Nukilan : Hj Nik Mohd Yusoff Nik Ismail , YDP WADAH Selangor
Dideklamasikan pada 19 Dis 09 bersamaan 2 Muharram 1431H dalam Program Malam Silaturrahim NGO Islam JAIS sempena ' Minggu Duat Selangor' di Dataran Masjid Negeri Shah Alam.
Dakwah satu perjuangan sepanjang zaman
Memenuhi tuntutan-tuntutan tuhan
Sebagai 'abdillah yang beriman
Sebagai khalifah yang berkebajikan..
Dakwah itu bermakna pengorbanan
Melalui harta takhta serta pengalaman
Melalui masa dan daya pemikiran
Kebijaksanaan dan garis pedoman..
Dakwah itu bererti qudwah hasanah
Membangun diri jangan punah
Memurnikan rohani secara istiqamah
Daya fikir penggerak wadah..
Dakwah itu tarbiah
Mendidik dan melatih
Sehingga menjadi insan terpilih
Dipuji malaikat doa terpilih..
Dakwah itu ibadah
Meliputi segala liku dan wilayah
Dari peribadi hingga ke pemerintah
Melalui uslubul-hasanah..
Dakwah itu istiqamah
Istiqamah atas jalan yang diamanah
Menepis segala hasutan iblis pemusnah
Agar perjuangan tidah punah-ranah..
Dakwah itu kesabaran
Sabar itu separuh daripada iman
Mencari ilham dalam ancaman
Begitulah pendakwah budiman..
Dakwah itu jihad
Menegak kebenaran penuh tekad
Aufu bil 'uqud!
Aufu bil 'uqud!
Dakwah itu 'amal-jamaii
Bermuafakat sesama sendiri
Bersyura menepati peraturan Ilahi
Agar segala diberkati..
Dakwah itu kepimpinan
Kepimpinan itu satu penderitaan
Bukan anugerah kenalan
Atau hadiah buat si polan..
Dakwah itu kaya akhlak
Jiwa diasuh diri tak rosak
Dipegang teguh sampai layak
Menjadi insan bukan perosak..
Dakwah itu penyebaran
Wlaaupun cuma satu ungkapan
Bermula dengan diri hingga ke teman
Tanpa mengenal benua dan sempadan..
Dakwah itu amar makruf nahi mungkar
Yang Makruf jangan diengkar
Yang mungkar jangan dibiar
Agar umat menjadi segar..
Dakwah itu keadilan-kebenaran
Apa erti perjuangan tanpa kebenaran
Apa erti perjuangan tanpa ke'adilan
Keadilan teras keamanan..
Dakwah itu nasihah
Membimbing umat dengan susah payah
Bersaksikan qudwah hasanah
Dilaksanakan dengan penuh hikmah..
Dakwah itu amanah
Dipegang teguh dengan sungguh-sungguh
Agar terlaksana tanpa tangguh
Segala harapan membawa berkah..
Dakwah itu ujian
Hadapi rintangan dan halangan
Dari lawan dan juga rakan
Itulah fitrah mencari kebenaran..
Dakwah itu tak kenal penat-lelah
Bersedia atau dalam susah
Pantang undur seorang pendakwah
Bak panglima yang perkasa gagah..
Dakwah itu hijrah-perubahan
Bermula dengan niat yang diabadikan
Dengan tingkatkan rohani berteraskan iman
Menghadap wajah dengan Yaa Rahman..
Dakwah itu mulai dari diri
Membangun diri dengan pekerti
Memperbaiki sampai mati
Itulah pejuang sejati..
Dakwah itu muhasabah
Muhasabah diri dengan tabah
Mencari kelemahan elak fitnah
Agar perjuangan menjadi mudah..
Dakwah itu ikhtiar-tawakkal
Ikhtiar sepenuh akal
Mengolah kaedah, uslub yang afdhal
Lalu tawakkal kepada yang kekal...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan