pelajar lepasan SPM bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus

SEMUA mengakui teruja untuk mengikuti program Perkampungan Menara Gading (PMG) anjuran Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor (Pepias), apatah lagi apabila mendapat sokongan ibu bapa dan guru bertujuan mengisi waktu cuti selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas didedahkan dengan beberapa slot program di Kolej Ke-13, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang perasaan itu semakin meningkat dan bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan baru ditimba.

Bekas Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Panglima Garang, Azmir Jais, berkata program PMG adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri dan mempunyai kelainan berbanding kegiatan lain yang pernah disertainya.

“Tiga hari berada di sini memberi impak positif dalam hidup saya terutama selepas saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian yang mana pengisiannya mendedahkan peserta mengenai budaya ilmu dan berfikiran positif.

“Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana mempelajari ilmu agama khususnya kepentingan solat,” katanya.

(klik di sini)

Rabu, Disember 31, 2008

Keputusan PMR 2008

Berikut adalah kenyataan rasmi daripada Dato Alimuddin Mohd Dom, berkenaan keputusan PMR tahun 2008, yang diekstrak daripada Utusan Malaysia
Di bawahnya pula, adalah persoalan-persoalan yang harus dicari jawapannya dan boleh juga dibahaskan lagi untuk mencapai kesimpulan yang mungkin sama ATAU berbeza dengan kesimpulan kementerian sendiri bagi maksud pelaksanaan PPSMI ini...

Dato:
Semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Komunikasi mencatat kenaikan tertinggi iaitu 3.6 peratus.
(Perbezaan pada laporan Malaysiakini- iaitu semua mata pelajaran meningkat kecuali Geografi dan Bahasa Arab Komunikasi- klik di sini)
Fikrah:
1)Bagaimana pula perbandingan untuk tahun-tahun sebelumnya pencapaian subjek BAHASA INGGERIS sebelum pelaksanaan PPSMI?
2)Berapa peratus pelajar yang menjawab soalan bahasa Arab komunikasi, bahasa Melayu, bahasa Tamil, atau bahasa cina dalam bahasa masing-masing? 100% barangkali?
2)Adakah ini bermakna, pengajaran Bahasa tersebut lebih baik daripada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris? ataupun DASARnya lebih baik?

Dato:

Pelajar yang menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris meningkat kepada 51.2 peratus berbanding 21.5 peratus pada 2007, manakala Matematik naik 26.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada 2007.
Fikrah:
1)Dalam 51.2% untuk bahasa Inggeris, dan 26.9% untuk Matematik yang menjawab soalan dalam bahasa Inggeris, berapa peratus dari luar bandar dan dari bandar?
2)Daripada 4.6% kepada 26.9%. Peningkatan lebih 20%. Namun, pencapaian A adalah sebanyak 25%; bagaimana pula pencapaian pada tahun lepas? Adakah kurang daripada 5%?
3)Begitu juga Sains; peningkatan daripada 21.5% kepada 51.2%. Peningkatan lebih 30%. Adakah pencapaian tahun lepas, kurang dari 30% daripada tahun ini?

Dato:
Pencapaian calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini sangat membanggakan apabila 26,378 atau 5.96 peratus daripada 472,060 calon berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran diambil. Berbanding tahun lalu, pelajar yang meraih semua A adalah seramai 24,744 (5.65 peratus); 20,213 (2006) dan 20,101 pada 2005.
Fikrah:
1)Tidak dinyatakan peratus gred A semua mata pelajaran pada tahun 2005, dan tahun 2006 untuk dibuat perbandingan. Data ini sangat releven untuk menilai prestasi pelajar mengenai persoalan dasar atau pengkaedahan PnP atau faktor semasa yang lain; seperti keberkesanan guru, dan budaya sekolah, buku rujukan, dan lain-lain.
2)Adakah peningkatan ini konsisten pada tahun-tahun sebelum dasar PPSMI?
3)Gred A untuk semua mata pelajaran. Jadi, masalah pada dasar PPSMI atau pengajaran?

Dato:
Bagi mata pelajaran Sains, daripada 456,795 calon, sejumlah 235,510 (51.2 peratus) orang menjawab dalam bahasa Inggeris, 141,658 (30.8 peratus) dalam bahasa Melayu manakala 82,627 (18.0 peratus) menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris.
Fikrah:
1)Lebih separuh selesa menjawab dalam bahasa Inggeris, berbanding bahasa Melayu dan bahasa campuran. Pelajar menjawab apa yang ditunjuk dalam kelas, atau apa yang difahami dalam kelas? Apa yang disuapkan, itulah yang masuk ke mulut?
2)Tahap keyakinan pelajar dalam menggunakan istilah bahasa Inggeris lebih baik daripada tahun-tahun lepas dalam subjek Sains.

Dato:
Bagi Matematik, daripada 462,051 calon, seramai 124,209 (26.9 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris, 91,955 (19.9 peratus) bahasa Melayu dan 245,887 (53.2 peratus) menjawab dalam bahasa Melayu dan Inggeris," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Fikrah:
1)Hanya 26.9% sahaja yang menjawab dalam Bahasa Inggeris. Dan pencapaian yang mendapat A pula adalah 25%. Yang 25% ini, berapa ramai yang menjawab dalam bahasa Inggeris, ya?


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>..
Fikrah-
1)Secara keseluruhan, setiap peningkatan dalam pencapaian mana-mana penilaian harus dirai dengan penuh rasa kegembiraan dan kesyukuran.
2)Namun, harus dilihat secara adil dari pelbagai sudut dan tidak meletakkan mana-mana pemberat kepada mana-mana dasar yang mahu diberatkan atas pengkaedahan membenarkan suatu pihak dan menidakkan suatu pihak yang lain.
3)Akhirnya, keuntungan pada jangka panjang dengan melihat generasi masa depan bergerak seiring, malah mendahului negara maju lain tanpa mengorbankan agama Islam, jati diri bangsa, dan asas tamadun Malaysia.





Selasa, Disember 30, 2008

Menyorot arah, mengorak langkah

Pendokong dan seluruh warga SMKTPG haruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh merealisasikan impian dan visi sekolah menjelang tahun 2010. Masa depan adalah milik generasi yang mampu berkerja keras dan berani untuk membantu orang lain dan seterusnya, bertanggung-jawab untuk membina masa depan yang lebih cemerlang. Penulis Perancis, Victor Hugo pernah menukilkan;

"For the weak, it is the unattainable,
For the fearful, it is the unknown,
For the bold, it is the opportunity"

Namun, kita harus memperkuatkan tekad dan memperhebatkan amal kebaikan, dan menjana semula idealisme pendidikan dan pengurusan kebajikan. Harus difahami, idealisme kita haruslah realistik dan sentiasa berpijak pada bumi yang nyata. Impian kita ialah untuk membangkitkan pemuda-pemudi, pelajar-pelajar, malahan guru-guru yang berjiwa besar untuk melahirkan suasana dan budaya sekolah yang lebih membina, bermotivasi dan seterusnya mendapat pengiktirafan di mata umat atas dasar kualiti dan bukannya atas dasar simpati (Quality, not sympathy)

Harapannya, janganlah dengan modal sekepal, diharapkan untung segunung. Lantas, mohonlah kepada Illahi supaya jihad kita ini di medan pendidikan dinaungi petunjuk dan hidayah Allah SWT. Mari kita bersama-sama menyemarakkan semangat Quranik, Fistabiqul Khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan) dengan sebaik-baik amalan. Sifat ikhlas dan ihsan harus disebatikan agar kualiti amal terus meningkat.

Mari kita bersama-sama menyorot arah, mengorak langkah menuju ke hadapan.

Saya simpulkan serangkap kata-kata hikmah oleh HAMKA buat renungan bersama.

"Bukit tinggi berdaki-daki,
Lurah dalam berkala-kala,
Berat kaki boleh berhenti,
Berat beban SIAPA MEMBAWA"


Akhirnya, kita hanya berikhtiar... Tuhan juga yang akan menentukan...

Fikrah Imayu
30/12/2008
9.50 malam