Khamis, Ogos 05, 2010

pilihanraya pilih ketua murid di sekolah

Perlaksanaan sistem pilihanraya bagi memilih Ketua Murid di sekolah-sekolah diarah dihentikan. Pekeliling berkaitan telah diedarkan dan boleh dimuat turun dari internet(di sini)

Walaubagaimanapun, sebab dari larangan berkenaan tidak berapa kuat iaitu (Kementerian Pelajaran Malaysia) KPM berpandangan bahawa sistem berkenaan tidak sesuai dilaksanakan atau didedahkan kepada murid-murid sekolah.

Tindakan berkenaan menimbulkan sedikit kejanggalan apabila, program berkenaan yang sepatutnya bertujuan baik bagi melatih pemimpin kecil disekat untuk diadakan lagi. Tahukah kita bahawa perlaksanaannya di sekolah cukup aman dan tenteram. Tidak berlaku rusuhan dan rasuah. Cukup tertib dan teratur.

Beberapa sekolah rendah dan menengah di Selangor dan Seluruh Malaysia begitu bangga menyiarkan kejayaan pelaksanaan program berkenaan hinggakan ada yang disiarkan di dalam Berita Perdana TV3, akhbar dan majalah.

Pelajar dilatih dengan cara pengundian yang ringan dan terkawal serta sesi pidato oleh murid yang bertanding. Ketua pengawas bukan sahaja dipilih oleh semua murid tetapi oleh guru-guru juga. Tentunya calon yang terpilih lebih berkualiti.

Sistem demokrasi berpilihanraya juga diajar di dalam subjek Sivik dan Kewarganegaraan dan juga subjek Sejarah pada peringkat menengah. Perlaksanaan piliharanya di sekolah merupakan satu praktikal terbaik untuk pelajar memahami proses pilihanraya yang berlaku di Malaysia.

Adakah kita tidak sudi untuk melihat bakal pemimpin yang dilahirkan, adalah mereka yang benar-benar layak dan berketrampilan untuk memimpin?. Adakah kerajaan bimbang pemimpin-pemimpin kecil ini akan buat kacau di universiti apabila mereka melangkah ke menara gading nanti?

Mungkin juga pelbagai sekatan terhadap pilihanraya di universiti mempunyai kaitan dengan arahan berkaitan pilihanraya di sekolah-sekolah. Jika ini tujuannya, tidak mustahil kepimpinan pelajar di universiti pada masa akan datang tidak akan bermaya atau hanya sebagai pak turut sahaja.

Jika sistem berkenaan tidak sesuai untuk didedahkan kepada murid-murid sekolah, lebih baik hapuskan sahaja tajuk berkenaan yang terdapat di dalam subjek Sejarah. Hapuskan juga tajuk mengenai tokoh-tokoh negara yang berjuang menuntut kemerdekaan kerana tokoh-tokoh ini adalah pendokong kuat demokrasi berpelembagaan. Dibimbangi mereka akan menjadi idola pelajar-pelajar kita.

Kita perlu sedar bahawa sistem ini sebenarnya telah lama dipraktikkan di kebanyakkan sekolah. Kenapa kita perlu takut dengan bayang-bayang sendiri. Di luar Negara, sekolah tingginya mengadakan pilihanraya bagi memilih ketua pelajar. Dengan menyekat program berkenaan kita bukannya maju ke hadapan, tetapi kita telah mundur ke belakang. Inikah pendidikan bertaraf dunia yang diharapkan?

Saya berpendapan adalah lebih baik KPM menyediakan satu garis panduan bagi mengawal dan menambahbaik piliharaya di sekolah-sekolah. Galakan perlu diberikan kepada sekolah-sekolah yang belum melaksanakan sistem ini.

Tindakan menghalang sistem berkenaan dari dilaksanakan di sekolah-sekolah adalah satu tindakan yang terburu-buru dan tanpa melalui kajian ilmiah yang mendalam. Janganlah kita menyekat perkembangan murid-murid kita hanya dengan satu alasan yang umum dan rapuh.

SERI



(sumber : http://www.harakahdaily.net/v2)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-

1) Waktu pembelajaran di sekolah, adalah tempat yang cukup sesuai untuk belajar segala-galanya. Di sinilah, segala idealisme dalam kehidupan dicurah dengan penekanan soal disiplin yang tinggi, belajar mematuhi arahan, belajar untuk membuat kesilapan, belajar untuk mencurahkan daya kreativiti dan penumpuan daya kritis dalam membuat keputusan, serta bertanggung jawab juga terhadap keputusan yang telah dibuat. Kalau mereka tidak melakukan kesilapan di sini, adakah kita rela menerima kesilapan mereka semasa mereka benar menjadi pemimpin dalam masyarakat kelak?

2) Ironinya, di saat guru-guru DG 41-48 dibenarkan berpolitik kepartian, anak-anak tidak pula dilatih untuk berpolitik dari luar lingkup parti, yang sudah tentunya lebih sihat, dan lebih matang! Hakikatnya, banyak yang boleh orang dewasa pelajari daripada anak-anak. Mereka tiada kepentingan, kudus, jujur, suci, dan boleh dibentuk. Hanya orang dewasa punya kepentingan dan -isme yang kadang-kadang merapu-rapu, dan kadang-kadang, lebih sudu dari kuah.

3) Sebagai perkongsian, sistem di MRSM, telah lama mengadakan pilihanraya untuk memilih pemimpin. Sistem pengawalan murid juga sangat berkesan. Badan-badan pelajar terbahagi kepada 3, berdasarkan fungsi masing-masing. Badan Wakil Pelajar (BWP), Lembaga Disiplin Pelajar (LDP), dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Ini adalah 3 badan pelajar yang berasingan namun mendokong aspirasi yang sama; iaitu untuk memantapkan sistem pentadbiran dan pengurusan, serta kebajikan pelajar.

Secara ringkasnya, LDP adalah sinonim dengan Badan Pengawas, yang dipilih oleh guru-guru, atas kredit seperti keputusan akademik yang cemerlang, baik tingkah laku dan yang sepertinya. Pemilihan adalah tetap, dan pencalonan adalah bersifat rahsia. PRS pula dipilih oleh senior-senior PRS yang melihat ciri ketrampilan peribadi mesra-sosial, diminati ramai, low-profile, tapi berkesan, dan melalui proses pemilihan dan temuduga oleh senior-senior dan guru kaunselor serta guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

Manakala, BWP pula adalah badan utama yang pemilihannya adalah 100% daripada keseluruhan pelajar. Segala proses pilihanraya seperti penamaan, kempen, pidato terbuka, sehinggalah hari pengundian; Kesemuanya diuruskan oleh pelajar sendiri, termasuklah SPR. Presiden BWP adalah presiden pelajar, dengan Presiden LDP dan Presiden BWP sebagai orang kanannya.

LDP berfungsi dalam mengurus tadbir disiplin di sekolah, manakala PRS berfungsi sebagai so-called 'Public Relation Officer' (PRO), dan membantu sekolah dalam mendampingi pelajar lain serta menyalurkan maklumat penting dalam hal ehwal murid. BWP pula dengan setiap wakil yang dipilih berasaskan kerusi Exco, akan memegang port-folio seperti Makanan, Kebajikan, Kerohanian, Sukan dan Rekreasi, Kebudayaan dan lain-lain. Jelas BWP memainkan peranan dalam membantu sekolah dalam isu-isu khusus dalam menambah baik hubungan pelajar-pentadbir serta mengawal selia kemudahan yang ada sepanjang sesi persekolahan.

Tiada unsur-unsur yang meragukan. Malah, pentadbiran sekolah akan menjadi jauh lebih baik, dan pelanggan sebenar sekolah, iaitu pelajar sekolah, ibu-bapa, dan masyarakat sekitar akan berasa lebih dihargai dan apresiasi tinggi juga diberikan kepada mereka. Suasana menang-menang ini adalah sangat baik di samping kualiti pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah cemerlang dalam bidang kemanusiaan. Hormatilah Falsafah Pendidikan Negara.


Bukankah itu tujuannya kita bersekolah?

Tiada ulasan: