1) Pendekatan terbaik untuk menyelami satu sama lain adalah meluahkan dengan kata-kata. Setiap perkataan, pertuturan disulami dengan budi bicara dan berbekalkan rasionaliti akan menjadikan setiap hujahan difahami dan dirasai oleh semua pihak. Sudah tentu, faktor emosi harus diminimumkan kalau tidak mampu ditiadakan. Yang malangnya, ramai dari kita menganggap menjaga rahsia dan mendiamkan satu-satu isu dapat menjaga hubungan dengan lebih baik, dan menganggap, masalah akan selesai dengan sendirinya, lambat-laun.
2) Isunya adalah untuk memahami sesuatu tindakan, haruslah dengan kefahaman dan niat yang jelas. Selain itu, kaedahnya juga harus bersistematik dan berteraskan kepada satu-satu modul yang dirangka khusus untuk tindakan tersebut. Apa lagi kalau tindakan itu bersifat jangka panjang. Jika tidak disiapkan dengan kelengkapan ini, maka, akan berlakulah keciciran dan ketidak-setiaan atau keletihan di tengah-tengah perjuangan. Yang lebih membimbangkan, sasaran hala tuju yang semakin tidak jelas dan akhirnya, hanyut dibuai badai dan terus sesat entah ke mana. Ada lagi yang lebih teruk? apabila Tidak tahu pun, sebenarnya, diri sudah hanyut dan sesat dengan haluan yang sebarangan.
3) Hari-hari kita diajar untuk memperbaharui niat dan syahadah. Paling kurang, 5 kali sehari dalam modul Solat. Ia merupakan perkara Wajib dalam rukun Islam. Kepentingannya diletakkan pada yang kedua selepas mengucapkan Syahadah; yang lebih ketara, WAJIB untuk menunaikannya walau dalam keadaan apa sekalipun, waima sudah mati! Hubungan dengan Tuhan harus jelas sepanjang hidup kita, supaya kita faham hakikat sebab musabab kenapa kita dihidupkan? dari mana kita datang? hendak ke mana kita akhirnya? dan siapakah kita? Nescaya, inilah modul khusus dari Allah, diajar Nabi kepada kita untuk memahami diri dan menjaga hubungan dengan Allah SWT.
4) Ambil modul yang sama yang dituntut dalam solat kepada kehidupan kita. Sama ada dalam kehidupan peribadi, kehidupan sosial, dan kehidupan kerjaya. Perbaharui niat dan komitmen. Pilih sikap Mahmudah dalam kehidupan ini untuk menjaga hubungan sesama manusia. Komitmen yang kita galas, kita kaitkan dan pastinya kita akan berjumpa dengan Pencipta yang maha Esa. Berhati-hati dalam berbicara. Berbicara pula dengan jujur dan ikhlas. Luahkan dengan hati yang tulus dan suci, dan lebih penting, penuh beradab dan disisipi dengan doa dalam setiap perlakuan kita. Juga ada tertib dalam mengharungi satu tindakan. Persis Solat.
5) Kadang-kadang, dalam tindakan, harus juga kita merendah diri, melihat dan mengucap salam kepada mereka yang berada di kiri dan kanan sebagai teman muhasabah dan penasihat kita. Walau dalam keadaan apa sekalipun, hanya jiwa yang tenang, berserta memahami setiap patah perkataan, dan mengawal setiap laku perbuatan kita, akan menjadikan kita 'Khusyuk' dalam mencari redha Illahi. Di sinilah benteng pertahanan diri dibina dengan mengabaikan kata-kata pujuk rayu, nista, cela, umpat, keji, hina, di luar sana. Dan akhirnya, kita akan berdoa dan bertawakkal untuk diri kita, dan semua umat semua di luar sana sampai kita mati.
Sesungguhnya, rasa manis itu hanya akan dapat dirasai bagi yang khusyuk.
Sebagai Ahli jemaah,
Barulah kita tanya diri semula, 'Khusyuk' kah amalan kita setakat ini? selama ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan