Rabu, Ogos 04, 2010

Menamatkan pendidikan Kiasu


‘KIASUISM’
Obsesi semua pihak terhadap ukuran kecemerlangan murid berdasarkan pencapaian bilangan A di dalam peperiksaan semakin menjadi-jadi.
Jika dahulunya budaya kiasu sering membawa kita kepada membayangkan negara jiran, Singapura, kini sikap all-must-win itu sudah semakin membarah di Malaysia hingga ia tidak lagi ditonjolkan pada kegilaan menghimpun tertinggi, terpanjang, terbesar dan terhebat di mercu tanda negara, malah turut mengisi seluruh spektrum kehidupan. ‘Segala-galanya bersifat enjit enjit semut siapa sakit naik atas’!
Seawal usia pra sekolah, murid-murid sudah diheret ke budaya ‘saya masuk kelas A sebab ada yang masuk kelas B’.
Murid yang beroleh keseluruhan A akan disanjung oleh semua peringkat masyarakat dan media. Pelbagai anugerah diberikan dan jumlah mereka menyumbang kepada statistik kebanggaan sekolah, kemudian daerah dan akhirnya negeri ke peringkat kebangsaan. Sedangkan segala liputan terhadap kelompok ‘cemerlang ini’ hakikatnya adalah laporan berkenaan kelompok minoriti kecil berbanding kelompok majoriti dengan pencapaian sederhana yang terus dipinggirkan.
Sekurang-kurangnya dua tragedi besar sudah terpampang di hadapan mata kita kesan daripada obsesi terhadap peperiksaan ini.
TEKANAN PSIKOLOGI MELAMPAU
S. Subashini: kenangan terhadap ‘kegilaan’ sistem pendidikan negara
Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.
Sejauh mana isu ini diperbahaskan? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR? Saya yakin jika insiden ini berlaku di negara maju lain, ia sudah cukup untuk menggoncang seluruh sistem negara.
Tekanan psikologi yang dikenakan ke atas murid-murid sebagai ‘kuda pertaruhan’ amat membimbangkan. Apatah lagi, tidak semua pelajar boleh cemerlang dalam orientasi hafalan dan muntahan fakta ke kertas peperiksaan. Ramai juga yang datang daripada kategori hands-on. Mereka mahir di dalam pelbagai bidang kemahiran membabitkan seni, teknikal, vokasional dan lain-lain, namun dipandang rendah kerana tidak berjaya diukur dan pembaris tunggal yang mengukur kualiti manusia di dalam sistem pendidikan kita.
GENERASI ROBOTIK
Kesan kedua yang timbul adalah pada kualiti tenaga manusia yang dihasilkan.
Kesan ini sukar dinilai semasa murid-murid berada di bangku pengajian kerana mereka masih berada di dalam sistem itu dan menjadi sebahagian daripadanya.
Tetapi, selepas menjadi graduan kepada sistem itu, bagaimanakah kualiti mahasiswa dan mahasiswi kita di peringkat pengajian universiti hari ini? Bagaimanakah pengalaman para pensyarah semasa mengendalikan murid-murid ‘cemerlang dengan A’ ini? Malah bagaimanakah statistik pelajar universiti yang terpaksa mengulang tahun atau kecundang di dalam pengajian, biar pun mereka itu adalah cream of the cream semasa di peringkat SPM?
Tidak dilupakan, keluhan demi keluhan pihak Sumber Manusia (HR) di dalam industri.
Bagaimanakah kualiti kemanusiaan warga kerja generasi muda kebelakangan ini?
Mereka mungkin mampu memiliki ijazah dengan CGPA 4.0 tetapi tidak terfikir bahawa untuk menghulurkan pisau kepada orang lain, yang patut diajukan adalah hulu pisau dan bukan matanya.
Common sense?
Logical thinking?
Segalanya semakin membarah.
Sistem pendidikan dan peperiksaan berkomputer kita benar-benar menghasilkan computerised-being. Generasi robot!
MAJLIS PERBINCANGAN MEJA BULAT PEMANSUHAN UPSR & PMR
Justeru saya amat mengalu-alukan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menilai kembali peranan UPSR dan PMR dalam sistem penaksiran pelajar di negara kita.
Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR telah berlangsung di Putra Jaya pada 27 Julai 2010 yang lalu telah menghimpunkan ramai tokoh pendidikan, ahli politik, ahli akademik IPTA dan IPTS serta NGO. Laporan awal menyatakan majoriti mereka yang hadir ke Majlis Perbincangan Meja Bulat itu mahu UPSR dan PMR dikekalkan tetapi dengan penambah baikan.
“Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, selepas mempengerusikan Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran.
Saya juga bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan yang mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR. Sebarang perubahan mestilah berasaskan kepada kajian yang menyeluruh dan tidak bersifat adhocism. Perubahan mesti bersifat holistik dan bukan gunting sana dan tampal sini.
Mangsanya adalah anak-anak kita dan masa depan negara.
Biar apa pun keputusan yang bakal diputuskan nanti, saya mengharapkan agar sistem pendidikan negara kita kembali bersifat STUDENT CENTRIC dan bukannya SCHOOL CENTRIC apatah lagi PPD CENTRIC!
Bakul sampahkanlah segala yang berkaitan dengan reputasi dan kemasyhuran sekolah, rekod perkhidmatan cemerlang pegawai pendidikan atau apa sahaja yang menyebabkan murid-murid itu sendiri bukan lagi satu keutamaan.
Apakah boleh dikategorikan sebagai salah laku yang serius apabila murid yang kurang cemerlang diarahkan oleh pihak sekolah mendaftar sebagai pelajar persendirian demi menjaga peratusan kecemerlangan keputusan peperiksaan? Kepada siapa salah laku ini patut diadukan?
Menyembah peperiksaan…. demikianlah perumpamaannya.
Atau mungkin kata kuncinya, hentikan campur tangan politik dan ‘pasaran semasa’ terhadap pendidikan negara.
Sekolah bukan gelanggang lumba kuda.
Ia tempat memanusiakan manusia.


(Sumber : http://saifulislam.com/)


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>


Fikrah:-


1) Nota kosakata Kiasu daripada wikipedia


Kiasu (traditional Chinese驚輸Pe̍h-ōe-jī: kiaⁿ-su) is a Hokkien (a Chinese spoken variant) word that literally means 'fear of losing' (Mandarin Chinese: 怕输). 

This word is so widely used by Singaporeans and Malaysians that it is incorporated into their English vocabulary (in the form of Singlish andManglish). It is often used in describing the social attitudes of people, especially about South East Asian society and its values. Its widespread use is often because these attitudes are common—to not lose out in a highly competitive society (e.g. by above-cited examples), or to the extent of parents imposing heavy study labour on their children in their wish to make them at the very top of all other students. Growing up with this attitude, these students often become ambitious businesspeople, with the desire to be on top in wealth and prestige regardless of whether the most prestigious careers are aligned with their true capabilities.
Kiasu is commonly compared to Kiasi (literally, fear of death) and both are commonly used to describe behaviour where Kiasu or Kiasu-ismmeans to take extreme means to achieve success and Kiasi or Kiasi-ism means to take extreme means to avoid risk.
It is often perceived as part of Ah Beng culture. The comic series Mr Kiasu depicts many examples of kiasu behaviour.

2) Sistem peperiksaan, pada asasnya adalah untuk membuat penilaian secara formatif. Ia berasaskan sistem yang Malaysia teruskan daripada daripada sistem pembelajaran dari UK. Ini mungkin kerana selama ini, kita percaya bahawa sistem dari Britain ini adalah terbaik di dunia berasaskan sejarah kita adalah negara komanwel. Selama 53 tahun kita merasakan yang kita berada dalam kepompong arus perdana dunia, dengan erti kata dalam 'track' yang betul. Dari satu segi, ada kebenarannya. Dari banyak segi yang lain, setelah dunia berkembang dengan adanya perbandingan Kurikulum seperti TIMMS, PISA, dan lain-lain, maka barulah Malaysia tersedar kedudukan kita di pentas dunia. Sudah tiba masanya, kita buka semula persempadanan pendekatan kita dalam melihat 'acuan Malaysia', yang pada hakikatnya, tiada pun acuan. Semuanya, 'copy n paste'. Yang sedihnya, 'rubbish in, rubbish out'. Yang lebih sedih, kita tidak sedar pun. Yang paling sedih, masih enggan untuk berubah! 

3) Sistem pembelajaran yang berasaskan 'kemanusiaan' pula, telah lama disuratkan dalam sistem KBSR, dan KBSM. Bukalah semula lembaran dokumen tersebut dan bacalah keseluruhan 'idea' yang disuratkan pada dokumen tersebut. Pendekatan holistik bina insan seperti pendekatan konstruktivis, penekanan kepada kreatif dan kritis, rekreasi dalam pembelajaran, dan lain-lain pendekatan telah diserapkan semenjak tahun 1980-an lagi. Mungkin ada kebenarannya apabila dikatakan walaupun lirik ini telah ditulis, 'penyanyi'nya masih lagi mengikut susunan lagu lama, cara mereka belajar dulu daripada guru-guru mereka terdahulu. Bukan menyalahkan golongan terdahulu. Jasa mereka tetap dikenang. Al-hasil, wal-asal, ini adalah kesan akibat daripada proses yang panjang itu. Ia perlu dihentikan dan harus dimulakan dan dijenamakan semula. Sistem latihan, pemantauan, dan dalam perkhidmatan (in service) keguruan, perlu disemak semula.(kerana itu, kaedah latihan pendedahan PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) di IPG seluruh Malaysia pada hari ini, (pada pandangan saya) ada masalah kreativiti dan acuan pembaharuan. Ini, isu lain yang boleh dibincangkan kemudian)

4) Harus jelas, kecemerlangan adalah satu kemestian. Dapatan 'A' adalah satu dari 1000 cara untuk membuktikan wujudnya kecemerlangan. Maka, berkejar untuk mendapat 'A', bukan salah sepenuhnya. Soalnya hari ini, HANYA kecemerlangan Akademik sahaja yang diberi tempat dalam sistem pendidikan di Malaysia. Itu pun, berasaskan Penilaian 'Pen and Paper' semata-mata. Bagaimana dengan kecemerlangan sukan, muzik, pemikiran kreatif dan kritis, aktivis kemanusiaan, kerohanian, dan lain-lain kecerdasan yang pelbagai? Allah taala menjadikan semua hambaNya punya kecerdasan. Raikanlah kepelbagaian ini dengan mewujudkan peluang berdikari kepada mereka. Bukan hanya 'Spoon and Feed'. Penumpuan pendidikan yang berorientasikan menyediakan peluang pekerjaan dengan memuaskan HANYA industri di luar sana, juga tidak berkesan. Hakikatnya, industri tidak juga bersedia menerima kepelbagaian ini. Terma 'Industri Pendidikan' sendiri sudah ada yang tidak kena. Pendidikan bukan seerti dengan kilang!

5) Sekadar perkongsian rujukan daripada Laporan Kajian Tugas dan Tanggungjawab Guru KPM, tahun 2007, perbandingan antara negara Kanada, Finland, Jerman, Ireland, New Zealand, Sweden, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia; Semua negara tersebut mempunyai 1 peperiksaan awam, kecuali Ireland. Itupun, pada akhir persekolahan peringkat menengah atas. Di Malaysia, kita ada 1 peperiksaan di peringkat rendah (UPSR), dan 3 peperiksaan di peringkat menengah (PMR, SPM, dan STPM). Waktu interaksi dalam persekolahan pula, kesemua negara di atas menggunakan antara 32.50 jam sehingga 40 jam seminggu, manakala Malaysia menggunakan antara 29.60 jam sehingga 34.67 jam seminggu. Dengan kata lain, waktu P&P terhad, menampung jumlah peperiksaan yang banyak! 

Bagi aktiviti ko-kurikulum pula, bagi semua negara di atas, kecuali Korea Selatan, aktiviti ko-kurikulum tidak menjadi tanggungjawab pihak sekolah. aktiviti ini diselaraskan oleh pihak sekolah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan/NGO/pihak swasta. Di korea Selatan, mereka memberi fokus kegitan ko-kurikulum hanya pada sukan bola sepak, bola keranjang, dan tae-kwan do yang dikendalikan oleh jurulatih khas. Begitu juga di Finland, aktiviti ko-kurikulum di sekolah dilaksanakan jika ada permintaan murid yang juga dikendalikan oleh jurulatih luar. Di Malaysia, aktiviti ko-kurikulum WAJIB dilaksanakan dalam Badan Uniform, Sukan dan Permainan, dan Kelab dan Persatuan. Semua guru terlibat dengan aktiviti ko-kurikulum di sekolah.


Jadi, ke mana kita selepas ini?

Tiada ulasan: